Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab13.

Assalamualaikum.








"...The Prophet (SAW) said: The most perfect believer in faith is the one whose character is finest and who is kindest to his wife..." - Tarmidhi & Ibn Majah









Bab 13
“SARAH, Kak Ema mana? Dari tadi ayah tak nampak batang hidung kakak kamu tu.” Shahreza melabuhkan punggung di sisi Sarah. Dia menoleh sekilas.
            “Entah. Dekat atas kut,” sahut Sarah. Anak mata masih fokus ke skrin televisyen. Tidak berganjak walau seinci. Bersungguh benar melayani perasaan kala pelakon utama drama berkenaan ditimpa kemalangan yang disebabkan oleh saudara kandung sendiri. Kejam! Sarah membentak dalam hati. Lelehan airmata diseka menggunakan pintalan kain di hujung bantal.
            “Eh, sedihkan apa sampai menangis?” Shahreza kehairanan.
            Sarah menekup muka dengan bantal itu. “Cerita tu sedihlah ayah,” luah Sarah. Suaranya sayup-sayup kedengaran.
            Naik tinggi kening Shahreza. Kemudian dia geleng kepala.
            “Drama aje pun. Tak payahlah nak sedih sangat. Apalah anak ayah ni,” ujar Shahreza sambil mengusap belakang tubuh Sarah. Konon memujuk.
            Sarah angkat wajah. “Tapi sedih sangatlah, yah. Ada ke patut dia upah orang pergi langgar adik dia. Gila punya orang!” marah Sarah. Bantal itu ditumbuk-tumbuk. Menzahirkan rasa tidak puas hati yang bergumpal-gumpal.
            Mengekek Shahreza ketawa.
            Sarah pula sudah cemberut mukanya. Muncung panjang sedepa.
            “Abang, pukul berapa kita nak gerak pergi rumah Amiera?” Tasneem keluar dari perut dapur bersama dua biji mug. Melenggang ke arah suaminya di ruang tamu.
            “Untuk Sarah eh?” Laju Sarah mengunjuk tangan hendak mencapai mug warna putih itu.
            “Hati-hati. Panas tu.” Tasneem mengingatkan.
            Sarah kenyit mata, lalu dia berkata dengan manja, “Terima kasih ibu.”
            “Air, bang.” Mug biru itu diunjuk kepada suaminya.
            “Kopi?” soal Shahreza.
            “Iyalah. Kan kegemaran abang,” balas Tasneem.
            Shahreza mencicip kopi panas itu. Kepekatan dan kadar kemanisan kopi itu begitu mengujakan anak tekak. Ditambah pula dengan bau halia yang dicampur bersama.
            “Lepas asar, kita geraklah ke sana. Boleh maghrib dekat rumah Amiera nanti,” saran Shahreza.
            Tasneem mengangguk bersetuju.
            “Yang awak tiba-tiba nak datang rumah Amiera tu kenapa?” Shahreza kembali menyoroti peti televisyen. Turut sama menonton drama itu.
            “Eh, nak pergi rumah anak pun kena ada sebab ke? Bang... kita ni sekali aje singgah rumah Amiera. Asyik dia aje datang sini ,” jawab Tasneem.
            “Ke awak dah tak sabar nak tahu apa jawapan Amiera? Biarlah budak tu berfikir dengan tenang, Tasneem. Jangan dipaksa-paksa.”
            Tasneem mengerling suaminya. “Saya nak nak datang sana sebab nak jumpa Amiera, bukan nak desak dia beritahu kita apa jawapan dia tu.”
            “Habis tu, sekali nak dibawa Ekmal tu, apa?” Shahreza bertanya lagi. Curiga.
            “Lah, tak salahkan kalau bawa satu family? Sambil-sambil tu Ekmal boleh jumpa Amiera. Amiera boleh jumpa Ekmal. Budak berdua tu, makin besar, makin jarang tembung mata.” Lebar senyuman Tasneem membuatkan Shahreza hela nafas panjang.
            “Saya dah agak dah.” Bulat mata suaminya kian mengecil.
            Tasneem tertawa perlahan.
            “Alah abang ni, niat saya ni baik. Nak merapatkan hubungan antara Ekmal dan Amiera.” Tasneem terus-terusan memberi jawapan. Enggan kalah.
            Tergeleng-geleng kepala Shahreza mengenangkan ulah isterinya.

“TAKKAN nak tanya pun tak boleh?” Fatma jongket kening.
            Jeda panjang di hujung talian.
            “Nanti abang pergi sendiri,” sahut Ekmal.
            Fatma angguk-angguk kepalanya. Lekas anak mata mencari jam yang berada di atas meja kecil di sisi kepala katil.
            “Are you nervous?” Fatma menebak tekaan.
            “Nervous? Untuk apa abang kena rasa nervous?
            Senyum sinis tersungging di pinggir bibirnya.
            “Jangan risaulah. Kalau pun malam ni tiba-tiba ibu tanya dekat Mira fasal jawapan dia, for sure, dia akan terima abang.”
            Dengusan Ekmal jelas menerpa ke jendela telinga.
            Fatma tertawa.
            “Abang ada kerja sikit. Assalamualaikum.”
            Fatma senyum lagi. Mengejek.
            Telefon bimbit dicampak ke atas katil. Tuala yang tersidai di sampiran besi dicapai, lantas kaki dibawa pergi keluar dari bilik. Dia menuju ke bilik air yang terletak berhadapan kamar peraduan Sarah.

TALIAN diputuskan. Lambat-lambat dia menarik kembali telefon bimbit yang melekap di telinga. Selajur dia hempas keluhan berat. Kepala mendongak langit. Terik sinar mentari masih menggigit kulit wajah meski waktu kian beranjak senja.
            Bukan tidak sudi menerima kunjungan keluarga itu namun saat terdengar suara ceria Tasneem, hati jadi gundah. Entah bagaimana penerimaan ibu dan ayah andai perkataan ‘tidak’ dilontar keluar nanti. Amiera usap dahi. Berkali-kali.
            Kaki tidak jadi melangkah masuk ke dalam rumah sebaik ternampak kelibat Adlan keluar dari perut kereta. Tangan lekas menyeluk ke dalam beg sandang. Tercari-cari nota kecil itu.
            “Encik Adlan!” Dia memekik.
            Adlan kaku di depan pintu pagar. Pandangan dihala ke kanan. Amiera dilihatnya sedang berjalan menghampiri.
            “Yes?” Adlan memusingkan tubuhnya menghadap Amiera.
            “Sekejap.” Amiera masih gigih mencari.
            Adlan yang memerhati naik pelik melihat ulah gadis itu. Berkerut dahinya.
            “Haa... ini dia!” Nota kecil itu ditarik kasar. Mujur tidak terkoyak dua. Amiera menggosok kesan renyuk di bucu nota berkenaan sebelum mengunjuknya kepada Adlan.
            “Nota ni saya jumpa dekat dalam beg...”
            Terbejat bicara Amiera ekoran bunyi dentuman kuat disertai jeritan nyaring suara seorang perempuan. Pandangan mereka berdua serentak menghala ke arah datangnya bunyi-bunyi membingitkan telinga.
            “Astaghfirullahalazim” Amiera berteriak.
            Adlan berkejar ke tempat kejadian. Seorang penunggang motosikal terbaring di atas lantai jalan dengan sebelah kakinya terhempap motosikal berkuasa tinggi. Lelaki itu menggerang kesakitan. Menjerit-jerit meminta bantuan. Manakala tubuh kecil seorang kanak-kanak terlentang berjarak kira-kira lima meter dari lelaki yang terjerit-jerit itu. Tubuh kecil itu tidak bergerak.
            Beberapa orang jiran tetangga yang menghuni kawasan kejiranan itu meluru mengerumuni kawasan kejadian bagi menghulur bantuan. Adlan turut membantu. Motosikal berkuasa tinggi itu ditolak perlahan-lahan. Lelaki yang cedera ringan itu ditarik ke bahu jalan.
            “Anak mak... anak mak...” Tangisan wanita berambut pendek terhambur deras. Tubuh kecil itu digoncang kuat.
            “Macam mana kau bawa kenderaan, hah? Takkan tak nampak budak melintas jalan?” Lelaki berkumis tebal mencekak pinggang seraya mengerling marah pada lelaki bertopi keledar berkenaan.
            “Saya tak nampak bang.” Lelaki bertopi keledar itu membela diri.
            Tergeleng-geleng kepala lelaki berkumis tebal itu.
            Amiera melutut di depan wanita tadi. Syukur, dada kanak-kanak kecil itu masih mengalun degup biarpun tidak sekencang mana.
            “Bawa dia ke hospital. Cepat!” Lelaki bangsa cina pula memberi arahan. Tegas. Salah seorang anak muda yang turut sama berada di tempat kejadian terus meluru lari ke rumahnya. Kunci kereta dipulas kuat. Enjin mengaum laksana jeritan sang raja rimba.
            Amiera membantu wanita tadi memapah anak kecil itu. Cecair hangat terasa membasahi tangan yang menampung kepala kanak-kanak berkenaan.
            “Kasihan budak tu,” gumam Adlan. Lelaki itu berdiri hampir di sisi Amiera.
            Amiera senyap. Memicing mata pada telapak tangan yang dicemari cecair merah likat. Lambat-lambat, dia mengekor Adlan dari belakang. Orang ramai yang berkerumun tadi, juga telah beransur pergi. Masing-masing mendoakan agar si kecil berkenaan selamat dari sebarang kecederaan teruk.
            Degup jantung terasa deras memalu dada. Kepala pula kian ligat berputar. Amiera merasakan pandangannya berbalam-balam. Persekitarannya berpusing sehingga dia hilang imbangan tubuh.

“SAYANGKU Amiera Syazreen.” Seru suara lembut itu.
            Amiera membuka kelopak mata. Berlegar-legar pandangannya membidik persekitaran yang tampak asing. Kelam. Amiera berusaha bangkit dari perbaringan di ruang yang tidak beratap apatah lagi berdinding. Seolah bersifat infiniti.
            Kesakitan di kepala terasa menggigit seluruh urat saraf. Amiera mengetap bibir.
            “Amiera Syazreen.” Suara itu menyeru namanya lagi.
            Amiera pandang kiri kanan. Renungannya tegak ke hadapan. Biasan cahaya yang samar-samar itu kian mencerah. Diikuti bayang-bayang seorang wanita berpakaian serba putih datang mendekat dan semakin jelas di penglihatan.
            “Ibu...” Mata Amiera tidak berkelip langsung. Terus menebak renungan ke paras wanita yang dirindui setengah mati.
            Wanita berpakaian putih bersih serta berwajah tenang, datang menghulur senyum.
            Tubir mata semakin memberat. Amiera bingkas berdiri.
            “Ibu!” Amiera menjerit lantang.
            Wanita tadi tetap pamer senyum.
            Amiera tidak mampu menahan gelojak perasaan lantas dia hambur tangis di situ. Tangannya mengawang udara sementelah dua belah kakinya enggan menuruti kehendak jiwa. Melekat kuat atas lantai tidak bertanah.
            “Ibu! Jangan pergi, bu! Mira rindu ibu. Ibu!” Amiera berusaha melepaskan diri dari cengkaman bersifat ghaib itu. Namun usahanya sia-sia. Hanya mampu memandang dengan esak tangis.
            Angin yang berhembus kencang itu turut menerbangkan kelibat wanita tadi. Pecah berderai menjadi debu kaca yang membiaskan cahaya kerdil. Naik ke udara dan hilang sekelip mata. Lenyap tiada meninggalkan jejak.

 “KAK MIRA...” Sarah memanggil perlahan.
            “Kak Mira... ni Sarah ni,” panggilnya lagi.
            Kelopak mata terbuka luas namun, pandangannya masih berbalam-balam.
            “Sarah?” Amiera menyahut lemah.
            “Kak Mira...” Mendayu suara Sarah memutikkan kehairanan di hati Amiera. Malah terdengar esak tangis yang bersisa di hujung nafas.
            “Sarah... menangis?” ajunya, seraya berusaha hendak bangkit dari perbaringan.
            Sarah ketap bibir.
            “Ayah dan ibu dah sampai ke?”
            Gadis itu kekal membisu. Hanya airmata sahaja yang mengalir membasahi pipi Sarah. Amiera semakin hairan. Dada dipalu resah.
            “Sarah, kenapa ni? Cakap Sarah. Jangan buat Kak Mira risau.” Amiera mulai membentak. Kedua belah lengan Sarah digoncang kuat.
            Sarah menunduk. Tiada daya hendak mengeluarkan walau sebutir bicara pun.
            “Saya tak ada buat apa-apa pun. Sumpah!”
            Berdengung bicara tegas itu menyerbu masuk ke telinga. Seumpama halilintar, Amiera menerpa keluar dari bilik. Langkah dia mati sebaik ternampak kelibat seorang lelaki yang begitu dia kenali- Adlan.
            “En... Encik Adlan?” Terlepas nama itu dari ulas bibirnya.
            Dia bingung.

“AYAH, ibu... Mira tak buat perkara terkutuk tu. Demi Allah...” Amiera menangis semahunya.
            Shahreza melorong renungan kecewa.
            Tasneem sudah mengalirkan airmata.

            “Tolonglah percayakan Mira.” Mengongoi tangisan Amiera membelah kesunyian.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

1 comment:

Nvel Addct said...

Hai lah cik adik....sib baik ada n3 arini...jgn lupa smbg mgu dpn ;)