"...And of His signs is that He created for you from yourselves mates thaht you may find tranquillity in them; you affection and mercy. Indeed in that are signs for a people who give thought..." - Surah Ar-Rum: 21
Bab 12
SETIAP abjad
membentuk rangkai ayat yang tercanting di atas nota kecil itu ditatap lagi.
Berkira-kira hendak menyerahkan kembali nota itu kepada pemiliknya. Kepala
menjenguk melepasi ketinggian monitor nipis jenama Dell. Meliar matanya
meninjau keadaan bilik Adlan yang terletak di depan sana. Dari pagi dia
menanti, tiada tanda-tanda Adlan telah memijak lantai pejabat ini.
Jari-jari mengetuk meja. Mengalun
ritma yang berterabur. Skrin monitor di pandang tanpa minat. Kerja yang tidak
pernah habis itu langsung dibiar sepi sepanjang beberapa jam ini. Sibuk
menunggu kemunculan Adlan. Semakin lama dia simpan nota kecil itu, semakin
banyak konklusi yang bermacam-macam terbit di fikiran. Takut nanti dia simpul
satu kenyataan yang salah.
Ayat berbaur nasihat serta
peringatan itu kembali merangkul tumpuan. Benar, syurga itu di bawah telapak
kaki seorang ibu. Lihat betapa besarnya darjat seorang perempuan dipanggil ibu.
Malah keutamaan seorang ibu itu tiga kali ganda melebihi yang lain-lain
termasuklah bapa.
LAKSANA petir
kepantasan Betty merampas nota kecil dari pegangan tangan Amiera. Amiera
terkejut bukan kepalang. Hampir-hampir jatuh tergolek dari kerusi yang
diduduki. Betty mengawang nota itu di udara saat Amiera membentak geram.
Terkekeh-kekeh gadis itu ketawa. Nota itu enggan dikembalikan. Seronok mengusik
Amiera yang dilihat asyik mengelamun sejak pagi.
“Secret admirer yang bagi hadiah
hari tu, bagi nota pula?” Betty meleret senyum nakal. Belum berupaya menangkap
tiap bait ayat yang tercanting di atas nota berkenaan.
“Bukanlah. Itu orang lain punya,”
kata Amiera. Nada suara cuba dikawal kadar kekuatannya.
“Eleh, coverlah tu,” cebik Betty.
Amiera tarik muka. Wajahnya meriak
tegang.
Betty ketawa lagi. Langsung tidak
tergugat dengan kerut muka temannya itu.
“Kau ingat aku takut?” cebik Betty.
Sempat mengacah nota itu kepada Amiera. Sekejap diunjuk ke depan, sekejap
mengawang udara. Amiera gigit bibir. Sudahnya dia buat tidak endah kerana dia
tahu, sesibuk mana pun Betty hendak jaga tepi kain orang, tidaklah pula sampai
membaca sesuatu tanpa izin tuannya.
Melihat sikap acuh tidak acuh Amiera
tadi, Betty mulai dihambat kebosanan. Lalu nota itu diserah semula kepada
Amiera. Dengan pantas, Amiera menyembunyikan nota itu di dalam laci mejanya.
Herot-herot mulut Betty tahan senyum.
“Eh, Encik Adlan tak sampai lagi
ke?” soal Amiera.
Betty jongket kening. Sambil
bersandar, dia membuang pandang ke arah Amiera. Cukup tajam.
“Apa?” Amiera kerut dahi.
“Tiba-tiba tanya Encik Adlan ni...”
Betty meleret suara.
“Aku tanya aje.”
“Tak pernah-pernah kau tanya.”
Panjang tangannya mencuit lengan Amiera.
“Ke nota tadi tu kau nak kasi dekat
Encik Adlan?”
“What?
No! Pleaselah.”
“What?
No! Pleaselah...” Terkumat-kamit mulut Betty mengajuk cara cakap Amiera.
Sesudah itu, dia hambur ketawa lagi. Amiera pekakkan telinga. Itu Betty- gadis happy-go-lucky yang dikenali enam bulan
lalu.
“Encik Adlan ada urusan dekat luar
kut. Aku tengok Encik Is pun tak ada. Kenapa?” Betty mula serius. Depan mata
terhidang kerja-kerja grafik yang harus diselesaikan sesegera mungkin. Walau
hanya rekabentuk kasar, dia tetap ingin tampilkan yang terbaik. Malah
rekabentuk kasar itu bakal menggambarkan output akhir nanti.
Amiera sekadar mendiamkan diri.
Tangan kanan mencapai tetikus. Bersama titipan lafaz bismillah yang dilantun
suara hati, dia memulakan tugas-tugasnya, setelah beberapa ketika membiar
semangat bekerja berpusar bersama udara dingin penyaman udara.
“SARAH, sekejap
lagi ikut ibu pergi hantar baju dekat rumah Puan Raihani.” Tasneem memandang
sekilas anak daranya yang sibuk menghadap komputer riba. Tidak pandang kiri
kanan langsung. Sarah hanya pamer angguk kecil.
Ketekunan Sarah menggamit Tasneem
untuk ambil tahu. Lantas dia mendekati Sarah. Laman sosial Facebook terhampar
depan mata.
“Buat apa tu, Sarah?” Tasneem labuh
duduk di kerusi bersebelahan Sarah.
Sarah memaling muka. Jari telunjuk
menuding ke srkin komputer riba.
“Facebooking,”
jawabnya seraya mengulum senyum.
“Cari pakwe?” tebak Tasneem pula.
Membulat mata Sarah. “Mana ada bu,”
tuntasnya.
Tasneem tertawa kecil.
“Dah tu, bukan main tekun ibu tengok
Sarah berfacebooking.” Beberapa helai
selendang rekaan terbaru butiknya diambil dari meja yang terletak di belakang
mereka. Seingat dia, selendang-selendang tersebut belum bersentuh lagi.
Terletak elok di dalam kotak. Alih-alih berkumpul atas meja.
“Sarah ke yang keluarkan
selendang-selendang ni?”
“Emm...” Sarah menoleh. Kemudian dia
mengangguk.
“Sarah tengok Kak Ema macam tak
sempat aje nak buat photoshoot untuk koleksi terbaru butik ni. Tu yang Sarah
tolong sikit.” Komputer riba itu ditolak ke tepi.
“Wah, berapa bayaran yang ibu kena
bagi dekat Sarah ni? Jangan mahal-mahal ye sayang.”
Sarah memaut lengan Tasneem. Cukup
manja. “Tak banyak. Setakat dapat beli baju baru, beg baru, kasut baru pun dah
okey.” Jari-jemarinya mengembang
Spontan, Tasneem mencubit mesra pipi
anak gadisnya.
“Sikit? Banyak tu!”
Sarah tersengih lebar. Sudah pasti
Tasneem menjadi ‘bank’ kedua selepas Shahreza.
“Alah, bukan selalu. Boleh eh, bu?”
Tasneem ukir senyum. Bukan ayat itu
yang mengundang herot bibirnya, sebaliknya model yang menggayakan tudung dan
selendang itu- Sarah.
“Eh, muka model ni sama macam
Sarahlah.” Tasneem mengerling ke sisi.
Sarah ketawa kuat bagi
menyembunyikan perasaan malu ketika itu.
“Cantik anak ibu,” puji Tasneem.
“Anak ibu...” Sarah leret suara. “Ni
Kak Ema.” Gambar Fatma berselendang kelihatan sungguh ayu.
“Cantiknya Kak Ema bertudung macam
tu,” kata Tasneem.
“Nak minta Kak Mira jadi model, dia
tak mahu.” Tercebik-cebik mulut Sarah.
Saat
terdengar nama Amiera disebut-sebut Sarah, Tasneem teringat akan hasrat hati
bermenantukan gadis itu masih belum dikhabarkan jawapannya. Entah setuju, entah
tidak. Berbaki empat hari sebelum genap tempoh seminggu. Lagi pula, mereka
suami isteri tidak meletak tempoh masa yang spesifik bagi Amiera. Mereka
memberi ruang dan masa sepenuhnya kepada si gadis untuk berfikir
semasak-masaknya.
SEHINGGA jam
menginjak ke angka enam petang, bayang Adlan tetap tidak menjengah ruang mata.
Sudahnya, nota kecil itu kembali menghuni beg miliknya. Entah kenapa, sukar
untuknya melupakan ayat yang tertulis di atas nota itu. Seolah-olah mendesak
dia untuk segera mengembalikan kepada Adlan.
Amiera memakir motosikal di petak
putih yang disediakan khas untuk penunggang sepertinya. Pandangan dilontar jauh
ke depan sana. Kemudian lirik mata berganjak kira-kira dua puluh lima darjah ke
sisi kanan. Sebuah kereta putih, model tempatan merangkul renungan. Pastinya
sang pemilik kereta berkenaan sudah berteleku lama di dalam restoran yang
meriah dengan lampu-lampu suram menghiasi bahagian tiang hadapan.
Lambat-lambat Amiera pacu kaki. Anak
mata bergerak-gerak mencari Ekmal. Walau hati separuh rela, dia tetap datang
juga.
Dari jauh, dia lihat seorang lelaki
berdiri secara tiba-tiba. Lelaki itu Ekmal. Sehingga dia benar-benar sampai di
situ, barulah Ekmal melabuhkan punggung. Itu pun selepas dia terlebih dahulu
duduk selesa di atas kerusi rotan berbantal kusyen bentuk bujur ke sisi.
“Minum?” aju Ekmal.
Amiera menggeleng.
“Emm... iced lemon tea satu.” Ekmal membuat pesanan bagi pihak Amiera.
Selang beberapa minit, gadis pelayan datang bersama segelas minuman yang
dipesan tadi. Hujung jari Ekmal menolak gelas itu kepada Amiera.
“Your
favourite,” katanya lagi.
Amiera kekal senyap begitu. Gelas
itu langsung tidak bersentuh.
“Ada apa Amal nak jumpa Mira?”
Pandangan mereka bersatu.
“Tentang hal kita berdua...”
“Mira tak ada jawapan tu lagi,”
pintas Amiera.
Ekmal melepas nafas perlahan-lahan.
Sempit.
“Kita cuba belajar untuk terima diri
masing-masing.” Ekmal bersandar tubuh. Renungannya setia membidik roman tenang
gadis itu. Petaan wajah itu telah lama tersimpan dalam kotak ingatan.
“I
love you, Mira. Sejak dulu, sekarang, dan sampai bila-bila. Kenapa susah
sangat Mira nak faham?”
“Mira tak cintakan Amal. Perasaan tu
tak pernah wujud untuk Amal. Tak pernah! Mira anggap Amal tak lebih daripada
abang kandung Mira sendiri.”
Ekmal leret senyum nipis. Sebelah
tangannya menongkat dagu. Renungan tajam memanah ke dalam mata Amiera bagai
busur bermata nipis yang mampu merobek apa sahaja.
“Kalau Mira dipaksa... terima
abang?”
Amiera menggeleng kepala.
Tersungging senyum sinis untuk tatapan Ekmal. “Tak
ada sesiapa boleh paksa Mira untuk terima Amal.”
“Even
ibu dan ayah sekalipun?” Ekmal menduga.
“Mira sedar Mira dah terhutang budi
yang terlalu banyak dekat ibu dan ayah. Tapi tak bermakna kerana nak balas
budi, Mira akan ikut apa yang keluar dari mulut mereka.”
Hembusan nafas dilepaskan perlahan
melepasi rengkungan. Kala ini, hati Amiera sudah bulat membisikkan jawapan
tunggal- TIDAK.
“Tentang hasrat ibu dan ayah
menyatukan kita berdua...” Bicara sengaja diputuskan setakat itu dahulu. Dia
lihat wajah Ekmal meriak tegang. Menzahirkan perasaan yang bergelandangan di
dalam diri lelaki itu.
“Mira nak Amal jadi orang pertama
yang dengar keputusan Mira ni.”
Jari-jari Ekmal bersulam sesama
sendiri di bawah meja. Duduknya tidak lagi seselesa tadi. Bagai ada api yang
menjulang marak membakar punggung. Panas.
“I’m
sorry, Amal.”
Titik.
Kata maaf itu mewakili penolakan
Amiera terhadap dirinya.
Ekmal tertegun. Terasa jantung kian
luruh dari tubuh.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
No comments:
Post a Comment