Saturday, June 28, 2014

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab4.

Assalamualaikum.








"...If you love something let it go. If it comes back to you it's your. If it doesn't, it never was..."










BAB 4
KELAM-KABUT dia meluru ke pantry. Tanpa melihat skrin yang berkelip-kelip pun, dia sudah tahu siapa pemanggil di hujung talian.
            “Kau ke mana? Kenapa lambat masuk? Tu, mak cik tu dah angin dah tu Ain oi!” Kedengaran mendesah gusar suara Anisa mengetuk jendela telinga.
            Nurul Ain garu kepala hingga selendang yang melekap di kepala jadi senget.
            “Aku... aku...” Kening hampir bertaut rapat. Ekor mata melirik jam di tangan sendiri. Sudah hampir mencecah jam sepuluh pagi. Sempat dia memanjangkan leher ke luar pantry. Kelibat Tengku Hanif dilihat sedang berjalan memasuki ruang pejabatnya.
            “Satu jam lagi, aku sampai sana.” Yakin dia memberitahu.
            “Satu jam? Lama tu. Tadi kau kata nak keluar sekejap. Tiba-tiba hilang macam tu aje. Sakit telinga aku dengar mak cik tu membebel.” Anisa terus hambur rasa yang menjerut hati. Tidak senang duduknya dalam kedai itu.
            Jauh di sudut hati, dia kasihankan Anisa. Namun, apa yang boleh dilakukannya? Sepasang kakinya sudah pun dirantai dengan besi dan bermangga sebesar gajah. Tidak boleh lari ke mana-mana.
            “For sure, pukul sebelas nanti aku sampai. Kau tunggu.” Nurul Ain meyakinkan.
            “Cepat tau!” Anisa mengingatkan.
            Nurul Ain tersandar lemah ke dinding sebaik panggilan itu tamat. Berlegar pelbagai andaian dalam kepala. Jangan sampai dia dibuang kerja, sudah.

SEGALANYA bermula akibat kecelakaan yang berlaku di Coffee House beberapa hari lalu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur demi mengenangkan kesalahan sendiri. Tea lady, itulah jawatan yang disandang secara separuh masa.
Setelah ditimbang-tara, serta mendapat persetujuan Tengku Hanif selaku mangsa kejadian, tepat jam sepuluh pagi dan tiga petang, dia harus menyediakan minuman untuk kakitangan di jabatan berkenaan, yang terletak di tingkat enam bangunan Menara Global. 
‘Untunglah manusia-manusia ni. Nak minum pun ada orang sediakan.’ Hati sering berbisik pada ketika tubuh badannya bergerak ke hulur hilir, menyorong troli sederhana kecil dari satu meja ke meja yang lain.
“YA ALLAH!” Teriakan itu nyaris meruntuhkan semangat Nurul Ain. Apatah lagi menyedari baju putih berjalur kelabu yang dipakai lelaki itu telah tercemar dengan air nescafe.
            “Maaf! Maaf!” Buru-buru Nurul Ain mencapai beberapa helai tisu, lalu mengesat kesan kotor tersebut.
            “Saya tak sengaja. Maaf,” tuturnya.
            “It’s okay.” Irfan berkata tenang. Helaian tisu lembab itu diambil dari tangan Nurul Ain.
            “Tak sengaja, kan?” lanjutnya. Segaris senyuman kecil menghiasi bibir.
            Nurul Ain berundur beberapa langkah ke belakang. Menggigil tangannya. Cawan dan piring tadi dimasukkan ke dalam singki. Pili paip dipulas. Mencurah-curah air keluar dari bibir paip membersihkan kekotoran yang memalit barangan seramik tadi.
            Irfan menghampiri singki. Tangan kanan disua ke bawah curahan air dengan kelima-lima jarinya bertaut rapat. Belum pun sempat dia membasahkan kesan kotor pada bajunya, Nurul Ain pantas menegah.
            “Nanti kesan kotor tu bertambah teruk kalau basuh macam tu aje,” beritahu Nurul Ain.
            “Really?” Tidak pula dia tahu sebelum ini.
            “Encik letak ini sikit dekat baju tu.” Nurul Ain mengunjuk sebotol sabun tangan Dettol kepada Irfan.
            “Sapu bagi bersih sikit, baru cuci dengan kain ni,” lanjutnya. Sehelai tuala lembab dihulur pula.
            Terangguk-angguk kepala Irfan. Sesekali dia mengamati roman wajah sang gadis yang tampak begitu asing pada penglihatan.
            “You pekerja baru ke?” ajunya.
            Nurul Ain garu dahi. Status dia di sini bukan seorang pekerja, kerana istilah pekerja itu ada mereka yang berkhidmat dengan bayaran gaji. Dia? Bayar ganti rugi.
            “Sebagai apa?” Irfan menyoal lagi. Kesan kotor tadi dibiar kering begitu sahaja.
            Belum pun sempat menjawab pertanyaan Irfan, Nurul Ain terpaksa meminta diri. Berkali-kali dia tutur kata maaf atas perbuatan yang tidak disengajakan tadi. Malah hendak memerhati wajah lelaki itu pun, tidak sempat.
Tergesa-gesa dia meninggalkan ruang pantry tersebut. Masa seakan mencemburi dia. Terasa satu jam yang hampir berlalu seperti satu saat. Begitu pantas sehingga tiada daya hendak mengejar.

ANISA mengerling Nirmala yang masih merutuk marah. Dalam hati, dia mengutuk sikap temberang si bos kecil mereka. Setakat anak saudara big bos pun, hidung sudah tinggi menjulang langit. Anisa mencebik geram.
            Apabila Nirmala sudah beransur kembali mengurung diri dalam ruang pejabatnya, barulah Anisa terkejar-kejar mencari Nurul Ain di bilik sederhana besar, berhampiran stor di belakang kedai.
            Hati kecilnya diruntun resah mengenangkan ulah Nurul Ain sebentar tadi. Terjerut jantung mendengar rungutan Nirmala, barangkali. Sebab itu, laju sahaja langkah Nurul Ain meninggalkan mereka.
            “Ain!” Anisa memanggil.
            Senyap.
            Anisa menjenguk ke dalam bilik itu. Kelibat Nurul Ain tidak kelihatan di mana-mana.
            Kepala digaru. ‘Mana pula minah ni pergi?’
            “Ain!” panggilnya lagi.
            “Apa?” Nurul Ain menyahut.
            Anisa menoleh, mencari arah datangnya suara itu.
            “Ya Allah!” Anisa nyaris hilang keseimbangan tubuh. Mujur sempat berpaut pada dinding.
            Nurul Ain tersengih lebar. “Kenapa cari aku?”
            “Kau ke mana?”
            “Tandas. Sakit perut. Tak sanggup aku tunggu mak cik tu habis bebel. Mahu menggelupur aku nanti,” kata Nurul Ain sambil mengusap perutnya.
            Buntang mata Anisa. “Kau memerut?”
            Nurul Ain angguk kepala.
            “Lah, aku ingat kau .layan perasaan sedih tadi.”
            “Sedih sebab kena marah dengan dia tu?” Nurul Ain muncungkan bibir ke depan.
            “Tak kuasa aku! Setakat marah-marah macam tu, telinga aku dah kebal lah,” lanjutnya dengan iringan tawa yang ditahan-tahan.
            Tergeleng-geleng kepala Anisa.
            “Sebenarnya kau ke mana? Tiba-tiba hilang.”
            Keluhan berat meluncur laju dari ulas bibir Nurul Ain. Pelipis dahi diurut lembut. Berdenyut.
            “Aku tolong kawan aku,” dustanya.
            “Faisal?” teka Anisa.
            “Bukan.”
            “Habis tu?”
            “Kawan lain. Jadi, kau kena tolong cover aku. Situasi aku sekarang ni memang trouble gila.”
            Dahi Anisa berkerut-kerut. “Kau yang trouble atau kawan kau tu?”
            “Nanti aku ceritalah. Tapi sebelum tu, aku nak minta kau tolong aku. Tolong cover aku. Pandai-pandailah kau jawab kalau nenek kau tu tanya. Lagipun, aku pergi tak lama. Satu dua jam aje.”
            “Lama hoi satu dua jam tu. Masak aku kena tahan telinga.” Anisa tidak puas hati.
            “Please...” rayu Nurul Ain.
            Anisa juling mata ke atas. Entah apalah yang dirahsiakan Nurul Ain.

“LAMA tunggu?” Nurul Ain mengunjuk rapat secawan plastik air kelapa muda kepada Faisal. Hanya apabila jari-jemari Faisal sudah melekat pada cawan itu, barulah dia melepaskan pegangannya.
            “Terima kasih,” ucap Faisal. Senyumnya mekar mewarnai wajah.
            “Minumlah. Sedap tau air kelapa dia,” saran Nurul Ain. Hujung straw disumbat ke dalam mulut. Minuman sejuk itu disedut perlahan.
            “Saya ada beli sesuatu tau.”
            “Beli apa?”
            “Cuba cium.” Plastik merah berisi didekatkan hampir ke hidung Faisal.
            Garis-garis halus timbul tatkala kening Faisal kian bertaut. “Pisang goreng?”
            Nurul Ain bertepuk tangan. “Markah penuh,” katanya, bersisa tawa kecil.
            “Nah, makan ni. Hati-hati, masih panas,” pesan Nurul Ain. Muncung-muncung bibirnya menghembus udara ke arah seketul pisang goreng agar sejuk sedikit supaya mudah Faisal memakannya nanti.
            “Awak ni baik sangatlah, Ain,” rumus Faisal.
            Nurul Ain menoleh. “Baru tahu?” sendanya.
            Faisal sembunyi senyum.
            “Sedap.” Ibu jari diangkat tinggi.
            “Kan? Lain kali, kita datang sini lagi.”
            Faisal angguk setuju. Sesekali dia membetulkan cermin mata hitam yang bertenggek di batang hidung.
            “Adik-adik dekat rumah anak yatim tu, sihat semuanya?”
            “Rumah anak yatim?”
            Spontan, Nurul Ain menoleh. “Eh, kata semalam pergi rumah anak yatim sebab ada event amal dengan kawan-kawan awak.”
            Agak lama Faisal berdiam diri, sebelum akhirnya dia membutirkan bicara. “Lupa.”
            “Baru sehari, dah lupa. Tu banyak makan semutlah tu,” seloroh Nurul Ain. Ekor mata sempat membelah paras tenang Faisal. Biarpun tongkat menjadi sahabat sejati lelaki itu disepanjang hayatnya, kecacatan tersebut langsung tidak menjejaskan personaliti Faisal, rakan istimewa yang dikenali beberapa bulan lalu.
            “Macam mana pula dengan kerja awak?” Teraba-raba tangannya mencari tongkat putih yang diletakkan berhampiran tempat duduknya.
            Ungkit sahaja soal kerja, perasaan Nurul Ain langsung bertukar gema. Pelbagai perkara datang menerjah otak secara serentak.
            “Ada masalah?” duga Faisal apabila pertanyaannya tidak pantas berjawab seperti kebiasaan.
            “Masalah tu, kan perkara biasa. Normal,” sahut Nurul Ain.
            “Saya sedia mendengar kalau awak nak kurangkan beban masalah tu,” tawar Faisal.
            Nurul Ain tersenyum nipis. Apalah yang mampu dilakukan Faisal untuk membantu dia? Bukan memperkecilkan kemampuan lelaki itu, tetapi memang tiada siapapun mampu merungkai permasalahan yang terpaksa ditanggung.
            Sabar, itu yang selalu dibisikkan pada hati. Apa yang dilalui hari ini sebagai balasan atas kecuaian sendiri.

SEBAIK ternampak kelibat Tengku Hanif, Datin Sabrina pantas mengejar. Tidak sempat bertanya apa pun, nama Kathy dahulu yang meluncur keluar dari mulut wanita itu. Tengku Hanif hanya mampu menghembus nafas berat. Siang malam, jendela telinga disua dengan butiran nama itu, sehingga naik sempit ruang pendengaran sendiri.
            “Hanif lupa, ma.” Tengku Hanif merebah tubuhnya di kerusi lembut, terletak di tangah ruang tamu berkeluasan dua puluh kaki. Mata dipejam rapat. Sebelah tangan menanggalkan butang satu per satu, sehingga mendedahkan bahagian dadanya.
            “Macam mana boleh lupa? Kan mama dah ingatkan Hanif, petang ni jemput Kahty, pergi makan malam dengan dia. Entah berapa lama dia tunggu Hanif dekat rumah dia tu.” Bebelan Datin Sabrina umpama tidak menemukan titik noktah. Berjela-jela.
            “Hanif dari mana?”
            “Dari officelah, ma.”
            Datin Sabrina mencekak pinggang. “Mama call Lufiya tadi. Dia kata Hanif keluar awal. Even papa pun tak sempat  nak nampak batang hidung Hanif tadi.”
            “Hanif ada hal dekat luar. Tu yang balik awal.” Penuh tertiba Tengku Hanif menjawab.
            “Apa yang disibukkan sangat dekat luar tu sampai lupa Kathy?”
Tengku Hanif memaksa diri duduk tegak. Kedua belah siku terpacak di kepala lutut, manakala telapak tangan meraupi wajah. Jelas, dia keletihan.
            “Mama, boleh tak kalau tak sebut nama Kathy?” Tengku Hanif menongkat dagu pula.
            “Kenapa tak suka? Esok lusa, hari-hari kamu nampak Kathy, tahu.”
            Rambut dilurut perlahan. Hendak ditentang lebih-lebih, nanti dia digelar anak derhaka. Kalau hati sudah tidak suka, hendak dibuat bagaimana lagi?
            Dia bingkas berdiri.
            “Hanif naik atas dululah, ma.”
            “Hah, itulah! Kalau cakap pasal Kathy, laju aje dia lari.” Datin Sabrina mengigit bibir tanda geram. Kecil sahaja dia pandang Tengku Hanif yang sudah mula mengira anak tangga naik ke tingkat atas.
            Sampai di anak tangga terakhir, Tengku Hanif berhenti melangkah. Kepala menjenguk ke bawah. Sayup-sayup kedengaran bebelan Datin Sabrina. Spontan, dia ketawa kecil. Kalau Datin Sabrina tidak putus asa memadankan dia dengan Kathy, dia juga sama. Bukan mudah untuk meruntuhkan hijab hati sendiri. Perasaan itu tidak pernah hadir untuk Kathy.
            Sambil bernyanyi kecil, dia kembali mengira jejak menuju ke ruang peraduan. Pintu dikunci rapat. Sekarang, inilah dunianya. Terpinggir dari bicara berbaur desakan Datin Sabrina, jauh dari bayang-bayang Kathy.

            Tubuh dihempas longlai atas kamar lembut. Senyuman halus bergulir di ulas bibir.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Hey hey! Esok puasa.. Alhamdulillah :)

No comments: