Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab14.

Assalamualaikum.








"...It's not who I am underneath, but what I do that defines me..."









Bab 14           
DALAM sujud terakhir, Amiera menghambur tangis. Tiada tertahan-tahan perasaan hiba yang menyelubungi diri sejak malam tadi. Pada-Nya diadu segala kesedihan itu. Pada Dia diluah semua kekeliruan yang menghambat diri.
            Dia bangun. Menyimpul duduknya dalam tahiyat akhir. Ulas bibirnya terkumat-kamit mengalun kalimah-kalimah suci. Jari telunjuk diangkat lurus ke hadapan, menunjuk ke utara- sebagai pengakuan Tuhan itu Maha Esa dan arah kiblat seluruh umat Islam- Kaabah.
            Solat subuh diakhiri dengan salam. Kepala dikalih ke kanan, diikuti ke kiri pula. Kedua belah tangan meraupi wajah sebelum diangkat tinggi paras dada, membutirkan doa penuh kekhusyukkan.
            “Amin...” Sekali lagi, telapak tangan merayapi bahagian wajah. Seluruhnya.
            Amiera duduk berteleku di atas tikar sembahyang. Kalimah-kalimah suci dilontar halus menerusi bisikan hati seperti mana kebiasaan yang dilakukannya. Dalam pada itu, airmata turut merembes kembali.
            Ya Allah... bala apa yang telah diturunkan kepadanya? Kenapa aib itu terbentang depan semua orang walhal dia tidak pernah melakukannya? Terhinjut-hinjut bahu Amiera menahan sendu.
            ‘Fitnah! Itu semua fitnah!’ Batin Amiera menjerit lantang.
            Amiera menangis lagi.

“APA yang Kak Mira dah buat?” Kekecewaan itu jelas terpancar di sebalik raut wajah Sarah.
            Pucat lesi wajah Amiera. Umpama seluruh tubuhnya sudah kehilangan darah. Disedut keluar semuanya tanpa ditinggalkan walau setitik.
            Adlan menoleh.
            “What happen?” Kalut Amiera menyoal. Saat itu, dia ternampak Tasneem sedang menangis di dada Shahreza.
            “Apa semua ni Mira?” sergah Tasneem. Lencun pipinya dengan deraian airmata yang enggan berhenti.
            Amiera memaut lengan Tasneem. Airmata mulai berjuraian di pipi.
            “Mira tak tahu, bu.” Amiera berkata.
            Tasneem urut dada. Darah menderu naik sehingga ke kepala. “Tak tahu?! Apa yang Mira dah buat ni? Ya Allah...”
            “Siapa lelaki tu Amiera?” Shahreza pula membentak. Bahu Amiera digoncang berkali-kali.
            Tiada jawapan. Hanya kedengaran esak tangis Amiera yang semakin menggila.
            Sarah dan Fatma menjauhkan diri. Masing-masing melontar pandang dari penjuru ruang itu.
            “Amiera buat apa dengan lelaki tu? Jawab!” Nyaring suara Shahreza mampu menggegarkan seisi rumah teres ini. Dadanya menderu detak kasar. Mewakili perasaan amarah yang kian memuncak. Amiera direnung tajam.
            “Kamu berdua berzina?” Shahreza menuduh.
            “Tak ayah. Tak!” nafi Amiera. Bersungguh. Dia terduduk dengan kepala lutut terpacak atas lantai. Kaki Shahreza dipaut erat.
            “Habis tu, kalau bukan berzina, kamu bersekedudukan dengan dia di dalam rumah ni?” Sekali lagi, Shahreza membutirkan pertuduhan.
            “Amiera, ayah tak pernah didik kamu untuk buat perkara menjijikkan macam ni. Tapi kamu...” Bicara terhenti di situ. Tiada ayat penyudah yang lengkap.
            “Pak cik, mak cik... saya dan Amiera tak ada buat apa-apa, cuma kami...” Adlan terdorong ke belakang. Ekmal datang laksana tiupan angin. Cukup deras. Tangan kekar Ekmal mencengkam leher kemeja Adlan.
            “Kau buat apa dekat dia, hah?” pekik Ekmal. Marahnya meruap-ruap.
            Adlan berusaha melepaskan diri. Tercungap-cungap curi nafas ekoran cengkaman itu turut menghimpit salur pernafasan.
            “Kami... kami tak... kami tak buat apa-apa!” tegas Adlan.
            “Kau tipu!” Satu tumbukan padu disasar tepat ke perut Adlan.
            Adlan mengerang kesakitan. Tubuhnya melorot ke lantai. Terduduk di situ dengan kapala menekur lantai.
            Ekmal belum puas. Diikutkan hati, dia hendak layangkan tumbukan ke muka Adlan sehingga dia puas. Biar darah tersembur keluar dari mulut dan hidung lelaki itu.
            “Amal!” tegah Shahreza. Perbuatan Ekmal hendak mengasari Adlan sekali lagi segera dihalang. Ekmal mendengus marah. Selangkah berundur ke belakang.
            “Semua ni salah faham semata!” Adlan mendongak. Menentang setiap satu renungan jijik yang terarah padanya.
            “Jangan beri alasan bodoh tu!” Ekmal memintas garang.
            Adlan berusaha bangun.
            “Kau kena bertanggungjawab ke atas anak aku.” Shahreza tenang menutur kata.
            Adlan tersentak.
            Ekmal menoleh. Serta-merta.
            “No way! Kami tak ada buat apa-apa. Sumpah! Semua ni satu salah faham!” Adlan membela diri. Ekor mata menyoroti Amiera yang semakin lebat tangisannya. Meraung-raung minta dikasihani.
            “Tolong... saya merayu.” Spontan Shahreza melutut.
            “Abang!” Tasneem menerpa suaminya.
            Ekmal mengigit bibir. Menjulang tinggi api-api amarah membakar diri.
            Sarah yang jadi pemerhati sudah lencun pipinya. Tangisan ini lebih hebat berbanding runtunan airmata yang pernah dibazirkan untuk drama-drama yang ditontoninya.
            Shahreza menunduk kepala. Rendah hati merayu demi maruah anak gadis itu.
            “Sebagai seorang ayah, saya merayu... nikahi anak saya. Nikahi Amiera,” putus Shahreza.
            “Tolong...” Rayunya lagi.
            Amiera menggeleng. Tangan Shahreza dikucup bekali-kali.
            “Ayah... jangan yah.” Tangisnya.
            Adlan mara beberapa langkah mendekati Shahreza. Elusan nafas memberati dada.
            Shahreza mendongak. Tasneem menyapu airmata. Wanita itu menzahirkan rasa kecewa dan kesedihan dengan wajah meriak pilu.
            “Saya tak nak kahwin dengan awak!” Amiera berdiri.
            Adlan mengunci mulut.
            “Ayah, Mira tak nak kahwin dengan dia. Mira tak nak.”
            Rayuan Amiera dibiar sepi. Tiada seorang pun daripada mereka membuka mulut.
            “Ayah, ibu... Mira tak buat perkara terkutuk tu. Demi Allah...” Amiera menangis semahunya.
            “Tolonglah percayakan Mira.” Mengongoi tangisan Amiera membelah kesunyian.
            Shahreza berdiri dalam kepayahan. Lengannya dipaut Tasneem. Pasangan suami isteri itu mula meninggalkan Amiera dengan hati yang rawan.
            Amiera jadi tidak keruan. Ketika Ekmal melintas depannya, hujung baju lelaki itu ditarik kasar. Ekmal berpaling menghadap Amiera. Ketenangan kolam mata Amiera musnah sama sekali.
            “Amal percayakan Mira, kan?” tutur Amiera. Meraih simpati daripada lelaki itu.
            Ekmal merentap kasar jari-jari Amiera.
            “Kalau pun Mira nak beritahu ibu dan ayah yang Mira tak setuju tentang hasrat mereka satukan kita, tak perlu sampai macam ni sekali.”

“YA ALLAH...” Amiera merintih lagi. Perasaannya berkecamuk. Bergelandangan di sana sini. Dia dapat lihat kekecewaan merauti wajah Shahreza dan Tasneem. Contengan arang jelas terpamer di muka masing-masing. Separuh jiwanya melayang tatkala Shahreza melutut di hadapan Adlan, semata-mata mengkehendaki lelaki itu menikahi dia. Rayuan itu berulang kali menitip gegendang telinga.
            Retetan sebelum dia dan Adlan didapati berkesedudukan di dalam satu rumah, langsung tidak berjaya dijejaki. Gelap tanpa sebarang pencerahan. Dia sendiri belum mampu meraih penjelasan daripada lelaki berkenaan.
            “Mira,” panggil Maya. Tersembul susuk tubuh Maya dalam persalinan tidurnya di muka pintu.
            Amiera tidak menyahut.
            “Kenapa kau bersolat dalam keadaan malap macam ni? Cubalah hidupkan lampu. Ini... mood untuk tidur tahu!” Sebaik Maya menekan suis lampu kalimantang, cahaya terang memenuhi setiap penjuru bilik Amiera.
            “Kau... menangis? Kenapa ni Mira?” Maya menerpa ke arah Amiera. Wajah sembab Amiera dipandang lama.
            Amiera ketap bibir. Maya mahupun Dayana tidak akan pernah tahu apa yang telah menimpa dia semalam. Mujur aib itu terbentang depan keluarga sahaja. Akan dia simpan kemas ‘malapetaka’ tersebut dalam lipatan hidupnya.
            Ulas bibir dipaksa-paksa melentur senyum yang nyata hambar. “Biasalah, pagi-pagi macam ni, syahdu... terkenang keluarga. Rindulah kononnya,” katanya.
            Spontan, Maya ketawa mengekek.
            “Mengada. Kau kalau nak balik sana, bukan kena rentas bukit-bukau, sungai laut bagai. Tak macam aku dengan Dayana. Aku ke utara, Dayana ke pantai timur. Tu, minah tu... sambung cuti tahu.” Terkumat-kamit mulut Maya membebel kecil.
            “Dahlah. Aku nak sembahyang.” Maya bangkit.
            Leret mata Amiera melewati lenggang Maya sehingga gadis itu menghilang di sebalik regangan pintu yang terbuka nipis.
            ‘Ya Allah...’ Hati kembali merintih.

FATMA menghenyak punggung di birai katil. Kaki kanannya menyilangi kaki kiri. Dia berpeluk tubuh. Sedang herot bibir melorek sebuah senyum sinis. Amiera yang dianggap bidadari kini sudah mula menunjukkan belang. Maka lucutlah gelaran suci itu buat selamanya.
            “Kak Ema.” tegur Sarah.
            Fatma terperanjat. Luruh jantung dalam tubuh. Lirik mata menyatakan kedinginan dia menyambut teguran Sarah.
            “Ada apa ni?” Acuh tidak acuh dia bertanya.
            “Ibu panggil makan,” jawab Sarah.
            “Hmm... kejap lagi aku turun.” Fatma berlalu ke meja solek. Sikat bergigi rapat dileretkan pada rambutnya yang panjang melepasi bahu.
            “Sarah turun dulu ya,” pamit gadis itu.
            “Hmm...” sahut Fatma.  
            “Kak Ema! Kak Ema!” Jeritan Sarah merobek tumpuan Fatma.
            “Apa lagi budak ni? Semak betul!” Fatma merungut.
            “Ibu!” Suara nyaring Sarah bergema lagi.
            Fatma tersentak. Sepantas kilat, dia berlari menuruni tangga dan menjejak langkah ke bawah. Tercari-cari kelibat Sarah.
            “Tasneem...”
            Fatma menerpa ke bilik peraduan ibu dan ayahnya.
            “Ibu...” Dia menghampiri Shahreza dan Sarah. Tasneem terbaring atas lantai dalam ribaan Shahreza. Wanita itu diam tidak berkutik. Dada turun naik memalu desah nafas yang perlahan.
            Fatma panik.
            “Ibu!” Dia memekik.
            “Sarah, pergi keluarkan kereta! Kita bawa ibu pergi hospital,” arah Shahreza.
            Dalam kekalutan, Sarah mematuhi arahan ayahnya.
            “Ayah, kenapa ibu ni?” Fatma hendak menangis.
            Shahreza mengusap kepala isterinya penuh perasaan kasih.
            “Ibu pengsan,” beritahu Shahreza dengan tenang. Doanya dalam hati semoga isterinya baik-baik sahaja. Takut benar andai Tasneem diserang strok. Berkemungkinan kejadian semalam membuatkan isterinya bersusah hati, menyebabkan kadar tekanan darahnya naik tinggi melebihi paras bahaya. Tadi pun, sepanjang pagi, Tasneem kerap mengadu sakit kepala.
            Gigi Fatma saling berlaga. Berkancing kuat.


Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

No comments: