Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab15.

Assalamualaikum.









"...I desired to praise the Chosen One and was hindered by my own inability to grasp the extent of His glory..."









Bab 15
TASNEEM ditempatkan di wad hospital untuk beberapa hari. Menurut kata doktor yang merawat, Tasneem nyaris diserang strok. Kesannya dapat dilihat pada tubuh wanita itu ketika ini. Bahagian kanan tubuh Tasneem menjadi lemah serta-merta. Malah hendak ke tandas pun perlu bantuan orang. Tidak mampu menampung beban tubuh sendiri.
            Amiera menerima berita tentang keuzuran Tasneem daripada Shahreza terus membelah petang nan hening, menuju ke hospital. Tergesa-gesa dia mencari wad yang menempatkan ibunya.
            “Ibu!” Amiera menolak daun pintu dengan kasar.
            Shahreza menoleh.
            Sarah juga begitu.
            Ekmal tidak memaling muka langsung. Berdiri di penjuru bilik.
            “Ayah...” Amiera menyalami tangan Shahreza.
            “Sarah, kenapa dengan ibu?” Katil besi dihampiri. Melontar pandangan penuh kesayuan ke arah Tasneem.
            “Ibu hampir diserang strok, kak,” kata Sarah. Mengemudi rasa sedih sehabis baik.
            “Ibu...” Amiera merapati Tasneem. Dia duduk di sisi ibunya. Tangan wanita itu diciumi. Kerana dia, ibu sakit begini.
            Tasneem menggerakkan mata. Seolah-olah hendak menyampaikan sesuatu kepada Amiera. Amiera mendekatkan telinga hampir ke ulas bibir Tasneem.
            “Sayang...” Tasneem berbisik.
            Amiera angkat muka. Menjulang roman ibunya. Panggilan itu menyucuk hati. Tasneem masih memanggil dia dengan nama penuh cinta waima hitam warna arang mewarnai muka disebabkan dia.
            “Maafkan Mira, bu,” rintih Amiera.
            “Amiera...” Leret suara Shahreza menyapa lembut.
            “Maafkan Mira, ayah,” pohon Amiera lagi. Tiada berkesudahan kata ampun meniti di setiap bicaranya.
            “Kau ingat senang-senang aje kami nak maafkan kau? Kau tengok apa dah jadi dekat ibu!” Tiba-tiba Fatma menempelak. Kedatangan Fatma tidak diperasani sesiapa pun. Dengan muka meriak tegang, Fatma melangkah ke dalam bilik berkenaan bersama renungan yang menyinga. Amiera segera bangun. Terundur ke belakang beberapa jejak.
            “Siapa suruh kau datang sini?” Fatma menjerkah lagi. Teguran Shahreza langsung enggan dipeduli. Kehadiran Amiera cukup menyemakkan biji mata.
            “Mira nak tengok ibu.” Amiera menjawab. Suara tersepit di kerongkong cuba dilontar sebaik mungkin. Dia menunduk demi menepis lontaran bahang berapi dari renungan Fatma.
            “Siapa ibu kau?”
            Entah mengapa, hati Amiera umpama dicarik-carik saat bicara kasar itu menerobos lubang telinga. Pedih! Fatma tidak segan-silu menzahirkan perasaan tunggal yang berbuku untuknya.
            Ekor mata sempat menyoroti Ekmal.
            “Kalau pun Mira nak beritahu ibu dan ayah yang Mira tak setuju tentang hasrat mereka satukan kita, tak perlu sampai macam ni sekali.” Butiran bicara Ekmal meniti fikiran. Makin jiwa dirundung kepiluan.
            “Sebab kau lah ibu jadi macam ni. Kau ni memang dasar perempuan...”
            Lidah Fatma membeku seketika. Kata-katanya tidak menemukan titik noktah apabila Shahreza memintas.
            “Ema, jangan marah-marah, tinggi suara depan ibu. Ibu tengah sakit, kan?” ujar Shahreza. Jari-jemari isterinya digenggam erat.
            “Ayah, perempuan ni tak sepatutnya ada dalam bilik ni. Nanti sakit ibu makin menjadi-jadi.” Mencerlung mata Fatma merenungi Amiera.
            Tergeleng-geleng kepala Shahreza. “Amiera datang nak ziarah ibu. Biarkanlah dia.”
            “Ayah... Mira balik dulu,” celah Amiera tiba-tiba.
            “Hah, baguslah dah sedar diri. Cepat berhambus,” herdik Fatma lagi.
            “Ema!” Tinggi Shahreza bersuara. Makin menjadi-jadi pula Fatma ‘menyerang’ Amiera.
            “Hati-hati ya,” pesan Shahreza.
            Amiera mengangguk lemah. Sejurus itu, dia menghilang dari bilik berkenaan. Esak tangis mengiringi setiap langkah yang diatur.
            “Ayah ni kenapa? Budak tu dah malukan kita tau, tapi ayah boleh cakap baik-baik lagi dengan dia.” Fatma merutuk marah.
            Shahreza tidak membalas.
            Kerlingan Fatma tajam menikam roman wajah ayahnya. Berpintal-pintal rasa tidak puas hati di ulu jantung. Lelaki itu bersikap seolah-olah semalam tiada apa-apa telah terjadi dalam keluarga mereka. Seolah-olah kekecohan dan perlakuan Amiera berdua-duaan dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan tiada tertulis dalam retetan hidup mereka.

SHAHREZA berlalu keluar dari bilik itu, lalu melabuh duduknya di barisan kerusi yang terletak tidak jauh dari situ. Terhembus rangkulan nafas berat melepasi paru-paru. Ujian datang bertimpa-timpa! Shahreza beristghfar dalam hati. Semoga kesabarannya tidak pudar dari jiwa.
            Kekecewaannya berpusat terhadap Amiera, anak yang dididik penuh kasih sayang dan diterapkan dengan nilai-nilai murni agama mereka anuti tanpa ada cela sedikit pun. Amiera anak yang baik namun mengapa kesudahannya jadi begini? Perlakuan itu dicekup oleh keluarga sendiri.
            Shahreza mengurut dada. Diikutkan hati yang membara semalam, memang teruk Amiera kena dengannya. Dibantai cukup-cukup lelaki itu.
            Tangan menyeluk poket seluar di sebelah kiri. Mengeluarkan sesuatu yang berlipat-lipat. Lipatan kertas itu dibuka satu per satu. Terpampang cantingan alamat kediaman lelaki berkenaan.
            Walau siapa pun lelaki itu, setinggi mana pun darjatnya, dia harus bertanggungjawab ke atas Amiera. Kejadian memalukan itu tiada mampu diundur kembali.

“KAU kena menikahi anak aku,” tegas Shahreza sementelah permintaan serta rayuannya tadi tidak mendapat respon apa pun daripada lelaki tersebut.
            Bejat injakan kaki Adlan menyusuri ambang pintu utama rumah itu. Pandangannya melorong ke arah Shahreza dan Tasneem.
            Dengan lemah dia berkata, “Demi Allah... saya dan dia tak ada buat apa-apa.”
            “Jangan suka-suka bermain sumpah.” Shahreza mengingatkan.
            Pelipis dahi diurut perlahan. Adlan hendak segera keluar dari situ namun telapak kaki kekal memijak lantai berjubin.
            “Kamu tak takutkan kemurkaan Tuhan?” Bulat mata Shahreza membidik paras Adlan.
            Adlan angkat tangannya. Kepala digeleng beberapa kali bagi menyisih denyutan yang datang menyengat.
            “Saya ada agama. Agama saya melarang perbuatan terkutuk macam tu, bahkan berdua-duaan juga dilarang. Ini satu salah faham,” tuntas Adlan.
            Shahreza mengepal penumbuk. Kian kuat suara hati melontar istighfar agar benteng kesabarannya dilindungi. Tidak runtuh.

DARIPADA berjalan mundar-mandir, kini Adlan menghenyak punggung di birai katil. Kedua belah tangannya melekap di muka. Dibawa naik ke atas, melurut anak rambut hingga ke ubun-ubun. Seluruh alam fikirannya berserabut.
            “Arghh!” Adlan menumbuk tilam. Menghambur rasa marah dan kecewa. Esak tangis Amiera malam tadi mengundang belas. Tuduhan perlakuan zina itu terlalu berat buat mereka.
            Sungguh, tidak dia menyangka, niat baiknya telah disalah erti oleh mata yang memandang, sehingga mengundang syak.
            Hati bagai ditarik-tarik agar segera memacu kenderaan ke rumah yang didiami keluarganya. Entah... rasa itu semakin melonjak-lonjak dalam tubuh. Lantas, Adlan mencapai kunci kereta. Berlari menuruni anak tangga. Dia akan membelah jalanraya, menuju ke rumah Ku Embok.
            “Saya tak boleh fikir apa pun sekarang ni. Take this and kita boleh berbincang nanti.” Bicara terakhir sebelum dia bergegas meninggalkan rumah Amiera menerpa ke dalam kotak fikiran. Cara yang paling biadap rasanya. Malah dia dapat mengesan ketegangan meriak jelas di wajah Shahreza. Merah padam.
            Kertas yang diunjuk itu dicanting nombor telefon Rozita. Dengan sengaja dia memberikan nombor telefon itu kepada Shahreza.
            Herot bibir Adlan terjongket sedikit ke atas. Sinis.

ROZITA berdiri sejurus kata hati menafikan cerita yang menerobos ke dalam pendengaran. Anak mata bergerak-gerak dan membuntang bulat. Bibirnya terketar-ketar.
            “Saya rasa encik dah tersilap orang,” katanya dengan suara yang ditahan-tahan.
            Shahreza menggeleng kepala. “Saya tak mungkin tersilap. Lelaki tu anak puan. Dia didapati berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan bersama anak perempuan saya. Ada saksi,” jelas Shahreza enggan kalah.
            Rozita menggeleng kepala. Satu tuduhan yang menjijikkan. Anaknya Adlan tidak mungkin melakukan perkara begitu. Dia kenal Adlan.
            “Pergi.” Rozita menuding jari ke arah pintu utama.
            Shahreza bersikap tenang. Dia tidak bergerak walau seinci.
            “Ini semua fitnah! Entah dengan siapa anak kau berbuat hubungan terkutuk tu, kau datang claim anak aku punya angkara!” Rozita naik berang. Nyaring suaranya membingit telinga.
            Kalimah-kalimah suci beralun lembut, membasahi sekeping hati seorang ayah milik Shahreza. Tidak seperti Rozita, dia telah menangani kemarahan yang meluap-luap dengan begitu tenang. Kemarahan akan membawa kemusnahan. Biar kecewa, dia tidak akan mengamuk sakan.
            “Keluar! Jangan sesekali pijak tanah rumah aku ni lagi. Aku tak akan benarkan anak aku menikahi anak perempuan kau tu!” Rozita seperti kerasukan. Memuntahkan kemarahan yang tiba-tiba meresapi tubuhnya.
            Shahreza bangun namun tiada niat hendak membalas jerkahan wanita itu.
            “I akan menikahi perempuan tu.” Adlan menapak masuk ke dalam rumah dan melontar bicara dengan tegas.
            Masing-masing menala pandangan ke arah suara yang berdesir itu.
            “Saya akan kahwini Amiera,” kata Adlan lagi.
            Shahreza mengelus nafas lega. Syukur, anak muda itu tidak lari dari tanggungjawab yang harus dipikul- telahan itu menunjangi dasar hati saat Adlan membutirkan persetujuan tersebut.
            “What?! No! No Adlan! I won’t let you!” marah Rozita. Langkah panjang Adlan pantas dikejar. Dua beranak itu menyusup masuk ke ruang dapur.
            “Betul ke Adlan dan anak perempuan encik...” Ku Embok menghadirkan diri di ruang itu sebaik bayang Rozita menghilang. Sedari tadi dia mengintai dan memasang telinga. Deru nafas ikut laju turun naik di saat penceritaan Shahreza menjebak nama Adlan dan perlakuan terkutuk itu.
            “Tiada siapa tahu perbuatan mereka melainkan Allah. Tetapi saya menyaksikan sendiri keadaan mereka ketika itu, nyata mengundang wasangka,” jelas Shahreza.
            Ku Embok urut dada. Lemah longlai sendi-sendi tuanya.
            “Saya minta diri dulu. Assalamualaikum,” pamit Shahreza penuh adab.
            Ku Embok memandang sepi. Sesekali menoleh ke belakang apabila terdengar pekikan Rozita serta bidasan Adlan melawan kata.
            Dia terduduk di kerusi.

“MUMMY tak percaya Edi buat semua tu. Lelaki tadi tu sengaja memancing Edi semata-mata nak selamatkan maruah anak dia.” Rozita menggoncang tubuh tinggi lampai Adlan. ‘Adlan anak yang baik. Adlan budak baik.’ Pembutiran kata-kata itu sentiasa bergulir dalam fikirannya ketika ini. Kepercayaannya terhadap cerita lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Shahreza, langsung tidak terkesan dalam diri.
            “I told you, apa yang dia cerita tu semua betul. Memang I ada dalam rumah tu dengan anak dia, but...
            Adlan kematian kata tatkala jari-jari Rozita merentangi bibirnya. Mata wanita itu berkaca-kaca.
            “Dia yang perangkap Edi, kan? Tak perlu ambil peduli fasal perempuan tu, sayang. Tinggalkan sahaja dia.”
            Adlan menepis tangan itu.
            “Macam you tinggalkan ayah?” Adlan jongket kening.
            Rozita tersentak.
            Tersungging senyum sinis di pinggir bibir lelaki berjambang nipis itu.
            “By the way, let me tell the truth about this little things. Sesuatu yang lelaki tadi tu tak tahu langsung. Bukan baru pertama kali kami duduk berdua-duaan macam tu dalam satu rumah. Even, almost one month kami berkesedudukan, sejak I balik sini. Unfortunately, semalam kami tertangkap. Oleh kerana I ni seorang yang bertanggungjawab, I tak akan tinggalkan perempuan tu seperti mana yang you sarankan sebab I masih ada belas kasihan. Masih ada pertimbangan diri. I’ll marry her,” putus Adlan dengan penuh bersahaja.
            Rozita mengancing gigi. Telapak tangannya diangkat perlahan-lahan sebelum ia melayang di pipi kanan Adlan. Tamparan itu sungguh memeritkan. Adlan memaling muka. Pipi terasa berbirat diusap-usap. Sakit tapi dia puas!
            “Tak cukup ke Edi sakitkan hati mummy? Sampai bila Edi nak layan mummy macam ni?!” herdik Rozita. Detak jantung kian deras. Berpusu-pusu sel darah naik ke kepala. Menggelegak.
            Bersama deraian airmata, Rozita bergegas meninggalkan Adlan yang mengoles senyum kecil. Hati batu miliknya langsung tidak tersentuh melihat mutiara jernih itu membasahi kedua belah pipi ibunya. Seolah Rozita itu manusia asing dalam hidupnya. Apabila kemarahan Rozita terhambur laksana semburan api dari mulut naga, kepuasan itu menyerapi seluruh tubuhnya- dari hujung kaki hingga ke kepala. Kesal- perkataan itu tidak pernah wujud baginya.

PINTU terbuka dengan luasnya. Terjengul kepala Ku Embok di sebalik dinding. Adlan yang baru selesai menunaikan solat zuhur, lekas menoleh.
            “Saya tumpang solat,” katanya.
            “Inikan rumah Edi juga.” Ku Embok membalas.
            Adlan pamer senyum nipis. Sejadah dilipat dua lalu dikembalikan ke tempat asalnya. Adlan hendak keluar dari bilik solat berkeluasan kira-kira dua belas kaki namun Ku Embok segera menghalang laluan anak muda tersebut.
            “Kita duduk sekejap,” ajak Ku Embok. Lengan Adlan ditarik bersamanya. Mereka berdua duduk berteleku di dalam bilik berkenaan.
            Ku Embok memerhatikan roman wajah Adlan. Semakin lama dipandang, semakin dia dirusuh perasaan pilu.
            “Edi, apa ertinya kita bersolat, jaga ibadah tapi kalau dalam waktu yang sama kita turut menyakiti hati seorang ibu? Syurga Edi di bawah telapak kaki mummy. Rahmat Tuhan tak akan mengiringi hidup Edi kalau mummy tak redha, mummy sakit hati dengan kamu.” Ku Embok mengelus tangan Adlan.
            Adlan diam membisu. Pada dasarnya jendela pendengaran terbuka luas walhal setiap butir bicara penuh nasihat itu tidak didalami oleh Adlan. Pandangan kosong menerpa renungan yang terarah padanya.
            “Jujur dengan nenek sayang... beritahu kebenaran kata-kata kamu pada mummy tadi.” Ku Embok bersikap lebih diplomatik. Dia tidak mendesak atau hambur kekecewaan. Lebih suka menyelami dasar hati Adlan kerana dia percaya, Adlan bukan lelaki sebegitu jahil.
            “Perbuatan zina itu dilarang keras dalam agama kita. Berdosa. Edi tahu, kan? Kalau negara kita mengamalkan hukum Allah, hukum hudud itu, Edi dan perempuan tu boleh dihukum dengan hukuman seratus sebatan, pesalah zina bukan ‘mukhsan’ berstatus seperti kamu, Adlan.” Ada getar di hujung pertuturannya.
            Adlan membalas erat genggaman Ku Embok. Selajur dia pamer senyum. Dia bukan buta hukum. Diri dididik dengan ilmu agama, mengaplikasi serta dijadikan amalan.
            “Tak akan sesekali saya lakukan perbuatan terkutuk macam tu, nek,” ujarnya.
            “Alhamdulillah...” ucap Ku Embok.
            “Sebenarnya, apa yang mereka nampak hanya salah faham. Niat saya nak menolong.” Adlan membuka hal sebenar, tiada satu pun yang tertinggal. Kadang ketika, dia menghela nafas berat.
            Tergeleng-geleng kepala Ku Embok. Kesal.
            “Keputusan Edi mengahwini perempuan tu bukan satu gurauan?” soal Ku Embok.
            “Saya tak main-main nek,” tegas Adlan.
            “Walau salah faham, tapi di mata orang kami tetap pesalah. Sebagai seorang gadis, tamparan itu lebih hebat pada dia.” Adlan menyambung bicara.
            “Tapi kenapa Edi cakap sebaliknya pada mummy?” lanjutnya. Kerut-kerut sedia ada kian banyak merauti wajah tua Ku Embok.
            Pertanyaan itu dibiar melayang ke udara. Tidak bertali. Adlan bangun. Tubuhnya digerakkan ke kanan kiri- meregangkan sedikit urat-urat badan.
            “Saya balik dulu, nek,” kata Adlan, selajur menyalami tangan Ku Embok.

            Ku Embok menyoroti Adlan sehingga lelaki itu hilang dari pandangan. Dia tahu, Adlan tidak akan mencari kelibat Rozita kerana itulah kebiasaan yang dilakukan oleh Adlan.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

2 comments:

Unknown said...

Hailah dik oiii... Suka buat sis x sng duduk bila bc n3.. Tiap2 mgu main teka teki.. :p

~::HANAH RISHAS::~ said...

Hai sis :)

Teka teki?mn ada :)

Thnks ye sis,sudi singgah baca n3 tak seberapa ni :)