Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab21.

Assalamualaikum.








"...Building boys like today is better than repairing broken men tomorrow..." - Nouman Ali Khan









Bab 21
“APA yang dia fikirkan sebenarnya? Amiera tu anak dia tau!”
            “Entahlah. Saya pun tak tahu nak cakap apa.”
            “Ke dia malu?” Tasneem menjongket kening pandang suaminya yang asyik mengurut pelipis dahi.
            Shahreza tidak membalas. Perkhabaran yang diterima daripada Hazman sebentar tadi benar-benar mengecewakan.
            “Kita mesti cuba lagi. Walau macam mana sekalipun, dia mesti ada di majlis tu nanti.”
            “Kalau dia tak mahu hadir juga?” soal Tasneem.
            “Kita cuba dulu. Kalau betul dia tak mahu hadir sebagai orang paling penting di majlis tu nanti, kita ikhtiarkan yang lain,” kata Shahreza.
            “Hazman kan ada.”
            “Penting untuk kita dahulukan ayah kandung Amiera. Dia masih hidup.”

EKMAL memasang telinga seluasnya. Perbualan antara ayah dan ibunya diamati satu per satu. Nama Amiera disebut-sebut dan tatkala soal pernikahan gadis itu menjengah gegendang pendengaran, hati bagai dilapah dan dicincang halus.
            “Susah betul kalau ada manusia macam tu!” gumam Tasneem sambil melangkah ke arah Ekmal yang memerhatikan dia. Punggung dihenyak ke kerusi.
            “Kenapa ni, bu?” Ekmal memberanikan diri bertanya.
            Selajur Tasneem menghela nafas perlahan. Roman wajah anak terunanya ditatap lama.
            “Ayah Amiera...”
Jeda.
“Pak cik Latif?” Ekmal membuahkan sebaris nama tertulis sebaris nama Amiera.
“Kenapa dengan Pak cik Latif?” Kerut muka Tasneem membiakkan rasa ingin tahu. Omong-omong di dapur tadi tidak dapat dihimpunkan seluruhnya. Ada yang tercicir.
“Ayah Amiera tu tak mahu hadir mewalikan Amiera nanti.” Lambat-lambat Tasneem memberitahu.
“Tapi kenapa?”
Tasneem tiada jawapan itu. Malah suaminya juga sama. Mereka dibelenggu kemusykilan atas tindakan Latif.
“Amiera tahu yang ayah dah jumpa Pak cik Latif?”
Kali ini, Tasneem menggeleng. Tubuh yang tegak tadi bersandar longlai. “Sepanjang ibu dan ayah jaga Amiera, hanya sekali dia bertanya tentang Latif. Sekali aje dan sampai sekarang, Amiera tak pernah buka mulut lagi.”
Ekmal merenungi roman ibunya yang sedikit berkocak. Kecewa barangkali. Dia sendiri tidak pernah kenal siapa ayah kandung Amiera. Nama lelaki itu sahaja yang melekat dalam kepala. Itu pun kerana nama itu ditulis sebaris nama gadis itu.

“KAMU ni suka datang mengejut. Tak pernahnya telefon beritahu nak datang,” bebel Tok Usu Mah sambil menghidang minuman kepada Amiera. Bukan main terkejut dia apabila ternampak batang tubuh Amiera tercegat di beranda rumah. Dia yang baru pulang dari kebun langsung terkocoh-kocoh mendapatkan cucu saudaranya.
            “Saja nak buat kejutan!” Amiera tersengih lebar.
            Tok Usu Mah menjegilkan mata. Tangan tuanya mencubit lengan Amiera. Tidak sempat mengelak, Amiera terpaksa menelan peritnya cubitan itu.
            “Sakitlah tok,” rungutnya. Bibir muncung sedepa.
            “Itu kejutan untuk Rin,” balas Tok Usu Mah.
            Amiera ketawa gelihati. “Tok nak balas dendam eh?” usiknya.
            Tok Usu Mah tayang muka ketat. Kononnya marah walhal dia cukup gembira menerima kedatangan cucu arwah abangnya.
            Gelas berisi air sirap diteguk tertib.
            “Cubalah telefon dulu ke sebelum datang. Dibuatnya tok tak ada dekat rumah, macam mana? Tercongoklah kamu dekat situ sampai ke malam.” Tok Usu Mah melanjutkan bebelannya lagi.
            “Alah, orang tak kisah pun kalau terpaksa tunggu tok sampai ke malam. Kan beranda rumah tok ni luas. Orang boleh berkhemah dekat situ.” Amiera menyahut seraya tersenyum lebar. Suka benar dia mengusik Tok Usu Mah. Wanita tua itu menggeleng kepala. Bebelan panjangnya kerap kali dibalas berjela oleh Amiera.
Sepinggan pisang goreng diletak atas meja. Amiera lekas mengambil seketul pisang goreng itu lalu dikunyah penuh nikmat.
“Sedapnya!” Amiera menyumbat penuh mulutnya. “Pisang dekat kebun tu dah masak ke tok?”
“Dah. Pagi tadi tok upah Udin angkat tandan pisang bawa pergi kedai Pang Cheong. Jual dekat sana,” cerita Tok Usu Mah.
Terangguk-angguk Amiera mendengar.
“Alang-alang kamu balik sini, malam nanti bolehlah ikut tok pergi kenduri arwah dekat rumah Bujang.”
Berkerut dahi Amiera. “Siapa yang meninggal tok?” soalnya.
“Mak Bujang tu dah meninggal.”
‘Innalillah.’ Amiera memandang paras Tok Usu Mah.
“Sakit apa? Bila meninggalnya?”
Tok Usu Mah menyusun gelas-gelas di atas rak besi bersebelahan singki. Dia berkata, “Arwah kena serangan strok.  Meninggal mengejut.”
Serta-merta ingatan Amiera mengimbau keuzuran Tasneem sebulan yang lalu. Wanita itu hampir diserang strok namun dengan izin Allah, kesihatan Tasneem semakin pulih.
            “Orang tak lama dekat sini tok. Petang ni balik sana,” beritahu Amiera.
            Tok Usu Mah berkalih ke belakang. “Lah, kenapa cepat sangat? Kan buat penat aje. Tak sempat apa-apa, dah nak balik.”
            Amiera mengukir senyum halus. Jari telunjuk bermain di sekitar bibir gelas.
            “Ikut hati, orang nak bermalam dekat sini tapi... esok orang ada hal. Tu yang datang singgah balik hari. Nak ziarah kubur ibu,” jelas Amiera.
            “Hal apalah yang disibukkan sangat tu. Ada orang nak datang meminang ke?” seloroh Tok Usu Mah. Tersungging senyum panjang di pinggir bibir tuanya.
            Amiera senyum lagi. Hambar.

ULAS bibirnya terkumat-kamit melontar ayat-ayat suci Al-Quran. Mengalun surah Yaasin dengan penuh khusyuk. Kadang ketika, bacaannya terhenti. Nafas ditarik dalam-dalam dan perasaan hiba segera diusir dari menyelinap ke dasar hati. Dia enggan menangis di depan kubur ibunya. Apabila terasa diri kembali tenang, bacaan ayat suci dilanjutkan semula. Lebih lancar dan penuh tumpuan.
            ‘Ya Allah Ya Tuhanku... Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tempatkanlah ibuku dalam kalangan hamba-hamba yang Engkau kasihi. Cucuri rahmat-Mu ke atas roh ibuku yang telah kembali menghadap-Mu.’ Hati kecil memanjat doa- mendayu-dayu. Kedua telapak tangan dibawa meraupi wajah. Lama.
            “Aminnn...” Suaranya kedengaran halus. Terbang dibawa angin yang berpuput lembut.
            Tenang perasaannya tadi kembali bergelora saat lirik mata merunduk ke arah plat besi tertera nama penuh ibunya, ditulis dalam jawi dan rumi. Tubir mata kian hangat. Benteng itu tidak kuat untuk menampung kesedihan hati. Airmatanya tumpah jua.
            Dia berteleku di situ. Meluah gumpalan perasaan yang menghambat jiwa. Busur itu tepat membidik jantung. Meninggalkan kesan yang sangat dalam.

“MIRA dekat kampung tok ni,” beritahu Amiera. Langkah kaki dihayun perlahan menyusuri jalan berturap. Sesekali dia berkalih kepala ke belakang. Melihat pusara arwah ibunya yang semakin menjauh.
            “Tok Usu sihat?” Tasneem bertanya di hujung talian.
            “Alhamdulillah... tok sihat aje Mira tengok.” Amiera menjawab. Renggangan pintu pagar ditolak agar kembali bertaut. Telah tertera di plat plastik berwarna putih itu, tanda peringatan berbunyi ‘Pastikan pintu pagar sentiasa tertutup’.
            “Mira lama ke dekat kampung tu?”
            “Taklah. Mira balik hari.”
            “Eh, cepatnya. Selalu kan duduk kampung sampai dua hari.”
            “Mira ada hal sikit esok.”
            “Nanti Mira datang rumah, ya. Ayah ada sesuatu nak cakap dekat Mira.”
            Senyap.
            Jauh dalam diri Amiera, dia sudah dapat menebak ‘sesuatu’ itu.
            “Mira?” Tasneem menyeru lembut.
            Amiera tersedar dari lamunan pendek. “Ya ibu. Insya Allah... nanti Mira datang rumah,” ujar Amiera.
            Ketika itu, sebuah kereta berwarna hitam berkilat berkelajuan sederhana melintas hampir dengannya. Terpisah beberapa inci sahaja.
            Lirik mata menyoroti kereta berkenaan. Kenderaan hitam itu berhenti di bawah sebatang pohon sebesar dua pemeluk manusia yang tumbuh berdekatan kawasan tanah perkuburan Islam tersebut.
            Berakhir dengan ucapan salam, panggilan tadi diputuskan. Beban di kepala tidak pernah mahu meringan. Hidupnya terasa berpusing 360 darjah. Biar dia cuba untuk bersikap tenang, tidak ambil endah persekitaran namun jauh di sudut hati, dia benar-benar tertekan.

HEROT bibir Adlan tidak menzahirkan rencana dalam hati. Dia terus melempar pandangan ke arah Ku Embok yang beriak serius.
            “Dia tak akan percaya.” Adlan berkata.
            “Sebab Edi tak ceritakan perkara sebenar. Sepatutnya, apa yang Edi cakap pada nenek, Edi kena cakap juga pada mummy. Edi tak kasihankan mummy ke? Nenek tahu, mummy kamu tu memendam perasaan kecewa terhadap kamu, Edi. Sampai bila Edi nak buat mummy macam ni?” Ku Embok menggeleng kepala tanda kecewa. Ketenangan roman Adlan menambah rasa pilu. Adlan tidak pernah ambil peduli hati Rozita yang sering disakiti dan kini makin menjadi-jadi.
            Adlan mencicip kopi berbau harum halia dengan penuh berhati-hati. Panas. 
            Ku Embok mengelus nafas berat. Ulah Adlan tidak difahami. Setiap perkara yang berlaku seolah enteng di mata lelaki berstatus duda itu.
            “Edi nampak macam...” Ku Embok mematikan bicara. Mata hitamnya bergerak-gerak memerhati setiap inci wajah berkerut Adlan ketika itu.
            “Nenek nampak apa?” soal Adlan.
            “Apa niat Edi menikahi perempuan tu?” Mengecil mata Ku Embok. Penuh wasangka.
            Adlan tersenyum. “Saya kena bertanggungjawab, nek. Benda dah jadi. Lagipun, saya tak nak Amiera dipandang serong oleh keluarga sendiri.”
            “Lain?” Ku Embok masih curiga.
            Naik tinggi kening Adlan. Tiada kata-kata bidasan meluncur dari mulutnya.
            “Kamu menikahi perempuan tu bukan kerana hendak menyakiti hati mummy kamu, kan?” Tumpuannya penuh menatap anak tiri arwah Ahmad Saufi.
            Adlan memilih untuk mendiamkan diri. Untuk kedua kalinya.
            “Perkahwinan bukan satu perjudian, Adlan. Judi itu sendiri hukumnya haram. Ia satu tanggungjawab meski permulaan hubungan itu tanpa sekelumit perasaan pun. Kamu dan dia, masing-masing terperangkap dalam satu salah faham. Mungkin nenek tak dapat baca ketelusan isi hati kamu, niat sebenar kamu pun nenek tak mampu nak duga, tapi nenek mohon, jangan zalimi perempuan itu semata-mata hendak melihat orang lain merasa sakit hati. Dia bakal isteri kamu. Isteri yang wajib kamu lindungi dan penuhi haknya.”

            “Sebuah pernikahan itu satu ibadah. Jangan pula niat hati kamu mencemarkan sucinya ibadah tu sendiri.” Titipan pesanan terakhir itu membawa jiwa Adlan ke mukim serba sunyi.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

6 comments:

Anonymous said...

Alaaaaa pendeknya n3...but anyway tqvm..x sabar tunggu the next

Nvel Addct said...

Adoi la hai HR.... Abis mcm ni? Btl2 bikin pns.. Huhuhuhu....

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear anon,

Tq sudi baca ULK. Entri pendek? Gulp! Rasa mcm pjg dah hihi

Again, TQ!

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear sis Nvel Addct,

Hihi mmg takat tu je sis. Kekonon nak buat aksi Fatma kaku kahkah :p

Tq sis, selalu luang masa terjah blog setiap hari rabuday :D

Nik Ainaa said...

haha best2. ^^

~::HANAH RISHAS::~ said...

Hai Nik Ainaa :)

Tq sudi baca and drop komen! :')