Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan bab24.

Assalamualaikum.







"...The strong man is one who controls himself when he is in a fit of rage..."









Bab 24
 “SATU... satu... saya sayang ibu. Dua... dua... saya sayang ibu. Tiga... tiga... sayang ibu, ibu, ibu. Satu dua tiga... sangat sayang ibu!” Dia yang berambut pendek, diikat dua itu begitu gembira menyanyikan lagu yang dipelajari sewaktu di pra-sekolah. Runut bunyi yang sama, cuma rangkai kata itu diubah, diulang perkataan ‘ibu’ berkali-kali.
            Semakin lebar dia tersenyum apabila nyanyiannya tadi memutikkan keceriaan di roman wanita yang asyik membelai kepalanya.
            “Pandai anak ibu.” Ibu mengucup kepalanya pula.
            Dia mendepakan tangan. Merangkul pinggang ibu dengan penuh perasaan cinta dan kasih yang tiada tara.
            “Adik sayang ibu.”
            “Mira sayang ibu.”
            Dua suara itu bersatu.
            Amiera yang berdiri tidak jauh dari tempat itu, berjarak kira-kira lima langkah,  mulai membuka jejak menghampiri. Bergerak-gerak bola matanya memerhati dirinya yang masih kecil, berusia dalam lingkungan lapan tahun- begitu erat memeluk ibu. Manakala ibu pula, sekali-sekala tertawa kecil bila mulut mungilnya menyanyikan kembali lagu itu.
            “Kenapa tak nyanyikan untuk Tok Awan, Nek Awan sekali?” Ibu menyoal lembut.
            “Nanti panjang sangat. Tok Awan, Nek Awan, Ayah Reza, Ibu Tasneem. Hah... Abang Amal lagi, Kak Ema lagi.” Jari-jari diangkat dan mula membilang satu per satu.
            “Sebab tu adik nyanyi untuk ibu aje.” Senyum kecil menghiasi muka polos itu.
            “Adik nak nyanyi untuk ibu sampai bila-bila.”
            “Betul?”
            Bergoyangan rambut yang diikat dua itu bila kepala diangguk laju.
            “Sampai bila-bila...” Amiera duduk di atas pangkin. Bayangan dia sewaktu kecil telah bersatu bersama tubuhnya.
            “Ibu sayang anak ibu.” Ibu berbicara lembut, seraya mengelus pipi dia dengan penuh kasih.
            Airmata Amiera tumpah. Dia menangis. Tenggelam dalam lautan rindunya terhadap Suria.
KELOPAK mata terbuka. Pandangannya berbalam-balam. Paras ibunya semakin kabur dan bila telah jelas penglihatan, bayangan tadi langsung berkecai.
            Tercampak ke lembah mimpi itu seolah menggamit kenangan lalu. Kenangan yang paling dia ingat, paling dia sayang. Nyanyian yang sehingga kini berlagu dalam hati untuk ibunya.
            ‘Astaghfirullah...’ Dia beristighfar dalam hati. Telapak tangan meraup muka. Nafas dihembus melepasi rengkungan. Tubuhnya yang baring terlentang, dialih posisi. Mengiring ke kanan.
            Pejam celik, pejam celik dia perhati pandangan yang tampak asing. Dan dia memisat mata pula. Adlan? Ah, sebelum rebah melayan lena, seingatnya, dia begitu ralit merenung cincin belah rotan pemberian lelaki itu. Lakaran tuan punya badan pun ikut terlukis di kanvas fikiran.
            Tubuh yang terbaring di sebelahnya sedang bergerak-gerak. Daripada terlentang menghadap siling, kini mengiring ke arahnya. Hangat hembusan nafas lelaki itu terasa membakar kulit. Dan saat itu dia menyedari sesuatu- ini bukan mimpi. Bukan sekadar mainan mata!
            “Aaa!” Jeritan sulung Amiera kedengaran kuat.
            “Aaaaa!!” Pekikan itu pecah lagi. Dalam keadaan bingung, dia melompat turun dari katil. Bergegas memencilkan diri di penjuru bilik. Buntang mata itu memerhatikan Adlan yang mulai bangkit dari perbaringan. Lelaki itu menutup telinga. Berkerut-kerut mukanya.
            “Kenapa awak menjerit macam nampak hantu ni, Amiera?” Adlan bertanya. Kelopak mata terbuka sedikit. Selebihnya, dia melayan rasa ngantuk yang amat.
            “Encik... awak... buat apa dekat dalam bilik ni? Ni... ni bilik siapa? Saya dekat mana?” Amiera ligat mengitari ruang peraduan yang tampak cantik dihias dengan bunga-bunga segar.
            “Awak ni okay ke tak?” keluh Adlan. Dia hendak bangun namun segera dihalang oleh Amiera. Malah gadis itu sempat melontar sebiji bantal tepat mengenai mukanya.
            “Amiera...” Rendah suara itu menegur. Dia bangun lagi. Punggung dilabuh di hujung katil. Bulat matanya merenungi paras Amiera yang nyata pucat lesi. Tubuh itu pula sudah dibaluti dengan selimut tebal.
            “Jangan!” Amiera menepis tangan Adlan yang cuba meraih lengannya. Dia benar-benar keliru. Bingung!
            “Hey... what is wrong with you?” Adlan mulai hilang sabar. Disambar juga lengan Amiera.
            Amiera meronta.
            “Lepas!”
            “Amiera! Calm down.” Adlan berusaha menenangkan Amiera. Lagak gaya macam kena histeria.
            Amiera enggan menurut. Adlan ditolak kasar. Dulu... mereka pernah ditangkap berdua-duaan begini. Sekarang, ia terjadi lagi. Lagi! Amiera menampar pipi Adlan.
            Adlan pegun. Birat pipinya.
            “Kak Mira?” Suara Sarah kedengaran di luar bilik.
            Amiera merentap tangannya. Terus menerpa ke pintu dan dibuka luas. Mata dia sudah berair. Peristiwa dulu seolah berulang kembali.
            “Eh, kenapa ni kak?” Sarah menyoal pelik. Silih berganti dia perhati Amiera yang sedang menangis teresak-esak dan Adlan yang pegun di tengah ruang itu.
            “Ask her.” Adlan duduk.
            “Tanya saya? Sepatutnya saya yang tanya awak, macam mana awak boleh ada dalam bilik ni? Apa awak dah buat dekat saya?!” bentak Amiera.
            “Kak...” Sarah menyentuh bahu Amiera.
            Amiera menyeka airmatanya dengan kasar. “Sarah... tolong percayakan Kak Mira. Kak Mira tak tahu macam mana dia boleh ada dalam bilik ni dengan Kak Mira.”
            Sarah tertawa.
            “Apa Kak Mira cakap ni?” Sarah menggeleng kepala.
            Amiera terpinga-pinga. Berkesempatan melirik mata ke segenap penjuru kediaman ini. ‘Ini rumah ayah!’ Bisik hatinya. Selajur dia mengurut pelipis dahi.
            “Aku terima nikahnya Amiera Syazreen binti Latif dengan mas kahwinnya...”
            Mata terpejam-pejam. Suara garau Adlan menyusup ke dalam jendela pendengaran. Spontan, dia pandang lelaki itu.
            “Sarah nak turun bawah. Lepas Maghrib kang ada kenduri doa kesyukuran untuk Kak Mira dan Abang Adlan.” Sarah kulum senyum selepas itu.
            Langkah Sarah dihalang pergi.
            “Majlis... apa?” Hampir bertaut keningnya.
            “Eh, Kak Mira ni tanya soalan pelik-pelik pula. Majlis Kak Mira dan Abang Adlan lah. Pengantin baru. Ke Kak Mira lupa yang akak dah jadi isteri Abang Adlan?” Sarah pula naik hairan. Ulah kakaknya seumpama hilang ingatan.
            “Sarah turun dulu ya,” pamit Sarah. Mencicit lari turun ke bawah.
            Amiera termangu-mangu di ambang pintu. ‘Ya Allah, ke mana hilangnya ingatan aku?’ Amiera berundur ke belakang beberapa langkah ketika Adlan datang, menolak regangan pintu agar tertutup rapat.
            “We’re married couple now, Amiera,” kata Adlan.
            “Look at yourself.” Adlan menuding jarinya. Dari atas kepala sampai ke hujung kaki, dia mengarah jari telunjuknya pada Amiera.
            Amiera pantas berlari ke meja solek. Terbias parasnya di atas permukaan berkilat cermin tersebut. Solekan nipis ditata ke muka pun masih bersisa. Amiera kerut muka. Berusaha mengingati retetan peristiwa yang mungkin tercampak jauh dari peti simpanan dalam kepala.
            “Astaghfirullah... Ya Allah...” Amiera mengelus dada. Pandangan dikalih menatap Adlan yang sudah sedia menyambut dia dengan kuluman senyum nipis.
            “Remember?” aju lelaki itu.
            Lambat-lambat, Amiera angguk kepala. Lelaki itu, yang bernama Adlan Hakim, yang sedang merenungi dia sambil mengukir senyum adalah suami yang baru sahaja menikahinya selepas zuhur tadi. Sungguh, dia tidak ingat!
            Adlan menyembunyikan tawa yang pecah berderai dalam hati. Daripada roman wajah meriak garang, pucat lesi, dan penuh kekeliruan, kini Amiera kembali tenang. Dalam tempoh beberapa minit, dia telah dijamu dengan pelbagai kerut dan riak menakungi roman Amiera.
            “You owe me one,” bisik Adlan ke telinga Amiera. Pipi yang makan penampar sulung isterinya tadi dielus-elus.
            Amiera telan liur.
            “So... sorry...” tuturnya. Ketar.
            Adlan meleret senyum lagi. “Lain kali, jangan tidur lepas asar. Boleh buat kepala jadi kurang waras, macam tadi.”
            “Dah dekat maghrib dah ni. Awak nak mandi dulu atau saya?” Adlan memberi pilihan. Duduk selesa di atas katil beralas cadar biru lembut sambil memerhati Amiera.
            Tanpa bicara, Amiera lekas mencapai tuala dan pakaian miliknya dari dalam almari. Panjang langkah keluar dari bilik itu.
            Adlan tersenyum lagi. Lebih lebar.

TERJINGKIT-JINGKIT kaki Amiera memijak lantai, menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Keriuhan itu memenuhi setiap penjuru rumah. Kepala menjenguk ke ruang tamu. Kelihatan beberapa orang tetamu terdiri daripada jiran tetangga sedang duduk sambil berborak-borak. Shahreza yang segak berbaju melayu dan berkain pelikat berdiri di muka pintu, menyambut kedatangan tetamu-tetamu yang telah diundang untuk meraikan dia dan Adlan yang baru sahaja dinikahkan siang tadi.
            Mengecil mata dia, menangkap bayang tubuh Adlan ada bersama Shahreza. Seakan tidak percaya bahawa lelaki itu sudah menjadi suaminya. Dia tidak mimpi, kan? Muka diraup berkali-kali.
            “Hoi!” Betty  menepuk kuat bahu Amiera.
            Lekas dia menyentuh dada. Nyaris bergolek keluar jantung dia. “Betty!” Dia berdecit.
            Mengekek Betty ketawa. Dalam senyum lebar, dia berkata, “Amboi kau... duduk dalam bilik dengan laki tadi, masih tak puas ke tenung muka dia? Sampai mengintai bagai.”
            Terbeliak mata Amiera. Lengan Betty dicubit sepuasnya.
            “Sabar sikit. Malam nanti ada masa lagi.” Giat Betty menyakat. Hilang sakit cubitan Amiera bila melihat wajah itu berubah kemerah-merahan.
            “Kau!” Amiera mengangkat jari telunjuk. Bawah bibirnya diketap rapat.
            Betty ketawa lagi. “Alah, gurau ajelah,” ujarnya.
            Gurauan Betty tadi mampu buat dia putus urat jantung.
            “Sejak bila kau memadu kasih dengan Encik Adlan kita tu?” Betty jongket tinggi keningnya, selajur membawa tangannya mencekak pinggang.
            “Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba hulur jemputan majlis kecil ni. Kahwin ekspress?”
            Terkunci rapat mulut Amiera ketika itu. Liur yang melalui salur tekak terasa pahit.
            “Cinta kilat, Betty.” Adlan muncul entah dari mana, tiba-tiba sahaja sudah berdiri di sebelahnya.
            Kedua-duanya membuang pandang ke arah Adlan. Betty terkial-kial sembunyi senyum.
            “Melepaslah saya, Encik Adlan. Ingat nak mengorat encik, rupanya Amiera dulu yang dah cantas niat saya” seloroh Betty.
            Amiera mengerling tajam muka temannya.
            “Awak pun ada hati dekat saya?”
            Pantas Betty menggeleng. “Nanti Amiera marah. Cukuplah hak memiliki tu untuk Amiera seorang.” Semakin giat Betty berbicara.
            “Habis tu, bila majlis sanding? Takkan buat majlis macam ni aje?” lanjut Betty lagi.
            Adlan memaut bahu Amiera. “Insya Allah... akan ada majlis tu nanti tapi bukan dalam waktu terdekatlah. Dahulukan apa yang wajib.” Tenang Adlan menjawab soalan Betty yang nampak terlalu berminat untuk tahu semua perkara.
            “Wah... kalau macam tu, silap-silap haribulan, encik dan Amiera naik pelamin dah bertigalah.” Betty membuat aksi usap perut Amiera. Cekap tangan itu ditepis. Betty tersengih.
            “Saya nak ke dapur dulu.” Amiera menarik tangan Betty. Enggan membiarkan gadis itu terus lontar bicara yang pasti membuatkan dia sesak nafas.
            “Mira...” Suzana yang berdiri hampir di sebelah anak saudaranya lekas menegur.
            Amiera menoleh. Diamati paras wanita itu.
            “Mira nak makan? Mak Su ambilkan. Dari tengahari tadi, Mira tak makan apa-apa. Kan?” Suzana berkata.
            Amiera menggeleng laju. “Saya tak lapar.”
            “Betul ni? Perut tu, tak elok dibiar kosong.”
            Dia menggeleng lagi. Lirik mata membelah renungan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di samping Suzana. Kanak-kanak tersebut telah memperkenalkan diri sebagai Idham pada pertemuan pertama mereka semalam.

AMIERA mengekor Shahreza ke ruang tamu. Kata ayah, dia hendak dipertemukan dengan seseorang. Tidak pula dia bertanya, siapakah gerangan orang itu. Sampai sahaja di situ, seorang lelaki bersama seorang perempuan dan tiga orang budak lelaki berbeza ketinggian, menyapa mata. Silih berganti dia pandang Shahreza dan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Hazman.
            “Ini Pak cik Hazman.” Shahreza memperkenalkan. “Tu, isteri dan anak-anak dia.”
            Amiera menyalami tangan mereka. Sempat mengusap kepala budak paling rendah di antara ketiga-tiga pahlawan pasangan Hazman dan Suzana.
            Terasa sedikit canggung tatkala menyedari Hazman dan Suzana terus-terusan merenung dia. Kemudian pasangan itu saling berbalas pandang.
            “Pak cik Hazman dan Mak cik Suzana ni keluarga kamu sebelah ayah kamu, Amiera.” Shahreza menjelaskan.
            “Pak cik ni adik ayah Amiera,” celah Hazman.
            Tidak berkelip mata Amiera menikam pandangan yang terarah padanya. Ayah? Terlalu asing gelaran itu untuk ditempel kepada orang lain selain Shahreza.
            “Mira masih ada ayah?” Soalan dilontar tanpa secebis perasaan pun kerana kewujudan lelaki bernama Latif itu tidak pernah didamba dalam hidupnya. Malah dia sudah lupa, dihujung namanya, ada satu nama yang akan kekal dibawa ke mana pun.
            Latif.

“MAK, mana Abang Long dengan Abang Chik?”
            Rengekan suara Idham mematahkan menungan dia sebentar tadi. Si kecil itu terjenguk-jenguk mencari kelibat abang-abangnya, barangkali.
            “Abang dekat luar, dengan ayah. Pergilah ikut sana.” Suzana menyuruh Idham bangkit. Idham menurut. Mencicit lari keluar dari dapur. Sejurus itu, Suzana turut angkat punggung. Ringan tulang membantu ahli keluarga Shahreza dan Tasneem menyiapkan juadah yang akan dihidang kepada ahli jemaah surau dan jiran tetangga, serta kaum keluarga dan rakan terdekat yang hadir ke majlis ini.
            ‘Amiera Syazreen binti Latif.’ Nama sendiri melantun-lantun dalam kepala. Latif- masih wujudkah lelaki itu di atas muka bumi ini? Dia bertanya kepada Shahreza, namun lelaki itu memilih untuk mendiamkan diri. Membiarkan soalan dia terbang bergumpal dalam udara.
            Dan dia ingat, Hazman menjadi wali untuknya.
            Amiera ralit memerhati persekitaran yang sedikit hingar. Lama kelamaan suara-suara itu kian lenyap.

Terima kasih kerana baca entri ini. have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

2 comments:

AYRA ZAHRA said...

Tak sabar nk baca sambungannya. Cepat update beb.. :D

Lollipop Manis said...

nak lagiiiiiiiii. xD
hari hari tunggu cite ni update.