Thursday, February 23, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab17.

Assalamualaikum.

Sedar tak sedar, bulan Febuari bakal melabuhkan tirainya untuk beberapa hari aje lagi. Lepas tu jumpa bulan Mac pulak and next, next, next. Cepat, kan? -.-" Ohh, daripada aku marapu kat sini, baik proceed to DAM. DAM dah masuk Bab 17. Hope yang sudi membaca, akan terus ikuti DAM :')

Selamat membaca dan semoga terhibur :')












Bab tujuh belas
ELISA bersandar di kerusi dengan kepalanya mendongak ke atas. Mata itu pegun memandang syiling. Jika mata Elisa itu laser, pasti berlubang syiling tersebut. Sesekali bibir Elisa bergerak-gerak dan diselangi dengan keluhan halus.
            Perbualan antara Hilman dan Karmilla bagaikan terngiang-ngiang di telinga. Setiap butir bicara yang diungkap Hilman seperti pita rakaman yang sentiasa mengulangi ayat yang sama. Elisa menekup muka. Dia tidak bisa melupai perbualan itu. Kata-kata Hilman terus-terusan berputar di telinga dan wajah lelaki buaya darat itu tidak boleh hilang dari dalam kepala. Elisa kelemasan.
            “Semalam petang ada hal sikit kat pejabat. Lepas tu kawan ajak keluar makan pula.”
            Kenapa dia menipu? Kenapa?
Elisa mengigit bibir. Bukan dia sengaja mencuri dengar perbualan antara Karmilla dan Hilman. Kebetulan dia ingin bertanya tentang kain yang ditempah beberapa hari yang lalu sama ada sudah sampai atau belum, dia terdengar pula perbualan itu. Alang-alang sudah dengar, lebih baik dia memasang telinga di situ.
Melompong Elisa dibuatnya ketika Hilman membicarakan sesuatu yang bohong belaka. Hilman memberikan alasan yang cukup membuatkan dia rasa sakit hati. Tidak penatkah lelaki ini terus menutur kata dusta belaka? Tidak takut dosakah?
Elisa mengambil sekeping gambar bersaiz 4R. Itu gambar yang diambil semalam. Gambar itu sahaja cukup membuktikan pembohongan Hilman. Lelaki itu tidak ada sebarang urusan penting seperti yang diungkap hingga terpaksa memungkiri janji sebaliknya hanya berpeleseran di pusat membeli-belah bersama seorang wanita.
Bukan hanya gambar itu sahaja yang ada dalam genggamannya sekarang. Ada banyak lagi dan kesemuanya sudah bertukar dalam bentuk hardcopy. Dia sanggup pergi ke kedai gambar malam-malam hari dan memaksa Diana menemaninya demi mencuci semua gambar-gambar lelaki itu bersama dua wanita berlainan.
Kalaulah dia menangkap gambar Hilman ketika kali pertama dia terlihat Hilman bersama wanita lain, tentu itu melengkapkan bukti-bukti bercetak. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya dia ada melihat kejadian itu dengan mata kepalanya sendiri. Sehingga hari ini dia masih mengingati wajah wanita itu.
“Apa yang aku kena buat sekarang?” Elisa bertanya kepada diri sendiri.
Elisa berdiri dan berjalan mundar-mandir. Gelagatnya peri seorang pengawal. Pembohongan ini tidak boleh dibiarkan. Walau apa yang terjadi, walau bagaimanapun kesudahannya nanti, segalanya mesti dibongkar. Dia tidak peduli andai kebenaran itu bakal merobek hati Karmilla. Yang pasti, Karmilla tidak akan menderita andai pembohongan Hilman terbongkar dikala hubungan mereka terikat di atas landasan perkahwinan.
“Elis, akak nak pergi ambil kain sekarang,” kata Karmilla ketika melintasi Elisa.
Elisa yang terkejut teguran Karmilla itu, terus mengangguk laju. Dihantar pemergian Karmilla dengan pandangan mata sahaja. Sejurus Karmilla hilang dari pandangan, Elisa menapak menuju ke tempat Hilman mungkin berada sekarang ini. Terjingkit-jingkit kaki Elisa ketika mengatur langkah.
Elisa bersembuyi disebalik almari besar yang memisahkan antara ruang utama dan ruang rehat. Tajam mata itu memerhati setiap gerak-geri Hilman. Lelaki itu sedang bercakap di telefon. Dari gaya percakapan manis Hilman ketika itu, Elisa dapat mengagak dengan siapa lelaki itu sedang berbicara.
Begini rupanya perangai Hilman. Di depan Karmilla, bagai malaikat. Pijak semut pun tak mati. Bila Karmilla depan mata, mulut lelaki itu penuh dengan gula. Manis sahaja bicaranya. Boleh pula menipu dengan mulut manis itu. Saat bersendirian seperti sekarang, mulalah diri sebenar muncul. Bermanis mulut pula dengan perempuan lain.
Dasar lelaki kaki perempuan! Elisa menggenggam penumbuk. Padu. Sepadu rasa geram yang membeku dalam diri. Ah, lelaki ini memang cari nahas! Tak cukup satu perempuan, masih lagi mahu mencari yang lain. Bukan satu, bukan dua tetapi tiga.

“DAH puas berbual?”
            Hilman terperanjat. Hampir sahaja terlepas telefon bimbit dari pegangan. Hilman mencari suara yang menegurnya. Terkebil-kebil dia memandang Elisa yang sedang berdiri di belakangnya sambil berpeluk tubuh. Wajah gadis itu beriak serius. Hilman berpusing. Sekarang dia berada dalam kedudukan bertentangan dengan gadis itu.
            “Puas berbual dengan kekasih?” Elisa menyoal.
            Hilman meletakkan telefon bimbit di atas meja kopi. Dia menjungkit bahu.
            “Berbual dengan kekasih yang mana? Yang berambut panjang hitam pekat, muka macam orang putih tu ke, atau perempuan yang berambut karat? Hah, mungkin dengan perempuan yang semalam tak?” Elisa meneka.
            Mendengar omongan Elisa, Hilman tidak jadi melabuhkan punggung. Tegak dia berdiri. Tidak lepas-lepas memehati Elisa. Elisa mengulum senyuman namun Hilman tidak melihat kemanisan dan keikhlasan senyuman yang dilempar. Senyuman itu seperti memerlinya. Sinis.
            Elisa menapak mendekati Hilman. Kali ini ini jarak antara mereka dipisahkan hanya dua tiga inci sahaja. Juling mata Hilman meratahi setiap sudut raut wajah itu.
            “Sampai bila nak menipu? Tak penat ke asyik cakap bohong aje? Tak takut dosa?” Bertalu-talu soalan yang dilempar Elisa. Biar Hilman sedar, banyak pembohongan lelaki itu yang diketahui olehnya.
            Hilman menggaru kepala. Tidak difahami maksud kata-kata Elisa. Menipu? Berbohong? Dia hendak membuka mulut namun sebaik sahaja dia mahu menutur kata pertama, terlebih dahulu Elisa memberi isyarat supaya dia senyap.
            “Tak kesian ke kat Kak Milla? Awak bohong dia. Awak tipu dia. Anak-anak dia, Mona dan Munir tu, bukan main sayang lagi mereka kat awak tapi awak sanggup tipu mereka. Tindakan awak ni kejam tahu tak!”
            Elisa menggigit bibir. Sakit hatinya. Membuak-buak perasaan marah dalam diri. Semakin membuku rasa geram dalam dada apabila Hilman berpura-pura tidak mengerti apa-apa. Jangan fikir dia akan mempercayai segala tindak-tanduk naif lelaki itu. Entah-entah Hilman sengaja berbuat demikian.
            “Bukan saya tak tahu dengan siapa awak keluar. Bukan saya tak pernah nampak perempuan-perempuan tu. Saya ingat tahu. Ni, melekat dalam kepala saya ni.” Elisa menunjuk kepala sendiri. “Nak bukti? Saya boleh tunjuk bukti!”
            Pandangan Hilman menyoroti langkah Elisa. Dia kehairanan melihat keadaan Elisa. Apa kena dengan Elisa hari ini? Sudahlah dia disergah tiba-tiba. Sekarang ditembak pula dengan pelbagai soalan yang samar-samar untuk difahami. Selepas itu, keluar pula nama Karmilla, Mona dan Munir. Ketiga-tiga insan itu dikaitkan dengan dirinya.
            Selepas beberapa minit, Elisa kembali dengan sesuatu ditangannya. Hilman masih seperti tadi, berdiri sambil berpeluk tubuh. Elisa melempar sekeping gambar ke atas meja. Hilman mengamati gambar itu. Lama. Kemudian pandangan beralih pada Elisa semula.
            “Siapa perempuan ni?” soal Elisa. Sekeping lagi gambar dilempar di tempat yang sama. “Dan siapa pula dia ni?”
            Hilman mengambil dua keping gambar itu. Satu per satu diamati. Sebuah senyuman kecil terbit dibibir. Salah satu gambar yang mengabadikan dirinya bersama Tania ditunjukkan pada Elisa.
            “Ini Tania. Dan ini...” Hilman menunjukkan kepingan gambar yang satu lagi. “Ini Amanda. Pernah nampak dia face to face, kan?”
            Keadaan Hilman waktu itu tenang sahaja sehingga mengundang rasa meluat di hati Elisa. Sedikit pun tidak memaparkan garis-garis gelisah atau gusar pada muka Hilman. Bahkan lelaki itu boleh tersenyum.
            “Satu lagi, siapa perempuan yang bersama dengan awak pada 27 Febuari, sekitar pukul tiga petang? Masa tu awak dan dia kat sebuah kafe. Tengah makan-makan.” Elisa memberitahu perincian tentang kejadian yang kali pertama dilihatnya. Sejak peristiwa itulah dia menyimpan perasaan curiga terhadap Hilman.
            Hilman mengerutkan dahi. 27 Febuari? Soalan Elisa membuatkan dia terpaksa berfikir sejenak. Hilman memetik jari saat dia sudah beroleh jawapan. Dia tertawa sebelum membuka mulut.
            “Yang tu namanya Diandra. Diandra Zulaikha.”      
            Elisa tidak puas hati. Kenapa Hilman tidak cemas sedangkan dia sedang membongkar sedikit demi sedikit tentang pembohongannya? Kenapa Hilman boleh bersikap biasa walhal lelaki itu sedia maklum dia mengetahui hubungan antara lelaki itu bersama tiga orang perempuan yang berdamping dengannya? Elisa pula yang bergelumang dengan tanda-tanya kini.
            “Dari mana awak dapatkan gambar-gambar ni?” Giliran Hilman pula memuntahkan pertanyaan.
            Elisa membetulkan rambutnya. Dia mengambil semula dua keping gambar yang berada dalam tangan Hilman. “Sa... Saya yang ambil.”
            Hilman ketawa. Elisa yang mencuri-curi mengambil gambarnya? Untuk apa?
            “Boleh pula awak senyum dan ketawa, kan. Awak ni langsung tak ada hati perut ke hah? Tak rasa bersalah ke bila menipu Kak Milla? Tak rasa bersalah ke berbohong pada Mona, pada Munir?” marah Elisa.
            “Rasa bersalah? Untuk apa? Saya tak buat apa-apa yang menyakiti mereka pun,” balas Hilman.
            Elisa menggigit bibir. Hati yang panas semakin membara mendengar kata-kata Hilman yang penuh bersahaja.
            “Lelaki buaya darat macam awak ni memang macam ni ke? Dah buat salah, tapi masih tak mahu mengaku. Lepas tu siap buat tak tahu lagi. Jangan cuba nak tegakkan benang yang basahlah. Kak Milla tu bolehlah awak bohong. Nak tipu saya jugak? Jangan haraplah!”

KARMILLA yang baru sampai ke butik terkejut apabila terdengar suara Elisa marah-marah. Segera dia berlari mendapatkan Elisa. Semakin dekat, semakin kuat kedengaran suara Elisa menggigit gegendang telinga. Sepanjang Elisa bekerja dengannya, dia tidak pernah mendengar Elisa bersuara sekasar dan sekuat ini.
            Tentu ada apa-apa! Karmilla resah.
            “Kenapa ni Elis? Kenapa marah-marah?” Karmilla melulu bertanya sebaik sahaja menemui Elisa. Anak mata Karmilla beralih pula merentap susuk Hilman yang berdiri di depan Elisa.
            “Apa dah berlaku ni, Hilman?” soal Karmilla lagi.
            Hilman sekadar menjungkit bahu tanda dia tidak mengerti apa-apa. Wajah Elisa bertukar tegang. Terkumpul segala rasa amarahnya di situ. Karmilla sudah terpacak di depan mata, Hilman masih mahu menipu lagi.
            Karmilla masih tidak mengetahui perkara sebenar semakin terpinga-pinga. Hilman dengan sikap acuh tidak acuh. Elisa pula dengan kemarahan yang tidak diketahui apa punca.
            “Awak masih tak mahu mengakui kesalahan diri walau Kak Milla dah ada depan mata? Masih lagi nak berselindung disebalik muka malaikat awak tu?”
            Mengecil mata Karmilla. Lain benar nada pertuturan Elisa. Sekejap Karmilla memandang Hilman. Sekejap pula menyoroti Elisa.
            “Dah memang saya tak ada lakukan sebarang kesalahan dengan sesiapa pun, buat apa nak mengaku bersalah pulak. Nonsense!” tingkah Hilman. Api-api amarah mulai memercik ke sanubari Hilman. Berulang kali ditegaskan, namun masih juga dihentam dengan pelbagai tuduhan dari Elisa.
            “The truth is awak memang ada buat salah. Awak bohong Kak Milla. Awak tipu dia. Berbohong, menipu tu bukan salah ke?”
            Hilman bengang. “Cik Elis, the truth is I don’t understand what going on here. Even I don’t know what are you talking about.”
            Karmilla yang hanya melihat pertengkaran antara Elisa dan Hilman mulai campur tangan. Dia tidak mahu ada pergaduhan di sini. Satu masalah pula jika ada pelanggan datang waktu-waktu begini.
            “Hei... hei! Kenapa dengan kamu berdua ni? Kenal tidak, apa tidak, tiba-tiba berkelahi. Yang sorang kata penipu. Yang sorang kata bukan penipu. Apa ni?” Karmilla cuba menenangkan suasana yang sedikit tegang. Dia menarik Elisa menjauhi Hilman.
            “Dia tu bermasalah. Dia tu yang patut minta maaf. Dahlah sergah tak tentu pasal. Lepas tu marah-marah pula. Tak cukup dengan tu, rupanya sebelum ni dia ni ada ekori aku. Ke sana sini diperhati. Siap curi-curi ambil gambar pula tu. Entah apa masalah dia ni, tak tahulah. Ada penyakit otak agaknya!”
            “Buat macam tu tak ubah macam Pink Panther. Cuma Pink Panther yang ni bukan warna merah jambu,” kata Hilman diselangi tawa halus. Suaranya cukup perlahan namun Elisa masih bisa menangkap bicara itu.
            Turun naik nafas Elisa. Hatinya bengkak. Tak guna! Dia panggil aku Pink Panther. Tak sedar diri dia tu buaya darat, Elisa menggerutu geram.
            “Gambar? Gambar apa?” Karmilla memandang Elisa. “Sini gambar tu.”
            Elisa memberi dua keping gambar itu kepada Karmilla. Lama Karmilla menatap gambar itu. Sesekali mengerling ke arah Elisa.
            “Ini Hilman.”
            Elisa mengangguk laju. Inilah masanya! Masa untuk dia membongkar segala kejahatan Hilman. Karmilla akan berterima kasih dengannya sebaik sahaja pembohongan dan penipuan Hilman terbongkar. Elisa ketawa dalam hati.
            “Memang itu Hilman. Lelaki depan Kak Milla ni bukanlah sebaik yang akak sangka. Dia ni buaya yang bertopeng manusia. Berlagak macam baik tapi hakikatnya dialah buaya yang paling bahaya. Tak cukup dengan seorang perempuan, nak juga cuba pasang dua tiga orang.
            Dah lama Elis intip gerak-geri dia ni. Memang sah dia ni kaki perempuan. Setiap kali keluar, mesti dengan perempuan yang berbeza. Gambar yang akak tengok tu, hanya dua orang perempuan aje. Yang seorang lagi tu Elis tak teringat nak ambil gambar. Ni baru tiga orang. Entah berapa ramai lagi perempuan keliling pinggang dia tu.” Elisa berbicara dengan mata tajam merenungi Hilman.
            “Tak guna akak bersama dengan dia. Elis kumpul semua bukti untuk sedarkan akak. Dia bukan seperti yang akak sangka. Elis tak mahu akak menyesal,” sambungnya.
            “Apa Elis cakap ni?” soal Karmilla.
            Elisa kehairanan. Boleh pula Karmilla menyoal begitu? Tidakkah wanita itu sedar hakikat Hilman sebenarnya? Semua ada depan mata, tetapi Karmilla seakan-akan tidak ambil kisah pula. Dijeling Hilman yang sudah duduk dengan selesa di atas sofa.
            “Elis cakap perkara yang betul. Hilman tak sesuai untuk akak. Dia bukan lelaki yang baik. Dia tu buaya darat, kaki perempuan, playboy! Elis berusaha nak selamatkan akak. Hubungan akak dengan lelaki tu takkan bawa bahagia. Percayalah kak.” Sungguh-sungguh Elisa menyakinkan Karmilla bahawa Hilman bukan lelaki yang baik.
            Elisa berpaling. Hilman sedang ketawa terbahak-bahak. Apa yang kelakar? Dalam keadaan serius seperti ini pun Hilman masih sempat bersenang hati begitu.
            “Hubungan akak dengan Hilman?” Tergantung di situ pertanyaan Karmilla.
            Elisa berasa tidak senang hati pula. Kenapa keadaan ini tidak terjadi seperti yang dibayangkan? Pada fikirannya, Karmilla akan mengamuk besar. Paling tidak pun wanita itu akan meluahkan perasaan kecewa dengan mata berkaca. Apa yang sedang belaku sekarang ini jauh dari semua itu. Karmilla tidak mengamuk. Karmilla tidak menangis.
            “Kan... kan akak ada hubungan dengan dia. Hubungan yang... yang...”
            “Cinta?” potong Karmilla.
            “Lebih kurang macam tulah.”
            Bertambah berlipat kali ganda rasa kurang senang singgah di hati. Ada yang tidak kena! Elisa menyakinkan hati sendiri. Bukan hanya Hilman yang ketawa, Karmilla juga begitu. Elisa menggaru-garu kepala.
            “Akak dah tahu ke... pasal lelaki tu?” Mulut Elisa terjuih ke arah Hilman.
            Karmilla tersenyum. “Dah lama akak tahu pasal perangai dia ni. Memang kaki perempuan. Sekejap dengan orang ni, sekejap dengan orang tu. Tak pernah nak setia.” Karmilla sempat menjeling Hilman.
            Pelik! Karmilla sudah sedia maklum perangai Hilman, tetapi tidakkah Karmilla marah?  Fikiran Elisa ligat berpusing memikirkan pelbagai andaian.
            “Akak dengan dia....” Elisa tidak menghabiskan kata-kata. Tergantung.
            “Hilman Adli ni adik lelaki akak,” beritahu Karmilla.
            Elisa tersedak. Adik? Dia menelan air liur. Waktu itu dia terlihat dari ekor matanya Hilman tersenyum lebar. Ah, kenapa hal begini berlaku? Terasa wajahnya mulai hangat. Inilah akibat tindakan melulu tanpa usul periksa. Akhirnya malu juga yang dia dapat. Segan hendak mengangkat muka. Lagi segan hendak menentang mata Hilman. Tentu lelaki itu ketawa sambil berguling-guling.
            Padan muka kau Elisa! Dah terkena batang hidung sendiri.

notahujungkaki: Aku dah lupa, entah berapa kali aku dan kawan aku kena ubah proposal for PSM. Haha. Cool, kan? Orang lain dah sibuk buat storyboard laa, script laa, itu laa, ini laa, kami masih dok fikir idea for our PSM project. Memang sangat cool -.-" Untuk beberapa bulan ni, kami boleh jadi clay modeler yang mahir. Wakakaka. Ini statement perasan.

2 comments:

zm said...

meluat la dgn hilman ni....

~::HANAH RISHAS::~ said...

@zawani mukhtar

xD meluat dgn Hilman, tak apa. moga2 tak meluat dgn cerita DAM ni. hehe