Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab25.

Assalamualaikum.







"...Some hearts understand each other, even in silence..." - Yasmin Mogahed









Bab 25
“EH... sudah-sudah! Buat apa pengantin baru duduk dekat dapur ni?” Tok Usu Mah mencekak pinggang sambil mencerlung mata ke arah Amiera. Amiera mendongak sementara tangannya masih ligat menyental pinggan mangkuk dalam besen penuh air sabun.
            “Orang nak tolong sikit aje tok,” pintasnya.
            “Idah, tu... pergi tarik pengantin tu.” Tok Usu Mah memerintah menantunya. Saidah yang sedang memasukkan sampah sisa makanan ke dalam plastik hitam, terus sahaja mencuci tangannya sebelum mendekati Amiera.
            Saidah mencuit lengan Amiera. “Dah... dah. Pergi duduk jauh-jauh.”
            Masam mencuka muka Amiera. Namun dia belum bergerak-gerak mengikut arahan Tok Usu Mah dan emak Asma Laini.
            “Orang nak tolong sikit je, Mak cik Idah. Asyik duduk tengok aje.” Amiera membidas lagi.
            “Ini majlis kenduri kesyukuran aje, jadinya awak tu tak payah cemar tangan menolong dekat dapur. Nanti tunggulah majlis walimatul urusnya, semua periuk belanga besar-besar gedabak tu, Mira dengan suami yang kena sental.” Bersahaja Saidah berkata.
            “Alah, tak payah tunggu majlis tu. Sekarang pun Mira boleh tolong.” Amiera tersenyum-senyum.
            “Tak bergerak lagi budak tu.” Suara Tok Usu Mah kedengaran lagi. Kali ini dengan lagak mencekak pinggang.
            Asma Laini yang melintas depan mata, laju disambar lengannya. “Asma, pergi ganti Rin. Pinggan-pinggan tu semua, biar orang lain angkat.” Tok Usu Mah memberi arahan baru.
            “Bangun! Bangun!! Bangun!!!” Kecoh ruang itu dengan suara Asma Laini.
            Akhirnya, Amiera mengalah.
            “Kau ni, orang dah layan macam puteri tu, ikut ajelah.” Span kuning disental kuat pada bekas plastik yang penuh berminyak.
            Belum sempat Amiera buka mulut, Asma Laini berkata lagi, “Hari ni, hari special untuk kau. Daripada kau busuk-busuk dekat dapur, baik pergi depan sana. Ada juga laki kau boleh tengok. Lainlah aku ni. Jadi kuli, macam sekarang. Maklumlah, tak kahwin lagi.”
            Asma Laini pamer muka serius.
            Amiera mencebik. Kalau mulut itu sudah berkata-kata, memang tidak akan habis modalnya.
            “Kau tu nak berlaki bulan depan. Macam lama sangat aje,” tuntasnya.
            Spontan, Asma Laini hambur ketawa.
            “Pergilah depan sana. Kau nak ke dengar Tok Usu tu bebel? Tadi aku nampak keluarga suami kau macam dah nak balik. Kang dorang tercari-cari kau pula.” Asma Laini memberitahu.
            “Aku pergi depan dulu eh,” pamit Amiera. Kain diangkat melepasi buku lali ketika melepasi laluan penuh air dan licin.
            “Sila... sila...” sahut Asma Laini.
            Lambat-lambat, Amiera membawa langkah ke ruang tamu. Terjenguk-jenguk cari kelibat keluarga barunya.
            “Kak Mira!” Haili Sofea datang menerpa.
            “Eh, Elly...” Amiera cuba beramah-mesra.
            Haili Sofea kulum senyum lebar. “Kami cari Kak Mira tadi,” katanya.
            “Cari... kenapa?” soal Amiera pula.
            “Amiera... nenek dah nak gerak balik.” Ku Embok mencelah sambil mengukir senyum halus.
            Amiera menjulang mata, menatap paras wanita seusia lebih kurang Tok Usu Mah.
            “Awal lagi ni nek.” Adlan mendekati mereka.
            “Lewat sangat dah ni Edi. Lagipun mummy Edi seorang diri dekat rumah tu,” balas Ku Embok. Selajur anak mata mencari paras cucu menantunya. Pipi Amiera dielus lembut. Sejurus itu, dia kembali menatap wajah Adlan.
            Sungguh, Rozita benar membekukan hati. Biar dipujuk, menantunya itu kekal berkeras enggan menghadiri majlis barakah ini. Alasan sibuk menjadi tiang yang paling rapuh. Hanya salam diutus, tidak sesungguh hati.
            “Jangan persiakan Amiera.” Ku Embok berkata.
            Adlan memandang Amiera. Dengan ulas bibir melarik senyum, dia membalas, “Insya Allah, nek.”
           
“PATAH hati?” Fatma berkata seraya melempar renungan tajam ke arah Ekmal yang bersandar di dinding sambil mata membidik ke hadapan. Tepat dilaras memerhati ulah pasangan pengantin baru- Amiera dan Adlan.
            Tiada jawapan. Ekmal lebih selesa menggumpal perasaan itu sendirian.
            “Abang tak rasa ke yang kita sekarang ni menipu semua orang?” Fatma meletak dirinya di depan Ekmal.
            “Tipu?” Ekmal bertanya tanpa minat. Dia hendak berlalu dari situ namun Fatma menghalang. Bukan Ekmal seorang sedang menahan perasaan perit yang bergulung-gulung menghentam hati, dia juga begitu. Malah lebih hebat lagi. Amiera telah memiliki semuanya.
               “Tu... tengok tu...” Kali ini, Fatma menjuih bibir menghala pada Shahreza dan Tasneem. “Ibu ayah berlakon aje lebih. Ema rasa masing-masing lupa macam mana Amiera dan Adlan tu ends up as husband and wife.” Dia mencebik geram.
            “Dah jodoh mereka.” Ekmal membalas malas.
            “Dah jodoh? Kahwin macam tu abang kata jodoh? Please!” Herot-herot bibir Fatma.
            Ekmal melepaskan segumpal nafas yang memberati rengkungan.
            “Habis tu, Ema nak abang cakap apa? Nak heboh dekat semua orang yang mereka tu kena tangkap dengan keluarga sendiri, macam tu?” Suara sedikit mengendur.
            Fatma senyum sinis. “Ikut hati, memang nak buat macam tu. Tak adil untuk keluarga kita hadap perbuatan Amiera tu. Memalukan!” dengusnya. Kasar.
            “Dahlah Ema. Sekarang ni, kita doakan mereka bahagia,” tegas Ekmal. Biar jiwanya diguris parah, namun dia sedar, Amiera tidak akan mampu dia miliki sampai bila-bila pun.
            Fatma mengejar langkah abangnya. Mereka mendaki anak tangga. Di tingkat atas, suasana tidak seriuh tadi. Hanya mereka berdua di situ.
            “Abang nak give up semudah ni?”
            “Give up? Ema, dia isteri orang!”
            “Salah ke apa Ema cakap?” Soalan dibalas soalan.
            Bertambah kusut kepala Ekmal. Apa Fatma sudah hilang kewarasan akal sendiri?
            “What is wrong with you?” Timbul rias curiga di wajah Ekmal.
            “What is wrong with me? Everything! Everything is wrong! I hate her! I hate her!” Sebagaimana jeritan itu membungkus jiwa, lengkingan suara juga nyaris tinggi membelah kesunyian ruang di tingkat atas kediaman tersebut.
            “You know what, Ema benci semua orang dalam rumah ni. Benci! Kenapa semua orang masih boleh terima Amiera sedangkan dia dah malukan kita? Dia bukan sesiapa, bang! Ibu, ayah... even abang dan Sarah pun boleh berlagak macam tak ada apa-apa berlaku, sedang hakikatnya...” Fatma menggigit bibir. Dia benar-benar marah. Cukup kecewa.
            Ekmal tampak terkejut mendengar pengakuan Fatma. Diam tak terkata.
Fatma menyeka airmata. Sudah lama dia jatuh tersungkur di kaki Amiera. Dari segi apa pun, Amiera tetap berada dikedudukan tertinggi, sedangkan dia kekal terpinggir.

MELALUI ruang pintu yang merenggang sedikit, Amiera menjenguk kepala ke dalam kamar peraduannya. Tercari-cari kelibat Adlan yang dilihatnya sudah mendaki anak tangga sekitar jam 11.30 tadi. Lirik mata sempat menyoroti jam dinding.
            “Kak...”
            Amiera berkalih tubuh. Degup jantung nyata berdetak deras.
            “Sarah! Ya Allah...” Amiera mengucap panjang.
            Sarah tersengih-sengih.
            “Kenapa mengintai macam tu?” tegurnya.
            Amiera garu kepala yang masih elok dilitupi selendang. “Ni kenapa tak tidur lagi?” soalnya. Sengaja mengalih tumpuan gadis itu.
            “Nak tidurlah ni,” jawab Sarah.
            “Tidur mana?”
            “Tidur bilik Kak Ema. Kan bilik Sarah ni dah jadi bilik pengantin untuk Kak Mira.” Sarah mengulum senyum selepas itu.
            “Oh ya. Lupa.”
            Sarah menggeleng kepala, disertai tawa kecil. “Jangan nanti Kak Mira lupa lagi dah lah ye.”
            Kerut-kerut halus melatari riak wajah Amiera. “Lupa apa?”
            “Petang tadi tu...” Meleret suara Sarah.
            Dipaksa-paksa mukanya melentur senyum. Pahit.     
            “Sarah masuk tidur dululah, kak. Night!” katanya selajur menonong ke bilik Fatma yang terletak bertentangan kamar peraduan pengantin baru itu.
            Amiera memerhati lenggang Sarah hingga gadis itu hilang dari pandangan. Sekali lagi, dia mengelus nafas. Lebih berat.
            “Kenapa tercegat depan pintu?” Adlan terjengul di muka pintu.
            Amiera terdorong ke belakang. Beberapa langkah. Bulat mata itu memandang Adlan.
            “Come.” Adlan membuka pintu dengan luas.
            “Tak penat ke berdiri macam tu?” tegurnya apabila Amiera enggan berganjak. Tercetus tawa kecil Adlan melihat ulah Amiera yang kelihatan teragak-agak hendak memulakan langkah.
            Pintu ditutup rapat.
            Spontan, Amiera kalih ke belakang.
            “Kenapa?” soal Adlan.
            Amiera menggeleng. Rapat tubuhnya ke dinding. Tangan meraba tuala yang disidai atas sampiran besi panjang berhampiran almari kayu.
            “Dah solat isyak?” Duduknya dilabuh atas birai katil.
            “Belum. Saya nak mandi dulu,” jawab Amiera.
            “Kita sembahyang sama ya,” ujar Adlan.
            “Baiklah.” Amiera menyahut.

“AMIN ya robbal’alamin...” Adlan meraup wajahnya. Dia duduk berteleku di atas sejadah untuk seketika. Setelah itu, dia memaling tubuh. Menatap Amiera yang menunduk sambil memejam mata. Bibir gadis itu terkumat-kamit melontar bicara yang tidak mampu mencecah anak telinga.
            “Amiera.” Serunya dengan lembut.
            Amiera mendongak.
            Mereka saling bertatapan.
            Sesaat. Dua saat. Tiga saat.
            Tangan diunjuk kepada gadis itu. Biar makan masa, akhirnya tangan itu bersambut. Amiera membawa tangan lelaki itu ke muka. Pada saat tangan-tangan kasar Adlan rapat ke hidung, ada perasaan lain menjalar ke segenap pelosok dada. Hingga detak jantung seakan mati seketika.
            Dagu Amiera dipaut lembut. Sekali lagi, mereka berbalas renungan. Terkebil-kebil mata Amiera memerhati kelakuan Adlan. Wajah mereka terpisah beberapa inci sahaja. Dia pejam mata. Hangat kucupan di dahi terasa menyambar kulit muka.
            “Sebuah pernikahan itu satu ibadah. Jangan pula niat hati kamu mencemarkan sucinya ibadah tu sendiri.” Untaian kata Ku Embok menerobos ruang pendengaran. Nasihat berupa peringatan kepada dia.
            “Awak tak berniat nak tampar saya lagi, kan?” Adlan bertanya. Berbisik hampir ke telinga Amiera.
            Bulat mata Amiera membelah renungan itu.
            “Untuk tadi tu...” Tersungging senyum nipis di bibir lelaki itu.
            “Penangan petang tadi masih terasa ni.” Adlan mengusap pipi kanannya.
            Aksi Adlan menempa tawa kecil Amiera. “Maaf. Saya lupa.” Jujur dia berkata.
            Adlan meleret senyum lagi.
            “Tak apa. Sekurang-kurangnya saya tahu setakat mana skill isteri saya ni tampar orang,” sendanya. Cuba mewujudkan suasana harmoni antara mereka.
            “Amiera Syazreen...” Adlan berpeluk tubuh.
            “Nice name. Amiera... Syazreen...” lanjutnya seraya melaras pandangan mata tepat ke paras Amiera yang turut sama memerhatikannya.
            “Nama tu... arwah ibu yang bagi,” jelas Amiera.
            “Tapi ibu...” Adlan tidak menghabisi bicara sendiri.
            “Itu... ibu yang sekarang ni, berstatus ibu saudara. Saya ni menumpang kasih dengan mereka.” Pandangan Amiera kembali menjunam jatuh ke arah jari-jemari yang saling bersulam.
            Ya, dia teringat penegasan Fatma tempoh hari. Amera dikata tiada pertalian darah pun, walhal jika dikira hubungan darah kekal terjalin antara Amiera dan keluarga angkatnya.
            Adlan leret senyum. Jari-jemari Amiera diraih, lantas digenggam lembut. “Mungkin kita perlukan masa untuk terima semua ni tapi saya yakin, kalau kita cuba dan bersabar, bahagia tu akan muncul juga, kan?”
            Sebenarnya, jauh di sudut hati Amiera, masih terlalu sukar untuknya menerima perkahwinan ini. Namun dia akur juga. Barangkali jalan yang sedang dilalui merupakan sebahagian daripada rencana hidup yang telah tertulis di atas langit.
            Pada saat lafaz akad nikah itu temetrai, dia menangis. Tangisan yang menzahirkan pelbagai perasaan dalam dada. Pengakhiran yang tidak pernah terlintas di fikiran.
            “Kenapa menangis ni?” Airmata itu diseka lembut. Wajah Amiera ditatap lagi.
            Bibir diketap rapat. Suara terpunduk di kerongkong.
            “Amiera... saya mungkin tak mampu menjanjikan kebahagiaan abadi tapi saya akan cuba jadi suami yang baik untuk awak.” Adlan cuba memujuk. Tidak diluah dengan kata-kata pun dia sudah mampu menebak apa yang mengganggu Amiera ketika ini.
            Di sebalik kolam mata Adlan yang beriak tenang, Amiera mencari sesuatu di situ.
            “Saya perlukan masa.”
            “Ambil lah sebanyak mana masa yang awak perlukan.”
            ‘Syurga kini di bawah telapak kaki Adlan.’ Berdengung suara itu di kepala Amiera. Mata dijulang tinggi menatap wajah sang suami. Walau tiada cinta, dia akan cuba menjadi yang terbaik buat Adlan. Benih-benih cinta boleh dituai sedikit demi sedikit. Tidak perlu dipaksa. Biar ia hadir dengan izin-Nya.
            Adlan menoleh sekilas. Jam dinding berdeting perlahan- menunjuk angka 2 pagi. Dia bangun. Sejadah dilipat memanjang.
            “Dah lewat sangat ni,” katanya. Sejadah disidai atas penyidai besi.
            Amiera ikut bangkit. Telekung ditanggalkan dari tubuh. Dilipat rapi sebelum dikembalikan ke dalam almari. Lambat-lambat dia mendaki katil. Kelakuan Adlan diperhati. Lelaki itu mengambil sebiji bantal lalu dicampak atas lantai beralas karpet berbulu lembut.
            “Tidur situ?” Amiera memanjangkan leher.
            Adlan tidak jadi rebah. Duduk bersila sambil menepuk bantal.
            “Habis tu, nak ajak saya tidur sana ke?” Adlan menyoal berbaur usikan.
            Ruang kosong di sebelah perbaringan ditepuk-tepuk. “Tempat awak dekat sini,” tutur Amiera.
            Ulas bibir Adlan melentur senyum kecil. “Betul ni tak kisah saya tidur sekatil dengan awak?”
            Amiera mengangguk.
            Mata Adlan mengecil. “Betul? Tak menyesal?” Giat dia mengusik.
            “Mana tahu kang tiba-tiba jadi benda lain pula.” Adlan makin galak melontar gurau senda, sedikit nakal.
            Dia geleng kepala lagi. “Saya percayakan awak, Adlan.”

            Mendengar jawapan itu, Adlan tersenyum lebar. Lebih lebar. Hampir ke telinga.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Hailaaaa Adlan Amiera... kenapa tak rajin jengah aku selama berbulan-bulan ni? -..-' Secoet aje geraknye. Oh ya! Bulan depan, yakni Julai 2014... novel kita akan keluar bawah Kaki Novel wohoo! Guna nama penuh tahuuu- Salwati Haris, bukan Hanah Rishas. Hihi. So jangan fefening okey :) Maklumlah, sebelum ni, masa mula-mula terjun menyelam masuk bidang ni, iolss guna nama penuh. Nampak suci sangat ekeke :P SH untuk PKN. HR untuk GedeBook n_ny 

Hai Elisa! Hai Hilman! :) 
Rasa macam nak buat entri untuk memperkenalkan babies bagi mengelakkan kekeliruan eceh! haha


8 comments:

Nvel Addct said...

Sayang HR... Awat secoet ja? Huhuhu..
Time tgh x brp sehat ni nk gak bc n3 pnjg sket..

Nuramanni said...

Best... bila nk sambung ni... :)

Anonymous said...

Best... :-)
Bila nk sambg lg ??

~::HANAH RISHAS::~ said...

Sis ku syg.. :) semoga cepat sembuh :)

juridah said...

Tqvm cik writer....best sangat

AYRA ZAHRA said...

beb...
x sabar i nk baca part Adlan dan Amiera kahwin.. tq entry ni.. Muaahhh.. :D

Anonymous said...

Suka..suka... Nk lg blh x?:-)

Lollipop Manis said...

alahh. bile amierah dgn adlan nak kawen ni tak sabar tunggu. nak lagiiii. :D