Friday, April 26, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab8.

Assalamualaikum.








"...One who directs to good is rewarded similar to the doer of good..." - Ibn Majah









Bab 8
PETANG itu, Humairah pulang ke rumah menaiki kereta yang dipandu Shahrul. Kebetulan dia kerja overtime, Shahrul menawarkan diri menghantarnya. Dia angguk sahaja. Daripada menunggu van datang menjemput, lebih baik dia ikut Shahrul. Sekurang-kurangnya, awal sikit sampai rumah.
            Shahrul tersenyum ketika dia dan Humairah saling berbalas renungan. Humairah meletak gelas berisi air sirap di atas meja. Shahrul mengangguk sahaja sewaktu Humairah mempelawa dia minum.
            “Minum, Shahrul,” kata Rosnah.
            Humairah ambil tempat di sisi Rosnah. Sesekali ekor mata melirik ke arah Shahrul. Perasaan aneh itu melintasi hati sendiri tatkala mereka saling bertempur pandang. Cepat-cepat Humairah alih mata. Dia tenung dinding kayu.
            “Shahrul satu tempat kerja dengan Ara ke?” tanya Rosnah. Ramah melayani Shahrul yang baru dikenalinya.
            Shahrul mengangguk. Curi-curi pandang ke arah Humairah. Ayunya gadis itu bertudung menutupi rambut.
            “Satu tempat kerja, cuma lain-lain department,” terang Shahrul.
            “Shahrul ni supervisor, nek,” celah Humairah.
            Rosnah menoleh. Berkerut dahinya. “Su... supervisor?”
            “Haah. Jaga anak buah,” sambung Humairah.
            Rosnah mengangguk tanda faham.
            “Tinggilah pangkat Shahrul kat situ ya.” Rosnah kulum senyum.
            “Eh, mana ada. Supervisor aje nek. Tak besar mana pangkat tu,” tuntas Shahrul.
            Humairah ketawa mengekek. Jelas terpamer riak kurang senang Shahrul sewaktu memberitahu kedudukan sebenar.
            “Nak dibandingkan dengan Ara yang kerja sebagai operator, tinggi jugalah pangkat dia tu.” Humairah masih giat mengusik Shahrul. Sebenarnya, modal itu sahaja yang boleh dijadikan topik. Kalau tidak, bunyi cengkerik yang lebih.
            Tergeleng-geleng kepala Shahrul. Wajahnya naik merah kerana segan. Setakat supervisor, apalah sangat. Bikin malu sahaja heboh tentang pekerjaannya itu.
            Shahrul memandang jam dinding. Hampir mencecah jam lima petang. Rasanya, dia perlu beransur sekarang juga. Shahrul berdiri. Lantas bersalaman dengan Rosnah selepas meneguk air sirap bujang air tangan Humairah. Manisnya melekat ditekak. Sedap!
            “Ada masa nanti, datanglah sini lagi ya,” pelawa Rosnah.
            Shahrul mengangguk. Pemergiannya diiringi Humairah. Shahrul menyarung kasut. Sempat melirik ke arah Humairah yang kelihatan manis di matanya meski Humairah gadis yang biasa-biasa.
            “Terima kasih tumpangkan saya hari ni,” ucap Humairah.
            “Bukan selalu,” balas Shahrul.
            Humairah kulum senyum. “Hati-hati ya,” pesan Humairah sambil melambai ke arah Shahrul yang mengorak langkah menghampiri kereta Viva hitam yang di parkir di bawah sebatang pokok rendang depan rumah.
            Shahrul memandu keretanya bersama hati yang kembang-kuncup. Tidak menyangka pelawaannya diterima Humairah. Silap-silap haribulan, malam ini tidurnya tidak lena gara-gara Humairah. Shahrul tersenyum-senyum.
            Kaki kanan Shahrul menekan brek secara mengejut. Mujur kereta tidak dipandu laju. Andai sahaja dia memandu peri pelumba kereta, pasti terhumban ke sungai dengan dia dan kereta sekali. Shahrul menghala mata ke depan. Tidak berkelip mata melihat tiga orang lelaki menghalang laluannya. Shahrul melangkah keluar dari kereta. Silih berganti memerhatikan tiga lelaki yang lagak seperti samseng jalanan.
            Hasnol terlebih dahulu memulakan langkah. Diikuti Jali dan Azli yang mengekor di belakang. Ekor mata Hasnol melirik tajam pada Shahrul yang beriak hairan. Tidak mengenali Hasnol dan rakan-rakannya.
            Hasnol menepuk bahu Shahrul dengan kuat. Kemudian dia mencengkam leher baju yang dipakai Shahrul. Shahrul terkejut. Berusaha melepaskan diri, tetapi cengkaman itu semakin kuat.
            “Kau siapa? Nak apa?” tanya Shahrul.
            “Patutnya aku yang tanya kau soalan tu. Kau bukan budak sini, kan? Siapa kau?” Hasnol pula menyoal.
            “Aku Shahrul!” jawab Shahrul bagai orang lurus.
            “Aku nampak kau bawa Humairah tadi.” Hasnol berjeda seketika. Panas hati ketika Jali memberitahu Humairah menaiki kereta bersama seorang lelaki. Lekas dia berkejar ke rumah Humairah. Memang benar kata Jali. Disebalik rimbunan semak-samun, dia mengintai. Humairah nampak mesra dengan lelaki ini. Tersenyum manis penuh gula. Sedang bila bertembung mata dengannya, jangankan kata senyum, pandang pun belum tentu mahu!
            “Aku tolong hantar aje,” beritahu Shahrul. Naik sesak nafas bila Hasnol memperlakukan dia sebegini rupa.
            “Jangan pernah dekati Humairah lagi!” tegas Hasnol. Membulat matanya.
            “Kenapa pulak? Aku dengan dia kawan aje,” tingkah Shahrul.
            “Aku tak suka!” marah Hasnol. “Humairah itu milik aku!”
            Hampir bertaut kening Shahrul mendengar bicara Hasnol.
            “Setahu aku, Humairah belum kahwin. Dia bukan milik sesiapa selain nenek dia dan Maha Pencipta.” Shahrul menegaskan pula. Ditepis tangan Hasnol yang mulai longgar.
            Hasnol mendegus geram. “Aku tak mahu kau dekati Humairah. Jangan sesekali pijak kaki kau di kampung ni. Kalau aku nampak kau, nahas kau aku kerjakan!” gertak Hasnol dengan suara garangnya.
            Tidak berkelip mata Shahrul. Siapa Hasnol sebenarnya? Apa hak Hasnol menghalang dia daripada bertemu Humairah atau memijak kaki di sini sekalipun? Shahrul malas hendak cari gaduh. Kalau betul halangan itu memang tercipta, maka dia akan jumpa Humairah di kilang sahajalah. Di sana, larangan gila ini tidak berkuat-kuasa.
            Shahrul memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Dihidupkan enjin kereta dan sengaja menekal pedal minyak. Bising bunyi enjin keretanya sengaja membakar Hasnol yang sedia terbakar melihat kemunculan Shahrul di sini bersama Humairah.

HAIKAL meletak bekas kecil berbalut kain baldu merah di atas meja. Silih berganti mata Kamsiah memerhati kotak kecil itu dan Haikal. Berkerut-kerut mukanya tanda hairan. Haikal bersandar sambil berpeluk tubuh. Dia menunggu Kamsiah buka mulut.
            “Apa ni?” tanya Kamsiah.
            Haikal buat muka ketat. Konon serius menghadapi situasi depan mata.
            “Cincin risik.” Ringkas Haikal menjawab.
            Kamsiah terbatuk-batuk kecil. Cincin risik? Kotak kecil itu dibukanya. Memang ada sebentuk cincin terletak elok di dalamnya. Cincin belah rotan itu dipandang lama.
            “Kau nak merisik siapa?” Kedengaran tawa halus di hujung bicara Kamsiah.
            Haikal mendengus kurang senang.
            “Mak dah tahu siapa kan?”
            Ekor mata Kamsiah melirik ke arah Haikal.
            “Mana kau dapat duit beli cincin ni? Kau mencuri?” soal Kamsiah penuh curiga.
            “Duit gaji akulah mak. Mak ingat kerja aku mencuri aje ke?” Mendatar suara Haikal.
            Kamsiah mencebik. “Kau bukannya boleh percaya. Entah-entah duit menang judi.” Kotak kecil itu ditolak ke arah Haikal.
            Kamsiah bangkit. Daripada melayani angin biol Haikal, lebih baik dia duduk dapur, menyediakan makan tengahari mereka dua beranak. Kalau lambat nanti, muut Haikal juga yang bising kalahkan nenek kebayan.
            “Mak, aku serius!” laung Haikal.
            Terbejat kaki Kamsiah melangkah. Dia mengeluh halus. Haikal tidak pernah berputus asa memaksa dia meminang Humairah. Sampai ada masa dia rasa sungguh rimas. Setiap kali duduk hadap berdua, di meja makan sekali pun, Haikal akan usul perkara yang sama.
            Haikal mengejar emaknya yang kaku di depan sana.
            “Pinangkan Humairah untuk aku, mak,” katanya penuh mengharap.
            Kamsiah sekadar menggeleng kepala. Sebagai tanda dia tidak akan tunduk kepada permintaan Haikal.
            “Kau pergi cermin diri kau dulu. Layak ke kau dapatkan Humairah tu?” Berbaur sinis sindiran itu.
            “Aku tahu aku jahat. Tapi aku akan berubah demi Humairah, mak.”
            Kamsiah tarik nafas pula. Senangnya berkata-kata. Haikal sudah terlalu lama bergelumang dengan kebiasaan yang dia sendiri sukar hendak mengubahnya. Judi, nombor ekor. Kamsiah meraup muka.
            “Berubah demi Tuhanmu, bukan kerana manusia. Bukan kerana Humairah.” Perlahan bicara Kamsiah menusuk ke hati kecil Haikal. Haikal termangu-mangu. Memerhati lenggok Kamsiah memasuki ruang dapur.
            Haikal kembali melabuh duduknya. Sakit kepala! Lain yang dia minta, lain yang dapat. Dengan kasar, Haikal memukul meja. Berdentum bunyinya. Kamsiah yang terdengar bunyi kuat itu hanya mendiamkan diri.

BAHU Haikal dicuit kasar. Haikal pantas menepis. Mukanya beriak ketat. Jali dan Azli saling berpandangan. Kedua-dua manusia suruhan Hasnol itu memandang pelik ke arah Haikal yang bertingkah begitu.
            “Kau kenapa?” Jali memulakan pertanyaan.
            “Tak ada apalah!” Haikal menjawab kasar.
            Jali lempar pandang ke arah  Azli. Azli jungkit bahu.
            “Hasnol mana?” Haikal memandang persekitaran. Selalunya, bila ada Jali dan Azli, akan ada Hasnol. Kali ini, bayang Hasnol langung tidak terjamah dek mata.
            “Dia kata dia ada hal,” beritahu Azli.
            Haikal pantas berpaling. Tercenggang seketika. “Hasnol ada hal?”
            Azli mengangguk. Sibuk mengagih kad-kad yang menjadi platform mereka berjudi. Jali sudah pun bersedia dengan beberapa wang kertas di tangannya. Sekeping wang kertas bernot lima puluh ringgit dilempar di atas tikar mengkuang. Azli pula mengeluarkan sepuluh ringgit sahaja. Jali mentertawakan nilai yang dikeluarkan Azli. Azli berlagak selamba biarpun hatinya terbakar melihat gelagat Jali.
            “Kau nak bertaruh berapa?” Jali menyoal sambil hujung ekor mata menilik kad-kad dalam tangan.
            Haikal tidak menjawab pertanyaan Jali sebaliknya sibuk memikirkan ke mana pergi Hasnol. Pelik sungguh! Hasnol ada hal? Selama hari ini, Hasnol tidak pernah mementingkan sesuatu yang lain selain memenuhi tuntutan hati hitamnya. Hasnol yang akan mengajak mereka berkumpul di sini untuk lepak-lepak sambil bermain judi.
            “Hoi! Kau nak main ke tak ni?” gesa Azli pula.
            Haikal berdiri. Tidak memandang Jali dan Azli yang ikut sama melorot pandangan ke arahnya.
            “Aku malas nak main hari ni,” tegas Haikal. Panjang langkah kaki pergi dari situ.
            Untuk kesekian kalinya, Jali dan Azli berpandangan lagi. Kedua-duanya menggaru kepala.
            “Dunia nak kiamat ke?” aju Azli.
            “Apasal kau cakap macam tu?” Jali menyoal.
            Azli meletakkan sekeping kad di atas lantai. Hujung jari menari-nari di dahi yang mulai timbul garis-garis kasar bila dia mengerutkan muka.
            “Hasnol nak Humairah. Haikal pun nak Humairah. Kau tak rasa ke nanti mereka tu bergaduh kalau salah seorang dari mereka berjaya memiliki Humairah,” kata Azli.
            Terangguk-angguk kepala Jali, bersetuju.
            “Tapi tak mungkinlah. Humairah tu tak akan pandang dua makhluk tu. Baik Hasnol, baik Haikal, dua-dua tak boleh pakai,” sambung Jali.
            “Tak guna macam kau!” tempelak Azli lalu menghambur ketawa.
            Jali angkat muka. “Habis, kau tu berguna sangatlah?!” balas Jali, bengang.
            Azli ketawa mengekek. Dia meletak kad terakhir.
            Jali melihat peluang itu terbuka depan mata, cepat-cepat memperlihatkan kad yang dia punya. Senyuman menyeringai menghiasi bibirnya yang kehitaman. Terbeliak mata Azli. Kemenangan itu berpihak kepada Jali. Dengan penuh semangat, Jali mengutip duit-duit itu lalu dimasukkan ke dalam poket seluar.
            “Setan kau!” marah Azli.
            Giliran Jali pula ketawa besar.
            “Kau kena belajar dari yang pakar. Cepat! Berapa nilai taruhan kau kali ni?”
            Taruhan Jali semakin banyak. Seratus ringgit diletak sebagai pertaruhan. Yakin selepas ini wang taruhan itu akan kembali ke dalam poketnya.
            Azli memandang geram. Dia enggan mengalah. Kalau tadi dia cuma letak sepuluh ringgit, kali ini dia naikkan nilai sehingga lima kali ganda.
            Jali bertepuk tangan. Ketiadaan Hasnol membuka peluang dia menarik duit dari Azli. Jika Hasnol menyertai mereka, peluang untuk menang adalah sangat nipis kerana Hasnol raja main judi.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Salam Jumaat semua :) Lamanya tak keluar berjalan-jalan sambil cuci-cuci mata, sambil makan-makan, sambil ambil gambar. Sigh! -..-'' 

5 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lagi.. konflik jgan teruk sngat.. hehe

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ruunna Qizbal

Hi :) Thanks drop sini. Ohh.. kite tak pandai nak letak konflik teruk2. Hihi :D So biasa2 aje :)

Memori Maya said...

Agaknya nanti apa jadi dekat Hasnol dengan Haikal tu..
Oh Humairah pilih orang lain ajelah. Hahaha. :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@bsby mio

:)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@memori maya

Thnx drop sini :) Kena teruskan baca utk tahu. Hihi :) Maaf if ada byk kekurangan :)