Tuesday, March 20, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab20.

Assalamualaikum.

"...The best and most beautiful things in the world cannot be seen or even touched - they must be felt with the heart..."








Bab dua puluh

LUKISAN rekaan baju pengantin yang baru sahaja ditempah oleh seorang pelanggan perlu disiapkan segera. Mengikut perbincangan tempoh hari, Elisa diminta menunjukkan hasil lukisan rekaan busana tersebut dalam masa tiga hari.
Oleh kerana Siti Saleha, pelanggan baru butik mereka merupakan teman rapat Karmilla, maka dia selaku pereka di butik itu haruslah menunjukkan satu prestasi yang membanggakan. Dia mahu hasil kerjanya itu memuaskan hati Siti Saleha disamping menjaga nama baik Karmilla selaku pemilik butik yang semakin meningkat naik namanya.
Kesungguhan Elisa diperasani Karmilla. Sejak awal pagi, Elisa leka melukis sesuatu di atas beberapa helai kertas. Sesekali dia terlihat Elisa menongkat dagu dan kerutan jelas terpamer di wajah mulus itu. Ada waktu gadis itu boleh tersenyum sendiri sambil jemari meliuk-liuk di atas kertas itu.
Ketika Karmilla melintasi ruang kerja Elisa, Elisa melompat turun dari kerusi dan menghalang perjalanan Karmilla. Karmilla pula jadi terkejut. Elisa tersengih sahaja melihat wajah lesi Karmilla. Bukan bermaksud hendak membuat Karmilla terperanjat.
“Ya Robbi! Boleh sakit jantung akak macam ni. Kenapa tiba-tiba melompat depan akak ni?” Karmilla mengurut dada. Berdegup kencang jantungnya.
Elisa tersengih lagi. Ada sesuatu yang ingin dibicarakan. Sejak pagi dia merangka kata yang enak buat pendengaran Karmilla. Elisa berdehem beberapa kali. Kelakuannya dipandang pelik oleh Karmilla.
“Kenapa ni? Ada perkara ke yang Elis nak beritahu akak?” soal Karmilla. “Pasal Hilman lagi?” Sempat Karmilla bersenda.
Elisa menjuihkan bibir. Perihal itu juga yang dibangkitkan Karmilla. Hilman... Hilman... Hilman! Dia yang mendengar naik berbulu telinga. Walau dia tahu Karmilla bukan berniat hendak memerlinya tetapi saat nama lelaki buaya itu menerjah ke gegendang telinga, dia rasa menyampah.
Karmilla ketawa gelihati. Reaksi Elisa yang menjuih bibir begitu seringkali dilihat tatkala dia mengungkit peristiwa seminggu yang lalu. Sekadar ingin mengusik.
“Ni, saya nak minta cuti.”
“Cuti?”
Elisa mengangguk berkali-kali.
“Berapa hari?” tanya Karmilla.
Elisa tersenyum lebar. Soalan Karmilla itu bagaikan satu tanda wanita itu meluluskan cuti yang dipohon. “Sehari aje. Esok.”
Karmilla tidak kisah andai Elisa ingin bercuti. Tambahan pula Elisa jarang cuti tanpa sebab yang munasabah. Dalam setahun, berapa kali sangat Elisa minta cuti melainkan cuti itu diberi sendiri olehnya.
Oleh sebab itu, kalau sekali sekala Elisa hendak bercuti walau memakan masa dua tiga hari, dia tidak kisah untuk melepaskan Elisa pergi. Sedia diketahui, jika Elisa bercadang mengambil cuti, kerja-kerja yang sepatutnya selesai dalam masa tiga empat hari, disiapkan terlebih dahulu oleh gadis itu.
“Nak bercuti ke mana?” Sempat Karmilla menyoal lagi sebelum dia berniat pergi ke biliknya.
“Ada hal keluarga,” jawab Elisa, ringkas.
Karmilla mengangguk dan berlalu pergi. Pandangan mata Elisa mengekori langkah kaki Karmilla sehingga bayang wanita itu hilang dibalik pintu. Elisa tersenyum keriangan. Lapang dada kerana Karmilla membenarkan dia bercuti esok.
Dalam kegembiraan dan keriangan itu, sebenarnya ada satu perasaan yang lebih hebat sedang bergolak dalam diri. Esok hari penentu. Esok hari yang akan menemukan dia dengan keluarga Idzry buat kali pertama. Oh, gelisah yang melanda bagaikan tiada kesudahan. Meski esok petang pertemuan itu akan berlangsung, namun debarannya sudah dirasai kini. Tidak dapat membayangan keadaan hari esok.

BUNGKUSAN yang terletak elok di atas meja dipandang Elisa tanpa berkelip. Siapa punya? Dia tertanya-tanya. Elisa melebarkan pandangan seluas yang mungkin. Namun tiada sesiapa yang boleh disyaki meletakkan bungkusan itu di atas mejanya.
            Elisa mengambil sekeping kad kecil yang dikepil bersama bungkusan tersebut dan membacanya. Di atas kad itu tertulis kata maaf. Dan ianya ditujukan untuk Pink Panther. Mata Elisa terbeliak. Pink Panther?
            Mungkinkah....
            “Cari saya ke?”
            Elisa terkejut. Hampir terlepas kad kecil dalam pegangan. Cepat-cepat Elisa meletakkan semula kad itu di tempat asal. Hilman yang terpacak di depan mata mulai mengukir senyuman. Elisa menelan air liur. Entah bila lelaki ini sampai, tidak pula dia perasan. Elisa menolak bungkusan itu jauh di hujung sudut meja.
            “Cari saya?” Hilman menyoal lagi.
            Berkerut dahi Elisa. Soalan yang ditanya Hilman bagai tidak masuk akal. Buat apa dia mencari lelaki itu. Andai bisa dia membuat pilihan, pasti dia menginginkan Hilman tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.
            Elisa melabuhkan punggung. Sedikit pun tidak ambil peduli dengan pertanyaan Hilman. Berat mulut hendak mengeluarkan kata-kata bagi menjawab pertanyaan yang diaju oleh lelaki buaya darat itu. Elisa berpura-pura sibuk. Dia melukis sesuatu di atas kertas.
            “Amboi, sombongnya!” tegur Hilman.
            Elisa masih tidak mempedulikan Hilman. Doanya moga lelaki ini segera angkat kaki. Namun Hilman mengambil jalan statik di tempat yang sama walau dia tahu Elisa seakan enggan bersemuka dengannya.
            Hilman ternampak bungkusan di hujung meja kerja Elisa. Dia mengambil bungkusan itu dan dihulur pada Elisa. Melihat bungkusan itu di depan mata, Elisa mengangkat muka. Hilman tersenyum lagi padanya.
            “Untuk awak,” ujar Hilman.
            Elisa menggelengkan kepala. “Bukan saya punya.”
            “Ini awak punya. Tengok nama kat kad tu,” kata Hilman lagi.
            Elisa menarik nafas. Dia mengambil kad kecil itu lalu membukanya dan ditunjukkan pada Hilman. Kalau untuknya, akan tertulis elok namanya di atas kad itu.
            “Nampak?” Elisa mengangkat kening. “Namadalam ni Pink Panther. So, not mine.”
            Hilman pula tertawa.
“Pink Panther tu bukan awak ke?”
            Elisa menentang mata Hilman. Dia tersenyum kambing sebelum tawanya meletus. Jelas kelihatan senyuman dan tawa itu datang dari hati yang tidak ikhlas.
            “So funny!” sindir Elisa.
            Hilman pula galak ketawa. “Memang kelakar, kan. Pink Panther tu sah-sah sesuai dengan awak. Sangat sesuai!”
            Elisa menahan hati supaya kemarahannya dapat dikawal sekaligus ianya tidak akan meletus bagaikan lava gunung berapi. Bungkusan di atas meja segera diambil dan diletakkan di bawah meja. Hilman memerhati kelakuan Elisa. Sebuah senyuman tersunging di hujung bibirnya.
            “Saya dah ambil pemberian awak tu. Puas hati?”
            Hilman tersenyum lagi.
            “Assalamualaikum...”
            Elisa dan Hilman serentak memandang ke arah seorang gadis ayu berbaju kurung kuning air dan berselendang daripada rona warna yang sedondon. Elisa bingkas bangun. Dia laju mengatur langkah menghampiri gadis tadi.
            “Saleha! Tak cakap pun nak datang butik.”
            Siti Saleha tersenyum kecil. Dia seakan dapat membaca apa yang sedang berlegar-legar dalam kepala Elisa.
            “Saya datang butik bukan nak tengok kerja Elis tapi nak jumpa Milla. Dia ada?”
            Elisa mengurut dada. Lega kerana Siti Saleha berkata demikian. Cepat dia mengangguk menandakan Karmilla ada di butik waktu ini. Siti Saleha terus mengatur langkah menuju ke bilik kerja teman rapatnya.
Ketika melintas di depan Hilman, Siti Saleha menghentikan langkah dan menoleh ke arah Hilman. Lama dia memerhati lelaki itu sebelum senyuman dihulur tanda salam perkenalan. Hilman pula berdiri dan mendekati Siti Saleha. Tangan memeluk tubuh dan mata Hilman tajam merenungi gadis ayu di depannya.
“Do I know you?” tanya Siti Saleha. Jemarinya bermain-main didagu. Berulang-ulang kali raut wajah Hilman diperhati.
Hilman menjungkit bahu. Kini dia berdiri betul-betul di depan mata Siti Saleha. “Yes, you do know me, Sal.”
Siti Saleha masih terkebil-kebil. Dia cuba mengingati siapakah lelaki ini dalam lipatan hidupnya. Sehingga berkerut-kerut dahi Siti Saleha akibat fikiran sedang meruncing mencari jawapan. Tiba-tiba Siti Saleha memetik jari. Sebuah senyuman lebar terpamer di pinggir bibir.
“Of course I know you. Hilman, right?” Siti Saleha meneka dengan penuh keyakinan.
Hilman ketawa. Dia mengangguk.
“God! Hampir-hampir tak dapat cam you. Hilman, you look great! Semakin segak dan kacak,” kata Siti Saleha.
“So dulu I tak sekacak sekaranglah?” senda Hilman.
Siti Saleha tertawa. “Dulu pun kacak, cuma sekarang percentage kehenseman you tu dah meningkat.”
Uwekkkk! Perasan! Elisa mencebik dalam hati. Tentu kembang-kuncup hati Hilman kerana dipuji kacak dan segak oleh Siti Saleha. Elisa tidak menyangkal sama sekali Hilman mempunyai pakej lengkap sebagai lelaki kacak yang segak dan bergaya. Namun bagi Elisa, di matanya, Hilman tidak lebih dari seorang lelaki yang sengaja mengambil peluang di atas pemberian Tuhan padanya.
Elisa terus memerhati gelagat Siti Saleha dan Hilman yang sedang asyik berbicara. Saat terdengar Hilman memuji keanggunan Siti Saleha yang dikatakan baru beberapa bulan berhijrah ke arah pemakaian hijab, Elisa sangsi. Apakah pujian itu sememangnya lahir dari hati yang ikhlas atau sengaja mahu memancing hati Siti Saleha?
Semakin lama Elisa memasang telinga, semakin bergula gegendang telinganya. Asyik disumbat dengan kata-kata manis Hilman yang cukup banyak memuji Siti Saleha. Ini cantiklah. Itu menawanlah. Segala yang diucap itu bagaikan satu melodi indah bagi perempuan-perempuan yang menggilai lelaki seperti Hilman.
Akan tetapi Elisa percaya, kata-kata itu tidak akan berkesan langsung ke atas Siti Saleha. Siti Saleha sudah bertunang, malah perkahwinan gadis itu bersama jejaka pilihannya akan berlangsung kurang lebih enam bulan lagi. Setakat mendengar bicara Hilman yang boleh diumpamakan manis-manis gula itu, tidak mungkin hati Siti Saleha patah. Dan Elisa sangat percaya, lelaki pilihan Siti Saleha berjuta-juta kali lebih baik berbanding Hilman!
 “Ramai kenalan awak, kan? Sampaikan kawan Kak Milla pun boleh jadi kawan awak juga. Hebat!” tegur Elisa. Ketika itu hanya tinggal dia dan Hilman sahaja di situ. Siti Saleha sudah pun pergi menemui Karmilla.
Hilman melirik ke arah Elisa. Gadis itu sedang memeluk tubuh.
“Well, I like making friends,” balas Hilman dalam senyuman.
“You know what, saya pernah terfikir macam mana agaknya awak hidup kalau di sebelah awak, berdirinya seorang perempuan aje.”
Elisa terus berlalu meninggalkan Hilman sendirian sebaik sahaja bicaranya berakhir noktah begitu. Dia tidak berniat untuk terus memanjangkan perbualan antara mereka. Biarlah Hilman berfikir maksud kata-katanya tadi.
Bukan hendak menyindir. Jauh sekali mahu menyakiti hati lelaki itu, tetapi dia ingin sekali Hilman tahu, sikap kaki perempuan lelaki itu sungguh tidak elok dan hanya akan membangkitkan rasa kecewa jika perempuan-perempuan yang berdampingan dengan Hilman sedar, lelaki itu tidak pernah setia.

HILMAN duduk termenung sendirian di ruang rehat butik milik Karmilla. Kata-kata Elisa tadi seakan-akan enggan minggir dari telinga. Acap kali ianya terngiang-ngiang sehingga dia berasa rimas namun fikirannya masih tetap menujah ke arah itu juga. Puas dicuba untuk melupakan butir bicara itu tetapi tetap jua singgah di telinga.
            Tanpa sedar, Hilman menghela nafas yang cukup panjang. Berat dan dalam. Hilman menongkat dagu pula. Matanya terkebil-kebil memandang dinding yang dicat warna terang.
            “Ehem!”
            Hilman tersentak. Pantas pandangan mata itu merentap susuk tubuh Karmilla yang berdiri bertentangan dengannya. Saat itu juga terbang segala perkara yang tadinya asyik berputaran di minda.
            “Termenung panjang nampak,” tegur Karmilla. Dia melabuhkan punggung.
Diperhati keadaan diri Hilman. Tiba-tiba sahaja angin adiknya berubah. Kebiasaannya, apabila datang ke butik ini, tidak pernah sekali pun butik ini sesepi begini. Apatah lagi sejak kejadian salah faham antara Hilman dan Elisa, rajin sungguh Hilman mengusik Elisa walaupun keduanya tidak saling mengenali. Sesekali usikan dan sendaan Hilman itu dianggap gangguan oleh Elisa.
Hilman tersengih, lantas menggelengkan kepala.
“Dah nak balik ke, kak?” tanya Hilman.
Karmilla mengangguk. Beg tangan bersaiz sederhana besar disandang ke bahu kanan. Manakala sebelah tangan lagi memjinjing dua beg plastik yang masing-masing berisi material untuk menjahit baju. Karmilla menyerahkan dua beg plastik tersebut apabila Hilman ringan tulang hendak membantu.
“Sejak Hilman rajin ke mari, ringan kerja akak mengangkat barang,” ujar Karmilla.
Hilman mengerling Karmilla. Sepertinya ada sesuatu yang hendak disampaikan oleh kakaknya cuma dengan cara berkias begitu.
“Akak perli aku ke?” Tiba-tiba tercetus kata-kata itu.
Karmilla memandang Hilman. Tajam. “Akak bukan perli. Betullah apa yang akak cakap. Kan kau rajin datang butik akak ni. Datang pun bukan duduk bersenang-senang. Ada juga kerja yang kau buat. Jadi kerja akak pun berkuranglah sikit.”
“Ingatkan kau sengaja nak perli aku, kak. Maklumlah, aku ni kan penganggur,” balas Hilman sambil mengeyitkan mata. Dia meletakkan dua beg plastik tadi di tempat duduk belakang. Karmilla sudah pun masuk ke dalam perut kereta.
“Kau yang pilih untuk jadi macam ni, kan? Dah diberi kerja, kau tolak. Kalau kau terima kan senang. Taklah buang masa macam sekarang.” Karmilla membebel sebaik sahaja Hilman masuk ke dalam kereta dan bersedia untuk memandu.
Hilman mengeluh.
“Akak sendiri tahu kan yang aku balik sini pun sebab desakan mama. Penat telinga aku ni kak. Selagi tak berhenti kerja kat Melaka tu, selagi itulah mama berleter, suruh aku balik. Lagipun kak, aku tak bersedia lagi nak terima tawaran kerja tu. Nanti bila dah sedia, aku kerjalah.”
“Sama jugalah kalau kau tak kerja. Mama tetap bebel jugak walau dah balik sini. Kalau kau kerja, mulut mama pun senyaplah.”
“Nanti-nantilah kak,” dalih Hilman.
“Sampai bila? Dah dekat empat bulan kau berhenti kerja, tak buat apa-apa jugak. Takkan nak tunggu sampai kau tak ada duit, atau tunggu mama suruh papa potong segala kad yang ada?” soal Karmilla.
Hilman menjungkit bahu.
“Akak nak tahu sesuatu?” aju Hilman walhal Karmilla masih menanti jawapan darinya.
Karmilla mengangkat kening tanda dia tertarik.
“Perangai akak ni sama macam Datin Suria binti Jaafar. Cuma bebelan akak ni kurang sikit berbanding beliau. Sebab tu aku berani tinggal dengan Jaslen Karmilla ni. Walau ada masa mengalami keradangan telinga tapi better than Datin Suria,” senda Hilman. Sengaja mengalihkan tumpuan topik perbualan mereka waktu itu. Kalau boleh, dia tidak mahu Karmilla membangkitkan soal kerja. Hanya buat kepala sendiri naik pusing.
“Amboi, kita pulak yang kena! Ni, satu lagi yang merunsingkan akak sekarang ni. Pasal perem...”
Belum pun sempat Karmilla menghabiskan ayat, Hilman memotong percakapannya terlebih dahulu.
“Pasal perempuan? Dahlah kak. Cukuplah pekerja akak yang seorang tu aje sibuk-sibuk ambil tahu pasal kawan-kawan aku. Takkan akak pun nak jadi macam budak tu. Siapa nama dia? Alah! Hah, Elis. Takkan akak pun nak mengintip aku macam Elis tu buat?”
Karmilla memeluk tubuh. Ada sahaja alasan yang diberi Hilman demi mengelak diri disoal siasat. Memang padanlah jika kedua ibu bapa mereka, terutamanya mama berleter dek mengenangkan sikap ambil mudah anak lelaki mereka ini.
“Elisa mengintip tu bersebab. Dia tak tahu pun kau ni adik akak. Walau ada salah faham kat situ, tapi niat dia baik,” jelas Karmilla.
Hilman ketawa terbahak-bahak. Kejadian itu berputaran semula di kepala.
“Cakap pasal Elisa ni, esok kau wajib datang butik tau.”
“Kenapa pulak?”
“Ni, Elis bercuti esok. Andiana pulak minggu depan baru balik dari bercuti. Jadinya tak ada sesiapa yang tolong akak. Alang-alang dah jadi penganggur tu, ada baiknya kau tolong akak kat butik,” kata Karmilla.
“Elisa cuti? Dia ke mana?” Laju Hilman bertanya.
Terangkat kening Karmilla dibuatnya. “Hai, yang kau sibuk nak tahu tu kenapa?”
Hilman menggaru kepala. Dia dapat mengagak kesimpulan yang terdetik di fikiran Karmilla. Tidak ada anggapan lain yang terarah padanya.
“Jangan nak fikir bukan-bukan. Orang bertanya sebab nak tahu bukan ada niat lain,” tekan Hilman. 
Karmilla menggeleng kepala seraya tersenyum kecil. 

No comments: