Thursday, June 14, 2012

[Novel] : Terbang ke Langit-Bab3.

Assalamualaikum.
"...Friendship isn't a big thing- it's a million little things..."












Bab tiga
PUAS mereka menjerit memanggil nama Adam namun tiada sahutan. Mereka menjerit lagi. Mula-mula Affendi memberi salam. Diikuti Suzana dan Mahizan. Tiba giliran Adira, dia tidak memberi salam seperti kawan-kawannya sebaliknya dia memilih untuk menjerit nama Adam Saufie. Ketiga-tiga kawannya memandang pelik. Salam entah ke mana, terus melolong panggil nama.
            “Alah, kan korang dah bagi salam. Kira sekalilah. Aku panggil nama Adam aje kan tak apa,” jawab Adira sewaktu Mahizan menegur kelantangan suaranya.
            Keputusan untuk datang ke rumah Adam buat kali pertama ini diambil secara drastik. Itu pun selepas Affendi memberikan cadangan. Daripada mereka duduk melepak bermain air di sungai markas rahsia mereka, lebih baik mereka pergi mencari di mana rumah Adam dan mengajak Adam bermain bersama.
            Maka mereka berempat pun pergi mencari tanpa petunjuk destinasi yang pasti. Mula-mula Affendi ringan mulut bertanya kepada salah seorang penduduk kampung situ yang tidak dikenalinya. Kata Pakcik Kamal, rumah keluarga yang baru berpindah ke kampung ini tinggal di rumah peninggalan salah seorang penduduk di sini yang sudah lama meninggal dunia. Nama Sulaiman beberapa kali keluar dari mulut Pakcik Kamal. Arah sepatutnya yang dituju tidak pula ditunjuk.
            Mereka beralih angin. Pasti rumah Adam tidak jauh mana. Pusing-pusing, akan jumpa juga nanti. Beberapa kali Affendi mengadu penat dan sepupunya, Mahizan membebel geram melihat perangai malas Affendi yang berat tulang itu.
            Setelah beberapa ketika, akhirnya mereka berjumpa seseorang yang boleh diharap. Abang Ijoy kebetulan lalu dan menyapa mereka. Abang Ijoy kata perlu terus, belok kanan dan kemudian akan lalu satu jambatan dan belok kanan lagi. Rumah warna putih sederhana besar itulah rumah Adam. Dengar macam jauh tetapi sebenarnya rumah Adam hanya dipisahkan lima enam buah rumah yang lain daripada rumah keluarga Affendi. Masing-masing menepuk dahi tatkala sampai di halaman rumah Adam.
            “Adam! Oh, Adam!” Sekali lagi Adira melontar suara dengan lantang. Suzana yang berada hampir menutup kedua belah telinga kerana bingit.
            “Kau ni, menjerit macam nak terkeluar anak tekak tu.” Suzana mengerling Adira yang terjenguk-jenguk. Panjang leher seperti zirafah.
            “Aku rasa dia tak ada kat rumahlah Entah-entah keluar jalan-jalan ke,” kata Mahizan, membuat satu kesimpulan yang menunjukkan diri sudah malas hendak menunggu di luar rumah itu lagi. Kalau bukan hari ini, esok masih ada. Esok hari Ahad. Kalau rasa rajin, mampu juga kaki melangkah mencari Adam lagi.
            “Betul tu. Tadi kita lepak-lepak, lepas tu nak buat kerja sekolah Cikgu Badariah bagi tu. Kalau kita terus tunggu sini, tak siap kerja sekolah tu nanti,” celah Affendi. Dia duduk dipangkin di bawah pokok mangga di sebelah garaj rumah.
            Adira mengetus geram. Waktu hendak ke mari, dia paling malas dan Affendi memaksa dia ikut. Bila terpaksa menunggu Affendi pula yang cepat patah semangat sedangkan mereka baru sahaja sampai di rumah Adam.
            “Kita pergi esok ajelah. Lagipun kita dah tahu rumah dia ni. Dekat dengan rumah aku. Esok datang rumah aku, kita buat kerja sekolah sama-sama, lepas tu kita ajak Adam sekali.” Affendi memberikan cadangan yang cukup bernas pada fikirannya.
            Niat Adira membantah cadangan Affendi terbantut apabila tumpuannya terarah pada sebuah kereta buatan luar negara yang menyusur memasuki perkarangan rumah Adam. Keempat-empat sahabat itu berundur ke belakang. Mengecil mata Adira memandang kereta tersebut yang dinaiki oleh dua orang, seorang perempuan dan seorang lelaki.
            “Cari siapa ya?” tanya Sabariah sebaik sahaja melangkah keluar dari kereta. Satu per satu wajah empat orang budak yang terpacak di depan mata itu diperhatikannya.
            “Kami cari Adam,” jawab Affendi, mewakili yang lain-lain.
            “Adam? Jadi kamu semua ni kawan-kawan Adam?”
            Mereka mengangguk. Sabariah tersenyum kemudian memanggil suaminya, Sulaiman yang sibuk mengangkat beberapa beg plastik yang berisi barang-barang dapur.
            “Abang, ni kawan-kawan Adam,” beritahu Sabariah kepada suaminya, Sulaiman.
            Sulaiman memandang ke arah empat orang budak seusia Adam. Lebar senyuman Sulaiman. Syukur kerana baru beberapa hari pindah ke sekolah baru, Adam sudah mempunyai kawan-kawan.
            “Adam tak ada kat rumah ke makcik?” Pantas Adira bertanya.
            “Ada. Adam ada aje kat rumah,” jawab Sulaiman. Berkerut dahinya.
            Adira, Suzana, Mahizan dan Affendi saling berpandangan sesama sendiri. Kalau ada di rumah, kenapa Adam tidak menyahut salam mereka? Atau berkemungkinan Adam tidak dengar tetapi itu mustahil. Suara Adira yang menjerit memanggil nama Adam berulang-ulang kali sudah cukup membingitkan telinga.
            “Dia tak keluar ke?” soal Sulaiman pula.
            Keempat-empat mereka menjungkit bahu sahaja.
            Sulaiman menggelengkan kepala. Kemudian dia memandang Sabariah yang setia berdiri di sebelahnya. Adam masih memendam rasakah? Sabariah menjungkit bahu. Dia seakan dapat membaca fikiran suaminya.
            “Sekejap ya. Pakcik masuk dalam, tengok Adam. Kadang-kadang dia tu suka tidur petang-petang macam ni. Pulak tu kalau dah tidur bukannya sedar kalau orang panggil. Tunggu sekejap ya.” Sulaiman bergegas masuk ke dalam rumah. Langkahnya dibontoti Sabariah yang menjinjing barang-barang.
            Sementara menunggu Sulaiman memanggil Adam keluar, Adira, Affendi, Mahizan dan Suzana duduk di bawah pokok yang berada tidak jauh dari rumah Adam. Mata keempat-empat mereka terarah pada rumah yang dihuni oleh Adam dan keluarganya.
            Affendi mengerling ke arah Adira, kemudian matanya berlari mencari Suzana. Tidak lama selepas itu, dia memalingkan kepala melihat Mahizan yang duduk di sebelahnya. Affendi mengengsot menghampiri sepupunya. Tersenyum memandang Mahizan yang sedang menekur ke bawah sambil menguis daun-daun kering dengan sebatang ranting kayu.
            “Mai!”
            Mahizan terperanjat. Terpelanting ranting kayu yang dipegangnya. Mengecil matanya merenungi Affendi.
            “Kau apa hal, hah?” bentak Mahizan kurang senang.
            “Alah, kau ni cepat sangat naik hantu. Nak sebut nama pun tak boleh ke? Sikit-sikit marah, sikit-sikit mata bulat kau tu padang aku macam nak telan aku,” cebik Affendi.
            “Eh, suka hati akulah. Memang aku sengaja naik hantu dengan kau. Tak boleh?”
            “Tak boleh! Dengan orang lain kau tak naik hantu. Tu kalau Dira ke, Sue ke buat onar kat kau, boleh pulak kau senyum sampai ke telinga. Ni asal aku yang nak buat, tak payah nak buatlah, terniat sikit pun kau nak tunjuk muka jembalang. Tak puas betul hati aku ni tahu.”
            Muka Mahizan naik merah. Mulut Affendi macam bau pisang busuk. Apa sahaja yang keluar dari mulut itu selalu menyakitkan hati walaupun dia tahu Affendi sekadar bergurau dengannya.
            Adira segera menghalang Mahizan yang sudah berdiri sambil menyinsing lengan baju. Nampak gaya macam hendak bertumbuk pula. Tidak padan dengan lemah lembut, sekali angin, satu badan terkena taufan. Adira mengerling tajam ke arah Affendi yang tersengih-sengih melihat kemarahan sepupunya. Yang seorang ini pun sama. Dua kali lima. Dah tahu orang ni jenis yang tak boleh in dengan dia, hendak juga mengusik. Adira berleter dalam hati.
            “Kau orang ni kan, asyik bertekak aje. Aku kahwinkan nanti, baru tahu!”
            Mahizan menjelirkan lidah. Uwekkk! Siapa yang ingin kahwin dengan Affendi? Buat sakit hati sahaja. Boleh jadi gila nanti. Siang malam asyik bergaduh sahaja, Pantang bertentang mata, ada sahaja yang hendak digaduhkan nanti. Mahizan beralih arah. Dia berdiri di sebelah Suzana pula.
            Pandangan keempat-empat sahabat itu tertumpu ke arah Sulaiman yang muncul dari dalam rumah. Adira berjalan mendekati Sulaiman. Panjang lehernya, terjenguk-jenguk mencari bayang Adam yang tidak terjamah dek mata.
            “Adam tak adalah,” beritahu Sulaiman.
            “Dia ke mana, pakcik?” soal Adira.
            Sulaiman mencekak pinggang, kemudian mengusap dahi. Luas pandangan mata memerhati kawasan sekeliling. Risau saat Adam tiada di rumah. Ke mana agaknya Adam pergi? Adam masih baru di kampung ini. Mustahil anak lelakinya itu keluar berjalan-jalan. Tambahan pula Adam bukan jenis yang suka menghabiskan tenaga dengan cara itu.
            “Entahlah. Tak apa, kamu baliklah dulu. Pakcik nak cari Adam. Nanti, pakcik beritahu dia yang kamu semua datang sini,” ujar Sulaiman. Dia sudah bersiap-siap menyarung selipar. “Asa! Asa!” laung Sulaiman.
            Tergoncoh-goncoh Sabariah berlari dari dapur ke luar apabila terdengar suaminya memanggil namanya. “Kejap, bang!” sahut Sabariah. “Ada apa bang? Mana Adam?”
            “Adam tak ada. Dia keluar agaknya. Ni abang nak keluar cari Adam,” kata Sulaiman.
            Terangguk-angguk kepala Sabariah. Dalam hati, dia turut merasa resah. Tiba-tiba Adam tiada di rumah. Fikirnya Adam tidur. Keresahan itu seakan terpancar di wajah Sabariah. Sulaiman menghidupkan enjin motosikal dan bersama motosikal itu, dia membelah petang mencari Adam.
            “Makcik, kami balik dulu,” ucap Affendi.
            “Iyalah. Hati-hati jalan tu,” pesan Sabariah.
            Affendi mengangguk. Adira, Mahizan dan Suzana juga mengangguk. Mereka bersalaman dengan Sabariah sebelum mengatur langkah pulang. Hari ini, niat hendak membawa Adam pergi ke tepi sungai, tempat mereka selalu bermain air terbantut sama sekali.

ADIRA berjalan seorang diri. Sambil berjalan, dia menikmati suasana petang berserta deruan angin sepoi-sepoi bahasa. Nyamannya! Adira tersenyum kecil. Dia memandang ke arah beg plastik berwarna merah di dalam pegangan. Di dalam beg plastik itu ada parutan kepala. Ibu menyuruh dia pergi ke kedai beli kelapa untuk dibuat kuih. Kuih apa, dia tidak tahu. Dia hanya tahu makan sahaja.
            Kalaulah Affendi memilih jalan yang satu lagi untuk pergi ke markas mereka di sungai sana, bukan jalan di depan rumahnya, tentu ibu tidak ternampak dia. Tentu dia tidak akan disuruh pergi ke kedai. Tentu dia sedang berseronok bermain air dengan Affendi, Mahizan dan Suzana sekarang.
            Ibu pun satu. Macam tahu-tahu sahaja dia akan lalu di depan rumah. Sebaik sahaja ternampak dia, ibu terus memanggil. Diberi duit dan disuruh ke kedai Pak Amat. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menurut. Amirul pula, petang-petang begini sibuk dengan latihan bola sepak. Hampir senja nanti baru nampak batang hidung. Kalau abangnya yang satu itu ada, tentu dia tidak perlu bersusah payah membeli kelapa buat ibu.
            Tidak mengapalah. Nanti kelapa parut ini juga yang masuk ke dalam perutnya. Agak-agak apa menu yang ibu akan masak menggunakan kelapa ini? Kuih apam? Wah, itu kegemarannya. Bubur kacang hijau? Alamak, memikirkan bubur kacang hijau air tangan ibu, buat air liur hendak menitis dari mulut. Cepat-cepat dia menutup mulut yang ternganga sedikit.
            Nasi lemak! Ya, menu utama yang tersenarai pastinya nasi lemak. Dia pasti. Tadi sebelum dia pergi kedai, dia ternampak ibu memegang daun pisang. Ibu suka menggunakan daun pisang sebagai alas di dalam pinggan sebelum meletakkan nasi lemak di atasnya. Adira menelan air liur lagi.
Terbayang di matanya saat ini nasi lemak beralaskan daun pisang. Ada telur rebus atau ayam goreng. Ditambah pula dengan sambal tumis ikan bilis istimewa ibunya. Kacang, ikan bilis goreng dan timun sebagai penambah selera. Hai, bikin perut lapar!
Sebelum sampai ke rumahnya, dia pasti lalu di satu kawasan sawah padi. Selalunya, dia mengambil peluang untuk berhenti seketika di situ, menikmati pemadangan alam yang mempesonakan sambil menghirup udara segar. Bila sudah puas, baru dia mengira langkah semula.
Kali ini, dia tidak bersendiri seperti selalu. Ada seseorang yang datang lebih awal darinya. Adira mengatur langkah perlahan dan cukup berhati-hati. Siapa agaknya yang duduk bertenggek di atas kerusi yang dibina khas oleh Amirul buat mereka di situ? Semakin dia hampir, semakin dia dapat mengecam orang itu meski hanya nampak belakangnya sahaja.
“Adam!” sergah Adira.
Adam yang asyik termenung panjang terperanjat. Membulat mata itu. Wajah Adam juga berubah corak. Nampak pucat. Adira ketawa mengekek. Tepat tekaannya. Memang Adam. Tanpa dipelawa, dia terus melabuhkan punggung di sebelah Adam. 
            “Macam mana awak boleh sampai sini? Kan tempat ni agak jauh dari rumah awak.” Adira memulakan bicara. Sambil bercakap, matanya meliar memerhati persekitaran yang sungguh nyaman dan menenangkan itu. Sesekali mengerling ke arah Adam.
            “Macam mana awak tahu?” soal Adam.
            “Tahu apa?” Adira menyoal pula.
            “Rumah saya jauh dari tempat ni.”
            Adira beralih posisi. Dia duduk bersila menghadap Adam. Bungkusan kelapa parut diletakkan di atas kerusi kayu itu.
            “Saya, Pali, Mai dan Su datang rumah awak tadi, tapi awak tak ada. Ayah awak pun risau tau. Dia keluar cari awak,” cerita Adira.
            Tiada sebarang reaksi yang terlihat daripada tubuh Adam. Adam hanya senyap dan mata itu terarah ke hadapan.
            “Saya suka datang sini. Selalu lepak dengan abang. Kalau dengan budak-budak sengal tu, saya lepak dekat markas tepi sungai hujung kampung tu.” Adira bercerita lagi meski dia bagai bercakap seorang diri. Yang duduk di sebelahnya itu senyap sahaja. Adira mengerling ke arah Adam yang membatukan diri. Macam tunggul kayu. Adira menarik nafas panjang. Dia bangun dan berkira-kira hendak pulang. Daripada dia duduk bertemankan si tunggu kayu ini, lebih baik dia balik rumah. Nanti kalau lambat, dia juga dimarahi ayah. Ayah bukannya boleh jika dia pulang lewat petang-petang begini. Maklumlah, anak kesayangan ayah.
            Adira sempat berpaling ke belakang. “Adam!” laung Adira.
            Adam menoleh.
            “Jangan jadi tunggul kayu kat situ!” jeritnya lagi dan pantas berlari meninggalkan Adam yang termangu-mangu di situ.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

2 comments:

AYRA ZAHRA said...

pheewwwiiitt..lama i tunggu tau..nanti update lg ye cik kuya..:)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Missweet

Dedikasi buat korang :)) Lotoflovva laa <3