"...Forgiveness is a virtue of the brave..." -Indira Ghandi
Bab 13
Kampung
Batu Tiga
Tanah Perkuburan
Islam
JARI-JEMARINYA meleret perlahan di atas plat
besi, tertera nama Nur Aminah dalam dua versi- jawi dan rumi. Serta terpahat
sekali tarikh kelahiran dan kematiannya. Untaian nama itu direnungi dengan mata
bergenang hangat. Kewujudan sang isteri seumpama bersemadi dalam jiwa, tidak
pernah mati.
“Min...”
Nama itu diseru penuh rasa rindu. Sendu yang tiada tertahan akhirnya merobek
empangan dengan buraian airmata. Airmata lelakinya tumpah kerana memendam rindu
terhadap Nur Aminah.
‘Abang.’
Elusan angin meyapa seakan turut membawa bisikan lembut itu.
Datuk
Awang Kader menunduk kepala. Perlahan-lahan, dia katup mata. Rapat.
‘Abang...’
Bisikan itu hampir ke telinga. Serentak dengan itu, dia dirangkul paras Nur
Aminah yang manis dan beriak tenang.
“LAMA ke bercuti dekat sini?” Malik melabuh
punggung di atas pangkin, bersebelahan Datin Sabrina. Rintik-rintik peluh mulai
menggigit dahi. Biar waktu sudah menginjak jam lima petang, namun suasana
persekitaran masih terik.
“Esok
kami baliklah,” kata Datin Sabrina.
Sorot
mata Malik mendasari roman sang adik. “Kenapa cepat sangat?”
“Abang
Kader tu sibuk. Hanif pun sama. Masing-masing ada tanggungjawab kerja.”
Malik
memalingkan muka. Dia membuang pandang jauh ke depan. Galak memerhatikan ulah
anak-anak jiran bermain bola sepak di kawasan lapang, berjarak kira-kira lima
belas meter dari kediaman mereka.
“Semua
tu duniawi, Ina.”
“Atau
Ina yang tak mahu?” lanjut Malik.
Datin
Sabrina menoleh. Pandangan keduanya bersatu sebelum Malik membawa mata jauh dari
adiknya.
“Apak
dah tua, Ina. Mungkin esok, mungkin lusa... apak dah tak ada.” Ada getar
memagari bicara Malik. Hujung kaki terkuis-kuis daun mati atas tanah.
“Abang
Malik nak cakap apa sebenarnya?” Datin Sabrina merengus kurang senang. Turun
naik dada dia jadinya.
Helaan
nafas dilepaskan perlahan. Kedengaran memberati rengkungan. “Ina tu, macam
simpan dendam dekat apak.”
Serta
merta, otot muka melentur senyum. Sinis.
“Dendam?
Siapa yang dendam dengan siapa, Abang Malik? Saya atau apak?” soalnya mendatar.
“Sampai
bila pun, saya tetap pesalah di mata apak. Saya bukan anak yang baik bagi dia.”
Keluhan itu benar-benar membuatkan Malik berasa kasihan.
“Apak
memang macam tu. Ina tentu faham, kan?”
“Dengan
saya aje apak macam tu. Dengan Abang Malik, Abang Burhan, Abang Salihin... tak
pun,” tuntas Datin Sabrina.
Malik
kunci mulut. Untuk sedetik waktu, dia merenungi paras Datin Sabrina. Terlalu
jauh jurang yang membentengi silaturrahim mereka. Wanita itu telah bawa hati,
membina tembok setinggi langit, manakala Abdullah pula tidak pernah cuba
merobohkan hijab tembok itu. Dibiar terus-terusan tiada berusik.
“Abang
Malik! Ina!” Terjengul kepala Ainan, isteri Malik di tengah-tengah regangan
jendela kayu. Kedua belah tangannya mengawang udara.
Malik
menoleh ke belakang.
“Minum
petang, bang.” Ainan memanggil lagi.
“Iyelah,
abang datang ni,” sahut Malik.
“Mari
kita masuk dalam, Ina. Tu, kakak kau dah buat minum petang.”
Datin
Sabrina angkat punggung. Telapak tangan mengibas kain.
“Eh,
Kader tak balik lagi ke?” Malik tertoleh-toleh mencari kelibat adik iparnya.
“Tak
nampak bayang pun, tak balik lagilah tu.” Datin Sabrina mengiringi langkah
Malik. Dari celah bukaan pintu, dia nampak Abdullah sedang duduk di atas kerusi
malas dengan kedua belah tangannya berada dalam kedudukan qiam. Gerak kaki
dikemudi laju tatkala renungannya berbalas. Tidak lagi menunggu Malik yang
memanggil namanya berulang kali.
AJAKAN anak menantu tidak dihirau.
Berkali-kali Malik turun naik tangga, namun dia tetap membekukan diri. Lebih
senang mengitari pemandangan tenang pada waktu kian menginjak senja daripada
duduk semeja dan membicarakan sesuatu yang kosong.
“Atuk...”
Tengku Hanif duduk bersila hampir di kaki Abdullah.
Ulas
bibir lelaki itu melentur senyum buat tatapan Tengku Hanif. Kemudian, anak mata
kembali menebak ke luar pintu.
“Panjang
betul atuk termenung,” tegur Tengku Hanif. Kaki tua itu diurut perlahan-lahan.
Dari buku lali sampai ke pangkal betis yang diselubungi kain pelikat
kotak-kotak, adunan warna merah dan biru tua.
“Kamu
tu, dari pagi bawa ke petang, baru nampak muka. Menghilang ke mana?” Giliran
Abdullah bertanya.
“Ada
aje tuk. Dekat dalam bilik, buat kerja sikit.”
“Sampai
ke sini kamu bawa kerja kamu tu?”
“Nak
buat macam mana, tuk. Takut tak terkejar nanti.” Tengku Hanif tersenyum-senyum.
“Kalau
kejar dunia, sampai bila pun tak pernah habis.” Abdullah menyandarkan kepalanya
di kerusi. Urutan itu dinikmati dengan perasaan bercampur-baur. Fikiran dia
dipenuhi dengan imbauan manis bersama arwah sang isteri. Sulima begitu bijak
mengusir segala lenguh-lenguh tubuh dengan urutan lembutnya.
“Insya
Allah, tuk. Hanif akan seimbangkan dunia dan akhirat.” Lontaran bicara itu
dibalas tulus.
Herot
bibir Abdullah melentur sebuah senyuman. Cukup halus.
“Assalamulaikum...”
Tersembul susuk tubuh Datuk Awang Kader di sebalik regangan pintu. Selangkah
demi selangkah, dia menapak masuk mendekati Abdullah dan Tengku Hanif.
“Waalaikumsalam.”
Keduanya menjawab hampir serentak.
“Tak
minum dengan pak long ke?” Soalan itu tertuju kepada Tengku Hanif.
“Sekejap
lagilah, pa.” Tengku Hanif mengengsot ke penjuru ruang itu, memberi ruang
kepada ayahnya duduk hampir di sisi Abdullah.
“Sibukkan
kerja sangat anak kamu ni, Kader.” Sorot ekor mata menempa paras pemuda yang
kelihatan santai dengan pagoda putih dan berseluar paras kepala lutut.
Kening
tebal yang memayungi sepasang mata redup Datuk Awang Kader, hampir bertaut.
“Balik kampung pun still berkepit dengan kerja?”
Tengku
Hanif tersengih panjang. Kepala digaru walau tidak gatal.
“Pa,
kita kan ada meeting dengan Nordin Group next week.”
“So?
Bukan ke hari tu Hanif kata, segala dokumen yang diperlukan dah pun hampir
siap.”
“Ada
problem sikit, pa. Jadi sekarang ni, Hanif tengah gigih nak settle semua. Sebab
tu sampai berkepit balik sini.” Tengku Hanif tersenyum kemudiannya. Asalnya
amanah itu telah hampir diselesaikan mengikut waktu perancangan, namun ekoran
kejadian tidak diingini berlaku, maka dia harus bermula dari awal.
Abdullah
sudah tergeleng-geleng kepala. Bapa dan anak, sama sahaja. Tidak pernah
berhenti fikir tentang pekerjaan masing-masing.
“Sudahlah
tu. Tinggalkan sekejap hal-hal kamu. Apak dengar pun naik bosan,” rungut
Abdullah.
Datuk
Awang Kader tertawa kecil.
“Kamu
dari mana, Kader?” Abdullah memerhatikan menantu yang paling dikasihi.
“Dari
kubur, pak.”
“Ziarah
Aminah?”
Datuk
Awang Kader mengangguk dalam senyuman halus. “Lama sangat tak ziarah kubur
arwah.”
“Biar
lama, asalkan tak terus lupa,” kata Abdullah. Bicara itu kedengaran mendatar.
“Tak
mungkin saya boleh lupakan Aminah, pak,” tekan Datuk Awang Kader.
Suasana
jadi sunyi. Mendadak. Datuk Awang Kader ralit menempa pemandangan di luar
jendela, manakala Abdullah selesa memejamkan mata sambil ulas bibirnya
bergerak-gerak membutirkan kalimah suci, memuji Ilahi agar diberi kekuatan
untuk terus bernafas di muka bumi dalam keadaan hati yang masih rapuh.
“Atuk...”
Tengku Hanif menyeru lembut. Kembali merapati kerusi malas yang diduduki
Abdullah.
“Emmm...”
Abdullah menyahut. Matanya masih terkatup rapat.
“Atuk
percaya pada takdir?” usul Tengku Hanif tiba-tiba.
“Kita
orang Islam, Hanif. Apa pun yang terjadi dalam hidup kita, semua tu rencana
Allah, takdir dari atas langit.”
“Atuk
masih berharap anak arwah Ibu Min masih hidup?” Tika itu, terasa dirinya
dirempuh dengan tusukan mata Datuk Awang Kader. Biar pun tidak menuntas atau
mencelah, namun jelas terpamer rias kurang senang menakungi roman lelaki itu.
Abdullah
sekadar mengoles senyum. Lama kelamaan kian lebar.
“Kunfayakun.
Tak ada yang mustahil atas dunia ni, Hanif. Kalau benar Dayang Nur Aisha masih
hidup, alhamdulillah. Kita doakan semoga dia menemui jalan untuk kembali pada
kita.”
“Insya
Allah, tuk.”
Pandangan
mata dijulang ke hadapan. Renungan keduanya bersatu.
“AKU... rasa berdebar-debar,” gumam Nurul Ain.
Anisa
di sebelah sekadar menoleh sekilas sebelum kembali memacak anak mata tepat ke
skrin televisyen.
“Kenapa?”
soalnya.
Nurul
Ain mengusap batang tengkuk. Sukar digambarkan perasaannya saat ini. Seolah
dibawa menelusuri ‘sesuatu’ dalam kewarasan yang cukup nipis.
“Entah...”
Keluhan dilepaskan dalam paksaan. Dibiar udara hangat itu bergumpal dalam
putaran angin.
Mulut
Anisa yang ralit mengunyah kerepek ubi, langsung kaku. Sedang leret mata terus
membidik paras Nurul Ain. Dia curiga.
“Ke...”
Duduknya beralih posisi. Daripada menghadap peti televisyen, kini dia mendepani
Nurul Ain. Kedua belah kaki berlipat, bersimpuh sopan.
“Ke
kau teringat bos kau? Atau Encik Irfan?” Kening dijongket tinggi.
Bulat
mata Nurul Ain. Pantas sahaja telapak tangannya merempuh lengan Anisa.
“Sakitlah!”
Anisa berdecit. Muncung sudah panjang sedepa.
“Padan
muka!” cebik Nurul Ain.
Anisa
menjelir lidah. “Rindu... tapi tak mahu mengaku.”
Nurul
Ain menjuling mata ke atas. Kerepek ubi
diambil dari tangan Anisa.
“Kau
ni, makan tak ingat dunia. Cubalah berlagak macam tetamu sikit. Ini... kalah
tuan rumah,” bebel Nurul Ain.
“Alah,
mak kau cool aje. Siap suruh aku habiskan semua makanan dekat dapur tu,” tuntas
Anisa. Bekas kerepek tadi dirampas semula dan dibawa ke dalam dakapan seperti
enggan dilepaskan lagi. Nurul Ain menahan gelihati melihat ulah sahabat
baiknya.
“Menyesal
aku pelawa kau tidur rumah aku malam ni.” Sengaja ditekan rendah suaranya
supaya ia kedengaran terlalu kesal.
Buraian
tawa Anisa menjadi-jadi. “Nasiblah. Jangan terkejut kalau esok pagi kau bangun,
tinggal botol dengan plastik aje kat dapur tu.”
Tangkas
jari-jari Nurul Ain mengetam pinggang Anisa. Terjerit-jerit gadis itu menahan
geli. Sehingga nyaris jatuh telungkup atas lantai.
“Dah!”
Anisa angkat kedua belah tangannya, separas dada. Lelah menahan geli apabila
jari-jari Nurul Ain ligat menggeletek pinggangnya. Hampir dia pengsan kerana
kegelian!
Nurul
Ain dabik dada. Gaya seperti memenangi pertandingan paling berprestij. Anisa
dipandang sebelah mata sahaja. Selang beberapa saat, mereka berdua berpadu
tawa.
“Syikin
mana? Dah tidur ke adik kau tu?” Anisa tertoleh-toleh.
Nurul
Ain menggeleng. “Dia teman ibu dalam bilik. Tahu ajelah adik aku tu, hati
lembut. Selagi ibu aku tak elok, selagi itulah nak bersedih-sedih bagai.” Dia
tersenyum-senyum mengenangkan ulah terlebih manja Asyikin.
“Bagus
adik kau tu. Tak macam kau. Emak dalam bilik, kau hu ha hu ha dengan aku. Buat
riuh rumah.” Mulut ditekup jari-jemari yang bertaut rapat. Halus tawanya
mencuri keluar dari celah-celah jari.
“Sopan
sangat kau ketawa, Nisa.”
“Haruslah.
Kang ketawa macam kau, tak ada siapa nak buat aku jadi menantu.”
Spontan
Nurul Ain menjegilkan mata.
“BILA mak?” Pintu ditutup rapat. Penuh
berhati-hati, dia kembali melabuhkan punggung di atas hujung katil. Asyikin
yang sudah lena dipandang sekali imbas.
“Katanya
hujung bulan nanti.” Hajah Ramlah memberitahu.
Suriani
terdiam. Lidahnya bagai tersimpul ketat. Kesakitan yang dialami seumpama lenyap
seluruhnya tatkala Hajah Ramlah mengkhabarkan berita itu.
“Untuk
apa?” Kedengaran dingin bicara itu.
“Kamu
jangan risau, Su. Mereka cuma nak jumpa budak tu aje.”
“Ambil
Ain dari saya? Macam tu?”
“Su...
kenapa jauh sangat kamu berfikir? Kan emak dah kata, mereka hanya nak tengok
Nurul. Mak pun tak akan benarkan kalau mereka nak ambil Nurul dari kamu. Mak
tahu, sayangnya kamu pada Nurul melebihi segala-galanya.” Hajah Ramlah memujuk
lembut.
Suriani
mengetap bibir. Pilu. Dadanya cukup sebu. Seolah jantungnya direntap kasar.
Terlalu perit. Tiada apa yang mampu difikirkan lagi melainkan Nurul Ain akan
dibawa pergi jauh darinya.
“Saya
sayang Ain, mak.” Bergetar hujung suaranya.
“Mak
tahu. Mak tahu kamu sayangkan Nurul. Tapi... Su mesti ingat lagi, kan... apa
yang kita bincangkan bertahun dulu?” Kata-kata Hajah Ramlah membuatkan Suriani
terpempam. Langsung kelu.
“Saya
yakin, dia akan kembali menjejaki budak ni... sebab dia tak percaya yang anak
ini sudah mati.”
Paras
seorang wanita separuh usia dan tutur bicaranya berdengung dalam kepala.
Menzahirkan sebuah ingatan yang telah lupus dari fikiran. Kala itu, terbayang
juga roman tenang kenalan arwah suaminya, Zakaria. Lelaki itulah yang menemukan
mereka suami isteri dengan seorang bayi perempuan berusia empat belas bulan.
“Sakitlah!
Ngek betul kau ni!” Melengking tinggi suara Anisa mengejutkan Suriani. Sejurus
itu, tawa Anisa dan anak perempuannya berpadu. Riuh-rendah jadinya rumah
mereka.
Selajur,
ulas bibir Suriani melentur sebuah senyuman kecil. Leretan yang hanya muncul
sekejap waktu sebelum ia lenyap sebaik Hajah Ramlah kembali bersuara.
Mengingatkan dia tentang ‘sesuatu’ yang sudah lama tersimpan dalam lipatan
hidup mereka sekeluarga.
ng mata yang selama ini cukup lama
membelah setiap gerak laku si gadis. Bergerak-gerak mata dia memerhatikan sang
arjuna sedang berdiri bertentangan Nurul Ain. Sekali sekala, senyum sang arjuna
melebar mencecah telinga.
Mereka
tampak mesra, seperti saling mengenali.
Selangkah
demi selangkah dia berundur meninggalkan tempat itu.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
Notahujungkaki: Alhamdulillah... kian menghampiri Syawal. Jujurnya, saban tahun perasaan teruja sambut Syawal tu memang ada, tapi bila sampai pertengahan Ramadan, hati jadi sayu. Sukar hendak melepaskan bulan Ramadan. Mudah-mudahan masih diberikan kesihatan dan umur panjang agar dapat menikmati Ramadan dan Syawal di tahun-tahun akan datang bersama emak, abah, dan adik-adik. Insya Allah :)