Friday, February 22, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab26.

Assalamualaikum.








"...Among a true sign of ukhwah is to accept critism from friends, and to protect a friend's honor and forgive his mistakes..." - Imam Shafi'e (RA)









Bab 26
UNTUK kali pertama dia menolak permintaan Datuk Awang Kader. Bukan dia enggan, tetapi dia perlukan masa. Baru beberapa minggu dia tahu siapa keluarga kandungnya. Kemudian secara drastik, dia diperkenalkan pada umum, memegang status anak orang hartawan Datuk Awang Kader. Secara langsung, dia menjadi adik tiri kepada lelaki yang membuatkan dia jatuh bungkam dek penipuan penuh helahnya.
            Hisyy...! Nurul Ain geleng kepala. Jalan yang ada depan mata memeningkan kepala. Dia nampak tenang di luar tetapi dalam hati, hanya Allah yang tahu. Bersimpang-siur.
            “Untunglah kau Ani. Selama hari ini kau bela anak orang kaya rupanya. Dah macam drama dah aku tengok keluarga kau ni,” kata Mualisah, jiran setaman. Rumahnya di lorong depan sana. Kerana hendak bergosip dan bercakap sendiri dengan Puan Suriani, dia sanggup jalan kaki datang ke gerai ini.
            Puan Suriani pamer senyum. Ligat tangannya memasukkan tiga bungkus nasi lemak ke dalam plastik merah jambu.
            “Rancangan Allah, bukan semua benda depan mata ni kita boleh jangka. Betul tak?” Puan Suriani menghulur plastik itu pada Mualisah.
            Mualisah ambil bungkusan itu. Fikirnya bila berdepan dengan Puan Suriani, maka banyak cerita yang terburai keluar dari mulut itu tetapi janda beranak kandung seorang itu jawab sepatah dua sahaja. Itupun jawapan yang kurang gemar didengari.
            “Hah kau Ain, kau tak ikut ayah kau ke? Duduk dekat rumah orang kaya.” Kali ini Mualisah menyapa Nurul Ain pula.
            Nurul Ain yang sibuk menyusun bekas kuih yang sudah kosong itu, berpaling ke belakang. Dia pandang Mualisah. Kalau tak jaga tepi kain orang, tak boleh agaknya makcik seorang ini. Ada aje isu yang dia nak bangkitkan, dengusnya dalam hati. Seperti Puan Suriani, dia juga pamer senyum.
            “Buat masa ni, saya tak tinggal dengan ayah. Still duduk dengan mak. Setiap hujung minggu saya balik rumah ayah,” jelasnya.
            Terangguk-angguk kepala Mualisah.
            “Baguslah kalau macam tu. Barulah nama anak yang baik. Bukan kacang lupakan kulit. Masih lagi nak duduk dengan mak kau walau kau tu anak orang kaya kan.”
            Kan dah cakap, perempuan ini memang banyak mulut. Satu satu ayat yang keluar dari mulut itu persis wartawan hiburan. Siap beri ulasan bagai. Nurul Ain berdoa dalam hati supaya Mualisah segera pergi. Makin lama perempuan beranak tiga itu di sini, makin banyak pula dia buat dosa kecil. Iyalah, asyik mengutuk dan mengumpat dalam hati.
            “Beruntung kau ada anak angkat sebaik Ain ni. Walau dia tahu dia anak orang kaya, boleh hidup mewah dan lebih selesa dengan ayah dia tu, dia tetap pilih nak duduk dengan kau. Tapi kan Ani, kau jangan pasang harapan sangat nak simpan Ain lama-lama. Lambat-laun dia akan duduk dengan keluarga kandung dia.” Mualisah memberi sedikit mukadimah secara percuma. Melirik pandang ke arah Nurul Ain yang mulai berubah corak wajahnya.
            Bagi Nurul Ain, dia cukup tidak suka apabila ada orang luar cuba masuk campur urusan keluarganya. Dilihat cara percakapan Mualisah, dia tahu Mualisah cuba hendak membuat hati ibunya tidak tenteram. Maka dia harus menutup mulut perempuan itu secepatnya.
            “Eh, akak duduk lama-lama kat sini, anak kat rumah tu siapa yang jaga? Abang Sham ada ke?” Nurul Ain menyoal.
            Mualisah tepuk dahi. Dia lupa.
            “Ya Allah, lupa! Abang Sham kerja hari ni. Tadi minta Rara tengokkan adik-adik dia.”
            “Ni, nanti kita sambung lagilah ye. Ada banyak benda nak tanya ni.” Mualisah sempat berkata sebelum mengorak langkah.
            “Ingat anak kat rumah tu, kak.” Laung Nurul Ain. Mualisah pandang belakang berserta kerutan di dahi.
            Nurul Ain mengaduh kecil. Tidak sempat mengelak cubitan di lengan. Terasa berdenyut-denyut.
            “Sakitlah mak.”
            Puan Suriani menarik telinga Nurul Ain pula.
            “Tu, lain kali mulut tu jaga sikit. Nanti kang makcik tu bawa mulut yang Ain ni mulut laser. Dia tu bukan boleh.” Puan Suriani berleter.
            “Alah, Kak Mualisah tu yang mulut laser. Mak bukannya tak tahu dia tu kaki gosip. Dulu mana dia rajin datang sini. Kalau lalu pun pandang sebelah mata. Kadang-kadang tak pandang pun. Tu dia datang nak korek cerita, lepas tu dia tambah ikut sedap mulut dia, lepas tu dia sebar kat orang satu taman ni.” Termuncung-muncung mulut Nurul Ain ketika berbicara.
            “Itu mak tahu. Tapi mak tak naklah dia cakap anak mak ni mulut laser. Biar dia aje yang mulut macam tu.”
            Mahu tidak mahu, Nurul Ain angguk juga tetapi anggukan itu tidak bermakna dia berjanji sesuatu dengan Puan Suriani. Andai kata Mualisah datang lagi dengan niat hendak menjadikan dia topik hangat setaman ini, jawabnya dia tidak akan berdiam diri.

GANGGANG telefon kembali diletak. Setelah beberapa minit dia memasang telinga, sekarang dia perlu menghadamnya pula. Nurul Ain terik nafas panjang dan dipelaskan perlahan.
            Sebelum ini, cadangan Datuk Awang Kader ditolak lembut. Bukan dia tidak mahu tinggal serumah dengan ayahnya, dia mahu! Tetapi perasaannya lebih memberat kepada keluarga ini. Dia sayangkan mak dan Asyikin. Dia sayangkan rumah sederhana besar ini. Di dalam rumah ini, pelbagai memori tercipta. Hendak ditinggalkan begitu sahaja, dia tidak sanggup.
            Hanya apabila Datuk Awang Kader kembali menelefon dan mencadangkan dia menjadi salah seorang ahli keluarga besar Menara Global, dia mula berfikir dua kali. Dia tidak menolak, tidak juga menerima. Dia kata, beri masa.
            Dia bersandar di kerusi. Kaki bersilang lurus di atas kerusi kayu. Sebelah tangannya menongkat kepala.
            “Ain.” Puan Suriani menyapa sambil menepuk lembut peha Nurul Ain. Kaki Nurul Ain kembali memijak lantai. Dia beri ruang pada emak duduk di sebelahnya.
            Puan Suriani memandang Nurul Ain. Lama. Kemudian dia menyentuh lembut tangan anak gadis yang menjadi kesayangan arwah suaminya.
            “Apa yang Ain fikir? Sejak dari pagi tadi, mak nampak Ain macam resah semacam.” Puan Suriani memulakan bicara. Dia perasan Nurul Ain banyak termenung. Bila ditegur, Nurul Ain pura-pura senyum. Dia nampak semua itu. Yakin, ada sesuatu yang tidak kena dengan Nurul Ain.
            Nurul Ain geleng kepala.
            “Jangan tipu mak.”
            Keluhan halus meniti bibir Nurul Ain. Sebelum dia buka mulut, dia pandang muka Puan Suriani. Beratnya mulut hendak bercerita. Emak belum tahu akan permintaan Datuk Awang Kader yang berharap mereka boleh tinggal sebumbung. Perihal kerja itu, dia tidak kisah sangat.
            “Ayah tawarkan kerja kat Menara Global,” ujarnya. Biarlah hal yang ini sahaja dia buka lembarannya.
            Cemerlang mata Puan Suriani. Itu yang terbaik buat Nurul Ain. Sekurang-kurangnya, bila kerja di bawah satu bumbung, ikatan sedia ada akan bertambah erat.
            “Baguslah kalau macam tu. Lagipun Ain dah menganggur sekarang. Asyik tanam anggur aje, sesekali tanamlah padi,” senda Puan Suriani.
            “Tapi Ain kan tolong mak. Kalau Ain kerja dengan ayah, siapa nak tolong mak? Nanti mak letih.” Nurul Ain bersuara lemah.
            Puan Suriani mencekak pinggang. “Eh, dah tahu ingat kat mak pulak. Sebelum ni, sebelum Ain tolong mak, mak buat sorang-sorang aje. Setakat jual nasi lemak tu, apalah sangat. Ain, depan mata Ain dah ada jalan yang lebih baik. Kenapa Ain tak pilih jalan tu? Semua yang terjadi sekarang ni, percaturan dari Dia. Semua dari Dia,” kata Puan Suriani. Ditatap wajah mulus Nurul Ain.
            Nurul Ain sudah mengagak, itulah jawapan yang bakal didengarinya.
            “Mak,” seru Nurul Ain. Dia mengengsot menghampiri Puan Suriani. Dipeluk tubuh itu erat-erat, seakan enggan dilepaskan lagi.
            Puan Suriani terkejut namun dia ukir senyuman juga. Dibelai rambut Nurul Ain.
            “Hari tu, Ain pergi ziarah kubur arwah ibu.” Nurul Ain bercerita. Tubir mata terasa hangat. Sayu hati saat terkenang memori di kampung. Setiap hari dia datang menziarahi kubur arwah ibunya.
            “Mak, Ain sayang mak. Ain sayangkan mak dan Asyikin lebih dari nyawa Ain sendiri. Mak tahu itu kan?”
            “Iya, mak tahu,” balas Puan Suriani. Tersisip rasa hiba di hati.
            “Mak...” Nurul Ain mendongak.
            “Mak, sebenarnya ada benda lain lagi yang Ain sembunyikan dari mak.”
            Nah, seperti yang disangka! Puan Suriani melebarkan telinga.
            “Selain dari tawaran kerja tu, ayah ajak Ain tinggal sekali dengan dia.” Terkeluar juga bicara itu. Nurul Ain tarik nafas dalam-dalam. Sudah betul hendak ucapkannya biarpun sebaris ayat.
            Puan Suriani terpana. Pegun matanya mamandang Nurul Ain. Baru pagi tadi Mualisah membangkitkan isu itu, sekarang sudah diperdengarkan di telinganya pula. Puan Suriani mendiamkan diri agak lama sehingga menimbulkan riak curiga di hati Nurul Ain yang melihat.
            “Mak,” panggil Nurul Ain.
            Puan Suriani tersedar. Cepat-cepat dia alihkan pandangan mata.
            “Ain cakap pada ayah, Ain perlukan masa.” Nurul Ain kembali mengeratkan pelukan. Cukup hangat.
            Empangan tubir mata kian berat. Bergenang di situ. Puan Suriani hiba tiba-tiba. Dia sedih. Memikirkan Nurul Ain akan pergi suatu hari nanti membuat jiwanya resah.
            “Ain tak akan pergi kalau mak tak izinkan,” ujar Nurul Ain lagi.
            “Jangan!” tegah Puan Suriani. Dileraikan pelukan itu dan dia menyentuh lembut pipi Nurul Ain.
            “Datuk itu ayah kandung Ain. Tempat Ain di sisi dia, bukan dengan mak.”
            “Tapi, Ain membesar disamping mak dan abah. Di sini tempat Ain, bukan di sana, mak.”
            Puan Suriani menggelengkan kepalanya sebagai tanda tidak bersetuju dengan kata-kata yang keluar dari mulut itu.
            “Ain kena ingat, mereka keluarga kandung Ain. Mak cuma penjaga amanah yang dianugerahkan Allah sewaktu masa dahulu. Kalau pun Ain tinggal di sana, Ain masih boleh balik rumah mak. Tidur semalam dua di rumah kita ni. Lepas tu boleh gaduh dengan Syikin macam yang selalu kamu berdua buat tu.” Puan Suriani membangkitkan suasana meski ianya langsung tidak berjaya.
            Nurul Ain tunduk. Teringat esak tangis Asyikin yang meminta dia agar tidak pergi. Meleleh juga airmatanya. Waktu itu, tidak terlintas pun di fikiran bahawasanya suatu ketika nanti dia akan angkat kaki dari rumah ini. Bagaimana dia harus bereaksi di depan Asyikin nanti? Kalau Asyikin menangis sewaktu pemergiannya, pasti hati bertambah rawan.
            “Mak, Ain boleh tinggal seminggu dua lagi kan kat sini?” Sebaris ayat pertanyaan itu disambut denga gelak-tawa penuh paksaan dari Puan Suriani.
            “Apa pulak tak bolehnya. Inikan rumah Ain.” Untuk kesekian kalinya, Puan Suriani tempel senyuman plastik. Tubuh Nurul Ain ditarik ke dalam pelukan. Berderai airmata Puan Suriani. Dia harus melepaskan Nurul Ain pergi. Tempat Nurul Ain bukan di sini. Pasti si ayah di sana terlalu mendambakan anak tunggalnya yang selama ini terpisah darinya. Sebagai seorang ibu, dia memahami perasaan Datuk Awang Kader. Meski berat hati hendak melepaskan Nurul Ain, dia harus merelainya.
            “Jadi anak yang baik dan solehah,” tutur Puan Suriani, berbisik di telinga Nurul Ain.
            Semakin erat pelukan itu berserta mutiara kata yang terbit dari bibir emaknya. Nurul Ain memejam mata. Sekelipan dia membuat keputusan untuk tinggal dengan ayah kandungnya walau pada mulanya hati berbahagi-bahagi. Setelah mendengar kata-kata emak, hatinya langsung berubah. Dia mahu jadi anak yang baik dan solehah.
            Masih teringat pesanan seorang guru sewaktu menuntut di sekolah menengah dahulu, bahagiakanlah hati kedua ibubapa selagi hayat mereka masih ada.
            Dalam tidak sedar, Allah telah membukakan peluang untuknya membahagiakan orang tua sendiri. Ibu telah dijemput Illahi tetapi masih ada ayah yang setia mencarinya. Dia punya emak yang sentiasa menjadi tulang belakangnya. Dia berkesempatan memohon ampun maaf sewaktu hayat arwah abah masih ada. Peluang itu sentiasa ada untuknya. Bukankah ini satu kurnia yang sangat bernilai?
            Walau sudah dua puluh dua tahun berlalu, masih belum terlambat untuk dia menjadi anak yang baik dan anak yang membahagiakan hati ibubapanya.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Setiap pertemuan,akan ada perpisahan. Hey kawan, kita akan bersama selamanya :) Tersemat kukuh dalam hati. InsyaAllah..:) CJKP yang sedang diusahakan sudah berada di puncak cerita. Sindrom yang sedang dialami- MALAS..-..-' 

2 comments: