Sunday, January 27, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab22.

Assalamualaikum.








"...Love does not claim possession, but gives freedom..." - Rabindranath Tagore









Bab 22
PINTU bilik dibuka luas. Angela menunduk sedikit ketika melintas di depan puan besar di dalam rumah ini. Setelah diarahkan oleh Datuk Awang Kader, menyuruh dia mengemas bilik itu, dia pun bergegas pergi.
            “Kenapa Datuk minta dikemas ruang kamar ini, ya bu?” Angela memulakan pertanyaan sambil tangannya ligat menyusun atur barang-barang yang tersedia kemas di kedudukan asal. Setiap hari dia masuk ke dalam bilik ini untuk mengemas. Setiap hari dia akan memastikan bilik ini sentiasa kemas dan rapi kerana itulah pesanan Datuk Awang Kader kepadanya di saat pertama kali memijak kaki masuk ke dalam rumah besar ini.
            Datin Sabrina menuju ke sebuah rak kayu berukir tradisional, terletak di hujung sudut bilik. Beberapa buah bingkai gambar diperhati lama.
            “Ada tetamu,” jawabnya ringkas.
            Tengku Hanif yang kebetulan melintas di depan bilik itu terus menjengah ke dalam. Berkerut-kerut dahinya memandang Angela mengganti cadar katil bersaiz king itu.
            “Kenapa tukar cadar?” soal Tengku Hanif.
            “Papa yang suruh,” beritahu Datin Sabrina.
            Tengku Hanif melangkah masuk. Dia turut mengamati persekitaran bilik ini. Kedudukan bilik ini berdepan dengan biliknya tetapi tidak pernah terniat di hatinya sejak dulu, hendak menjengah masuk. Selalunya dia pandang atau kerling dan terus menonong turun ke bawah.
            “Tentu dah lama papa simpan semua barang ni.” Tengku Hanif mengambil anak patung beruang bersaiz kecil. Selebihnya berlonggok di atas lantai. Selain daripada anak patung yang banyak dan pelbagai bentuk dan rupa itu, di sebelah meja kecil ada kuda kayu.
            Tengku Hanif mengeluh halus. Dua puluh dua tahun yang lalu, seharusnya Nurul Ain menghuni bilik ini.
            “Jadi ke Ain datang hari ni?”
            “Jadilah. Itu yang papa Hanif sibuk sangat suruh pembantu rumah kemaskan bilik ni, walhal mama tengok dah cukup kemas dah.”
            “Agaknya papa nak lagi kemas kot,” seloroh Tengku Hanif.
            “Ni, nanti jangan lupa pergi ambil Ain.”
            Tengku Hanif tercengang.
            “Eh, bukan Abdul ke pergi ambil Ain tu?”
            “Papa suruh Hanif. Hanif pergi ajelah,” tegas Datin Sabrina.
            Mahu tidak mahu, Tengku Hanif angguk juga. Dalam hati, dia menggelabah. Lain macam betul perasaannya. Berdebar sebab jumpa adik tiri? Tengku Hanif langsung keluar dari bilik itu. Meninggalkan Datin Sabrina dan Angela yang masih gigih mengemas bilik itu.

SEGELAS minuman dihulur pada Tengku Hanif. Tengku Hanif menyambut gelas itu berserta senyuman kecil. Baik punya cara menlindungi rasa malu yang tiba-tiba menceroboh dalam diri saat diri mengenangkan lakonan butanya di depan mata Puan Suriani selama beberapa bulan ini. Siap boleh datang ke majlis ulangtahun kelahiran Asyikin lagi.
            Anak mata Tengku Hanif berlaga dengan renungan Asyikin. Sebiji-sebiji air liur ditelan. Agak-agak Asyikin tahu atau tidak identiti dia sebenar? Sebelum ini dia berkawan baik dengan Asyikin. Malah Asyikin menyampaikan sesuatu padanya yang mana akhirnya membuatkan dia terkedu. Hati sendiri meyakinkan bahawasanya Asyikin masih belum tahu dia adalah si buta Faisal.
            “Abang datang nak ambil kakak ke?”
            “Hah?” Terpacul tiga butir abjad itu dari mulut.
            “Abang datang nak bawa kakak pergi jauh dari Syikin ke?” Asyikin bertanya lagi. Mata itu juga berkaca-kaca.
            Belum pun sempat menjawab persoalan Asyikin, Asyikin bangkit terlebih dahulu. Mula mengorak langkah meninggalkan dia di ruang tamu dengan sepotong ayat.
            “Jangan bawa kakak Syikin pergi jauh dari Syikin.”
            Sementara di dalam bilik, Nurul Ain seakan mogok pula. Diri sudah bersiap-siap tetapi enggan keluar dari bilik.
            “Mak macam nak suruh Ain pergi jangan balik aje,” protes Nurul Ain.
            Pening kepala Puan Suriani. Semalam Nurul Ain menyatakan persetujuan menuruti permintaan Datuk Awang Kader yang mahukan gadis itu berkunjung ke rumahnya.
            “Kenapa Ain cakap macam tu?” tanya Puan Suriani.
            “Tu...” Nurul Ain menjuih bibir ke arah sebuah beg berisi kain baju yang disiapkan sendiri oleh Puan Suriani. “Mak kemaskan baju-baju Ain, macam nak suruh Ain keluar dari rumah pulak.”
            Meletus gelak tawa Puan Suriani. Ke situ pula fikiran Nurul Ain. Tidak pernah terlintas pun di hati hendak melakukan sebegitu ke atas anak yang disayangi sepenuh hati.
            “Itu sebagai persediaan. Mana tahu Datuk pelawa Ain tidur sana.” Puan Suriani memberi penjelasan ringkas.
            Muka Nurul Ain mendung. Berpeluk tubuh sebagai tanda masih memprotes tindakan emaknya.
            “Kalau dipelawa pun, Ain berat hati.”
            Senyuman halus bergayutan di bibir Puan Suriani.
            “Jangan dilayan sangat perasaan berat hati tu,” nasihat Puan Suriani.
            Lama Nurul Ain menyepi sebelum berkata, “Ain akan cuba.”
            Lebar senyuman Puan Suriani kali ini. Dipeluk tubuh Nurul Ain.

KEPUTUSAN memenuhi permintaan Datuk Awang Kader dipengaruhi oleh emaknya. Emak kata, ambil peluang untuk mendekati keluarga Datuk Awang Kader. Datuk Awang Kader itu ayah kandungnya. Sejauh mana pun dia cuba menolak kebenaran itu, hakikatnya tetap sama. Tertulis dan tidak akan pernah padam.
            Di dalam kereta, Nurul Ain mengunci mulut. Tengku Hanif soal pun dia buat tidak dengar. Konon tidur padahal sedang menahan rasa sakit hati akibat ditipu hidup-hidup. Dia punyalah percaya Faisal itu buta, rupanya celik sahaja mata itu. Orang penuh upaya.
            Apalah salahnya datang kepadanya, lalu beritahu keadaan sebenar. Beritahu apa yang dikehendaki. Mungkin dia boleh beri. Tidak perlulah sampai tipu-tipu buta begitu. Kemudian boleh pula jerat dia dengan helah dan ugutan saman berbilion-bilion ringgit.
            “Ain.” Tengku Hanif tarik nafas. Dikerling tuan badan yang berpaling mengadap cermin kereta.
            “Aaaa...” Nurul Ain menutup mulut yang luas menganga. Menguap. Malas dia hendak tadah telinga dengar bicara Tengku Hanif.
            Akhirnya Tengku Hanif ikut tutup mulut. Hanya bila mereka sudah sampai di destinasi, barulah dia mengejut Nurul Ain yang betul-betul terlena. Tidak sampai empat puluh minit perjalanan, Nurul Ain tertidur dengan lenanya.
            Nurul Ain memisat mata. Sebaik matanya terbuka luas, terbias sebuah rumah besar lagi mewah di depan mata. Ini rumah atau istana? Mulutnya terbuka sedikit, jelas menunjukkan dia terkejut.
            “This is our home, Ain,” kata Tengku Hanif.
            Nurul Ain menoleh sekilas.
            “Papa, mama, kami dah sampai!” laung Tengku Hanif dari luar rumah.
            Kerlingan itu menusuk ke arah Tengku Hanif. Orang beri salam, dia main jerit-jerit aje, getus Nurul Ain di dalam hati. Dia ekori langkah Tengku Hanif. Seram sejuk, gementar dan pelbagai rasa lain begitu menyesak dalam diri. Hampir-hampir dia hendak pengsan. Apatah lagi dari pintu utama yang terbuka luas itu, dia nampak Datuk Awang Kader berjalan ke arahnya dengan segaris senyuman lebar. Untuk kesekian kalinya dia berfikir lagi, bagaimana dia hendak memberi respon.
            Senyum Ain. Senyum! Hatinya berdesis perlahan. Ingat pesan emak. Emak kata, Datuk Awang Kader itu ayahnya. Maka wajar dia melayan baik ayah kandung sendiri.
            Terpana dibuatnya apabila sampai-sampai di depannya, Datuk Awang Kader terus menarik dia ke dalam pelukan. Terus membulat matanya.
            “Ain sihat?” tanya Datuk Awang Kader. Dileraikan pelukan itu. Sungguh dia merindui Nurul Ain meski baru beberapa hari tidak berjumpa. Ketika Nurul Ain menyatakan persetujuan untuk datang ke rumah ini, dia melonjak kegirangan. Dari pagi sampai petang, dia tidak mampu melupuskan senyuman bahagia. Sekarang Nurul Ain ada depan mata. Pastinya dia tidak akan mensia-siakan hari ini untuk melewati kehidupan Nurul Ain selama dua puluh dua puluh empat tahun yang dia sudah tertinggal.
            Terangguk-angguk kepala Nurul Ain sebagai tanda dia sihat-sihat sahaja.
            “Eh, buat apa berbual depan pintu. Jom kita masuk,” celah Datin Sabrina.
            Nurul Ain orang yang paling terakhir sekali membuka langkah pergi menyaingi Datuk Awang Kader, Datin Sabrina dan Tengku Hanif. Mereka semua berkumpul di ruang tamu. Senyap-senyap, Nurul Ain melewati pandangan matanya pada segenap pelusuk rumah besar ini. Ini kalau main kejar-kejar dalam rumah, mahu semput minta nafas. Besar! Dua tiga kali ganda besar dari rumahnya yang didiami sekarang.
            “Ain buat apa sekarang? Kerja di kedai bunga lagi?”
            Nurul Ain dapat meneka dari mana Datuk Awang Kader tahu dia pernah bekerja di kedai bunga. Bukan susah pun. Dia pun tidak terkejut. Pasti Tengku Hanif punya kerja. Faisal atau Tengku Hanif, dua-dua makhluk itu orang yang sama.
            Nurul Ain geleng kepala. Gatal mulutnya hendak berkata dia sudah pun berhenti kerja disebabkan Tengku Hanif.
            “Saya tolong emak,” beritahu Nurul Ain. Dia menunduk sepanjang masa. Kalau melontar pandangan pun, ke arah sekelilingnya. Tidak kiralah tengok pasu ke, tengok bunga ke.
            “Tolong apa?”
            “Tolong buat kerja rumah.”
            Datuk Awang Kader ketawa kecil. Bersahutan dengan tawa Datin Sabrina dan Tengku Hanif. Jengkel tiba-tiba pada Tengku Hanif. Dia bukan melawak. Betul dia tolong emak. Tolong kemas rumah, tolong cuci pinggan, tolong sidai baju. Kalau bukan sebab Tengku Hanif dan rancangan pembohongan bodoh itu, pasti dia masih menjadi salah seorang keluarga di kedai bunga itu.
            “Kenapa Ain berhenti kerja?” Datuk Awang Kader ingin tahu lebih dalam. Kaki yang tadi bersimpang-siur, tegak memijak lantai berkarpet lembut.
            Nurul Ain nampak tiba-tiba air muka Tengku Hanif berubah.
            “Tak serasi,” jawabnya. Dia bukanlah manusia yang suka balas dendam. Nasihat arwah abah masih tersemat dalam hati. Kata arwah abah, biar orang buat kita, orang sakitkan kita tapi jangan sesekali kita balasnya dengan kejahatan juga.

SATU-PERSATU barang di dalam bilik besar itu diperhati. Seekor anak patung beruang kecil berwarna putih diambil lalu dibawa ke dalam pelukan. Menurut kata Datuk Awang Kader, ini biliknya. Semua barang di dalam bilik ini miliknya. Nurul Ain duduk di atas katil. Cantik betul bilik ini. Kemas dan teratur. Semua barang permainan nampak baru. Tentu dijaga rapi.
            Sebuah bingkai gambar di atas meja kecil di tepi katil diambil lalu ditatap lama. Itu gambar lama. Momen itu mengabadikan gambar Datuk Awang Kader bersama seorang wanita. Bukan Datin Sabrina. Malah bayi yang berada di dalam kendongan wanita itu bukan Tengku Hanif. Lama dia perhati. Budak perempuan!
            “Itu gambar arwah ibu Ain.”
            Nurul Ain mendongak. Lemparan pandangan matanya menyoroti kelakuan Datuk Awang Kader. Lelaki itu duduk di sebelahnya. Kemudian bingkai gambar itu beralih tangan. Tidak lepas dia memandang Datuk Awang Kader. Tersunging senyuman nipis di pinggir bibir itu.
            “Nama ibu Ain, Aminah. Nur Aminah binti Abdullah. Gambar ni diambil ketika Ain berusia setahun. Letih kami waktu ni sebab Ain asyik meragam. Menangis! Tengok, tu muka Ain tercemik-cemik.” Datuk Awang Kader menuding gambar Nurul Ain. Nurul Ain turut memerhati gambar yang dikata dirinya.
            “Anak patung ni, hadiah pemberian ibu Ain masa ulangtahun Ain yang pertama. Susah payah ibu Ain carikan untuk Ain walhal waktu tu Ain baru setahun. Cantik tak cantik, suka tak suka, Ain bukannya tahu,” cerita Datuk Awang Kader.
            Nurul Ain menunduk. Anak matanya pegun memandang anak patung di dalam pegangan. Sebak dada. Tubir mata terasa hangat.
            Rindu sarat di hati Datuk Awang Kader terhadap satu-satunya puteri tanda cinta dan kasih antara dia dan arwah isterinya sungguh tidak berbelah-bahagi. Bila ada depan mata, dia mahu tatap sepuas-puasnya. Diikutkan hati, dia mahu menjaga Nurul Ain, memberi sepenuh kasih-sayang yang dia tiada punya kesempatan dan melindungi Nurul Ain sebagaimana seorang ayah lakukan.
            “Selama hari ni, semua orang berkata Dayang Nur Aisha sudah mati. Mereka sering mengatakan perkara yang sama saban waktu. Tapi saya tak pernah percaya. Saya tahu, Dayang Nur Aisha masih hidup, masih berada dalam lindungan Allah dan ternyata saya benar. Allah makbulkan doa saya. Allah kembalikan dia kepada saya.”
            Nurul Ain tidak berkata apa pun. Dia pasang telinga, mendengar setiap butir bicara luahan hati ayah kandungnya. Dia nampak bayangan sengsara yang selama ini ditanggung Datuk Awang Kader. Sudahlah isteri dijemput Ilahi, anak pula hilang tiada terkesan.
            “Ayah...” Bibir Nurul Ain bergerak-gerak menyebut nama panggilan itu.
            Giliran Datuk Awang Kader memandang Nurul Ain. Untuk seketika, mereka saling berlaga renungan. Cukup dalam.
            “Terima kasih kerana tidak pernah berputus asa cari saya. Terima kasih sebab datang cari saya.”
            Nurul Ain terus memeluk tubuh ayahnya. Kali ini, hatinya benar-benar terbuka untuk menerima lelaki itu sebagai ayahnya. Dalam esak tangis, Nurul Ain terus mengucap kata terima kasih. Datuk Awang Kader memanjat kesyukuran. Dayang Nur Aisha sudah kembali padanya. Selamanya Dayang Nur Aisha akan bersama dengannya.
            Tengku Hanif yang mencuri dengar perbualan dua beranak itu mampu tersenyum senang hati. Semoga kebahagiaan itu menjadi milik papanya. Dia tahu papanya tidak pernah kenal erti jemu dalam misi mencari Dayang Nur Aisha. Siapa sangka, rupanya anak yang dicari-cari itu duduk satu daerah. Malah mungkin sebelum ini mereka pernah bertembung di mana-mana cuma jodoh pertemuan itu masih belum kesampaian.
            Tengku Hanif turun ke tingkat bawah. Biarlah dua beranak itu menghabiskan masa bersama. Pasti banyak benda yang hendak dikongsi dan dibicarakan. Ketika sampai di bawah, Datin Sabrina mencuit bahunya.
            “Mana papa?”
            Tengku Hanif menjuih bibir ke atas.
            Datin Sabrina mendengus.
            “Kenapa, ma?” soalnya pelik.
            “Papa kamu tu, dari tadi asyik Ain, Ain,” getus Datin Sabrina.
            Terus terburai tawa Tengku Hanif. Tergeleng-geleng kepala anak bujang itu.
            “Apalah mama ni. Cemburulah tu,” seloroh Tengku Hanif.
            Cemberut wajah Datin Sabrina bila diusik begitu. Haruslah cemburu! Suaminya itu asyik berkepit dengan Nurul Ain. Ke sana sini, dibawa Nurul Ain. Dia cuba juga menyelit, tidak lepas juga. Nurul Ain juga dicari.
            “Papa tu baru aje jumpa anak kandung dia selepas dua puluh dua tahun terpisah. Mama kena faham situasi papa.” Tengku Hanif cuba memujuk Datin Sabrina. Hai, dengan anak pun nak cemburu juga. Apalah mama aku ni, desisnya.
            “Iyalah, mama faham.” Datin Sabrina mengalah.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Pejam celik pejam celik, dah tak lama dah nak habis LI. Gigih membuat report lagiiii -..-' Eh-eh, mesin basuh rosak. Errkk. Ni kes aku membasuh banyak bebenor di pagi hari. Tssskk.

2 comments:

kelly ciel said...

sis, bila sis sambung crta ni :) best sgt2.. :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

Kelly ciel:

Tq darling coz sudi baca..:) ada klpangan nanti sy update entri Hanif&Nurul Ain..:)