Thursday, March 22, 2012

[Novel] : Terbang ke Langit-Bab2.

Assalamualaikum.

"...I tell the boys and the girls: Allah has already written the name of your spouses for you. What you need to work on is your relationship with Allah. He will send him/her to you when you're ready. It is only a matter of time..." -Sheikh Mamdouh.









Bab dua

MELIAR mata Adira mencari sesuatu. Sekejap melihat kiri, sekejap melihat kanan pula. Kemudian dia berpusing ke belakang. Jika dilihat perlakuan Adira ketika itu seperti sedang berpusing 360 darjah.
            Suzana dan Mahizan yang sedang duduk menjamu selera memandang pelik. Nasi lemak kegemaran Adira langsung tidak berusik. Air sirap yang cukup digemari Adira juga tidak berkurang. Selama lima minit mereka duduk di kantin, Adira sentiasa tertoleh-toleh. Seakan mencari sesuatu.
            “Pelik betullah aku tengok Dira ni. Biasanya kalau dapat nasi lemak makcik kantin ni, terus tak pandang kiri kanan. Ni, jangankan makan, tengok pun tak,” getus Mahizan. Pinggan yang sudah licin itu ditolak ke tepi. Dia meneguk air anggur yang dibekalkan ibunya.
            “Kau cari apa, Dira?” tanya Mahizan.
            Adira memandang teman-temannya. Kemudian menggaru kepala. Dia tersengih buat seketika.
            “Cari budak baru tadilah tu, kan?” teka Suzana. Disuakan sebiji karipap kecil ke dalam mulut dan dikunyah perlahan.
            “Budak baru? Siapa? Adam ke?”
            Terangguk-angguk kepala Suzana. Mulutnya penuh dengan kuih karipap sehingga tidak mampu menutur kata dan hanya boleh memberikan bahasa tubuh sebagai jawapan.
            “Buat apa kau cari dia?” Terarah pertanyaan itu pada Adira.
            “Saja. Aku nak kawan-kawan dengan dia,” jawab Adira.
            “Kan dah kenal tadi. Nama dia Adam.”
            “Kita cuma tahu nama dia Adam aje. Nama penuh aku tak tahu lagi. Dia budak baru, mesti susah nak cari kawan. Kan baik kalau aku jadi kawan dia. Taklah dia bosan kat sekolah ni. Lagipun aku nak tahu jugak dia budak kampung mana. Kalau dekat, bolehlah kita pergi main bersama dengan dia. Senanglah sikit dia nak suaikan diri kat tempat baru ni.” Panjang lebar penjelasan yang diberi Adira.
             Pagi tadi sewaktu dia melepasi pagar  masuk ke kawasan sekolah, dia ternampak Adam berdiri di sebelah sebuah kereta bersama seorang wanita memegang tangannya. Adira langsung memandang tanpa berkelip pun. Dalam hati, dia dapat meneka Adam budak baru sekolah ini cuma tidak dapat dipastikan Adam akan masuk ke kelas yang mana. Mungkin budak darjah enam sepertinya atau ke kelas lain.
            Ketika Sharifah Sasa sibuk meneliti laporan kedatangan yang perlu ditanda di setiap nama yang tercatat di dalamnya, Adira mengambil peluang itu untuk curi keluar. Destinasi utamanya ialah bilik guru. Di sebalik tingkap yang terbuka sedikit, dia nampak Adam duduk di sebelah wanita tadi, mungkin ibunya. Manakala seorang lelaki sedang bercakap-cakap dengan guru besar.
            “Adam...” Sulaiman memanggil lembut anak lelakinya.
            Adam berjalan perlahan ke arah Sulaiman. Mendongak memandang si ayah dalam senyuman.
            “Hari ni hari pertama Adam kat sekolah baru ni.  Jangan nakal-nakal ya. Balik nanti Pakcik Kamal datang ambil Adam ya.” Sulaiman mengusap kepala Adam beberapa kali.
“Encik Sulaiman, sekejap lagi saya akan bawa Adam pergi ke kelasnya. Lagipun sekarang ni kebetulan guru kelas itu, Cik Sharifah sedang mengajar,” kata Hajah Sapiah.
Cikgu Sharifah Sasa? Guru kelas? Adira mencongak sendiri. Kalau seperti yang dikata Adam dikata akan memasuki kelas di bawah seliaan Sharifah Sasa, ini bermakna itu kelasnya. Kelas 6 Seroja. Lebar senyuman Adira. Mencicit dia berlari menuju ke bilik darjah.
“Eh, Padi!” Adira berdiri, melambai-lambai ke arah teman sekelasnya, Affendi. Terkedek-kedek Affendi yang berbadan montel itu menghampiri Adira dan kawan-kawan. Affendi tersenyum-senyum memandang sepupunya, Mahizan.
“Kau apa hal senyum-senyum macam tu?” sergah Mahizan. Mencerlung matanya merenungi sepupunya seorang ini. Selalu tersengih-sengih macam kerang busuk bila mereka bertentang mata. Bercakapnya tidak. Malunya Affendi ini di sekolah sahaja. Kalau di rumah, haram! Mulut Affendilah yang paling becok.
“Senyum pun salah ke?” soal Affendi.
Mahizan mencebik. Tumpuannya kembali terarah pada Suzana yang senyap sahaja. Kawannya yang seorang ini pula sunyi sepi kalau ada makanan di depan mata. Langsung tidak pandang kiri kanan.
“Padi, aku nak tanya ni.”
“Apa?”
“Kau nampak Adam tak?”
“Adam? Adam mana pulak ni?”
“Adam budak baru kelas kita itulah. Hai, kawan sebelah pun tak ingat ke?” duga Adira. Terangkat keningnya.
Affendi ketawa. Sungguh, dia tidak ingat langsung pada kawan baru mereka itu.
“Aku nampak dia duduk kat pondok tepi kantin sana tu.” Affendi menuding jauh ke hadapan. Mengecil mata Adira. Pondok?
“Adam tak makan ke?”
“Mana aku tahu. Aku bukan penjaga dia pun. Dahlah, aku nak pergi makan. Lapar.” Laju Affendi pergi menuju ke kaunter kantin. Di situ, dia memesan nasi ayam, makanan kegemarannya.
Adira memandang Affendi dengan gelengan kepala. Patutlah montel, bulat. Pagi hari dah makan nasi ayam. Tapi bulat-bulat dan montel-montel Affendi itu, comel di matanya. Mungkin kerana Affendi berkulit putih dan bermata sedikit sepet. Sekilas pandang seperti anak orang Korea.
Tanpa bertangguh, Adira bingkas berdiri dan mengambil bungkusan nasi lemak yang dibelinya tadi. Baru hendak membuka langkah, Suzana pantas menarik bajunya sehingga dia terundur ke belakang.
“Kau nak pergi mana?”
Terjuih bibir Adira. “Aku nak pergi pondok, jumpa Adam.”
“Buat apa?” Mahizan menyampuk.
“Ni.” Adira menunjukkan bungkusan nasi lemak dalam pegangan. “Aku nak bagi nasi lemak ni kat Adam. Tentu dia tak makan lagi. Kesian.”
Suzana dan Mahizan saling berpandangan. Kenyataan yang sukar diterima akal mereka berdua. Adira yang dikenali cukup tidak suka memberikan makanan kegemaran pada orang lain. Pernah mereka meminta, tetapi Adira tidak peduli.
“Kenapa? Tak percaya? Aku tak bagi kat korang berdua aje. Kat orang lain aku bagi,” kata Adira diselangi hilai tawa panjang. Dia berlalu meninggalkan Suzana dan Mahizan yang berbuku perasaan geram dalam hati.
Dalam hayunan langkah, Adira ketawa kecil. Dia bukanlah jahat sangat, kedekut seperti Haji Bakhil dalam filem Labu Labi. Setakat nasi lemak berharga seringgit itu, jika ada yang lebih memerlukan, akan diberi juga walau dia sedang kelaparan.

PANAS yang terasa seakan redup sedikit. Lama dia menekur tanah yang punya bayang seseorang. Adam mendongak. Mengecil matanya. Adira berdiri di depannya dengan senyuman mesra. Diperhati bungkusan yang dihulur Adira padanya.
            “Ambillah.”
            Adam menggelengkan kepala. “Eh, tak apa. Saya tak lapar pun,” tolak Adam.
            Melebar senyuman Adira dan ditahan-tahan tawanya agar tidak termuntah keluar di saat telinganya dapat menangkap satu bunyi yang cukup tidak asing pada mereka-mereka yang sedang kelaparan. Itu bunyi perut Adam. Adam menekan perutnya. Dia malu sebenarnya. Waktu-waktu begini jugalah perutnya mahu berdendang-dendang.
            Adira duduk di sebelah Adam yang menunduk diam seribu bahasa. Dalam senyuman kecil, Adira menghulur semula bungkusan nasi lemak itu. Adam lapar, tetapi enggan pula pergi ke kantin. Mungkin masih berasa asing di kalangan mereka. Adam silap menghitung andai berfikir mereka semua tidak mempedulikannya. Satu hari nanti, Adam pasti akan sedar, murid-murid kelas 6 Seroja merupakan satu-satunya kelas yang ‘extra mesra alam’.
            “Baik awak makan nasi lemak ni. Kalau awak tak makan, lapar. Tak dapat tumpukan perhatian dalam kelas,” nasihat Adira. “Nah.”
            Teragak-agak Adam mahu mengambil pemberian itu. “Terima kasih,” ujarnya.
            Adira tersenyum lagi.
            “Kenapa awak tak pergi kantin aje? Kan ramai kawan-kawan kita kat kantin tu.”
            Adam senyap.
            “Awak jangan risau. Mula-mula aje awak rasa terasing tapi itu awak sendiri yang rasa. Kami sangat mengalu-alukan kedatangan awak dalam kelas kami tu. Bertambah seorang lagi anak murid Cikgu Sharifah Sasa,” omel Adira.
            “Sedap?” soal Adira. Terliur juga ketika melihat Adam menjamah nasi lemak kegemarannya. Ah, tidak  mengapa. Esok masih ada. Doanya moga nasi lemak ini boleh menjalinkan ikatan persahabatan antara dia dan Adam.
            Adam mengangguk. Mulutnya penuh. Walau pedas, namun sedap dimakan. Dia jarang makan makanan pedas. Tadi pun ibu sempat menitip pesan supaya tidak mengambil atau membeli makanan yang ada banyak cili. Risau jika dia sakit perut nanti.
            “Nak tahu tak, nasi lemak makcik kantin ni memang sedap. Sekali makan, mesti nak lagi. Entah apa resepi rahsia makcik kantin tu pun tak tahulah. Sedap semacam!” cerita Adira. Masih teringat bagaimana sukanya dia dengan nasi lemak makcik kantin. Tidak pernah beralih menu lain dan terus setia dengan nasi lemak. Pernah Suzana dan Mahizan memanggilnya minah nasi lemak. Waktu itu dia tersengih sahaja. Dari darjah satu sehingga sekarang, darjah enam dia masih begitu.
            “Awak tinggal kat mana?”
            “Kat Kampung Ayer Hitam.”
            “Itu kampung saya jugak! Wah, nampaknya kita ni sekampunglah. Seronoknya!” Dalam penuh keterujaan Adira meluahkan perasaan gembira. Sekarang Adam boleh dimasukkan ke dalam senarai GAH yang membawa nama penuh Geng Ayer Hitam. Bertambah seorang lagi. Hilanglah juga rasa bosan selalu mengadap muka Suzana, Mahizan dan Affendi.
            “Nanti bolehlah kita keluar main sama-sama. Saya ajak awak ronda satu kampung ni. Ada banyak tempat menarik dan markas rahsia kami kat sungai hujung kampung sana.”
            “Markas rahsia?” tanya Adam. Hairan.
            Adira mengangguk. Markas rahsia yang dimaksudkannya itu tidaklah rahsia mana. Mungkin lebih sesuai jika nama markas rahsia itu ditukarkan menjadi tempat perjumpaan harian sambil menghabiskan masa petang di situ.
            “Kalau nak tahu, kenalah ikut kami,” ujar Adira lantas mengeyitkan matanya pada Adam yang sudah selesai makan.
            “Oh, sebelum tu, apa nama penuh awak? Tadi dalam kelas tak sempat nak tanya.”
            “Adam Saufie.” Pendek jawapan itu.
            Adam memandang Adira yang masih setia duduk di sebelahnya. Budak perempuan seusianya itu langsung tidak kekok ketika berbicara dengannya walhal dia budak baru. Keramahan Adira sedikit sebanyak membantu hari pertama dia berada di sini.
            “Adam Saufie? Sedap nama tu. Comel.” Adira memandang sekilas. “Macam tuannya,” sambungnya dan kemudian dia tertawa sendiri.
            Adam ternganga. Comel? Biar betul budak perempuan ni! Dalam hati, dia ketawa juga. Sikap periang Adira jelas kelihatan.
            “Jomlah masuk kelas. Kejap lagi loceng bunyi. Lepas ni kelas Cikgu Badariah. Dia tu garang tahu! Macam singa betina.” Adira membuat mimik wajah garang dan keningnya hampir bercantum. Senyuman kecil meniti bibir Adam yang nyata terhibur mendengar kata-kata itu.
            Adam tergoncoh-goncoh lari menuju ke sinki yang jauh di sebelah paling kanan kantin. Dia membuang sampah ke dalam tong sampah sebelum mencuci tangan dengan bersih. Beberapa kali dia menghidu jarinya dan mencucinya semula apabila masih bersisa bau sambal tumis ikan bilis itu.
            Selesai membasuh tangan dengan sebersih-bersihnya, Adam mendapatkan Adira yang sedang menantinya di pondok tadi. Di situ, ada dua orang budak perempuan lain. Seorang kurus tinggi dan seorang lagi rendah sedikit.
            “Korang, ni Adam. Adam Saufie.” Adira memperkenalkan Adam kepada dua orang temannya seolah-olah Suzana dan Mahizan tidak pernah tahu nama Adam.
            “Macamlah kita orang tak kenal dengan Adam ni.” Mahizan membalas sambil berpeluk tubuh. Atas bawah dia memerhatikan Adam yang terpacak tegak di sebelah Adira. Ketinggian mereka hampir sama.
            “Saya Mahizan Maira binti Razaki. Panggil Mai aje,” kata Mahizan memperkenalkan diri.
            Tiba giliran Suzana, langsung tidak bersuara. Sebaliknya Suzana asyik mengunyah baki kuih tadi. Adira menghela nafas. Kalau dah nampak makanan, tak pandang lain dah. Makan banyak, tapi badan cekeding jugak, getus Adira di dalam hati.
            Suzana yang perasan akan perubahan riak wajah kedua orang temannya sekadar mengangkat kening dan menjungkit bahu. Dia melempar pandangan mata ke arah Adam dan menghulur senyum dalam kepayahan kerana mulutnya masih mengunyah kuih karipap.
            “Itu Elia Suzana binti Ibrahim. Kami panggil dia Su. Nampak aje kurus tapi kuat makan. Macam tong drum!” usik Adira. Bulat mata Suzana terarah pada Adira yang sedang ketawa terbahak-bahak.
            Loceng berbunyi menandakan waktu rehat untuk hari itu telah tamat dan semua murid perlu kembali ke kelas masing-masing. Adira, Suzana, Mahizan dan Adam berjalan seiring menuju ke kelas. Di pertengahan jalan, mereka terserempak dengan Affendi. Maka bertambah gamatlah suasana.
            Adam yang mulanya kekok bergaul dengan ahli kumpulan rahsia GAH itu mulai dapat menerima keperibadian periang dan peramah yang wujud dalam diri teman-teman barunya. Baru sehari di sekolah ini, sudah mendapat kenalan baru yang cukup menyenangkan.
            “Kita kawan okey!” sorak Affendi dengan suara lantang sehingga mampu mencecah kelas di hujung bangunan sana. Dia memeluk bahu Adam tanpa mempedulikan murid-murid lain yang memandang pelik ke arahnya. Bersorak tidak tentu pasal.
            “Dah dah. Tu aku nampak Cikgu Badariah tadi turun tangga. Sekejap lagi mesti terpacak depan kelas kita. Baik cepat.” Adira mengingatkan.
            Bergegas empat sahabat itu bersama kawan baru mereka menuju ke bilik darjah. Nahas kalau Cikgu Badariah sampai dahulu sebelum mereka.
        

4 comments:

aisyyumni said...

:) best! best!

~::HANAH RISHAS::~ said...

@aisyyummi

:') ... tak sempat lagi nak baca cym tu. nanti kena terjah jugak :'))

KHALID said...

wee bilalah dato nk update blog lagi nih.tunggu ko dtg tinggalkan komen membina kt blog baru update kot :P

AYRA ZAHRA said...

hahahhaa..aku rasa nk gelak je bila tgk nm penuh aku tu..excited aku lak nk bc novel ni..teruskn update..:)