Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan - COMBOStyle Bab27-Bab29

Assalamualaikum.







"...Allah forgives. All you have to do is ask..."








Bab 27
SHAHREZA dan Tasneem saling berpandangan. Masing-masing sudah mengerutkan dahi.
            Ekmal tampak tenang.
            “Amal cakap apa tadi?” aju Shahreza.
            “Jakarta.” Ekmal bertutur sepatah.
            Tasneem jadi panas punggung. Duduknya sudah beralih hampir di samping Ekmal. Jari-jemari Ekmal digenggam erat.
            “Kenapa tiba-tiba, Mal?” Tasneem menyoal pula.
            Ekmal menoleh. Paras ibunya ditatap penuh kasih. Selajur, bibirnya melentur senyum kecil. “Amal dah lama rancang, bu. Lagipun, peluang datang sekali aje, kan?”
            “Bila tarikh perginya?” Shahreza lebih tenang berbanding Tasneem yang hampir-hampir berendam airmata.
            “Insya Allah, kalau tak ada aral, bulan depan Amal dah mula bertugas dekat sana,” kata Ekmal.
            Terangguk-angguk kepala Shahreza. Ekmal sudah cukup dewasa. Apa pun keputusan pemuda itu, dia akan menjadi pendokong paling kuat.
            “Jauh sangat, Mal,” keluh Tasneem. Berkaca-kaca mata dia. Lenggang sang suami menuju ke luar rumah dipandang sekilas.
            “Lagi jauh, lebih baik, bu,”sahut Ekmal. Cukup perlahan.
            Tasneem mengusap pipi anak lelaki tunggalnya. “Amal masih kecewa?”
            Ekmal tersenyum tawar. Bohong kalau perasaan dia mampu pulih sekelip mata.
            “Insya Allah, bu. Amal tak apa-apa. Lagipun Amal tak lama dekat sana. Tiga tahun aje. Indonesia-Malaysia, kan tak jauh. Nanti ada masa, Amal balik jenguk ibu dan ayah.”
            Spontan, tubuh Ekmal hilang dalam dakapan ibunya.
            “Maafkan ibu, sayang.” Bergetar hujung suara Tasneem. “Kalau ibu tak bersungguh beri harapan pada Amal... kalau ibu tak berkeras nak bermenantukan Amiera...”
            “Bu...” Ekmal segera memintas. Pelukan dileraikan. Tangan Tasneem dikucup.
            “Kalau pun ibu tak berniat bermenantukan Amiera, Amal akan tetap usul perkara yang sama. Perasaan Amal pada Amiera dah lama wujud, sejak dulu. Sejak kami kecil.” Ekmal berterus-terang.
            Tasneem mengemam bibir. Sungguh hati terdera melihat roman Ekmal yang sedaya-upaya menyembunyikan galau di jiwa. Dia sendiri kesal. Entah bagaimana aib itu boleh terbentang depan mata. Mensabitkan perlakuan itu sebagai ‘musibah’ sehingga terjadinya penyatuan Amiera dan Adlan.
            “Bawakan ibu menantu dari oversea,” seloroh Tasneem. Sedang pipi sudah basah dengan airmata.
            Ekmal tertawa kecil. Hujung jari telunjuk menyeka cecair jernih daripada terus-terusan mencemari pipi sang ibu.

“BILA?” Lambat-lambat Amiera bertanya.
            “Tak silap aku, next month. Kan Yana?” Siku menyenggol lengan Dayana yang tampak berselera sungguh memenuhkan mulut dengan kuah laksam.
            “Mmm...” Dayana mengangguk.
            Segumpal nafas dilepaskan berat. Cukup menyesakkan dada. Entah kenapa, terimbau peristiwa ‘hitam’ dulu. Perkahwinan yang kononnya diuar-uarkan sebagai cinta kilat, sebenarnya menyimpan sejuta kepahitan. Dendangan serba indah dan manis itu membawa kepedihan di hati keluarga masing-masing.
            “Berangan?” Maya menegur.
            Amiera mendongak. Kepala digeleng laju. Selajur menyudu sedikit kuah laksam ke dalam mulut. Tawar.
            “Melepaslah kau Yana. Baru berangan nak jadi kakak ipar Mira ni, tak sempat mengorat pun lagi, dah orang tu pergi Jakarta.” Maya tertawa kemudiannya.
            Dayana mencebik. “Alah, nanti aku kejar dia pergi sana.” Selajur, gadis itu tertawa kuat.
            “Eh, takkan kau tak tahu abang kau posting ke Jakarta? Apa punya adiklah kau ni,” gerutu Maya.
            Amiera sekadar mengoles senyum pahit.
            “Laki kau tak ada dekat rumah ke?” aju Dayana. Mangkuk yang sudah licin ditolak ke tengah meja. Perutnya diusap perlahan tanda kekenyangan.
            “Ada.” Amiera menjawab sepatah.
            “Mana? Tak ada pun. Senyap sunyi aje rumah sebelah.” Dayana memanjangkan leher. Konon hendak mengintai luar jendela, seolah mampu menembusi tembok setinggi lima kaki yang menjadi pemisah kawasan rumah baru Amiera sejak bergelar isteri jiran sebelah.
            “Kau pun, takkanlah nak riuh rumah tu kalau bini dekat sini? Lainlah kalau dah ada...” Maya sengaja memanjangkan jeda dengan lirik mata memandang ke arah Amiera. Kemudian, kening dijongket tinggi.
            “Tak sabar tunggu perut kau tu berisi, tahu. Bila dah ada baby, rumah sewa kita ni tumpang riuh sekalilah, kan Yana?” Maya mula memasang angan.
            “Tinggi betul angan-angan kau tu, kan?” tuntas Amiera, perlahan.   
            Maya mengerut muka. “Kenapa? Ke kau merancang nak hidup berdua aje sampai tua?”
            “Kau gila? Takkanlah Mira ni tak mahu anak.” Dayana mencelah pula.
            “Habis tu, dah dia cakap macam tadi tu.” Maya membela diri.
            “Aku akan pindah.” Nafas yang dihela, perlahan-lahan melepasi dada.
            “What?! Pindah mana?” Dayana berdecit.
            “Rumah keluarga Adlan,” jelas Amiera.
            “Lah, duduk dengan mertua lah ni?” Maya menompang dagu.
            “Kau tak takut ke duduk dengan keluarga mertua?” Dayana menyoal. Wajahnya memaparkan garis-garis kurang senang.
            “Nanti asyik tak sependapat aje. Silap-silap, kau makan hati. Bagi aku, better duduk rumah sendiri. Tahu berdikari, susah senang hidup berkeluarga ni.” Lanjut Dayana.
            “Otak tu kasi buka sikit, boleh?” Maya menunjal pipi Dayana sehingga membuatkan gadis berambut panjang diikat ekor kuda itu memasamkan muka.
            “Bukan semua keluarga mertua macam dalam fikiran kau tu. Kakak aku tu, elok aje tinggal dengan keluarga mertua dia. Bahagia aje. Jadi menantu kesayangan lagi.”
            “Itu kakak kau. Amiera ni nanti, macam mana? Kan lain orang, lain ceritanya.”
            “Sebab tu, kita kena doakan yang baik-baik buat Amiera.”
Dalam keriuhan bicara Maya dan Dayana membahaskan ‘ideologi’ masing-masing, Amiera tenggelam jauh ke relung jiwa sendiri. Haruskah dia menemui Ekmal, menghulur kata selamat tinggal kepada lelaki itu? Atau sekadar membiarkan dia pergi tanpa pamitan pun?

SEKEPING gambar yang dilipat sehingga menyerupai ukuran pasport ditarik keluar dari celah-celah dompetnya. Ditatap lama paras yang tercetak indah di situ. Hati mengalun rindu. Jujurnya, sukar untuk dia melupuskan perasaan itu sekaligus.
            “Amiera...” Dia menyeru perlahan. Hujung jari telunjuk mengelus gambar Amiera yang diambil curi-curi bertahun dulu. Polos senyuman Amiera masih sama. Kekal membuatkan dia merasakan getar yang serupa setiap kali menatapnya.
            ‘Dia isteri orang, Ekmal. Kau harus sedar!’
            Ada suara-suara kecil yang berbisik di telinga.
            Ekmal meraup wajah. Kerana kesedaran itulah dia mengambil keputusan bawa hati jauh dari sini. Biar luka-luka dan cebisan yang berderai itu mampu dicantum kembali. Di sini, meski dia cuba berlagak jaguh, menghumban segala perasaan yang sudah lama berkuntum dalam jiwa, ternyata dia gagal.
            “Takkan sampai tua nak tenung macam tu aje?” Fatma menolak daun pintu.
            Ekmal tersentak. Spontan menyembunyikan gambar tadi di bawah bantal.
            Fatma tersenyum mengejek. “Ingat Ema tak nampak? Sudahlah, bang. Jangan nak berlagak hero sangat. Hati tu, kalau dah hancur, hancur juga.”
            “Kecewa sangat sampai bawa hati ke Jakarta? Kerja konon.” Fatma terus-terusan melempar provokasi.
            Malas melayani ragam Fatma, kaki segera dikemudi keluar dari bilik. Kemunculan perempuan itu hanya menambah sesak dada.
            “Kalau Ema jadi abang, Ema tak akan putus asa.”
            Langkah jadi pegun. Dia menoleh.
            “Ema, dah berkali abang cakap, dia tu isteri orang.”
            “Isteri? Mereka kahwin sebab terpaksa. Ayah yang paksa.”
            “Ema kata Ema benci semua orang dalam rumah ni, tapi Ema macam prihatin pada Amiera. Ema takut Amiera tak bahagia ke? Sebab tu bersungguh nak abang rosakkan rumahtangga dia?” Ekmal bertutur seperti mana adiknya. Santun bahasa ditolak tepi.
            Buntang mata Fatma. Bibir diketap rapat.

            “Sini... abang nak ingatkan Ema satu perkara. Adlan suami Amiera. Amiera isteri Adlan. Mereka suami isteri. Jadi sebagai orang luar, abang atau Ema, atau sesiapa pun tak berhak mencampuri urusan mereka. Jangan pernah terdetik pun dekat hati tu nak cuba-cuba ganggu gugat masjid orang lain.” Ekmal angkat jari telunjuk sebagai tanda amaran. Sejurus itu, dia lekas menuruni anak tangga.

****

Bab 28
SABDA Rasulullah s.a.w yang bermaksud, apabila seorang wanita iaitu isteri, telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruahnya, dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya). Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani.

“KITA lihat, sedang seorang lelaki yang beriman, ia perlu melalui banyak halangan dan dugaan, serta melaksanakan beberapa tanggungjawabnya kepada Allah terlebih dahulu, barulah ia layak memasuki Syurga Allah s.w.t melainkan para syuhada yang syahid di jalan Allah s.w.t.
Sedang kita orang perempuan, para isteri, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman, untuk masuk ke dalam Syuga Allah s.w.t itu, yang penuh dengan kenikmatan yang tidak tercapai akal fikiran kita, adalah melalui empat syarat sahaja.
            Apakah syarat-syaratnya itu?”
            Ustazah Nour menyingkap sedikit airmukanya yang tenang itu dengan seulas senyuman. Memerhatikan setiap roman wajah di depan mata, yang mana terdiri daripada ibu-ibu, isteri-isteri dan anak gadis. Tiada kata yang mampu ditutur melainkan kalimah suci memuji Ilahi, serta ungkapan syukur kerana majlis ilmunya sudi dihadiri oleh manusia-manusia ini.
            “Empat syarat ini sahaja yang kita perlukan untuk memasuki Syurga Allah s.w.t iaitu...” Jari-jemarinya dikembangkan. Dia mula membilang, “Yang pertama, melakukan solat lima waktu. Solat itu, kan tiang agama. Kalau kita sendiri sebagai seorang Islam, malas nak solat, lalai tunaikan tanggungjawab yang mudah tu, siapa lagi yang nak teguhkan tiang-tiang agama kita?”
            “Kedua, berpuasa di bulan Ramadhan. Seterusnya, menjaga maruah diri. Bila keluar rumah, sentiasa tutup aurat. Tak solek lebih-lebih, berwangi-wangian sehingga menimbulkan fitnah, jaga pergaulan, jaga lidah, jaga mata.” Bicara Ustazah Nour jeda seketika. Nafas dihela melepasi rengkungan sebelum menyambung, “Dan yang terakhir, yang keempat, mentaati perintah suami.”
            “Perlu kita ingat, seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tapi wanita, jika taat akan suaminya, serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, akan turut menerima pahala seperti pahala orang berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata pun. Subhanallah...”
            “Peluang dan jalan yang begitu mudah ini sebenarnya khusus untuk wanita yang sudah berkahwin. Yang belum berkahwin tu, walau sehebat mana pun kita bersolat, berpuasa, dan menjaga maruah, kita tak akan dapat kelebihan yang keempat, iaitu mentaati suami. Sebab kelebihan mentaati suami ini mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, bagi seorang isteri, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.”
            “Jadi, bersegeralah menamatkan zaman bujang masing-masing,” lanjut Ustazah Nour dalam nada bersenda.
            Tawa halus saling bersahut-sahutan. Santun.
            “Sebenarnya, terlalu banyak keistimewaan Allah bagi pada seorang wanita bergelar isteri. Masa mengandung, Allah beri pahala macam jihad fisabilillah. Bangun malam urus anak yang merengek, menangis, tak mahu tidur tu, Allah bagi juga pahala menyamai pahala membebaskan 70 orang hamba.
Nak tahu lagi pahala free yang boleh kita dapat? Basuh pakaian suami pun dapat pahala. Lagi hebat, andai kata kita mati sebab bersalin, Allah bagi pahala sebesar pahala orang syahid. Allahuakbar... Subhanallah... tengok, betapa Allah sayang betul dekat para isteri, para ibu sampaikan setiap pekerjaan yang dilakukan demi kesejahteraan suami dan keluarga tu, Allah bagi pahala. Bukan sikit-sikit. Beratus-ratus, beribu-ribu.”

ADLAN menapak perlahan-lahan memasuki ruang dapur. Setelah itu, dia berdiri di sebelah meja kayu jati sambil berpeluk tubuh.
            “Buat air ke, masak air?” tegur Adlan.
            Amiera terperanjat bukan kepalang. Nyaris terlepas sudu dari tangan.
            “Awak!” marahnya.
            Adlan ketawa. Kerusi diseret ke belakang, lantas punggung dilabuh menghadap Amiera yang membelakanginya. Dia tahu, Amiera sedang mengelamun panjang. Deheman yang berkali-kali pun Amiera langsung tidak peduli.
            “Nah...” Hujung jari menolak cawan menghampiri Adlan.
            Senyuman Adlan kembang merauti wajah. “Terima kasih,” ucapnya. Kopi panas itu duhirup sedikit.
            “Sedap.” Pujinya.
            Pujian itu dibalas dengan senyuman nipis.
            “Next week... Ekmal bertolak ke Sabah, kan?”
            Amiera kaku.
            “Teringat aksi ganas dia pada saya dulu.” Adlan mengembangkan jari-jarinya. Telapak tangan dibawa mengusap pipi yang pernah makan penumbuk lelaki itu.
            “Kalau masuk tinju, gerenti dia menang,” lanjutnya lagi.
            Kacauan sudu dalam mug berisi air milo hangat kian perlahan. Bayang-bayang sendiri yang terpantul di atas cecair coklat tersebut seolah memetakan paras Ekmal.
            Adlan berdiri. Dia cuba mencari wajah Amiera yang sedang menunduk. “Awak... nak hantar dia ke airport?”
            Pandangan dibawa menjulang ke sisi. Adlan sedia menyambut dia dengan sebuah senyuman. Banyak hal yang memenuhi segenap pelosok fikiran sehinggakan senyuman manis itu langsung tiada memberikan sebarang perasaan kepadanya.
            Bagaimana harus dia mendepani lelaki itu? Pada saat dia ingin menjejak ke sana, pasti ingatan malapetaka datang menampar. Lantas membuarkan perasaan bersalah terhadap Ekmal.
            “Amiera...”
            “Huh?”
            Menyedari kuntuman senyum yang lahir di bibir lelaki itu agak dangkal, Amiera lekas membetulkan selendang di kepala. Meski sudah tinggal sebumbung hampir mencecah dua minggu, dia belum lagi terbiasa. Aurat masih dijaga rapi. Ke mana sahaja dia menghayun kaki dalam rumah ini, apa yang halal bagi Adlan untuk melihat, kekal disembunyikan.
            “Kenapa mesti ada ini?” Adlan menyentuh hujung selendang Amiera.
            Segera dilarikan anak mata sendiri daripada membelah renungan suaminya.
            “Saya tak nak awak membataskan aurat sendiri dalam rumah ni. Apa pun yang awak pakai, yang awak pamer depan saya, semua tu dah tak ada dosa.” Lembut Adlan bertutur. Dia bukan memaksa Amiera melepaskan kelaziman gadis itu namun melihat keadaan Amiera terpaksa membungkus tubuh setiap hari berdepan dengannya, di dalam rumah sendiri, membuatkan dia dihambat rasa kasihan.
            Sebuah senyuman lentur lagi. Lebih lebar hingga otot pipi naik ke atas.
            “Antara saya dan awak, dah tak ada apa-apa yang membataskan segala perlakuan mahupun tindakan. Jadi saya tak mahu awak terus meletakkan limit di antara kita.” Adlan mengusap pipi isterinya. Benar, perkahwinan ini punya agenda lain atas kehendak rakus jiwa sendiri, namun keindahan itu tetap datang menelusuri saat lidahnya lancar menutur akad, mengangkat Amiera selaku pendamping di sisi.
            ‘Insya Allah.’ Hati berdesir cukup halus.
            Sorot mata kekal mengekori lenggang Adlan menuju ke ruang tamu. Sayup-sayup kedengaran suara Ustazah Nour mengetuk jendela telinga. Di depannya kini, pintu Syurga itu bakal terbuka melalui empat hal utama. Antara keempat-empat itu, senarai paling akhir, belum mampu ditunaikan sepenuhnya.
            Hati belum ikhlas untuk menerima.
            Hati masih perlu dididik untuk rasa cinta.
            “What the...!”
            Amiera memanjangkan langkah. Dia bersembunyi di sebalik dinding. Segarit senyuman muncul pada ketika pandangan menempa ulah Adlan, menumbuk kusyen kerusi kerana pasukan lawan berjaya membolosi gawang pasukan bola yang disokongnya.
            ‘Tuhan, Kau yang tentukan hala hidupku jadi begini. Kau juga Maha Mengetahui dalam setiap kejadian. Maka, ku mohon, tanamkan dalam hatiku rasa cinta terhadap lelaki itu, lelaki yang telah Kau ciptakan menjadi suamiku, kunci kepada pintu Syurga-Mu. Sesungguhnya, aku ingin menjadi isteri solehah yang mengharumkan rumahtangga ini dengan kebahagiaan.’
            Kuluman senyum itu makin mekar membasahi roman wajah.

MAYA mengerling kelakuan Dayana lewat ekor matanya. Selajur menggeleng kepala.
            “Yana!” Dia mencekak pinggang.
            “Apa?” Dayana menoleh.
            “Kau buat apa tu? Intai orang sebelah ke? Dah lah, Adlan tu dah jadi laki Amiera. Tak payah nak sibuk ushar bagai.”
            Spontan, Dayana gigit bibir. “Amboi, mulut! Kau ingat aku hadap ke dekat Adlan tu? Even dia boleh pasang tiga lagi, aku tak inginlah.” Jari telunjuk, jari hantu, dan jari manis diangkat tinggi. Lambat-lambat, dia menuju ke arah Maya.
            “Rindu pula aku dekat Amiera tu.” Suara yang meluncur keluar itu menggamit tawa Maya.
            “Kau ni, over tau. Orang tu sebelah rumah aje.” Terjuih-juih bibinya.
            “Sebelah rumah pun, kan ke dah tak dapat berguling atas satu katil sama-sama macam selalu tu. Asyik dengan kau aje, bosan!” cebik Dayana.
            “Lepas ni, kau lagi bosan.”
            “Why?”
            “Aku ni dah nak kahwin. Bila dah kahwin, jadi macam Amiera tu, duduk ikut laki. Ha, soranglah kau dalam rumah ni.”
            Buntang mata Dayana. Kemudian, dia bertinggung betul-betul di sebelah Maya. Malah bergesel bahu dengan gadis itu.
            “Janganlah kahwin dulu. Tunggu aku dapat lelaki yang boleh jadi suami, confirm mamat tu nak kahwin dengan aku, then... kau boleh kahwin.” Dayana pamer sengih. Sempat dia mengelak daripada terkena cubitan Maya.
            “Banyaklah kau!” Maya herot bibir.
            Dayana ketawa terkekeh-kekeh. “Habis, lelaki yang aku nak ngorat tu bakal pergi Jakarta dong. Melepas gue.”
            “Kau ikut dia sampai sana,” saran Maya.
            Dayana juling mata ke atas. “Tak kuasa aku.”
            “Astaghfirullah!”
            Decit suara parau itu mengejutkan dua sabahat yang ralit berpadu tawa. Kedua-duanya meluru ke luar pagar.
            “Ya Allah... pak cik!” Maya menerpa ke arah seorang lelaki separuh usia, yang kelihatan terkial-kial melepaskan diri daripada sebuah motosikal yang menindih kedua belah kakinya.
            “Yana, kau tolak motor tu,” arah Maya.
            Dayana menurut. Terbongkok-bongkok dia jadinya cuba menarik motosikal itu menjauhi lelaki tadi.
            “Pak cik cedera tak?” Maya membelek kaki lelaki berkopiah putih tersebut.
            “Tak. Pak cik tak apa-apa, nak,” sahutnya. Dia berdiri dengan bantuan Maya dan Dayana.
            “Terima kasih tolong pak cik.” Lelaki itu segera mendapatkan kembali motosikal miliknya. Langkah yang dikemudi sedikit sumbang. Terhinjut-hinjut.
            Bersama pamitan salam, dia menghidupkan enjin motosikal berkenaan. Hujung kaki memijak gear pertama sebelum genggaman tangan kanan memulas minyak. Tubuh diseimbangi sebaik mungkin agar tidak jatuh seperti tadi.
            Dan ekor mata mencuri lihat rumah tadi. Seakan mampu menelusuri manusia dan segala isi dalam kediaman berkenaan.

TERKEDEK-KEDEK Amiera menghayun langkah ke arah Adlan yang kelihatan khusyuk membelek sesuatu di tangannya.
            “Apa tu?” soalnya.
            Adlan menunjuk ukiran kayu berbentuk segiempat dan terdapat jalinan ayat yang terbentuk di atasnya.
            “Ada dalam ni.” Hujung jari menuding ke arah peti surat yang melekat bersama tiang tembok setinggi lima kaki.
            “Hadiah kahwin kita tak?” Lebar sengihan Adlan.
            Amiera tertawa kecil sebelum sorot mata kembali menempa objek tersebut. Kemudian pandangannya beralih pula ke tangan kiri Adlan. Kotak kecil berbalut kertas coklat tersebut seakan pernah melewati mata.
            “Ini...” Suara halus itu seakan berpecah dalam lapisan udara.
            “Kenapa?” Adlan menyoal hairan.
            Amiera mendongak. Selajur menggeleng perlahan.
            “Boleh saya... simpan?” Teragak-agak dia meminta.
            “Sure...” Lekas diunjuk objek kayu itu kepada Amiera.
            “Terima kasih,” ucap Amiera. Laju sahaja dia berlari anak masuk ke rumah. Adlan ditinggalkan terpinga-pinga.

***

Bab 29
“DIA mirip Suria.” Jari kasarnya mengelus skrin sesentuh telefon yang memaparkan paras seorang perempuan berselendang rapi menutupi aurat di kepala.
            “Cantik.” Ulas bibirnya menguntum senyum. Sedikit hambar.
            “Abang tak nak jumpa dia?” Sepatah Hazman menyoal.
            Latif mendongak muka. Helaan nafas berat melepasi rengkungan terasa membebani dada.
            Cangkir kopi dicicip penuh berhati-hati. Sesekali leret mata menempa roman Latif. “Tengok gambar tak sama macam abang nampak depan mata sendiri.” Rendah suara Hazman berkata begitu.
            Latif kekal terpunduk di tepi pintu. Matanya berkaca-kaca merenungi gambar yang diambil Hazman sewaktu majlis pernikahan Amiera. Meski ditatap berkurun lama pun dia tidak akan pernah jemu.
            “Su... Suria...”
            Dia pejam mata. Hambatan kisah lalu menjerut jantung. Bagaikan putaran pita perakam, jelas terpampang riak berkerut mengitari wajah Suria.
            “Ab... abang... Abang... Latif...” Menggigil ulas bibir Suria yang sebelum ini sentiasa teroles senyuman manis di situ.
            “Abang, pergilah jumpa Amiera tu.”
            Lontaran bicara itu memecahkan memori tersebut. Kelopak mata serta-merta terbuka luas.
            “Aku... aku tak boleh,” jawabnya sepatah.
            “Dia anak abang.”
            “Aku tahu.”
            Hazman mengeluh kasar. “Saya tak fahamlah dengan abang ni,” dengusnya.
            “Saya tak pernah tahu yang abang dah kahwin. Kalau lelaki tu tak datang jumpa saya, cerita semuanya, sampai kiamat pun belum tentu saya tahu. Arwah bapak pun kunci mulut. Kenapa? Hal tu, saya dah tak kisah dah. Yang saya kisahkan sekarang ni, sikap abang tu. Budak tu anak abang. Anak!” Mencerlung mata Hazman.
            Jari-jemari digenggam padu. Segala perasaan yang dikambus sekian lama sedang cuba membuar-buar keluar.
            “Atau abang nak biar budak tu fikir abang dah mati?” Gigi dikancing ketat. Bungkam hati jadinya apabila melihat sikap pasif lelaki itu.
            “Itu yang aku harapkan.” Latif menyahut perlahan.
            Terbeliak mata Hazman. “Abang cakap apa?” Dia seakan tidak percaya.
            “Mati...” Lentur otot pipi Latif ketika menutur perkataan tunggal tersebut.
            “Kau tahu, tiada hal yang lebih baik melainkan kematian.” Senyumnya bagai dipaksa-paksa menabiri bibirnya yang berbirat.
            “Manusia macam aku ni layaknya duduk dalam tanah kubur. Manusia macam aku ni tak patut diberi peluang untuk hidup. Aku patut mati!” Menderu kasar nafas yang dihembus keluar dari salur pernafasan.
            “Astaghfirullah... abang cakap apa ni?” Hazman kebingungan.
            “Kau tak pernah tahu, Man...” Latif tersandar di dinding kayu. Kepalanya mendongak pandang bumbung.
            “Budak tu tak patut punya ayah macam aku.” Bergenang air jernih di tubir mata. Semampu daya dia menyembunyikan daripada jadi bahan tontonan Hazman.
            “Aku banyak dosa.” Dia merintih lagi. Dadanya dipukul kuat, seumpama menzahirkan rasa bersalah yang telah lama menjadi penghuni tegar dalam tubuhnya.

PELUKAN dieratkan lagi. Begitu asyik mereka memadu kasih di bawah sebatang pohon rendang berdaun lebat, betul-betul di pinggir sungai nan mengalir tenang.
            “Kau tak kisah bersuamikan aku, Suria?” Latif mengusap pipi gadis genit berkulit kuning langsat. Tidak dihirau hukum halal haram yang sememangnya menjadi hijab perlakuan masing-masing.
            “Su sayangkan abang. Kalau Su tak kahwin dengan abang, Su rela tak kahwin sampai tua.” Suria menjawab seraya mengulum senyum penuh makna.
            “Tapi... kau masih muda, Su. Kalau kau mahu kahwin, tentu keluarga kau menentang.”
            “Mereka sendiri mahu satukan Su dengan Shuib. Mereka hanya akan menentang kalau Su menikah dengan lelaki lain.”
            “Jadi?”
            “Kalau keadaan mendesak, kita pergi jauh dari sini, Abang Latif. Kita bina hidup kita sendiri.”
            “Kau tak menyesal?”
            Suria menggeleng. Terbias raut bahagia menghiasi wajah itu.

“TUHAN, jauhkan dia dariku. Jangan pernah kau bisikkan dalam hatinya perasaan ingin mencari aku.” Mendayu-dayu bisikan itu menemani malamnya. Sedang kolam mata sudah pun mulai rabak. Nyaris pecah.
            Kedua belah kaki dipeluk. Muka tersembam atas kepala lutut. Dia terus duduk terpunduk di penjuru kamar peraduan yang telah disediakan Hazman untuknya. Perasaan sendiri jauh terpinggir dari rasa tenang sebaik pancaidera menjamah seraut wajah kepunyaan Amiera Syazreen.
            ‘Kau tak mahu lihat dia depan mata sendiri?’
            ‘Tidak!’
            ‘Kau tak mahu ungkap kata maaf yang selama ini cukup membebankan jiwa?’
            ‘Tidak! Maaf itu harus ku pohon pada Suria.’
            ‘Dia juga butuhkan penyesalan kau, Latif! Dia anak kau dan Suria.’
            Lambat-lambat, Latif angkat muka.
            ‘Seharusnya aku tak perlu tahu yang aku masih mempunyai pengganti Suria.’
            Lelah jiwa berdebat dengan perasaan sendiri. Terlalu menyesakkan dada. Antara keinginan dan kemahuan, di tengah-tengahnya wujud satu tembok yang tinggi melangkaui langit. Tembok itu akan terus menjadi pagar utuh, menghimpun sejuta kekesalan yang tidak terluah mahupun terhambur dengan sebutir bicara pun.

TUBUH dihempas lemah atas kerusi. Helaan nafas berat merangkul dada lantas menerobos pendengaran Tasneem yang baru sahaja menginjak ruang tamu bersama semug kopi panas kegemaran suaminya. Leret mata memerhatikan ulah suami yang tampak berbeza.
            “Air, bang...” Tasneem mengunjuk mug itu kepada Shahreza.
            Shahreza buka mata. Menjulang pandangan ke wajah Tasneem. Dalam senyum nipis, dia berkata, “Letak situ aje.” Shahreza memuncungkan bibir.
“Abang ni kenapa? Lain macam aje saya tengok. Tak pernah-pernah mengeluh sampai macam tu sekali.” Tasneem mengerling suaminya sekilas.
“Ke ada masalah dekat sekolah?” Dia meneka rambang.
            “Bang?” Tasneem menegur lagi apabila suaminya kekal mendiamkan diri.
            Shahreza mendongak muka. Renungannya seolah membelah siling.
            “Latif telefon saya tadi,” beritahu Shahreza.
            Buntang mata Tasneem. “Latif mana pula ni, bang?”
            Muka dibawa kalih menatap Tasneem.
            “Latif mana lagi yang dekat dengan keluarga kita selain ayah Amiera.” Lambat-lambat Shahreza menyahut.
            Tidak berkelip mata Tasneem memandang Shahreza. Rasa tidak percaya bergulung dalam diri.
            “Berpuluh tahun kita tak tahu khabar berita dari dia, tiba-tiba telefon kita pula. Hari tu, masa kita betul-betul perlukan dia, jangan kata nak penuhi permintaan kita, cakap dengan kita pun dia tak mahu!” Tasneem mengungkit dengan muka berubah-ubah riak. Berkerut.
            “Apa yang dia nak?” lanjutnya.
            “Dia minta maaf.”
            Spontan, Tasneem mencebik. “Dah terlambat!”
            “Apa yang dah terlambat?”
            “Tu... minta maaf segala. Tahu pula dia sebut perkataan tu. Bukan dengan kita dia patut ucap kata maaf. Tu... pergi jumpa Amiera. Berdepan dengan anak kandung dia.”
            Shahreza tidak membalas. Terimbau bicara Latif tadi. Dia sendiri terkejut tatkala menerima panggilan itu. Sukar untuknya membayangkan paras lelaki yang hanya dikenali melalui Suria.
            “Saya tak boleh jumpa Amiera.”
            “Kenapa? Kau rasa bersalah?”
            “Lebih dari itu.”
            “Amiera anak kau, Latif.”
            “Kalau dia bertanya tentang saya, beritahu padanya yang ayahnya dah... lama mati.”
            Omelan berjela-jela Tasneem mematahkan lamunannya. Langsung berterbangan suara garau Latif yang berkumandang di corong telinga. Mata dibawa menjamu paras isterinya. Wanita itu kelihatan marah benar.
            “Jangan kata lepas ni, tiba-tiba dia datang nak ambil Amiera dari kita.” Terkumat-kamit mulut Tasneem berkata.
            Kening Shahreza hampir bertaut. “Awak cakap apa ni?”
            Tasneem tarik muka. Tegang.
            “Tak akan sesekali saya lepaskan Amiera pada lelaki tak bertanggungjawab macam Latif tu!” tegas Tasneem.
            Shahreza menggeleng kepala. “Awak berfikiran terlalu jauh, Tasneem.” Kedua belah tangan memeluk tubuh.
            “Saya ni fikir ke depan. Apa-apa pun boleh jadi.”
            “Amiera tu dah jadi milik suaminya. Kita atau Latif, masing-masing dah tak terikat dengan tanggungjawab ke atas Amiera,” tekan Shahreza.
            Tasneem memikirkan kata-kata suaminya tadi. Sesekali mencuri pandang ke arah Shahreza yang tampak tenang.
            “Saya tak rasa Amiera akan terima Latif kalau betul lelaki tu datang tunjuk muka.” Yakin sekali Tasneem menutur bicara.
            Herot ulas bibir Shahreza melentur senyum. Cukup halus.
            “Kita tak tahu apa yang terpendam dalam hati Amiera.”
            Tasneem nampak tidak berpuas hati. “Saya kenal anak kita tu bang.”
            “Biar saya betulkan sesuatu dalam percakapan awak tadi. Amiera tu anak saudara kita aje. Latif tu ayah kandung dia. Kita kena ingat tu. Jangan sesekali putuskan hubungan mereka.”
            Roman wajah beriak tegang tadi, serta-merta bertukar mendung.
            “Kalau Latif nak jumpa Amiera, abang izinkan?” Perlahan suara Tasneem bertanya.
            Meletus tawa kecil Shahreza. Dia tahu, sayangnya Tasneem kepada Amiera umpama anak kandung sendiri. “Siapa saya ni nak menghalang?”
            Tasneem bersandar tubuh. Hala matanya tidak lagi melekat di paras Shahreza.
            “Abang... saya rindukan Amiera... Amal. Saya rindukan anak-anak kita.” Kolam mata itu kembali bergenang.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Edit!

8 comments:

Lollipop Manis said...

akhirnyaaaa. lama tunggu sambungan ni. tiap masa menunggu. tak sabar nak tahu akhir kisah amiera adlan ni. :D

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear lollipop manis,

Tq juta2 lemonss sebab awk sudi baca amieradlan ni :) kalau sudi,layan laa jgk cinta jangan kau pergi lps ni sbb amieradlan stop sementara kite gigih buat kasi habis :D

Anonymous said...

betullah. lama sangat dah tunggu sambungan cerita Amiera Adlan ni. Hannah jangan peram lama2 sangat tau nanti rindu dendam pula kami peminat ULK ni.

k.mid

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear k.mid

InsyaAllah..ULK tak akan diperam lama2 :D tq kak sudi baca entri amiera adlan :)

Anonymous said...

Trubat rindu kt adlan amiera...
Best...best...

AYRA ZAHRA said...

mekasih beb
aku akan merindui amira dan adlan beb... hehehe.. cepat2 siapkan okey.. fhighting .. :D

mierasyazreen said...

Akhirnya kahwin jgk amiera adlan ni :) btw nice write up babe!

juridah said...

Bila nak sambung citer ni? Dah lama benar dah tunggu ni