"...Building boys like today is better than repairing broken men tomorrow..." - Nouman Ali Khan
Bab 21
“APA yang dia
fikirkan sebenarnya? Amiera tu anak dia tau!”
“Entahlah. Saya pun tak tahu nak
cakap apa.”
“Ke dia malu?” Tasneem menjongket
kening pandang suaminya yang asyik mengurut pelipis dahi.
Shahreza tidak membalas. Perkhabaran
yang diterima daripada Hazman sebentar tadi benar-benar mengecewakan.
“Kita mesti cuba lagi. Walau macam
mana sekalipun, dia mesti ada di majlis tu nanti.”
“Kalau dia tak mahu hadir juga?”
soal Tasneem.
“Kita cuba dulu. Kalau betul dia tak
mahu hadir sebagai orang paling penting di majlis tu nanti, kita ikhtiarkan
yang lain,” kata Shahreza.
“Hazman kan ada.”
“Penting untuk kita dahulukan ayah
kandung Amiera. Dia masih hidup.”
EKMAL memasang
telinga seluasnya. Perbualan antara ayah dan ibunya diamati satu per satu. Nama
Amiera disebut-sebut dan tatkala soal pernikahan gadis itu menjengah gegendang
pendengaran, hati bagai dilapah dan dicincang halus.
“Susah betul kalau ada manusia macam
tu!” gumam Tasneem sambil melangkah ke arah Ekmal yang memerhatikan dia.
Punggung dihenyak ke kerusi.
“Kenapa ni, bu?” Ekmal memberanikan
diri bertanya.
Selajur Tasneem menghela nafas
perlahan. Roman wajah anak terunanya ditatap lama.
“Ayah Amiera...”
Jeda.
“Pak
cik Latif?” Ekmal membuahkan sebaris nama tertulis sebaris nama Amiera.
“Kenapa
dengan Pak cik Latif?” Kerut muka Tasneem membiakkan rasa ingin tahu.
Omong-omong di dapur tadi tidak dapat dihimpunkan seluruhnya. Ada yang
tercicir.
“Ayah
Amiera tu tak mahu hadir mewalikan Amiera nanti.” Lambat-lambat Tasneem
memberitahu.
“Tapi
kenapa?”
Tasneem
tiada jawapan itu. Malah suaminya juga sama. Mereka dibelenggu kemusykilan atas
tindakan Latif.
“Amiera
tahu yang ayah dah jumpa Pak cik Latif?”
Kali
ini, Tasneem menggeleng. Tubuh yang tegak tadi bersandar longlai. “Sepanjang
ibu dan ayah jaga Amiera, hanya sekali dia bertanya tentang Latif. Sekali aje
dan sampai sekarang, Amiera tak pernah buka mulut lagi.”
Ekmal
merenungi roman ibunya yang sedikit berkocak. Kecewa barangkali. Dia sendiri
tidak pernah kenal siapa ayah kandung Amiera. Nama lelaki itu sahaja yang
melekat dalam kepala. Itu pun kerana nama itu ditulis sebaris nama gadis itu.
“KAMU ni suka
datang mengejut. Tak pernahnya telefon beritahu nak datang,” bebel Tok Usu Mah
sambil menghidang minuman kepada Amiera. Bukan main terkejut dia apabila
ternampak batang tubuh Amiera tercegat di beranda rumah. Dia yang baru pulang
dari kebun langsung terkocoh-kocoh mendapatkan cucu saudaranya.
“Saja nak buat kejutan!” Amiera
tersengih lebar.
Tok Usu Mah menjegilkan mata. Tangan
tuanya mencubit lengan Amiera. Tidak sempat mengelak, Amiera terpaksa menelan
peritnya cubitan itu.
“Sakitlah tok,” rungutnya. Bibir
muncung sedepa.
“Itu kejutan untuk Rin,” balas Tok
Usu Mah.
Amiera ketawa gelihati. “Tok nak
balas dendam eh?” usiknya.
Tok Usu Mah tayang muka ketat.
Kononnya marah walhal dia cukup gembira menerima kedatangan cucu arwah
abangnya.
Gelas berisi air sirap diteguk
tertib.
“Cubalah telefon dulu ke sebelum
datang. Dibuatnya tok tak ada dekat rumah, macam mana? Tercongoklah kamu dekat
situ sampai ke malam.” Tok Usu Mah melanjutkan bebelannya lagi.
“Alah, orang tak kisah pun kalau
terpaksa tunggu tok sampai ke malam. Kan beranda rumah tok ni luas. Orang boleh
berkhemah dekat situ.” Amiera menyahut seraya tersenyum lebar. Suka benar dia
mengusik Tok Usu Mah. Wanita tua itu menggeleng kepala. Bebelan panjangnya
kerap kali dibalas berjela oleh Amiera.
Sepinggan
pisang goreng diletak atas meja. Amiera lekas mengambil seketul pisang goreng
itu lalu dikunyah penuh nikmat.
“Sedapnya!”
Amiera menyumbat penuh mulutnya. “Pisang dekat kebun tu dah masak ke tok?”
“Dah.
Pagi tadi tok upah Udin angkat tandan pisang bawa pergi kedai Pang Cheong. Jual
dekat sana,” cerita Tok Usu Mah.
Terangguk-angguk
Amiera mendengar.
“Alang-alang
kamu balik sini, malam nanti bolehlah ikut tok pergi kenduri arwah dekat rumah
Bujang.”
Berkerut
dahi Amiera. “Siapa yang meninggal tok?” soalnya.
“Mak
Bujang tu dah meninggal.”
‘Innalillah.’
Amiera memandang paras Tok Usu Mah.
“Sakit
apa? Bila meninggalnya?”
Tok
Usu Mah menyusun gelas-gelas di atas rak besi bersebelahan singki. Dia berkata,
“Arwah kena serangan strok. Meninggal
mengejut.”
Serta-merta
ingatan Amiera mengimbau keuzuran Tasneem sebulan yang lalu. Wanita itu hampir
diserang strok namun dengan izin Allah, kesihatan Tasneem semakin pulih.
“Orang tak lama dekat sini tok.
Petang ni balik sana,” beritahu Amiera.
Tok Usu Mah berkalih ke belakang.
“Lah, kenapa cepat sangat? Kan buat penat aje. Tak sempat apa-apa, dah nak
balik.”
Amiera mengukir senyum halus. Jari
telunjuk bermain di sekitar bibir gelas.
“Ikut hati, orang nak bermalam dekat
sini tapi... esok orang ada hal. Tu yang datang singgah balik hari. Nak ziarah
kubur ibu,” jelas Amiera.
“Hal apalah yang disibukkan sangat
tu. Ada orang nak datang meminang ke?” seloroh Tok Usu Mah. Tersungging senyum
panjang di pinggir bibir tuanya.
Amiera senyum lagi. Hambar.
ULAS bibirnya
terkumat-kamit melontar ayat-ayat suci Al-Quran. Mengalun surah Yaasin dengan
penuh khusyuk. Kadang ketika, bacaannya terhenti. Nafas ditarik dalam-dalam dan
perasaan hiba segera diusir dari menyelinap ke dasar hati. Dia enggan menangis
di depan kubur ibunya. Apabila terasa diri kembali tenang, bacaan ayat suci
dilanjutkan semula. Lebih lancar dan penuh tumpuan.
‘Ya Allah Ya Tuhanku... Tuhan yang
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tempatkanlah ibuku dalam kalangan
hamba-hamba yang Engkau kasihi. Cucuri rahmat-Mu ke atas roh ibuku yang telah
kembali menghadap-Mu.’ Hati kecil memanjat doa- mendayu-dayu. Kedua telapak
tangan dibawa meraupi wajah. Lama.
“Aminnn...” Suaranya kedengaran
halus. Terbang dibawa angin yang berpuput lembut.
Tenang perasaannya tadi kembali
bergelora saat lirik mata merunduk ke arah plat besi tertera nama penuh ibunya,
ditulis dalam jawi dan rumi. Tubir mata kian hangat. Benteng itu tidak kuat
untuk menampung kesedihan hati. Airmatanya tumpah jua.
Dia berteleku di situ. Meluah
gumpalan perasaan yang menghambat jiwa. Busur itu tepat membidik jantung.
Meninggalkan kesan yang sangat dalam.
“MIRA dekat
kampung tok ni,” beritahu Amiera. Langkah kaki dihayun perlahan menyusuri jalan
berturap. Sesekali dia berkalih kepala ke belakang. Melihat pusara arwah ibunya
yang semakin menjauh.
“Tok Usu sihat?” Tasneem bertanya di
hujung talian.
“Alhamdulillah... tok sihat aje Mira
tengok.” Amiera menjawab. Renggangan pintu pagar ditolak agar kembali bertaut.
Telah tertera di plat plastik berwarna putih itu, tanda peringatan berbunyi
‘Pastikan pintu pagar sentiasa tertutup’.
“Mira lama ke dekat kampung tu?”
“Taklah. Mira balik hari.”
“Eh, cepatnya. Selalu kan duduk
kampung sampai dua hari.”
“Mira ada hal sikit esok.”
“Nanti Mira datang rumah, ya. Ayah
ada sesuatu nak cakap dekat Mira.”
Senyap.
Jauh dalam diri Amiera, dia sudah
dapat menebak ‘sesuatu’ itu.
“Mira?” Tasneem menyeru lembut.
Amiera tersedar dari lamunan pendek.
“Ya ibu. Insya Allah... nanti Mira datang rumah,” ujar Amiera.
Ketika itu, sebuah kereta berwarna
hitam berkilat berkelajuan sederhana melintas hampir dengannya. Terpisah
beberapa inci sahaja.
Lirik mata menyoroti kereta
berkenaan. Kenderaan hitam itu berhenti di bawah sebatang pohon sebesar dua
pemeluk manusia yang tumbuh berdekatan kawasan tanah perkuburan Islam tersebut.
Berakhir dengan ucapan salam,
panggilan tadi diputuskan. Beban di kepala tidak pernah mahu meringan. Hidupnya
terasa berpusing 360 darjah. Biar dia cuba untuk bersikap tenang, tidak ambil
endah persekitaran namun jauh di sudut hati, dia benar-benar tertekan.
HEROT bibir Adlan
tidak menzahirkan rencana dalam hati. Dia terus melempar pandangan ke arah Ku
Embok yang beriak serius.
“Dia tak akan percaya.” Adlan
berkata.
“Sebab Edi tak ceritakan perkara
sebenar. Sepatutnya, apa yang Edi cakap pada nenek, Edi kena cakap juga pada
mummy. Edi tak kasihankan mummy ke? Nenek tahu, mummy kamu tu memendam perasaan
kecewa terhadap kamu, Edi. Sampai bila Edi nak buat mummy macam ni?” Ku Embok
menggeleng kepala tanda kecewa. Ketenangan roman Adlan menambah rasa pilu.
Adlan tidak pernah ambil peduli hati Rozita yang sering disakiti dan kini makin
menjadi-jadi.
Adlan mencicip kopi berbau harum
halia dengan penuh berhati-hati. Panas.
Ku Embok mengelus nafas berat. Ulah
Adlan tidak difahami. Setiap perkara yang berlaku seolah enteng di mata lelaki
berstatus duda itu.
“Edi nampak macam...” Ku Embok
mematikan bicara. Mata hitamnya bergerak-gerak memerhati setiap inci wajah
berkerut Adlan ketika itu.
“Nenek nampak apa?” soal Adlan.
“Apa niat Edi menikahi perempuan
tu?” Mengecil mata Ku Embok. Penuh wasangka.
Adlan tersenyum. “Saya kena
bertanggungjawab, nek. Benda dah jadi. Lagipun, saya tak nak Amiera dipandang
serong oleh keluarga sendiri.”
“Lain?” Ku Embok masih curiga.
Naik tinggi kening Adlan. Tiada
kata-kata bidasan meluncur dari mulutnya.
“Kamu menikahi perempuan tu bukan
kerana hendak menyakiti hati mummy kamu, kan?” Tumpuannya penuh menatap anak tiri
arwah Ahmad Saufi.
Adlan memilih untuk mendiamkan diri.
Untuk kedua kalinya.
“Perkahwinan bukan satu perjudian,
Adlan. Judi itu sendiri hukumnya haram. Ia satu tanggungjawab meski permulaan
hubungan itu tanpa sekelumit perasaan pun. Kamu dan dia, masing-masing
terperangkap dalam satu salah faham. Mungkin nenek tak dapat baca ketelusan isi
hati kamu, niat sebenar kamu pun nenek tak mampu nak duga, tapi nenek mohon,
jangan zalimi perempuan itu semata-mata hendak melihat orang lain merasa sakit
hati. Dia bakal isteri kamu. Isteri yang wajib kamu lindungi dan penuhi
haknya.”
“Sebuah pernikahan itu satu ibadah.
Jangan pula niat hati kamu mencemarkan sucinya ibadah tu sendiri.” Titipan
pesanan terakhir itu membawa jiwa Adlan ke mukim serba sunyi.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
6 comments:
Alaaaaa pendeknya n3...but anyway tqvm..x sabar tunggu the next
Adoi la hai HR.... Abis mcm ni? Btl2 bikin pns.. Huhuhuhu....
Dear anon,
Tq sudi baca ULK. Entri pendek? Gulp! Rasa mcm pjg dah hihi
Again, TQ!
Dear sis Nvel Addct,
Hihi mmg takat tu je sis. Kekonon nak buat aksi Fatma kaku kahkah :p
Tq sis, selalu luang masa terjah blog setiap hari rabuday :D
haha best2. ^^
Hai Nik Ainaa :)
Tq sudi baca and drop komen! :')
Post a Comment