"...Allah can change sadness into a happiness in a seconds..."
BAB 5
LUFIYA angkat muka, menjulang paras manis yang sedang
mengulum senyum padanya. Perlahan-lahan otot wajah turut membentuk segarit
senyuman kecil. Unjukan mug seramik berwarna merah hati diambil.
“Buat
susah-susah Ain aje. Saya boleh ambil sendiri nanti,” ujar Lufiya. Entah dari
mana datangnya gadis manis itu, dia tidak tahu. Kata Tengku Hanif, pekerja
sementara yang menggantikan tempat Mak cik Leha selaku tea lady di jabatan
mereka.
Bersama
kuluman senyum yang belum mati, Nurul Ain membalas, “Dah kerja saya, Cik
Lufiya.”
“Panggil Kak
Fiya aje.” Lufiya mengingatkan.
Nurul Ain
ketawa kecil. Kepala diangguk berkali-kali tanda faham.
“Tengku ada
dalam tak?” Bibirnya terjuih ke depan.
“Ada. Ain
nak jumpa dia ke?” Tumpuan Lufiya kembali terarah pada Nurul Ain.
Nurul Ain
menuding jari telunjuknya pada cawan kosong di atas troli. Satu-satunya cawan
yang tinggal.
“Oh, nak
kasi Tengku? Masuk ajelah.”
“Boleh ke?”
Nurul Ain tampak ragu-ragu.
Meletus
tawa kecil Lufiya. “Tengku tak makan oranglah,” selorohnya.
Dalam
keterpaksaan, Nurul Ain leret tawa juga. Lambat-lambat dia menghampiri pintu
bilik yang tergantung plat besi berwarna keemasan, dengan ukiran nama Tengku Hanif
di atasnya.
Terimbau
bagaimana teruknya badai yang menghempas jiwa, tatkala sepasang kakinya
menjejak lantai lobi bangunan berketinggian lapan tingkat ini. Peluh-peluh dingin
begitu rakus menggigit dahi, sehingga panasnya sampai ke kepala.
Perasaan itu bertambah runcing
pada ketika tubuh kakunya berada dalam ruang pejabat lelaki tersebut. Sepanjang
masa dia tenung lantai. Hanya sesekali angkat muka, namun enggan menentang atau
membalas pandangan Tengku Hanif.
“I bukan manusia yang tak ada otak. Benda dah jadi, nak buat macam mana, kan? Just nak you gantikan tempat tea
lady yang ada kekosongan sekarang ni. Sampai bila tu, I tak decide lagi.”
“Encik nak
saya berhenti kerja?”
“Ada ke I
suruh you buat macam tu?”
Sinis
bicara Tengku Hanif kembali hinggap di telinga. Kerja separuh masa yang
menyusahkan, walau tugasnya tidak berat mana.
“Kenapa
tercegat dekat situ lagi, Ain? Masuklah.” Panjang leher Lufiya menjenguk Nurul
Ain.
Kelam-kabut
Nurul Ain pulas tombol pintu selepas disergah Lufiya. Apabila pintu merenggang
sedikit, dingin suhu di dalam sana sudah mampu mengelus kulit tangan.
“AIR apa tu?” Tengku Hanif menyoal tanpa memandang Nurul
Ain. Begitu tekun menghadap kertas kerja dan beberapa dokumen yang mesti
disiapkan sebelum pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengarah keesokan harinya.
“Kopi,
Tengku,” jawab Nurul Ain. Bukaan mulutnya cukup kecil sehingga suara yang
dilontar, segan-segan hendak terhambur keluar.
Tengku
Hanif mendongak. Anak mata meratahi paras Nurul Ain yang menunduk kepala.
Jari-jari gadis itu saling bersulaman.
“Mmm...”
Cangkir kopi dicicip sedikit. Seperti mana air tangan Mak cik Leha dan Lufiya,
Nurul Ain tidak kurang hebatnya. Terasa air kopi hangat itu begitu selesa
menyusuri anak tekak.
Melihat
anggukan kecil dan roman wajah Tengku Hanif, serta-merta Nurul Ain hembus nafas
lega. Rengkungan kian meringan. Tidak seperti mula-mula tadi, nyaris pecah dada
sendiri dirusuh pelbagai perasaan.
“Tengku nak
apa-apa lagi tak?” Ringan mulutnya menyoal.
“Kenapa?
Dah kurang kerja ke?” Rendah suara itu menutur bicara.
Bibir Nurul
Ain terkunci rapat. Terkial-kial dia di tengah ruang serba luas itu.
Melihat
ulah membatu Nurul Ain, hati kecil Tengku Hanif seumpama digeletek. Namun dia
cekap sembunyi segala rasa yang datang menyerbu. Otot muka masih kekal tegang.
Cuma kini, renungannya tajam membidik Nurul Ain.
“Sekejap
lagi, you naik level tujuh. Pergi cari Datuk Awang Kader,” suruh Tengku Hanif.
Berkerut-kerut
dahi Nurul Ain.
Tubuh
disandar ke kerusi. Kedua belah tangannya menyilangi dada. “Hantar air dekat
Datuk. Then, you boleh balik and come again jam tiga petang nanti,” lanjutnya
dalam sekali nafas.
“Nak hidang
air apa?” Bodoh-bodoh alang dia melontar soalan.
“Ada mulut,
kan? Tanya.”
Nurul Ain
telan liur. Pahit.
‘Cakap
elok-elok, tak boleh?’ Hati mengguman geram.
“Saya
keluar dulu, Tengku.” Pamitnya. Selajur, dia panjangkan langkah. Ingin segera
menghirup udara lebih segar di luar sana.
TIDAK lepas mata
Datin Sabrina meleret pandang ke arah seorang gadis yang baru sahaja memintas
langkahnya. Lama dia memerhati sehingga hati tertarik untuk mengekor jejak
gadis tersebut. Seumpama ada magnet mendesak dia berkelakuan begitu.
Langkahnya semakin pantas. Tangan
diunjuk ke depan, menyentuh bahu gadis yang berjarak beberapa inci sahaja.
Nurul Ain berpaling. Terkebil-kebil
mata dia membelah renungan Datin Sabrina.
“Kamu... siapa?”
“Saya...”
“Auntie!”
Nurul Ain menoleh.
Datin Sabrina melambai tangannya ke
udara.
“Sorry Auntie Na. Tersangkut dalam
jammed tadi.”
“It’s okay, sayang.” Datin Sabrina
menarik Kathy ke dalam pelukan. Sesudah itu, mereka saling berlaga pipi.
‘Ini sarung nangka ke manusia?’ Atas
bawah diperhatikan perempuan tadi. Baju yang tersarung di tubuh itu cukup
mendedahkan segala lekuk nan memikat. Tidak cukup dengan itu, bahagian peha dan
lengannya pula sengaja dibiar jadi santapan mata-mata sang arjuna.
“Tengok apa?” sergah Kathy. Bulat
mata dia menerkam renungan Nurul Ain.
Nurul Ain juling mata ke atas. Tidak
luak kalau dia yang tengok.
“Auntie, jomlah kita jumpa uncle.
Nanti boleh ajak Hanif keluar lunch sekali.” Kathy melurut rambutnya yang
panjang mengurai. Disisip atas bahu kanan.
“Hmmm...” sahut Datin Sabrina, ala
kadar. Sedang mata dia masih menitip pandangan ke arah lenggang gadis tadi.
Sesuatu telah mengusik dasar hatinya. Sesuatu yang begitu dalam terpunduk di
dalam sana dan enggan digali kembali di sepanjang hayat.
“Betul ke Auntie Na nak I jadi
isteri Hanif?” Dalam senyum melipat, Kathy sengaja membangkitkan hal yang telah
diusul Datin Sabrina beberapa minggu lalu. Mekar kembang dada jadinya. Sehingga
sukar untuk dia melelapkan mata saban malam gara-gara terbayangkan Tengku
Hanif.
“Kalau dah jodoh, tak ke mana, kan?”
Tangan Kathy diusap lembut.
Lentur senyum Kathy semakin melebar.
“Kenapa tiba-tiba auntie nak satukan
kami? Bukan sebelum ni, ramai anak-anak dara kawan auntie kenalkan dekat
Hanif.” Wajah Kathy membentuk kerutan halus.
“Dah semua dia tak nak. Jadi, dia
nak Kathylah agaknya,” senda Datin Sabrina.
“Serius?” Buntang mata Kathy.
Datin Sabrina ketawa lagi. “Agaknya
lah kut.”
“Auntie ni, saja nak buat I sakit
dada.” Jari-jemarinya bertaut rapat, diangkat mengelus dada.
“Yang penting auntie tetap nak Kathy
jadi isteri anak teruna auntie tu. Lagipun, Kathy bukan orang lain. Ada bau-bau
bacang juga, kan?”
Tersipu-sipu Kathy jadinya. Status
isteri kepada Tengku Hanif memang diidamkan. Bukan kerana harta semata,
perasaan dia sendiri menggunung terhadap lelaki itu. Cuma Tengku Hanif tidak
pernah ambil peduli.
“The most important things sekarang
ni, Kathy kena pandai ambil hati Hanif tu. Biar lembut hati dia. Biar dia suka
dekat Kathy. Kalau Hanif buat perangai, Kathy jangan merajuk lebih-lebih. Nanti
dia cepat bosan.”
Kathy tekun mendengar. Setiap butir
bicara itu tersimpan kemas dalam kepala.
‘JEMPUT minum, Datuk.’
Nota kecil bertulis rapi dengan
karbon pensel dibaca berkali-kali. Dia kehairanan.
“Datuk, petang ni Datuk ada meeting
dengan Mr. Low Sew Mem.” Sufiah membelek buku berkulit kuning terang. Di dalam
buku itu, tersimpan segala memo-memo penting majikannya. Dari sekecil-kecil
perkara, sehinggalah sebesar-besar urusan, tidak pernah tertinggal untuk
dicatatkan ke dalam buku berkenaan.
“And tomorrow, Datuk ada lawatan ke
tapak pembinaan dekat Nusajaya. Tengku Hanif dan Encik Irfan pun turut serta.”
Bahagian kedua cantingan nota disuarakan. Kemudian dia membelek helaian
seterusnya.
“Sufi.”
“Ya, Datuk.” Sufiah memandang lelaki
separuh usia itu.
“Awak ke yang buatkan minuman ni?”
Datuk Awang Kader menyoal. “Nota ni sekali?” Kertas kecil itu ditunjuk pula kepada
Sufiah.
Pantas Sufiah menggeleng laju. Ada
senyum halus menghinggapi pinggir bibirnya.
“Tea lady Tengku Hanif,” beritahu
Sufiah.
“Bukan Leha dah berhenti ke? Atau
dah dapat orang baru?” Nota kecil itu diletak kembali atas meja. Disisip bawah
piring seramik yang menjadi alas cangkirnya.
“Orang baru.” Ringkas Sufiah
berkata.
“Dah sejuk air tu, Datuk. Lama dah
dia datang letak,” lanjut Sufiah lagi.
Naik tinggi kening Datuk Awang
Kader. “Sampai ke sini tea lady tu hantar air? Bukan dekat jabatan Hanif aje
ke? Kita kan ada Alina.”
Sufiah jongket bahu. “Atas arahan
Tengku katanya.”
Bertambah dalam kerutan merauti
wajah Datuk Awang Kader.
“Papa.” Terjengul muka Tengku Hanif
disebalik regangan pintu.
“Hah, Hanif! Masuklah.” Datuk Awang
Kader berdiri. Kebiasaan cara dia menyambut sesiapa pun, walau anak sendiri.
Tengku Hanif melangkah masuk
mendekati ayahnya. Senyuman manis Sufiah dibalas mesra.
“Saya keluar dulu, Datuk, Tengku.”
Sufiah memohon undur diri.
“Sufi, selain perkara yang awak
sebut tadi, ada apa-apa lagi yang perlu saya tahu?” Sempat Datuk Awang Kader
mematikan langkah setiausahanya.
“Itu aje, Datuk. Yang lain-lain
nanti saya inform Datuk.” Seulas senyuman dititip lagi.
“Bukan main jauh lagi tea lady kamu
ukur jalan, sampai ke office papa.” Datuk Awang Kader mengunjuk nota kecil yang
disisip bersama cangkir kopi.
“Nota?” Anak mata meneliti setiap
abjad yang membentuk rangkai ayat. Serta-merta, otot pipi jadi lentur.
Senyumnya kecil namun tampak jelas merauti wajah. Nota itu dikembalikan kepada
Datuk Awang Kader.
“Macam mana orangnya?” usul Tengku
Hanif.
“Mana sempat papa jumpa tea lady tu,
Hanif. Masuk-masuk aje, dah ada secawan kopi atas meja. Sekali dengan nota ni,”
beritahu Datuk Awang Kader. “Yang kamu suruh orang tu hantar minuman dekat
papa, kenapa? Alina ada, Sufiah pun ada.”
“Papa...” Tengku Hanif bersandar
tubuh. Pandangannya melorong tepat ke paras lelaki separuh usia itu.
“Nama dia Nurul Ain.”
Datuk Awang Kader terkebil-kebil.
“Nurul Ain?”
Tengku Hanif angguk kepala.
“Nurul Ain,” ulangnya.
“Nurul... Ain...” Ulas bibir Datuk
Awang Kader bergerak-gerak, menghembus nama itu dalam hela nafas cukup halus.
Pandangan keduanya bersatu.
“Hai uncle. Eh, Hanif pun ada juga.”
Suara manja Kathy mengejutkan dua beranak tadi yang begitu ralit membungkus
perasaan dalam gumpalan suasana sepi.
Kemunculan Kathy diekori rapat oleh
Datin Sabrina.
“Hanif pun ada juga.” Lebar senyuman
wanita itu. Anak bujangnya dirapati. Bahu pemuda itu dielus lembut.
“Kita keluar lunch sama. Kathy pun
ada sekali ni.” Datin Sabrina pantas mengusul cadangan.
Tengku Hanif tidak memberikan
sebarang tindak balas. Sekadar menyepikan diri di tengah-tengah ruang perbualan
tersebut. Sesekali leret ekor mata Datuk Awang Kader menembusi paras Tengku
Hanif. Dia sedar, Tengku Hanif tidak pernah suka Kathy lebih daripada seorang
kawan. Namun, sejak akhir-akhir ini, Datin Sabrina menunjuk minat sangat
mendalam merencanakan perhubungan antara anak muda itu dan Kathy.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Hai! :) Selamat berkenalan dengan Irfan-Ain-Hanif :) Sepanjang ketiadaan Amiera Adlan, blog ini akan dipenuhi dengan entri Cinta Jangan Kau Pergi versi bercantas sana sini :) Semoga terhibur ya!