Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab16.

Assalamualaikum.









"...Love of Allah is a sweetness and pleasure that if you are without it, life becomes a thing of worries and of pain..." - Ibn Al-Qayyim









Bab 16
BURU-BURU Betty menyeluk poket seluarnya. Gegaran itu sungguh merimaskan. Sebaik nama Amiera tertera di skrin sesentuh itu, ikon hijau dileret ke kiri. Panggilan itu disambut dengan senyuman lebar.
            Riak ceria beransur hilang. Betty mengerut dahi.
            “Kau tak sihat ke?” soal Betty. Kepala tertoleh-toleh ke kiri kanan, memastikan tiada kenderaan sebelum mencicit lari melintasi jalan menuju ke bangunan tempat dia bekerja.
            “Dah tu kenapa sampai cuti-cuti bagai?”
            Terangguk-angguk kepala Betty mendengar penjelasan Amiera di hujung talian.
            “Ni mesti kau sakit teruk ni. Pergilah klinik. Ambil cuti. Untung-untung dapat dua tiga hari cuti. Bolehlah kau tersadai atas katil,” seloroh Betty sambil tertawa kecil. Beg dicampak atas kerusi. Bungkusan nasi kerabu dibawa ke pantry. Nampak gaya, sarapan pagi dan makan tengahari, menu yang sama. Bukan rezeki Amiera menjamah nasi kerabu Mek Su.
            “Take care okay. Banyakkan berehat,” pesan Betty lagi.
            “No hal lah. Nanti aku beritahu Kak Mila,” tuturnya lagi apabila Amiera mengucap terima kasih.
            Betty memerhati dua bungkusan nasi kerabu itu. Perut kempisnya ditepuk-tepuk.
            “Sakit perut ke?” Adlan melipat lengan baju hingga ke paras siku.
            Betty elus dada. Nyaris melompat keluar jantungnya ditegur begitu.
            “Eh, tak ada lah Encik Adlan,” balasnya.
            “Habis tu, saya tengok awak tekan-tekan perut macam tu.” Adlan menjuih bibirnya. Sebelah tangan mencapai sebiji mug dari kabinet.
            Betty tersengih-sengih.
            “Encik Adlan dah breakfast?” Betty melabuh punggung atas kerusi sedang mata masih melekat pada paras majikannya.
            Adlan menunjuk mug yang telah diisi dengan air panas dan Nescafe 3 in 1.
            “Aik, minum nes aje ke encik?” Betty garu pelipis dahi.
            Kuluman senyum nipis menghiasi bibir Adlan. Selera makannya tidak menghambat diri sejak kelmarin ekoran rusuhan jiwa yang enggan berhenti. Pagi ini pun, dia paksa kaki jejak lantai pejabat.
            “Nah, encik makanlah nasi kerabu ni.” Bungkusan itu diunjuk kepada Adlan.
            Adlan menggeleng. “Tak apa.”
            “Ambillah. Sebenarnya saya bawakan untuk Amiera tapi dia tak datang pula hari ni. So, daripada sesak nafas saya telan nasi kerabu pagi dan tengahari, lebih baik kasi dekat encik.” Kumat-kamit mulut Betty melontar suara. Bungkusan itu diunjuk hampir ke dada Adlan. Mahu tidak mahu, Adlan sambut juga unjukan itu. Betty senyum lebar.
            “Amiera tak datang kerja?” Lambat-lambat dia menyoal.
            Betty yang sudah penuh mulutnya dengan nasi hanya angguk kepala sebagai jawapan.
            “Kenapa?” ajunya lagi.
            Kunyahan terakhir ditelan penuh nikmat. Betty menoleh seraya berkata, “Dia kata dia tak sihat. Baru kejap tadi dia call saya.”
            ‘Amiera tidak sihat?’ Garis-garis halus melatari dahi tatkala Adlan mengerut muka. Selangkah demi selangkah dia melintasi Betty.
            “Eh Encik Adlan!” Betty berdiri. Panggilannya tidak dipeduli. Betty naik hairan. Pandangannya meleret ke arah bungkusan nasi kerabu itu. ‘Bos tak nak kut. Dah tahu tak nak, kau paksa juga tadi siapa suruh?’ Betty bermonolog.
            “Morning Betty,” sapa Iskandar.
            “Morning Encik Is,” balas Betty sambil hulur senyum melipat.
            “Wah, sedapnya bau. Nasi kerabu?” teka Iskandar. Sempat menyoroti isi dalam polisterin putih itu.
            “Haah. Encik Is nak ke? Saya ada extra ni,” tawar Betty. Segera diunjuk bungkusan tadi kepada Iskandar pula.
            Iskandar pantang diberi apa-apa pun, sentiasa menerima dengan lapang dada. Apa lagi, tangan dicuci bersih. Punggung dihenyak di kerusi, duduk bertentangan Betty.
            “Awak ni macam tahu-tahu aje yang saya belum breakfast,” ujar Iskandar.
            “Well....” Betty jongket kening.
            Iskandar tertawa.

“ADA beberapa part dalam projek yang kita kena ubah. Actually, after meeting hari tu, tiba-tiba salah seorang big client kita mencadangkan penggunaan 3D berbanding 2D. Kalau mengikut kemampuan sedia ada, memang agak susah sikit. Yang betul-betul pakar buat 3D modeling ni Fazli dan Dija, kan?” Adlan melorong mata memandang dua orang pekerjanya yang duduk saling bersebelahan. Kedua-duanya mengangguk.
            “So, kami pun sarankan pada mereka untuk kekalkan penggunaan 2D dalam semua contents, termasuklah animation pahlwan melayu. But, I think kita kena buat sikit perubahan especially part animasi. Kita kena tambah shadow, then movement kena lagi smooth. Overall, semua okay. Lagipun ini baru part tunjuk-tunjuk idea kita dekat mereka, kan? So don’t worry. Kita akan sama-sama handle benda ni.” Senyuman nipis dioles ke bibir. Iskandar yang duduk di sebelah turut sama tersenyum sambil angguk-angguk kepala.
            “Jefri, macam mana dengan part video?” Iskandar bertanya kepada seorang lelaki bertahi lalat di tengah hidung.
            “Buat masa sekarang, semua okay aje. Even tok guru silat tu pun tak ada masalah untuk beraksi depan kamera nanti. Yang lebih bestnya, dia beri kita pinjam anak-anak didik dia untuk pamer aksi bergaduh,” terang Jefri, selaku ketua salah satu sub-projek berkenaan.
Good,” balas Adlan. Sebuah buku tebal berkulit hitam dibelek laju. Kemudian matanya terhenti ke mukasurat bercanting banyak huruf bersambung-sambung.
            “Bergaduh? Biar betul, Jef?” Iskandar mencelah.
            Jefri menggeleng laju. “Eh, bukan bergaduh sakan Encik Is. Alah, macam tunjuk skill tu.” Buru-buru dia menjelaskan.
            Spontan Iskandar ketawa.
            “Saya tahu. Saja nak test awak,” kata Iskandar.
            Rata-rata di dalam bilik itu turut hambur tawa. Jefri sengih lebar.
            “Yang lain ada apa-apa masalah tak? Fazli? Dija? Elias?” Nama ketua setiap bahagian disebut Iskandar. Ketiga-tiganya pamer geleng kepala hampir serentak.
            Iskandar mencuit bahu Adlan. Mereka saling berbisik. Adlan mengangguk kepala. Selajur, Iskandar berdiri.
            “Meeting kita setakat ini dulu. If ada something come up, kami akan beritahu,” ujar Iskandar.
            Masing-masing mengangguk. Mula angkat punggung dan mengheret kerusi dari ruang yang dikhaskan untuk menjalankan sebarang perbincangan. Kerusi-kerusi itu disusun meninggi di tepi dinding, berhampiran sebuah kabinet putih.
“Dokumen tu kau jangan lupa pula. Urgent nak pakai nanti.” Iskandar mengingatkan.
            “Okay, nanti dah siap aku bagi kau.”
            “Kan semua tu dah siap.”
            Adlan menoleh sekilas. “Kau kata kau suruh aku buat, kan?”
            “Dokumen tu memanglah kau yang buat, tapi kan hari tu, aku ada minta kau tambah sikit before hand over balik dekat aku.” Iskandar kehairanan.
            Serta-merta, Adlan hambur tawa dibuat-buat.
            “Kenapa dengan kau? Aku tengok lain macam aje ni. Ada masalah ke?” Iskandar menduga-duga pula.
            “Aku okay ajelah. Cuma dalam otak ni tak bersusun sangat segala maklumat. Terlonggang terbalik.” Adlan berdalih lantas menutup buku catatan miliknya. Dikepit ke lengan.
            “Aku nak keluar kejap,” lanjutnya.

CAPPUCINO dicicip sedikit. Cawan pendek dan bersaiz sederhana lebar yang diperbuat daripada seramik diletak kembali di atas pinggan kecil dari jenis yang serupa. Dia bersandar. Berlagak tenang tatkala bertempur sepasang mata milik Shahreza.
            “Betul kamu nak menikahi anak aku?” Shahreza menyoal perlahan namun jelas menampilkan ketegasannya.
            Udara dihirup memenuhi rengkungan, lalu dilepaskan sedikit demi sedikit. Mereka masih bersabung renungan.
            “Saya akan menikahi Amiera,” jawabnya.
            “Tapi tak bermakna saya mengakui perlakuan terkutuk...”
            “Aku tak mahu dengar alasan kamu membela diri,” tuntas Shahreza.
            Mulut Adlan langsung terkunci. Lidahnya kelu untuk membela diri.
            “Apa pun yang terjadi antara kamu dan anak aku, itu urusan kamu dengan Tuhan.” Shahreza mengambil jalan menutup kata hati sendiri- pertuduhan zina atau bersekedudukan itu ditarik kembali. Dia enggan jadi penyebar fitnah. Dia juga tidak layak menghukum Adlan dan Amiera. Rumusan kasar itu melalui pemerhatian mata. Amiera dan Adlan ditangkap berdua-duaan di dalam satu rumah.
            “Saya tahu pak cik tak akan percaya kata-kata saya tapi percayalah, kami tak ada buat apa-apa,” tutur Adlan.
Shahreza mengeluh lemah. Amiera membutirkan bicara yang sama. Bukan tidak percaya, tetapi dia sangsi.
            “Kamu mengaku tidak bersalah, kenapa masih mahu menikahi anak aku?” Soalan kembali berpusat pada perbincangan asal.
            Pandangan Adlan menjulang paras Shahreza. Ulas bibirnya terus terkunci. Rapat.

SITI menikus di depan Fatma. Terpejam matanya apabila suara lantang anak gadis majikannya menempelak kasar. Benar, dia cuai. Oleh sebab itu, dia lebarkan sahaja anak telinga, menelan segala makian Fatma.
Ainun yang terdengar jerkahan Fatma, sesekali memaling ke belakang. Gerun. Setelah memastikan stok tudung dimasukkan ke dalam kotak, lekas dia pacu kaki keluar dari situ. Bergegas pulang ke butik yang satu lagi. Beberapa hari lalu, dia juga dibambu begitu. Rasa hendak pecah gegendang telinga ekoran nyaring suara Fatma menembusi corong telefon.
            “Kerja senang macam ni pun, susah nak buat ke?!” Tengking Fatma. Sehelai jubah warna keemasan dilempar ke muka Siti.
            “Aku suruh kau iron, bukan bakar! Apa kau buat sampai berlubang kain tu? Tidur?!” Fatma mengancing gigi. Marahnya meruap hingga mendidih darah dalam tubuh.
            “Maafkan saya, Ema.” Terunduk-tunduk kepala Siti.
            Fatma melurut kasar rambutnya. “Senangnya kau minta maaf. Baju tu, lusa dah nak hantar dekat tuannya. Kau ingat aku buat guna mesin? Campak kain semua dalam mesin tu, lepas tu jadi baju. Macam tu?!” Bulat mata Fatma.
            Siti tahan airmata yang hampir gugur. Dia tidak sengaja.
            Punggung dihenyak ke kerusi. Nafas ditarik dalam-dalam.
            “Bak sini baju tu!” minta Fatma. Kasar.
            Terkial-kial Siti kutip jubah berkenaan, lalu diunjuk kepada Fatma.
            “Dah, keluar!” bentak Fatma lagi.
            Mencicit Siti pacu kakinya keluar dari ruang itu. Di bilik air, dia meluahkan kesedihan. Kali pertama dimarahi dengan begitu kasar sekali. Namun dia sedar, silap itu datang dari kecuaian dia sendiri.
            “Menyusahkan betul!” bebel Fatma. Kesan terbakar di kaki jubah itu dibelek-belek. Mula memikirkan jalan penyelesaian. Panjang jubah itu melepasi tanah. Dia akan memotong sedikit kain tersebut bagi menghilangkan kesan terbakar.
            Beg tangan disangkut ke bahu. Kunci kereta digenggam. Rambut dirapikan sedikit sebelum bangun dari kerusi.
            “Siti!” Pekikan tersebut mengejutkan Siti. Wanita bujang itu terkocoh-kocoh berlari ke arah Fatma dengan mata memerah.
            “Ya Ema,” sahutnya.
            “Aku nak tengok ibu dekat hospital. Kau tolong jaga butik. Around 3 petang aku balik sini semula. Jangan pula kau bakar butik ni!” Sengaja menyisip sindiran di hujung ayat.
            Siti angguk faham.

KEDATANGAN Shahreza pantas disambut oleh Amiera yang kebetulan sedang menemani Sarah menjaga Tasneem di wad berkenaan. Namun sebaik kelibat Adlan kelihatan menyusup masuk bersama, airmuka Amiera terus berubah. Terkedu.
            Adlan berdiri agak jauh dari katil tempat perbaringan Tasneem. Sesekali meleret anak mata merenungi Amiera. Keadaan diri gadis itu diamati. Sihat sejahtera pada telahannya.
            Membuntang mata Amiera tatkala Shahreza menutur kata itu. Dia terkebil-kebil. Dirinya tidak lagi seimbang. Akhirnya dia terduduk di atas kerusi yang berderet tidak jauh dari bilik Tasneem.
            Shahreza usap bahu Amiera, lantas melabuh punggungnya di samping gadis itu.
            “Mira tak nak kahwin dengan dia, ayah,” tingkah Amiera. Rendah suaranya membantah.
            “Amiera kena kahwin dengan dia.” Shahreza tetap bertegas.
            Amiera mendongak pandang lelaki itu. Matanya berkaca-kaca. Untaian airmata diikat ketat-ketat. Dia enggan menangis depan Shahreza.
            “Tapi kenapa?” Terketar-ketar bibir Amiera menyoal.
            “Kamu lebih tahu, Amiera.”
            “Mira tak salah, yah. Mira tak buat benda-benda tu semua. Kami tak bersalah!” Amiera bersungguh membela diri. Tuduhan itu terlalu berat untuk ditelan.
            “Keputusan ayah muktamad. Apa pun yang terjadi antara kamu berdua, Amiera akan tetap ayah nikahkan dengan Adlan.” Shahreza berkata keras.
            Amiera menekup muka. Berkahwin dengan lelaki itu seolah mengakui perbuatan terkutuk itu, walhal ia tidak pernah berlaku. Ya Allah!
            Dari kejauhan, aura Fatma sudah mampu dirasai oleh Amiera. Benar, Fatma sedang berjalan menghampiri mereka. Amiera lekas bangun. Hendak cepat-cepat menjauhkan diri.
            “Apa perempuan tu buat dekat sini?” Fatma memasamkan muka. Tajam lirik mata menyoroti Amiera yang semakin menjauh.
            “Salah ke dia datang melawat ibu?” Soalan dibalas soalan.
            Fatma mendengus. “Ayah, perempuan tu dah malukan keluarga kita, sampai ibu sakit masuk hospital pun, ayah masih boleh berdepan perempuan tu?”
            “Dia anak ayah juga.”
            “Pembetulan. Anak angkat, bukan akan kandung.”
            Berkeluh-kesah hati Shahreza mendengar ayat pertuturan Fatma.
            “Saya minta diri dulu.”
            Shahreza dan Fatma serentak menjulang roman wajah Adlan. Fatma kelihatan terkejut. Menghantar pemergian Adlan dengan pandangan bercampur-baur.
            “Dia tu...” Fatma tidak dapat menoktahkan bicara sendiri.
            “Lelaki tu... Adlan.”
            “Ayah akan nikahkan Amiera dengan lelaki tu walau Amiera membantah.” Shahreza berkata lagi seraya menapak pergi dari situ.

            Daripada melorong anak mata pada Shahreza, kini Fatma menyoroti langkah Adlan yang kian menjauh.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Iklan :)


:)

2 comments:

meeka42 said...

Keluaran apa eh akak?
Brpa ms?

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear ilman_nafi

Keluaran GedeBook dear :) boleh dptkan dekat kedai buku,nak beli online pon boleh :) klik aje kat mphonline atau bookcafe ;)