Tuesday, April 30, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab9.

Assalamualaikum.








"...The reward for an accepted hajj is nothing less than paradise..." - Prophet Muhammad (SAW)









Bab 9
APA hak Hasnol memarahi Shahrul yang menghantar dia pulang tempoh hari? Abang? Bukan! Hasnol bukan sesiapa! Humairah menggumam geram dalam hati. Tetapi sewaktu Shahrul bercerita tadi, dia diamkan sahaja. Bila Shahrul bertanya siapa gerangan lelaki itu, dia kata kawan sekampung. Shahrul tertawa gelihati mendengar jawapan dia. Kata Shahrul, lagak Hasnol seperti suaminya. Siap beri amaran segala. Humairah hanya mampu geleng kepala. Apalah yang dikehendaki Hasnol agaknya.
            Humairah memperbetulkan tudung di kepala yang dirasakan senget. Kaki diatur laju meninggalkan simpang tiga yang dilaluinya. Dari ekor mata, dia nampak Hasnol dan kawan-kawannya duduk di pondok buruk di pinggir kebun kelapa sawit sana. Terdengar siulan nakal daripada tiga lelaki itu. Humairah semakin mempercepatkan langkah. Nahas kalau Hasnol mengejar dia nanti. Dia bukan hadap sangat melayan kutu rayau itu.
            “Humairah sayang!” Hasnol memekik panggil nama Humairah yang semakin laju berjalan seperti berlari-lari anak. Hasnol tersenyum menyeringai. Lekas mengejar Humairah. Beg yang disandang di bahu gadis manis itu ditarik kuat. Humairah terundur ke belakang.
            “Kau nak apa hah?” jerkah Humairah. Mukanya beriak tegang. Keluar segala kerutan di dahinya. Jelas menunjukkan dia tidak menyenangi kewujudan Hasnol yang tidak pernah faham bahasa orang tak suka.
            Hasnol enggan melepaskan beg Humairah. Terus melekat di tangannya. Hasnol meratahi muka itu sepuasnya. Cantik! Humairah cukup cantik baginya meski kecantikan itu biasa-biasa sahaja.
            “Kau jangan garang sangat dengan bakal laki kau ni. Derhaka namanya,” ujar Hasnol tanpa berselindung pun.
            Hendak terkeluar segala isi dalam perut bila mendengar omongan Hasnol. Bakal laki? Celah mana? Humairah mencebik dalam hati. Perasan!
            “Aku nak balik!” bentak Humairah. Kalau dilayan kepala gila Hasnol, sampai sudah tidak pernah habis. Humairah merentap hujung begnya tetapi Hasnol tetap enggan melepaskan Humairah pergi begitu sahaja.
            “Kau sombong sangat dengan aku Humairah,” kata Hasnol. Mendatar suaranya apabila tidak menyenangi layanan dingin Humairah padanya. Teringat senyum manis Humairah kepada Shahrul, budak hingusan dari kampung sebelah. Jadi sakit hatinya. Bengkak!
            Humairah tidak menjawab. Rasanya Hasnol sendiri boleh fikir kenapa dia berkelakuan begitu sewaktu berdepan dengan lelaki ini.
            Hasnol naik geram. Kebisuan Humairah menjentik amarah diri yang sememangnya bersifat panas baran.
            “Apa budak tu dah bagi pada kau sampai kau boleh layan dia baik punya?” Hasnol menyentak garang.
            Humairah terbejat. Terkebil-kebil pandang Hasnol. Tiba-tiba perasaannya dijentik kegerunan. Tingkah Hasnol malam tempoh hari terlayar di fikiran. Humairah pandang kiri kanan. Sunyi. Dia berkira-kira hendak lari selaju mungkin kalau Hasnol naik gila.
            “Lepaslah!” Humairah berusaha menarik begnya.
            Hasnol mengancing gigi. Selagi Humairah belum menjadi miliknya, dia tidak akan berhenti mengejar gadis itu. Gadis itu sombong dengannya. Pandang dia sebelah mata. Hasnol merenung tajam ke arah Humairah.
            “Kau tu aku punya, tahu! Kau tak boleh berkawan dengan sesiapa pun. Faham?!” Naik tinggi suara Hasnol.
            Humairah menelan air liur. Ugutan Hasnol tidak masuk akal langsung. Ikut dialah hendak berkawan dengan siapa pun. Hasnol tidak punya hak melarang dia. Humairah melawan renungan Hasnol dengan beraninya. Dibuang jauh-jauh perasaan takut yang hinggap sekejap tadi.
            “Dengan siapa pun aku berkawan, itu hak aku. Kau tak ada hak mencampuri urusan hidup aku.” Humairah berkata perlahan.
            Humairah tidak membentak, apatah lagi meninggikan suara, tetapi Hasnol tetap merasakan Humairah seperti memperlekehkan dia. Lantas dia mencengkam pergelangan Humairah dengan kuat sehingga gadis itu mengaduh kesakitan. Hasnol memperkemaskan cengkaman bila Humairah meronta minta dilepaskan.
            “Kau ingat sini Humairah. Aku tak akan lepaskan kau. Kau ingat tu!” Hasnol berkata kasar.
            “Tak bermakna bila kau tolak pinangan aku tu, kau dah mampu tolak aku dalam hidup kau. Aku akan pastikan yang kau akan ingati aku sampai nyawa kau diambil Tuhan!”
            Hasnol pamer senyum sinis. Ya, dia tahu Humairah menolak pinangan dia selepas sehari dia meminang gadis itu. Sesungguhnya, dia tidak dapat menerima penolakan itu dengan hati yang terbuka meski berkali-kali emaknya menasihati agar jangan diingat kejadian itu.
            Humairah gugup. Ya Allah! Senyuman Hasnol menggugurkan sedikit keberanian yang bertenggek di tangkai hati. Kata-kata Hasnol itu bagai ugutan yang bakal mengekori disepanjang hayatnya.
            “Kau ingat tu!” Hasnol merengus kasar. Cengkaman itu dilepaskan. Hasnol angkat kaki pergi meninggalkan Humairah.
            Humairah tarik nafas dalam-dalam. Kaki melangkah laju. Mahu segera sampai ke rumah. Jejak langkahnya bagai disusuri oleh omongan Hasnol tadi. Seharusnya dia mengabaikan kata-kata kasar Hasnol tadi, tetapi dia tidak mampu. Terngiang-ngiang di telinga.

BERKALI-KALI Humairah menjenguk leher ke luar jendela yang terbuka. Haikal? Berdetak-detik hati Humairah melihat makhluk itu ada di kawasan masjid. Kelihatan Haikal sedang bertanya khabar dengan beberapa orang kampung yang turut sama berjemaah di masjid kampung mereka. Tidak berkelip mata Humairah memerhati sehinggalah Kamsiah datang menegur. Humairah tersipu-sipu sendiri. Pantas mengalih anak mata daripada melorong ke arah Haikal.
            “Ara tengok siapa tu?” Kamsiah menyoal.
            Humairah pantas menggeleng kepala. Dia membontoti langkah Kamsiah. Selipar jepun warna merah disarung ke kaki.
            “Mak!” Haikal datang menerpa.
            Kamsiah nampak terkejut besar. Terbeliak mata wanita pertengahan usia itu memandang Haikal atas bawah berkali-kali. Mulut itu terbuka sedikit. Nyata, bukan Humairah seorang sahaja yang terperanjat melihat kelibat Haikal di masjid ini, malah emaknya pun sama.
            “Kau mimpi apa Kal?” aju Kamsiah. Tidak putus-putus memandang Haikal yang nampak lain bila menyarung baju melayu dan berkain pelikat, serta songkok hitam atas kepala. Sekali pandang, seperti arwah suaminya yang sudah lama meninggal dunia.
            “Mimpi? Apa mak cakap ni?” Haikal tersengih-sengih. Sesekali mencuri pandang Humairah yang bertelekung menutupi hampir separuh tubuhnya. Gadis itu turut sama memerhatikannya.
            “Kau buat apa di sini?” tanya Kamsiah penuh curiga.
            “Aku datang sembahyanglah mak. Takkanlah berjalan-jalan pulak,” seloroh Haikal dalam tawa yang dibuat-buat.
            Terbatuk-batuk Kamsiah dibuatnya. Haikal datang sembahyang berjemaah di masjid? Dia yang salah dengar dan salah lihat atau memang dunia sudah terbalik? Kamsiah menggeleng kepala.
            “Kenapa mak?” soal Haikal bila terlihat gelengan Kamsiah.
            Kamsiah menghela nafas. Ekor mata melirik ke arah Humairah. Pasti perubahan Haikal yang tiba-tiba ini ada kaitan dengan Humairah. Sudah dikata, berubah demi Tuhan, bukan kerana manusia semata. Tidakkah pelik perubahan itu terjadi dalam masa yang singkat? Dia percaya, hidayah Allah itu datang bila-bila masa sahaja kepada manusia yang mencari-Nya, tetapi Haikal? Dia tidak percaya Haikal benar-benar berubah. Pasti ada muslihat disebalik semua ini.
            Kamsiah menarik tangan Humairah sewaktu dia memulakan langkah pertama atur kaki menuju ke rumah. Haikal pantas membontoti dari belakang. Mengambil tempat di sebelah Kamsiah yang nampak tidak mempedulikan dia.
            “Mak, aku pernah kata yang aku akan berubah. Mak nampak kan?” Haikal berkata. Lekas-lekas menyaingi langkah laju Kamsiah.
            “Mak tahu.” Kamsiah membalas ringkas.
            Tersungging senyuman di hujung bibir Haikal.
            “Dan mak tahu jugak yang kau tu bukannya ikhlas.” Kamsiah menyambung bicara.
            Langsung Haikal terkedu. Kata-kata Kamsiah begitu tajam bak belati. Haikal ikut rentak emaknya.
            “Keikhlasan itu harus dipertontonkan ke, mak?” Persoal Haikal yang nampak sedikit bengang.
            “Ara, pergilah balik.” Kamsiah melepaskan tangan Humairah. Dia menghantar Humairah sampai ke rumah gadis itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
            Humairah mengangguk. Selepas menyalami tangan Kamsiah, Humairah cepat-cepat jalan menuju ke pintu rumah yang tertutup rapat. Kepulangan Humairah disambut Rosnah yang sudah lama menanti cucunya itu di ruang dapur. Rosnah bertambah sihat dan mampu melakukan kerja-kerja rumah. Malam ini dia masakkan sesuatu yang istimewa buat santapan cucu kesayangannya.
            Sementara di luar, Kamsiah masih menyangkal perubahan Haikal yang jelas di matanya. Apa pun kata Haikal, dia tahu ini adalah salah satu cara Haikal memenangi hatinya, lantas membuka peluang Haikal untuk memiliki Humairah. Masak sangat perangai anak tunggalnya itu. Namun, andai benar seperti yang dikatakan Haikal, Alhamdulillah, pintu hati Haikal sudah terbuka sepenuhnya untuk bertaubat.
            “Mak tak suka perubahan aku?” Haikal terus mengasak dengan soalan demi soalan yang dimuntah keluar dari mulutnya. Songkok atas kepala sudah dicabut. Kain pelikat juga sudah diangkat tinggi melepasi betis.
            “Mak bukan tak suka, cumanya mak tak percaya.” Kamsiah berkata tanpa memandang sedikit pun pada Haikal.
            Haikal menggaru kepala. Berubah salah, tak berubah lagilah salah. Apa yang dimahukan emak sebenarnya?
            “Bukan ke kewujudan satu medium untuk berubah itu baik, mak? Ara itu sebagai contoh medium buat aku. Melalui Ara, aku berubah. Berubah menjadi lebih baik. Kemudian aku mulai mendekati Allah, mencintai Dia. Tak salah kalau perubahan aku dengan cara begitu, kan mak?” Haikal melontar bicara yang lahir dari fikirannya sendiri.
            Kamsiah agak terkejut mendengar bicara Haikal. Sejak bila Haikal pintar berbicara begitu? Laksana orang yang bijak pandai.
            “Kau cakap macam ustaz, Kal,” sindir Kamsiah.
            Haikal tarik muka bengang.
            “Mak, aku nak berubah. Sepatutnya mak sokong aku. Ini tidak, emak perkecilkan niat aku.” Haikal mulai membentak geram.
            Kamsiah hela nafas panjang. Ingin sekali dia mempercayai kata-kata Haikal itu tetapi bila mana memikirkan rencana yang terselindung disebaliknya, Kamsiah segera bina tembok besi memagari hati sendiri, agar tidak terjebak dengan kata-kata sebegitu dari mulut Haikal.
            “Mungkin mak tak tahu niat kau yang sebenar. Tapi jangan lupa, Allah tahu apa yang tersirat di hati kau tu, Haikal,” tutur Kamsiah.
            “Mak, aku betul-betul nak berubah. Aku ingin mengahwini Ara itu untuk membentuk diri aku sendiri. Mak tak mahu lihat aku menjadi Haikal yang baru? Haikal yang mak idam menyenangkan hati mak dan mendoakan abah di sana?” Haikal menggunakan kemanisan bicaranya untuk memancing kepercayaan Kamsiah.
            Kamsiah memerhati tajam ke wajah Haikal. Berat hatinya mempercayai Haikal. Benarkan Haikal memang berkeinginan menjadi lebih baik?

KAMSIAH buka mata bila terdengar bunyi bising dari arah dapur. Macam ada pesta periuk pula. Kamsiah bangkit. Sempat menyoroti jam loceng di sebelah katil. Hampir menginjak jam lima setengah pagi. Terjingkit-jingkit kaki Kamsiah mengatur langkah menuju ke dapur. Cukup berhati-hati. Disebalik dinding dia mengintai. Susuk tubuh itu macam dikenalinya. Hampir bertaut kening Kamsiah.
            “Haikal!” Kamsiah menegur.
            Haikal berpaling.
            “Eh mak! Awalnya mak bangun.” Haikal mengutip tudung periuk yang jatuh ke lantai.
            Kamsiah menarik kerusi lalu labuh duduk sambil mata tajam memerhatikan Haikal. Haikal menuju ke sinki. Periuk sederhana besar saiznya itu diisi air paip sebelum menjerangnya di atas dapur. Haikal sempat pamer sengihan bila mana renungan keduanya saling bertempur.
            “Sepatutnya mak yang tanya kau soalan tu, Haikal.” Kamsiah membalas.
            Haikal tersengih lagi.
            “Kau ni buang tabiat ke apa? Sakit?” Bertubi-tubi pertanyaan diaju kepada Haikal.
            “Aku sihatlah mak.”
            Haikal meletak teko di depan mata Kamsiah. Manalah Kamsiah tidak naik hairan bila matanya menangkap susuk tubuh Haikal yang lengkap berkain pelikat dan berbaju t-shirt serta berbau harum di pagi hari. Seumur hidupnya, Haikal tidak pernah jejak ke ceruk ini selagi matahari tidak naik atas kepala. Kalau bukan dia yang kejutkan Haikal, jangan harap anak lelakinya itu akan bangun. Sehingga hendak putus anak tekak memanggil Haikal sembahyang Subuh.
            Tetapi pagi ini, menghampiri seruan solat Subuh, Haikal sudah bersiap-siap. Ringan tulang Haikal menjerang air untuk dibancuh kopi nanti. Kamsiah menggeleng kepala. Di depan matanya ini Haikal atau jembalang yang menyerupai Haikal? Kamsiah ralit memerhatikan perubahan drastik Haikal.
            “Kau kenapa ni, Haikal?” Kamsiah terus-terusan membidik soalan.
            Haikal mengerling Kamsiah. Berubah salah. Berperangai lama lagilah salah.
            Sayup-sayup kedengaran azan Subuh memecahkan kesunyian pagi itu. Kamsiah pantas bangun meninggalkan Haikal yang berperangai pelik biarpun peliknya Haikal itu menjurus kepada kebaikan. Kamsiah masih tidak mampu meleraikan niat tersirat disebalik penghijrahan Haikal. Jauh di sudut hati, dia gembira andai Haikal benar-benar berubah untuk menjadi seorang yang lebih baik.
            Kamsiah mencapai tuala di sampiran dan berlalu menuju ke bilik air. Sempat melempar pandang ke arah Haikal yang tekun membancuh kopi di dalam teko. Sejuk hatinya melihat Haikal begitu. Secebis senyuman timbul jua di pinggir bibir Kamsiah.

“ALHAMDULILLAH...” Rosnah menadah tangan lalu meraup mukanya sebaik sahaja Kamsiah berkongsi perihal tingkah Haikal yang nampak kelainannya sejak dua tiga hari ini.
            Kamsiah tayang senyum nipis. Dia turut panjatkan kesyukuran meski kemusykilan itu masih bertenggek di tangkai hatinya. Masih rasa sangsi.
            “Baguslah kalau Haikal tu dah berubah. Mudah-mudahan perubahan tu kekal di hati dia,” kata Rosnah lagi.
            Kamsiah angguk-angguk kepala. Perbualan mereka terhenti seketika dengan kemunculan Humairah bersama dulang berisi cawan dan teko berserta sedikit kuih-muih yang sempat dibelinya tadi sewaktu hendak pulang ke rumah.
            “Untung Mak Nah ada cucu sebaik Ara tu.” Kamsiah memuji Humairah sebaik gadis manis itu hilang dari pandangan.
            Menguntum senyum Rosnah mendengar pujian sebegitu.
            “Saya pun sebenarnya sakit kepala memikirkan Haikal tu. Betul ke tidak berubahnya tu hah. Manalah tahu setakat hangat-hangat tahi ayam. Niat orang ni bukannya kita boleh agak,” celoteh Kamsiah. Kembali menarik topik sang anak ke dalam perbualan petang itu.
            “Fikir ajelah yang baik-baik Siah. Budak tu nak berubah, sokong dia. Bagi semangat. Jangan pula kita perkecilkan niat dia.” Ujar Rosnah, sekadar menasihati.
            “Eh, saya tak adalah sampai nak perkecilkan Haikal tu, cumanya... iyalah... saya yang besarkan Haikal tu, Mak Nah. Tahu buruknya dia tu. Mulut saya ni penat dah membebel benda yang sama dari dulu lagi. Payah nak ikut cakap. Siapa tak pelik bila Haikal tu tiba-tiba jadi macam tu? Macam orang buang tabiat!” Panjang-lebar Kamsiah berkongsi cerita.
            Spontan Rosnah menepuk peha Kamsiah. “Ada pulak cakap macam tu. Itu bukan buang tabiat, tapi satu penghijrahan.”
            Kamsiah menghela nafas. Rosnah tidak tahu perubahan anak bujangnya itu ada kaitan dengan Humairah. Barangkali berubah demi memancing hatinya supaya angguk setuju meminang Humairah buat Haikal.
            “Harap-harapnya, macam itulah. Jangan ada niat lain sudah,” getus Kamsiah.
            Tergeleng-geleng kepala Rosnah dalam tawa kecil.

HUMAIRAH memerhatikan Haikal yang duduk di bawah pokok bersama neneknya. Berkerut dahinya. Peristiwa malam tadi melewati fikiran. Haikal ke masjid! Kamsiah pun terkejut.
            Lain betul penampilan Haikal. Nampak lebih kemas. Bila nampak dia, Haikal tidak kejar-kejar seperti selalu. Sekilas sahaja lelaki itu memandangnya.
            Bagus juga Haikal tidak menganggunya seperti selalu. Aman hidup! Humairah menyelinap masuk ke dalam biliknya. Tilam nipis diangkat tinggi. Di bawah tilam itu, dia ambil sekeping kertas yang sudah dilipat-lipat. Lebar senyumannya melihat kertas itu.
            Humairah panjat katil. Lama dia merenung pemberian Shahrul kepadanya beberapa hari yang lalu. Kelakar sungguh bila mengenangkan tingkahnya waktu itu. Menggelabah! Sehingga tidak mampu tutur kata pun.
            Perlahan-lahan, dia buka lipatan kertas tersebut. Bait-bait ayat ringkas tercoret kemas di atas kertas bergaris satu warna biru. Humairah embacanya berkali-kali berserta herotan senyum di bibir.
            “Saya suka awak!” Bibir Humairah bergerak-gerak menyebut ayat itu. Tiga rangkai kata yang mampu mengundang debaran di jiwa.
            Humairah mendakap surat itu. Alangkah indahnya perasaan dia waktu ini. Berulang kali tatap pun masih memutikkan rasa yang serupa.
            Sudah jatuh cintakah dia?
            Humairah ukir senyuman lagi. Kali ini, dia menutup mata dengan harapan wajah manis Shahrul berlayar di ruang angkasa minda.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: 1 May- esok holiday yeayyyy balik kampung! Mahu peluk-cium-peluk mak abah juan lili dan adik. Rindunyaaa! Hihi :) Entri KPHM diupdate awal sangat pasal kan nak bercuti. Maka aku pon cuti update jugak. Ah, retis sangat! Wakakaka. Happy-happy reading ya :) Btw, tajuk Kupilih Hatimu (KPHM) akan ditukar jadi Akhir Cinta Abadi (ACA) :)

4 comments:

meeka42 said...

sapa hero ni?haikal or shahrul??
hope,haikal la..hihi..haikal yang dah berubah:)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ilman_nafi

Hi ilman :) thnks drop komen :)

Hero eh? Hihi. Haikal? Maybe. Shahrul tu cinta sekejap aje. Hihi. Sampingan semata :D

Ruunna Qizbal said...

smbng lGiiiiii

~::HANAH RISHAS::~ said...

InsyaAllah..akan dismbung sesegera mngkin.hihi.thnks sudi bace :)