"...I desired to praise the Chosen One and was hindered by my own inability to grasp the extent of His glory..."
Bab 15
TASNEEM
ditempatkan di wad hospital untuk beberapa hari. Menurut kata doktor yang
merawat, Tasneem nyaris diserang strok. Kesannya dapat dilihat pada tubuh
wanita itu ketika ini. Bahagian kanan tubuh Tasneem menjadi lemah serta-merta.
Malah hendak ke tandas pun perlu bantuan orang. Tidak mampu menampung beban
tubuh sendiri.
Amiera menerima berita tentang
keuzuran Tasneem daripada Shahreza terus membelah petang nan hening, menuju ke
hospital. Tergesa-gesa dia mencari wad yang menempatkan ibunya.
“Ibu!” Amiera menolak daun pintu
dengan kasar.
Shahreza menoleh.
Sarah juga begitu.
Ekmal tidak memaling muka langsung.
Berdiri di penjuru bilik.
“Ayah...” Amiera menyalami tangan
Shahreza.
“Sarah, kenapa dengan ibu?” Katil
besi dihampiri. Melontar pandangan penuh kesayuan ke arah Tasneem.
“Ibu hampir diserang strok, kak,”
kata Sarah. Mengemudi rasa sedih sehabis baik.
“Ibu...” Amiera merapati Tasneem.
Dia duduk di sisi ibunya. Tangan wanita itu diciumi. Kerana dia, ibu sakit
begini.
Tasneem menggerakkan mata.
Seolah-olah hendak menyampaikan sesuatu kepada Amiera. Amiera mendekatkan
telinga hampir ke ulas bibir Tasneem.
“Sayang...” Tasneem berbisik.
Amiera angkat muka. Menjulang roman
ibunya. Panggilan itu menyucuk hati. Tasneem masih memanggil dia dengan nama
penuh cinta waima hitam warna arang mewarnai muka disebabkan dia.
“Maafkan Mira, bu,” rintih Amiera.
“Amiera...” Leret suara Shahreza
menyapa lembut.
“Maafkan Mira, ayah,” pohon Amiera
lagi. Tiada berkesudahan kata ampun meniti di setiap bicaranya.
“Kau ingat senang-senang aje kami
nak maafkan kau? Kau tengok apa dah jadi dekat ibu!” Tiba-tiba Fatma menempelak.
Kedatangan Fatma tidak diperasani sesiapa pun. Dengan muka meriak tegang, Fatma
melangkah ke dalam bilik berkenaan bersama renungan yang menyinga. Amiera
segera bangun. Terundur ke belakang beberapa jejak.
“Siapa suruh kau datang sini?” Fatma
menjerkah lagi. Teguran Shahreza langsung enggan dipeduli. Kehadiran Amiera
cukup menyemakkan biji mata.
“Mira nak tengok ibu.” Amiera
menjawab. Suara tersepit di kerongkong cuba dilontar sebaik mungkin. Dia
menunduk demi menepis lontaran bahang berapi dari renungan Fatma.
“Siapa ibu kau?”
Entah mengapa, hati Amiera umpama
dicarik-carik saat bicara kasar itu menerobos lubang telinga. Pedih! Fatma
tidak segan-silu menzahirkan perasaan tunggal yang berbuku untuknya.
Ekor mata sempat menyoroti Ekmal.
“Kalau pun Mira nak beritahu ibu dan
ayah yang Mira tak setuju tentang hasrat mereka satukan kita, tak perlu sampai
macam ni sekali.” Butiran bicara Ekmal meniti fikiran. Makin jiwa dirundung
kepiluan.
“Sebab kau lah ibu jadi macam ni.
Kau ni memang dasar perempuan...”
Lidah Fatma membeku seketika.
Kata-katanya tidak menemukan titik noktah apabila Shahreza memintas.
“Ema, jangan marah-marah, tinggi
suara depan ibu. Ibu tengah sakit, kan?” ujar Shahreza. Jari-jemari isterinya
digenggam erat.
“Ayah, perempuan ni tak sepatutnya
ada dalam bilik ni. Nanti sakit ibu makin menjadi-jadi.” Mencerlung mata Fatma
merenungi Amiera.
Tergeleng-geleng kepala Shahreza.
“Amiera datang nak ziarah ibu. Biarkanlah dia.”
“Ayah... Mira balik dulu,” celah
Amiera tiba-tiba.
“Hah, baguslah dah sedar diri. Cepat
berhambus,” herdik Fatma lagi.
“Ema!” Tinggi Shahreza bersuara.
Makin menjadi-jadi pula Fatma ‘menyerang’ Amiera.
“Hati-hati ya,” pesan Shahreza.
Amiera mengangguk lemah. Sejurus
itu, dia menghilang dari bilik berkenaan. Esak tangis mengiringi setiap langkah
yang diatur.
“Ayah ni kenapa? Budak tu dah
malukan kita tau, tapi ayah boleh cakap baik-baik lagi dengan dia.” Fatma
merutuk marah.
Shahreza tidak membalas.
Kerlingan Fatma tajam menikam roman
wajah ayahnya. Berpintal-pintal rasa tidak puas hati di ulu jantung. Lelaki itu
bersikap seolah-olah semalam tiada apa-apa telah terjadi dalam keluarga mereka.
Seolah-olah kekecohan dan perlakuan Amiera berdua-duaan dengan seorang lelaki
dalam keadaan mencurigakan tiada tertulis dalam retetan hidup mereka.
SHAHREZA berlalu
keluar dari bilik itu, lalu melabuh duduknya di barisan kerusi yang terletak
tidak jauh dari situ. Terhembus rangkulan nafas berat melepasi paru-paru. Ujian
datang bertimpa-timpa! Shahreza beristghfar dalam hati. Semoga kesabarannya
tidak pudar dari jiwa.
Kekecewaannya berpusat terhadap
Amiera, anak yang dididik penuh kasih sayang dan diterapkan dengan nilai-nilai
murni agama mereka anuti tanpa ada cela sedikit pun. Amiera anak yang baik
namun mengapa kesudahannya jadi begini? Perlakuan itu dicekup oleh keluarga
sendiri.
Shahreza mengurut dada. Diikutkan
hati yang membara semalam, memang teruk Amiera kena dengannya. Dibantai
cukup-cukup lelaki itu.
Tangan menyeluk poket seluar di
sebelah kiri. Mengeluarkan sesuatu yang berlipat-lipat. Lipatan kertas itu
dibuka satu per satu. Terpampang cantingan alamat kediaman lelaki berkenaan.
Walau siapa pun lelaki itu, setinggi
mana pun darjatnya, dia harus bertanggungjawab ke atas Amiera. Kejadian
memalukan itu tiada mampu diundur kembali.
“KAU kena menikahi
anak aku,” tegas Shahreza sementelah permintaan serta rayuannya tadi tidak
mendapat respon apa pun daripada lelaki tersebut.
Bejat injakan kaki Adlan menyusuri
ambang pintu utama rumah itu. Pandangannya melorong ke arah Shahreza dan
Tasneem.
Dengan lemah dia berkata, “Demi
Allah... saya dan dia tak ada buat apa-apa.”
“Jangan suka-suka bermain sumpah.”
Shahreza mengingatkan.
Pelipis dahi diurut perlahan. Adlan
hendak segera keluar dari situ namun telapak kaki kekal memijak lantai
berjubin.
“Kamu tak takutkan kemurkaan Tuhan?”
Bulat mata Shahreza membidik paras Adlan.
Adlan angkat tangannya. Kepala
digeleng beberapa kali bagi menyisih denyutan yang datang menyengat.
“Saya ada agama. Agama saya melarang
perbuatan terkutuk macam tu, bahkan berdua-duaan juga dilarang. Ini satu salah
faham,” tuntas Adlan.
Shahreza mengepal penumbuk. Kian
kuat suara hati melontar istighfar agar benteng kesabarannya dilindungi. Tidak
runtuh.
DARIPADA berjalan
mundar-mandir, kini Adlan menghenyak punggung di birai katil. Kedua belah
tangannya melekap di muka. Dibawa naik ke atas, melurut anak rambut hingga ke
ubun-ubun. Seluruh alam fikirannya berserabut.
“Arghh!” Adlan menumbuk tilam.
Menghambur rasa marah dan kecewa. Esak tangis Amiera malam tadi mengundang
belas. Tuduhan perlakuan zina itu terlalu berat buat mereka.
Sungguh, tidak dia menyangka, niat
baiknya telah disalah erti oleh mata yang memandang, sehingga mengundang syak.
Hati bagai ditarik-tarik agar segera
memacu kenderaan ke rumah yang didiami keluarganya. Entah... rasa itu semakin
melonjak-lonjak dalam tubuh. Lantas, Adlan mencapai kunci kereta. Berlari
menuruni anak tangga. Dia akan membelah jalanraya, menuju ke rumah Ku Embok.
“Saya tak boleh fikir apa pun
sekarang ni. Take this and kita boleh
berbincang nanti.” Bicara terakhir sebelum dia bergegas meninggalkan rumah
Amiera menerpa ke dalam kotak fikiran. Cara yang paling biadap rasanya. Malah
dia dapat mengesan ketegangan meriak jelas di wajah Shahreza. Merah padam.
Kertas yang diunjuk itu dicanting
nombor telefon Rozita. Dengan sengaja dia memberikan nombor telefon itu kepada
Shahreza.
Herot bibir Adlan terjongket sedikit
ke atas. Sinis.
ROZITA berdiri
sejurus kata hati menafikan cerita yang menerobos ke dalam pendengaran. Anak
mata bergerak-gerak dan membuntang bulat. Bibirnya terketar-ketar.
“Saya rasa encik dah tersilap
orang,” katanya dengan suara yang ditahan-tahan.
Shahreza menggeleng kepala. “Saya
tak mungkin tersilap. Lelaki tu anak puan. Dia didapati berdua-duaan dalam
keadaan mencurigakan bersama anak perempuan saya. Ada saksi,” jelas Shahreza
enggan kalah.
Rozita menggeleng kepala. Satu
tuduhan yang menjijikkan. Anaknya Adlan tidak mungkin melakukan perkara begitu.
Dia kenal Adlan.
“Pergi.” Rozita menuding jari ke
arah pintu utama.
Shahreza bersikap tenang. Dia tidak
bergerak walau seinci.
“Ini semua fitnah! Entah dengan
siapa anak kau berbuat hubungan terkutuk tu, kau datang claim anak aku punya angkara!” Rozita naik berang. Nyaring suaranya
membingit telinga.
Kalimah-kalimah suci beralun lembut,
membasahi sekeping hati seorang ayah milik Shahreza. Tidak seperti Rozita, dia
telah menangani kemarahan yang meluap-luap dengan begitu tenang. Kemarahan akan
membawa kemusnahan. Biar kecewa, dia tidak akan mengamuk sakan.
“Keluar! Jangan sesekali pijak tanah
rumah aku ni lagi. Aku tak akan benarkan anak aku menikahi anak perempuan kau
tu!” Rozita seperti kerasukan. Memuntahkan kemarahan yang tiba-tiba meresapi
tubuhnya.
Shahreza bangun namun tiada niat hendak
membalas jerkahan wanita itu.
“I akan menikahi perempuan tu.”
Adlan menapak masuk ke dalam rumah dan melontar bicara dengan tegas.
Masing-masing menala pandangan ke
arah suara yang berdesir itu.
“Saya akan kahwini Amiera,” kata
Adlan lagi.
Shahreza mengelus nafas lega.
Syukur, anak muda itu tidak lari dari tanggungjawab yang harus dipikul- telahan
itu menunjangi dasar hati saat Adlan membutirkan persetujuan tersebut.
“What?!
No! No Adlan! I won’t let you!” marah Rozita. Langkah panjang Adlan pantas
dikejar. Dua beranak itu menyusup masuk ke ruang dapur.
“Betul ke Adlan dan anak perempuan
encik...” Ku Embok menghadirkan diri di ruang itu sebaik bayang Rozita
menghilang. Sedari tadi dia mengintai dan memasang telinga. Deru nafas ikut
laju turun naik di saat penceritaan Shahreza menjebak nama Adlan dan perlakuan
terkutuk itu.
“Tiada siapa tahu perbuatan mereka
melainkan Allah. Tetapi saya menyaksikan sendiri keadaan mereka ketika itu,
nyata mengundang wasangka,” jelas Shahreza.
Ku Embok urut dada. Lemah longlai
sendi-sendi tuanya.
“Saya minta diri dulu.
Assalamualaikum,” pamit Shahreza penuh adab.
Ku Embok memandang sepi. Sesekali
menoleh ke belakang apabila terdengar pekikan Rozita serta bidasan Adlan
melawan kata.
Dia terduduk di kerusi.
“MUMMY tak percaya
Edi buat semua tu. Lelaki tadi tu sengaja memancing Edi semata-mata nak
selamatkan maruah anak dia.” Rozita menggoncang tubuh tinggi lampai Adlan.
‘Adlan anak yang baik. Adlan budak baik.’ Pembutiran kata-kata itu sentiasa
bergulir dalam fikirannya ketika ini. Kepercayaannya terhadap cerita lelaki
yang memperkenalkan diri sebagai Shahreza, langsung tidak terkesan dalam diri.
“I
told you, apa yang dia cerita tu semua betul. Memang I ada dalam rumah tu
dengan anak dia, but...”
Adlan kematian kata tatkala
jari-jari Rozita merentangi bibirnya. Mata wanita itu berkaca-kaca.
“Dia yang perangkap Edi, kan? Tak
perlu ambil peduli fasal perempuan tu, sayang. Tinggalkan sahaja dia.”
Adlan menepis tangan itu.
“Macam you tinggalkan ayah?” Adlan
jongket kening.
Rozita tersentak.
Tersungging senyum sinis di pinggir
bibir lelaki berjambang nipis itu.
“By
the way, let me tell the truth about this little things. Sesuatu yang
lelaki tadi tu tak tahu langsung. Bukan baru pertama kali kami duduk berdua-duaan
macam tu dalam satu rumah. Even, almost
one month kami berkesedudukan, sejak I balik sini. Unfortunately, semalam kami tertangkap. Oleh kerana I ni seorang
yang bertanggungjawab, I tak akan tinggalkan perempuan tu seperti mana yang you
sarankan sebab I masih ada belas kasihan. Masih ada pertimbangan diri. I’ll marry her,” putus Adlan dengan
penuh bersahaja.
Rozita mengancing gigi. Telapak
tangannya diangkat perlahan-lahan sebelum ia melayang di pipi kanan Adlan.
Tamparan itu sungguh memeritkan. Adlan memaling muka. Pipi terasa berbirat
diusap-usap. Sakit tapi dia puas!
“Tak cukup ke Edi sakitkan hati
mummy? Sampai bila Edi nak layan mummy macam ni?!” herdik Rozita. Detak jantung
kian deras. Berpusu-pusu sel darah naik ke kepala. Menggelegak.
Bersama deraian airmata, Rozita
bergegas meninggalkan Adlan yang mengoles senyum kecil. Hati batu miliknya
langsung tidak tersentuh melihat mutiara jernih itu membasahi kedua belah pipi
ibunya. Seolah Rozita itu manusia asing dalam hidupnya. Apabila kemarahan Rozita
terhambur laksana semburan api dari mulut naga, kepuasan itu menyerapi seluruh
tubuhnya- dari hujung kaki hingga ke kepala. Kesal- perkataan itu tidak pernah
wujud baginya.
PINTU terbuka
dengan luasnya. Terjengul kepala Ku Embok di sebalik dinding. Adlan yang baru
selesai menunaikan solat zuhur, lekas menoleh.
“Saya tumpang solat,” katanya.
“Inikan rumah Edi juga.” Ku Embok
membalas.
Adlan pamer senyum nipis. Sejadah
dilipat dua lalu dikembalikan ke tempat asalnya. Adlan hendak keluar dari bilik
solat berkeluasan kira-kira dua belas kaki namun Ku Embok segera menghalang
laluan anak muda tersebut.
“Kita duduk sekejap,” ajak Ku Embok.
Lengan Adlan ditarik bersamanya. Mereka berdua duduk berteleku di dalam bilik
berkenaan.
Ku Embok memerhatikan roman wajah
Adlan. Semakin lama dipandang, semakin dia dirusuh perasaan pilu.
“Edi, apa ertinya kita bersolat,
jaga ibadah tapi kalau dalam waktu yang sama kita turut menyakiti hati seorang
ibu? Syurga Edi di bawah telapak kaki mummy. Rahmat Tuhan tak akan mengiringi
hidup Edi kalau mummy tak redha, mummy sakit hati dengan kamu.” Ku Embok
mengelus tangan Adlan.
Adlan diam membisu. Pada dasarnya
jendela pendengaran terbuka luas walhal setiap butir bicara penuh nasihat itu
tidak didalami oleh Adlan. Pandangan kosong menerpa renungan yang terarah
padanya.
“Jujur dengan nenek sayang...
beritahu kebenaran kata-kata kamu pada mummy tadi.” Ku Embok bersikap lebih
diplomatik. Dia tidak mendesak atau hambur kekecewaan. Lebih suka menyelami
dasar hati Adlan kerana dia percaya, Adlan bukan lelaki sebegitu jahil.
“Perbuatan zina itu dilarang keras
dalam agama kita. Berdosa. Edi tahu, kan? Kalau negara kita mengamalkan hukum
Allah, hukum hudud itu, Edi dan perempuan tu boleh dihukum dengan hukuman
seratus sebatan, pesalah zina bukan ‘mukhsan’ berstatus seperti kamu, Adlan.”
Ada getar di hujung pertuturannya.
Adlan membalas erat genggaman Ku
Embok. Selajur dia pamer senyum. Dia bukan buta hukum. Diri dididik dengan ilmu
agama, mengaplikasi serta dijadikan amalan.
“Tak akan sesekali saya lakukan
perbuatan terkutuk macam tu, nek,” ujarnya.
“Alhamdulillah...” ucap Ku Embok.
“Sebenarnya, apa yang mereka nampak
hanya salah faham. Niat saya nak menolong.” Adlan membuka hal sebenar, tiada
satu pun yang tertinggal. Kadang ketika, dia menghela nafas berat.
Tergeleng-geleng kepala Ku Embok.
Kesal.
“Keputusan Edi mengahwini perempuan
tu bukan satu gurauan?” soal Ku Embok.
“Saya tak main-main nek,” tegas
Adlan.
“Walau salah faham, tapi di mata
orang kami tetap pesalah. Sebagai seorang gadis, tamparan itu lebih hebat pada
dia.” Adlan menyambung bicara.
“Tapi kenapa Edi cakap sebaliknya
pada mummy?” lanjutnya. Kerut-kerut sedia ada kian banyak merauti wajah tua Ku
Embok.
Pertanyaan itu dibiar melayang ke
udara. Tidak bertali. Adlan bangun. Tubuhnya digerakkan ke kanan kiri-
meregangkan sedikit urat-urat badan.
“Saya balik dulu, nek,” kata Adlan,
selajur menyalami tangan Ku Embok.
Ku Embok menyoroti Adlan sehingga
lelaki itu hilang dari pandangan. Dia tahu, Adlan tidak akan mencari kelibat
Rozita kerana itulah kebiasaan yang dilakukan oleh Adlan.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
2 comments:
Hailah dik oiii... Suka buat sis x sng duduk bila bc n3.. Tiap2 mgu main teka teki.. :p
Hai sis :)
Teka teki?mn ada :)
Thnks ye sis,sudi singgah baca n3 tak seberapa ni :)
Post a Comment