Tuesday, January 31, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab6.

Assalamualaikum.

Sebelum membaca sambungan novel DAM, apa kata layan mata korang semua dengan satu madah yang aku reka khas untuk projek aku yang ketiga ni. Storyline memang sah-sah ada unsur-unsur jiwang, maka madahnya juga kenalah jiwang. Haha. Nak buat macam mana, dalam hati ada taman beb. Chillax laa :')


"...Andai sahaja engkau tahu, hati yang telah engkau hancurkan ini telah berkecai menjadi serpihan halus sehingga sukar untuk aku mengutipnya semula..."


Apa macam? Ada talent jiwang tak aku ni? Haha. Selamat membaca dan semoga terhibur :')











Bab enam
DENGAN laju Elisa memecut skuternya. Untuk kesekian kali, dia terlewat bangun dan lambat untuk pergi ke tempat kerja. Silap diri juga yang terlalu asyik diulit mimpi sehingga langsung tidak sedar entah berapa kali jam loceng berbunyi. Suara Diana juga bagaikan lagu merdu.
            Saat membuka mata, wajah Diana dahulu yang terbias di ruang mata. Kerutan di dahi Diana menujukkan tuan empunya diri sedang menahan rasa hati. Tanpa banyak cakap terus sahaja dia berlari masuk ke dalam bilik air dan bersiap-siap dengan keadaan kelam-kabut.
            “Tu lah. Bila bergayut dengan Idzry tak ingat dunia. Sampai ke pagi telefon tu melekat kat telinga. Bila loceng bunyi langsung tak dengar. Tu, lepas aje Subuh, telefon kau banyak kali berbunyi. Idzry telefon. Nasib baiklah aku ni baik hati, maka aku pun tolonglah jawabkan dan beritahu kau masih tergolek atas katil. Dan nasib baiklah aku ni juga baik hati nak mengejutkan kau. Kalau tak, memang aku biar aje kau terlentang atas katil tu tahu!”
            Elisa tersenyum sendiri ketika mengingati omelan Diana. Apabila sedar itu kesalahan sendiri Elisa hanya menadah telinga sahaja. Mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut mungil itu. Biarpun agak rimas, namun bebelan Dianalah yang menceriakan paginya.
            Elisa memarkir skuternya di tempat biasa, di bawah sebatang pohon rendang berhampiran dengan butik tempat dia bekerja. Selepas mengunci skuter, tergesa-gesa dia berjalan menuju ke Butik Seri Andaman.
            Kaki laju mengatur langkah sedang matanya leka mengamati beberapa lukisan kasar rekaan busana pengantin yang dibuatnya malam semalam. Walau sekadar lukisan kasar, sudah cukup untuk membuatkan dadanya lapang. Bukan apa, nanti kalau hendak berjumpa dengan Nur Kamelia, bolehlah dia menunjukkan lukisan kasar rekaan itu biarpun Nur Kamelia tidak menyuruhnya mereka sebarang rekaan pun lagi.
            Bukkk!!!
            Beberapa helai kertas terlepas dari pegangan tangan Elisa dan berterbangan di udara sebelum jatuh menyembah bumi.
            “Aduh!” Elisa mengaduh kesakitan. Terasa lengannya seperti hendak patah. Pantas Elisa mencari kelibat orang yang melanggarnya sebentar tadi.
            Tanpa sebarang kata, lelaki yang melanggarnya langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Kata maaf juga tidak keluar dari mulut itu. Hanya kilasan pandangan sahaja yang dilempar sebelum lelaki itu beransur pergi.
            Elisa menggigit bibir. Sakit hati!
            “Alamak, kertas aku!”
            Menyedari kertas-kertas yang dipegangnya tadi berterabur di atas lantai jalan, segera Elisa mengutipnya. Dikira bilangan kertas-kertas itu. Baru lima helai, mana lagi sehelai? Elisa melebarkan pandangan mata. Oh, sehelai lagi terjatuh di hujung pandangan matanya sahaja. Elisa hendak pergi mengambilnya namun saat langkah pertama diatur, waktu itu juga lelaki tadi memijak kertas tersebut. Elisa jadi kaku sebentar.
            Kertas aku... dia pijak kertas aku. Tak guna!
            “Woi!” Elisa melaung kuat.
            Hilman berpaling ke belakang. Sempat memandang kiri dan kanan, mana tahu bukan dia yang dipanggil dengan panggilan sedemikian rupa. Nyata hanya dia yang berada di situ.
            “Kertas aku! Kau pijak kertas aku! Angkat kaki kotor kau tu!” marah Elisa.
            Hilman menunduk. Oh, rupanya dia memijak sehelai kertas. Dialihkan kakinya kemudian kertas itu diamati. Ada sesuatu terlakar di atasnya. Dia hanya meneliti, tidak pula mengutipnya. Nampaknya itu sehelai kertas yang dilukis dengan satu rekaan baju. Sedang leka memerhati lukisan itu, tiba-tiba dia dijerkah. Hilman terkebil-kebil.
            Elisa menunduk. Dikutip kertas itu. Wajahnya nampak kecewa tatkala terlihat ada kesan tapak kasut di situ. Kalau sedikit tidak mengapa, ini memakan hampir keseluruhan kertas itu.
            Elisa mengangkat muka. Berkerut wajahnya menghimpun sejuta kemarahan. Sudahlah tidak meminta maaf kerana melanggarnya tadi, kertasnya pula dipijak. Tidak nampakkah kertas itu berada di tengah laluan? Senang-senang sahaja meninggalkan tanda besar di atasnya.
            “Nampak tak apa yang ada kat kertas ni?”
            Hilman menjungkit bahu.
            “Nampak?” jerkah Elisa.
            “Ada sketching, then dengan satu kesan tapak kasut bersaiz 9. Kesan tapak kasut tu pulak menutupi hampir kesemua sketching tu.” Hilman menguntum senyuman selepas berbicara.
            Elisa mengigit bibir. Geramnya! Hendak bersenda pula waktu-waktu begini.
            “Rosak tahu kertas aku ni! Kau nak ganti ke, hah?”
            Hilman menjungkit bahu. Hanya sehelai kertas, kemarahan gadis ini boleh meledak sampai begini?
            “Setakat kertas A4 macam ni, saya boleh gantilah. Cakap awak nak berapa? Satu lori pun saya boleh bagi,” balas Hilman. Riak wajahnya tidak mempunyai sebarang rasa bersalah walau sedikit.
            Elisa pula jadi bertambah geram melihat sikap acuh tidak acuh lelaki itu. Bukannya hendak meminta maaf, malah menyombong pula.
            “Kau ni!” Elisa mengangkat jari telunjuknya, tanda amaran. Marahnya membuak-buak. “Dahlah tadi kau langgar aku langsung tak minta maaf. Ni, kertas ni kau beri cop kasut kau tu, kau buat tak endah jugak. Lepas tu berlagak pulak tu. Hidung tinggi!”
            Hilman tergelak.
            “Cantik bahasa awak,” tegur Hilman.
            Elisa tidak peduli dengan teguran Hilman. Marahnya masih belum surut. Tidak sedar dia semakin lewat.
            “Salah siapa sebenarnya? Awak ke saya? Kalau tak silap saya awak yang langgar saya. Dengan jalan menunduk macam tu, mana mata nak awas dengan keadaan sekeliling. Lagi satu, kalau awak masukkan kertas ni dalam beg awak tu, tak adalah sampai boleh jatuh ke lantai jalan ni. Dan saya taklah terpijak. Kalau diikutkan, saya mangsa keadaan. Betul, kan?” Hilman berpeluk tubuh. Diperhati wajah gadis di depannya.
            “Kau...! Urghhh!”
            Elisa menggenggam buku lima. Ah, geramnya! Kenapalah lelaki ini tidak mahu juga mengalah? Pandai pula putar-belit cerita. Sabar Elisa. Sabar! Elisa menarik nafas dalam-dalam. Diikutkan hati mahu sahaja dia mencekik lelaki itu. Mujur dia masih rasional.
            Elisa berpaling tubuh. Terus mengira langkah berlalu pergi. Marah-marah begini, percuma sahaja. Nanti hati dia yang bernanah lebih.
            “Awak! Tak mahu tuntut ganti rugi ke?”
            Elisa tidak mempedulikan panggilan lelaki itu.
            “Awak!”

“KAK Milla, maaf lambat lagi,” kata Elisa sambil menundukkan kepala.
            Karmilla mencekak pinggang. Sudah lali dengan kelewatan Elisa. Ketika mula-mula Elisa lewat sampai ke butik, berbuih juga mulutnya membebel. Lama-kelamaan, keadaan itu sudah tidak dipedulikan lagi. Baginya, Elisa seorang pekerja yang bagus. Meski kerap datang lewat, kerja sentiasa siap mengikut masa. Malah rekaan Elisa menjadi kegemaran sebilangan pelanggan. Kerana Elisa jugalah nama Butik Seri Andaman semakin dikenali.
            “Akak pun dah naik lali dah, Elis. Kalau lambat aje mesti muka kamu. Mujur juga kamu ni boleh buat kerja. Kalau tak, memang dah lama akak kick kamu keluar dari butik ni,” ujar Karmilla, berbaur sendaan.
            Elisa menggaru kepala. Tersengih. Empat tahun bekerja di Butik Seri Andaman milik Karmilla, tidak pernah tidak datang lewat. Mujur juga Karmilla tidak memberhentikannya kerja.
            “Kali ni sebab apa pulak kau lambat Elis?” tanya Andiana yang baru sahaja keluar dari ruang pantry.
            Elisa menunjukkan sehelai kertas yang mempunyai kesan tapak kasut. Andiana segera menyambar kertas bersaiz A4 tersebut. Dibelek berkali-kali. Dalam fikiran waktu itu, kenapa kesan kasut ada di atas kertas sketching milik Elisa?
            “Kenapa dengan kertas kau ni?” soal Andiana.
            Elisa menarik muncungnya. Kejadian tadi bagaikan satu putaran filem. Kembali menyesakkan fikiran dan membuatkan meter marahnya naik semula.
            “Eh, ni macam kesan tapak kasut lelaki. Macam mana boleh ada kat kertas kau ni? Lagi satu, ni macam sketching baju yang kau buat semalam, untuk Kamelia kan?” Andiana berkata sambil menunjukkan kertas itu di depan mata Elisa.
            Elisa mengangguk. Lantas dia mencekak pinggang. Andiana pula sudah bersedia untuk mendengar cerita yang bakal keluar dari mulut Elisa.
            “Tahu tak apa. Ni memang kertas sketching baju Kamelia. Tu, mamat mana entah, pergi langgar aku sampai terbang segala kertas aku ni. Kalau terbang aje tak apa, ni dipijaknya pulak. Bukan tu aje, tak minta maaf pulak. Dah tu menyombong dengan aku. Dasar hidung tinggi! Memanglah tak dinafikan hidung dia tu tinggi, lawa. Kot ye pun tak payahlah nak tinggi-tinggikan lagi. Menyampah tahu!” bebel Elisa.
            Andiana menggelengkan kepala. Tidak henti-henti Elisa memuntahkan segala kemarahan. Diselangi dengan pergerakan tubuh Elisa itu, membuatkan Andiana gelihati.
            “Dahlah, tak payah marah-marah. Kau terserempak dengan dia pun sekali ni aje. Bukannya kena menghadap hari-hari,” ujar Andiana.
            Elisa berpeluk tubuh. Ada benar juga kata-kata Andiana itu. Mujur juga hanya sekali ini sahaja dia perlu berhadapan lelaki itu. Dasar sombong! Getus hati Elisa.
            “Eh, ni bila kau nak tunjuk kat Kamelia? Dah kotor-kotor macam ni, kau kena buat yang barulah kan.”
            Kertas dalam pegangan Andiana itu diambilnya semula. Ditatap kertas itu dengan perasaan kecewa. Terpaksalah dia meluangkan sedikit masa lagi untuk membuat sketching yang baru. Mudah-mudahan hasilnya sama seperti yang ini.
            “Rasanya dua tiga hari lagi kot. Lagipun dia ada cakap, kalau dia nak datang sini, dia beritahu aku,” jawab Elisa.
            Andiana mengangguk. Dia juga punya urusan dengan Kamelia memandangkan dia selaku jurugambar semasa majlis perkahwinan wanita cantik itu nanti. Kerja yang perlu dilaksanakan bukan setakat mengambil gambar sahaja. Dia perlu melakukan proses pengeditan juga. Mujur proses pengeditan itu dilakukan bersama beberapa orang pekerja di butik tersebut.

IDZRY tidak lepas memerhatikan Elisa. Mula-mula dia mengamati keseluruhan wajah itu. Kemudian pandangannya jatuh pula pada mata Elisa yang bundar. Sejuk sahaja hati tatkala mata itu direnungi. Selepas itu, hidung sedikit mancung itu pula yang diperhati. Bibir merah Elisa juga menjadi tumpuan. Tatkala bibir itu mengukir senyuman, Idzry kaku.
            Memiliki cinta Elisa merupakan anugerah terindah yang pernah dimiliki. Meski sudah mencecah dua tahun hubungan cinta mereka terjalin, namun hari-hari dilalu seperti baru semalam kasih mereka dipadu. Jujurnya, dia lelaki bertuah kerana berjaya memiliki hati Elisa.
            “Awak tahu Idzry, saya sakit hati betul dengan lelaki tu. Dahlah tak reti nak minta maaf, boleh pulak dia berlagak dengan saya. Kalau setakat tu aje tak apa, ni sebabkan dia dah meninggalkan kesan tapak kasutnya kat kertas saya, terpaksa saya buat semula sketching tu. Ingat senang ke nak design benda yang sama?” Elisa melempiaskan perasaan geramnya pada Idzry. Baginya, Idzry umpama diari yang sentiasa sudi mendengar keluh-kesah, segala cerita hariannya.
            “Mujur jugaklah saya ni berfikiran waras lagi. Kalau tidak memang dah lama dia makan penangan saya. Saya pun pelik kenapalah sampai sekarang ni saya tak boleh lupakan mamat tu? Geram, sakit hati. Asal nak buat sketching tu, terpandangkan kertas yang ada kesan tapak kasut tu, terus naik semula geram saya. Muka dia tu terus melekat kat mata ni.”           
            “Elisa.”
            Elisa tidak mendengar panggilan Idzry. Bibinya terus sahaja mengungkap bicara.
            “Muka dia tu bajet bagus aje.Setakat kertas A4, boleh beri satu lori. Apa dia ingat semua kertas A4 dia bagi tu boleh ada sketching saya tu? Cakap senanglah!” marah Elisa lagi.
            “Elisa Najwa.” Kali ini suara Idzry kuat sedikit. Elisa yng baru sahaja hendak membuka mulut lagi, terus kematian kata. Anak mata Idzry lembut merenunginya. Elisa menelan air liur. Perlahan-lahan.
            Renungan Izdry sukar dimengertikan kali ini.
            Tajam.
            Mendalam.
            Penuh makna tersirat.
            “Kenapa?” Lambat-lambat Elisa bertanya.
            Idzry tersenyum pula. Elisa mula membuat perhitungan sendiri. Kelakuan Izdry yang lebih banyak mendengar tanpa menyampuk walau sepatah ayat pun begitu memelikkan. Selalunya Idzry akan membuka bicara barang sepatah dua. Kali ini, lelaki itu lebih banyak berbicara dengan renungan dan senyuman. Yang pasti Elisa tidak akan faham dengan bahasa itu!
            Idzry mengambil langkah tidak menjawab pertanyaan Elisa. Perlahan-lahan dia mencapai jari-jemari gadis yang sedang bekerut dahinya. Idzry tahu terlalu banyak soalan berputaran dalam kepala Elisa. Tangan mulus itu diusap lembut.
            “Marry me.” Sepotong sahaja ayat keluar dari bibir Idzry yang bisa membuatkan Elisa membulatkan mata. Elisa terkebil-kebil memandang Idzry.
            “Will you marry me, Elisa Najwa Emran?” Buat kedua kali Idzry bertanyakan soalan itu.
            Keadaan Elisa masih seperti tadi. Kaku dan pegun. Hanya mata itu bergerak-gerak merenungi wajah Idzry.
            “Kahwin terus?” Akhirnya keluar juga sepotong pertanyaan dari mulut Elisa.
            Idzry mengngkat kening. Sedikit demi sedikit dia faham maksud pertanyaan kekasih hatinya. Idzry ketawa. Elisa hairan. Bukan menjawab pertanyaan, malah Idzry ketawa pula.
            “Kita tunang dululah sayang. Lepas tu, baru kahwin,” kata Idzry diselangi tawanya yang masih bersisa. “Sudi terima saya sebagai bakal suami awak?” aju Idzry lagi. Kali ini sebuah senyuman manis mekar dibibir lelaki itu.
            Elisa menundukkan wajah. Debaran didada bergelora hebat. Perlahan-lahan Elisa menganggukkan kepala. Senyuman Idzry semakin lebar. Elisa mendongak kembali apabila namanya dipanggil Idzry.
            “I will love you until ends of my life,” ucap Idzry.
            Giliran Elisa pula mengukir senyuman lebar.

4 comments:

Anonymous said...

macam tajuk lagu pun ade..hehe..minat novel jgk.. ^^

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Princess Nusy

dpt inspirasi cerita dr lagu ni :')

Anonymous said...

hye.. tumpang tnye.. tapi sebelum tue sori tau.. menganggu.. macam mana ye nak buat macam awk buat nie.. boleh tlg ajar saya x??

NOVELICIOUS: Disaat Aku Mencintaimu
[01] [02] [03] [04] [05] [06] [07] [08] [09] [10] [11] [12] [13] [14] [15] [16] [17] [18] [19] [20] [21] [22] [23] [24]

~::HANAH RISHAS::~ said...

Itu guna labels aje :)