Wednesday, May 8, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab10.

Assalamualaikum.









"...Get used to a rough life, for luxury does not last forever..." - Umar Ibn Al-Khattab









Bab 10
DARI jauh kelihatan Haikal berjalan menghampiri pondok tempat mereka selalu lepak dan menghabiskan masa tanpa berbuat perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri. Kemunculan Haikal setelah hampir seminggu berhibernasi di rumah mengejutkan mereka, ditambah pula perubahan fizikal lelaki itu. Berketerampilan yang jauh berbeza daripada Haikal yang mereka kenali.
            Hasnol terlebih dahulu terpacak mata memandang Haikal. Atas bawah dia perhati kawan ‘sepermainan’nya itu. Bagai tidak percaya. Jali dan Azli tercengang. Bukaan mulut mereka luas bukan main.
            Haikal tidak mempedulikan pandangan Hasnol, Jali dan Azli. Dia terus labuh duduk di atas tikar mengkuang. Songkok yang bertenggek ditanggalkan dari kepala.
            “Dekat seminggu hari aku tak nampak kau, kau dah jadi macam ni?” Hasnol berkata penuh rasa tidak percaya. Gaya Haikal macam baru balik dari kelas agama. Bersongkok bagai. Pakaian yang dipakai Haikal juga nampak kemas. Bau Haikal harum, tidak ‘bacin’ belengas seperti selalu.
            “Kau kena sampuk jin eh, Haikal?” Jali mencelah sambil tertawa besar. Bersahutan hilai tawa tiga sekawan itu. Songkok Haikal dicapai Jali. Dilambung-lambung tinggi songkok berwarna hitam itu. Diperlakukan persis menimbang bola.
            “Kau dari mana ni? Dua hari kau tak datang sini, kau buat apa hah sebenarnya?” Hasnol mula tanya soalan. Lagak penyiasat pula. Dia duduk di sebelah Haikal yang senyap dari tadi. Sesekali mimik wajah Haikal nampak berkerut. Seolah-olah fikiran itu dibebani permasalahan cukup besar.
            “Aku baru balik dari masjid,” beritahu Haikal.
            Baik Hasnol, Jali dan Azli, masing-masing saling berpandangan. Azli paling tidak percaya. Lekas mendekati Haikal. Ditenung dalam-dalam wajah Haikal.
            “Kau pergi masjid?” Giliran Azli pula membangkitkan perihal kunjungan Haikal ke masjid. Ini kes pelik. Sangat pelik! Haikal itu, hendak pergi sembahyang pun payah, apatah lagi berjemaah di masjid.
            “Iyalah. Aku pergi masjid, sembahyang sana. Berjemaah.” Secara terperinci dia memberitahu.
            “Alamak! Lepas ni kita geng dengan Ustaz Haikal pulak.” Azli sengaja menganjing Haikal. Tersengih-sengih membalas lemparan pandangan Haikal padanya.
            Haikal segera merampas semula songkok miliknya daripada tangan Jali. Sakit mata melihat objek hitam itu dilambung-lambung tinggi ke udara. Bila jatuh ke tanah, Jali menguis songkok itu dengan hujung selipar.
            “Aku rasa lain tau sekarang ni.” Haikal berkata perlahan. Kotoran yang melekat pada songkok dibersihkan. Ditiup debu-debu tanah itu.
            “Tenang...” Sepatah perkataan itu meluncur laju dari bibirnya.
            “Apanya yang tenang?” soal Jali penuh kehairanan.
            “Hati.” Pendek jawapan yang diberikan.
            Hasnol nampak kurang senang mendengar pengakuan Haikal yang berlapik-lapik macam main teka-teki tetapi dia sudah mampu menangkapnya seawal Haikal memberitahu tentang persinggahan lelaki itu sebelum ke markas mereka ini.
            “Sebelum ni hati kau tak tenang ke?” Jali menyoal lagi.
            “Alah, macam mana nak tenang kalau setiap kali bertaruh, kalah aje. Bos yang selalu baham duit dia. Tu tak tenang tu. Seminggu duduk rumah macam anak dara, tak keluar duit main, tenanglah hati dia. Sekejap lagi, dapat main dan kalah pulak tu, hati tak tenang baliklah.” Azli ketawa terbahak-bahak. Bahu Haikal ditepuk kuat. Jali ikut ketawa. Hanya Hasnol yang tidak terjebak bersama Jali dan Azli.
            Azli melompat naik ke atas pondok itu. Daun terup di hujung sana diambilnya. Berkira-kira hendak bermain daun terup. Hari ini dia boleh bertaruh banyak sedikit dan berdoa agar rezeki berpihak kepadanya hari ini. Asyik-asyik Hasnol yang makan duit mereka, mana boleh jadi. Jali turut naik ke atas pondok. Duduk gaya samseng. Melirik ke arah Hasnol yang bersandar di tiang uzur dan Haikal yang tidak bergerak langsung.
            “Hoi! Jomlah main,” ajak Jali. Beberapa keping wang kertas dikeluarkan dari poket.
            Hasnol mengengsot merapati Jali dan Azli. Cuma Haikal masih tercatuk di situ.
            “Kau nak main tak?” Hasnol bertanya.
            Haikal tidak menjawab.
            “Kau tak ada duit nak bertaruh? Tak apa. Aku boleh kasi pinjam. Nah!” Hasnol menghulur beberapa keping wang kertas lima puluh ringgit kepada Haikal. Haikal tidak mengambilnya malah dia lekas berdiri.
            Hasnol terkebil-kebil memerhatikan tingkah pelik Haikal.
            “Aku tak mahu main.” Haikal menegaskan.
            Jali dan Azli terkejut bukan kepalang.
            “Kau takut kalah? Hah, kali ni aku buat-buat kalah, kasi korang chance menang. Amacam?” Hasnol membuat tawaran. Jali dan Azli mengangguk laju bersetuju.
            Haikal menggeleng kepala. Tidak ada niat atau keinginan untuk membazirkan duitnya ke arah perjudian yang sememangnya haram itu.
            “Aku tak rasa nak main. Kau orang mainlah. Aku balik dulu.”
            Tercengang Jali dan Azli dibuatnya. Tidak berkelip mata mereka berdua memandang Haikal yang mendekati motosikal yang diparkir di bahu jalan.
            “Betul-betul jadi ustaz ke apa tu?” Jali mencuit Azli.
            “Entah.” Azli menggaru kepala. “Nol, dia tu sakit ke apa? Selalu dia yang paling teruja bila bab taruh duit ni. Ni apehal lain jadinya ni?”
            Hasnol merengus kurang senang.
            “Datang nak tunjuk baik ke?” Meledak tawa Jali. Dia cukup yakin, esok atau lusa Haikal pasti akan datang kepada mereka dan kembali menyertai mereka di pondok usang ini.

KETENANGAN itu tidak pernah melewati hatinya selama ini. Terlalu damai sehingga dia rasa terawang-awang. Kali pertama dia pijak sejadah, pasang niat solat, angkat takbir, hatinya diusik perasaan asing. Sewaktu kecil, arwah abahnya mengajarnya bersolat. Ajar dia mengaji Al-Quran. Cumanya, bila meningkat remaja, dia terikut-ikut tingkah budak nakal. Ponteng sekolah, mencuri sehingga hampir-hampir dibuang sekolah. Di kampung pula, dia kawan dengan Hasnol, Jali dan Azli. Jali dan Azli sebaya dengan umurnya. Hasnol pula lebih tua dari mereka. Jadinya Hasnol lebih dihormati. Konon pangkat abang. Apa sahaja yang disuruh Hasnol, mereka ikut. Dalam menonong ikut cakap Hasnol, sesekali dia membantah juga.
            Keikhlasan itu membawa ketenangan yang dirasai kini. Sebelum ini, dia solat demi elak bebelan Kamsiah. Dia solat sekadar bergerak tubuh badan. Bacaan entah ke mana. Lintang-pukang. Mengaji? Jangan harap! Naskhah Al-Quran itu tidak berusik sudah berbelas-belas tahun lamanya. Sampai tumbuh kulat, barangkali.
            Sejujurnya, perlakuan dia sebelum ini dipengaruhi oleh niat hati yang ingin Kamsiah bersetuju dengan kehendaknya. Dia ingin mengahwini Humairah. Dia percaya, Kamsiah tidak akan beri peluang itu kepadanya jika dia tidak berubah. Maka dia ambil langkah pertama. Langkah yang dirasakan cukup besar.
            Barangkali, langkah itu suatu anugerah buatnya. Dia didatangi rasa yang sangat halus. Sukar diungkap dengan kata-kata. Indahnya perasaan itu, hanya Allah yang tahu. Untuk pertama kalinya, dia mengalun suara, membasahi lidah dengan kalimah-kalimah suci. Memelikkan! Perlakuan pura-pura yang mengandungi hasrat disebaliknya telah menterbalikkan hati sendiri.
            Haikal tidak sedar, menungannya yang panjang itu menggamit perhatian Kamsiah. Kamisah yang elok-elok duduk dapur, menyediakan minum petang buat mereka anak beranak, nampak sahaja Haikal duduk bermenung di atas tangga terus melempar pandang ke arah anak bujangnya. Terkedek-kedek Kamsiah mengatur kaki mendekati Haikal.
            “Apa yang kau menungkan tu, Kal?” Kamsiah menegur, seraya menepuk bahu Haikal.
            Haikal terperanjat. Angkat kepala, menoleh ke arah Kamsiah yang tersenyum ke arahnya. Dia menggeleng perlahan. Menungannya menghilang serta-merta. Bisikan-bisikan halus itu juga berterbangan.
            “Mak, aku fikir, aku nak tolong kerjakan kebun kelapa sawit arwah abah tu.”
            Kamsiah terkebil-kebil.
            “Daripada upah orang, ada baiknya aku uruskan kebun tu. Sekurang-kurangnya dapat kurangkan pengeluaran duit upah. Lebih banyak rezeki kita dapat, mak,” kata Haikal lagi.
            “Betul ke kamu ni, Haikal?” Duga Kamsiah.
            Haikal mengangguk laju. “Betul mak. Lagipun, aku bukannya ada buat apa-apa.”
            “Bagus jugak niat kau tu.” Kamsiah menyokong. Bersinar-sinar matanya tatkala mendengar Haikal berkata sedemikian. Serasa di depannya ini bukan Haikal.
            “Sejuk hati mak tengok kau sekarang ni, Haikal.” Kamsiah berkata seraya tersenyum senang hati.
            Haikal tidak membalas pun bicara Kamsiah, sebaliknya dia menghunus pandangan mata ke depan sana. Memerhati apa yang ada.
            “Dahlah. Mak nak siapkan minum petang. Sekejap lagi pergi dapur. Kita makan sama,” ujar Kamsiah lagi, dan berlalu meninggalkan Haikal dalam senyuman yang tidak mampu disembunyikan lagi. Perubahan Haikal sangat jelas di matanya. Kalau sebelum ini dia berasa sangsi, sekarang tidak lagi. Naluri kuat mengatakan bahawa Haikal benar-benar ikhlas berubah. Meskipun perubahan dalam masa seminggu itu sangatlah drastik, namun dia percaya akan kuasa-Nya. Pintu hati Haikal telah menerima hidayah itu melalui celah-celahan yang kian terbuka luas. Doanya semoga Haikal terus berpegang teguh kepada tali itu.

HASNOL mengepal buku limanya. Tunggu masa hendak layangkan tumbukan padu itu ke muka Haikal. Sakit hati jadinya. Perlukah Haikal berlagak bagai hero, menghalang usikan dia kepada Humairah? Haikal yang berdiri di depan matanya ini bukan Haikal yang pernah disenanginya. Haikal ini langsung berubah. Sedikit masa sebelum ini, Haikal datang menemui mereka di markas tempat mereka lepak bersama. Datangnya bersama aura yang memelikkan. Selepas itu, pergi begitu sahaja. Kali ini Haikal muncul lagi.
            “Ara, pergi balik,” suruh Haikal. Sedikit pun tidak memandang ke arah Humairah sedangkan sebelum ini, dia pantang nampak Humairah. Terus dijejaki langkah gadis itu.
            Humairah berpusing ke belakang. Dia mahu segera pergi tetapi di belakangnya ada Jali dan Azli yang menghalang laluannya. Humairah jadi takut melihat Hasnol yang merenungnya dengan tajam .
            “Kau kenapa? Aku usik main-main aje. Bukannya aku nak rogol dia pun,” seloroh Hasnol. Masih mampu menyembunyikan amarah yang berbungkus rapi dalam hati.
            “Kau ke tepi!” Haikal menolak tubuh Jali sehingga lelaki itu jatuh terduduk atas tanah. Azli berundur ke belakang. Haikal tidak pernah berkelakuan begini.
            Hasnol memandang Haikal. Terhunus kemarahan yang kian memuncak.
            Bila laluan itu tidak punya halangan lagi, Humairah memanjangkan langkah. Meninggalkan manusia-manusia itu. Sekilas dia berpaling ke belakang. Memerhatikan Haikal yang semakin ketara perubahannya.
            “Jangan usik Ara lagi,” tegas Haikal.
            Hasnol mencekak pinggang. Sebelah tangan meraup rambut yang kusut.
            “Apa kau cakap?” Hasnol menyoal meski dia mampu mendengar bicara Haikal dengan jelas tadi.
            Haikal tarik nafas. “Jangan ganggu Ara lagi.” Kali ini ketegasan Haikal beransur hilang. Bila dia lihat Humairah tadi, langsung dia berkejar menghampiri gadis itu. Menolak Hasnol yang cuba menyentuh Humairah. Teringat perbuatannya sebelum ini. Berperangai seperti Hasnol dan lain-lain.
            “Eh, aku nak tanya kau sikitlah. Kau ni dah kenapa tiba-tiba jadi malaikat? Sebelum ni kau pun kacau-kacau Humairah tu, aku tak kecoh pun nak halang-halang. Ni, bila aku nak usik sikit, kau marah. Apasal?” Hasnol menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
            Haikal tidak menjawab. Sekadar melempar pandang ke arah Hasnol yang naik tegang mukanya.
            “Aku... aku nak berubah,” sahut Haikal.
            Serentak dengan itu, ketawa Hasnol dan yang lain-lain saling bersahutan.Haikal sedikit pun tidak ambil peduli meski dia ditertawakan.
            “Apa kau cakap? Nak berubah?” Hasnol bersuara sumbang.
            “Hei kawan, mamat ni nak berubahlah konon!” tempelak Hasnol. Jali dan Azli ketawa lagi.
            “Kau dengar sini, dalam hati kau tu ada setompok kehitaman yang tak akan hilang sampai bila-bila. Kau cuci bersih mana pun, tompok hitam tu akan tetap menghuni hati kau!” Hasnol mencengkam baju Haikal.
            Haikal menggeleng kepala. Dia tahu, tompok hitam itu memang wujud di hati sendiri tetapi dia juga sedar, dia mampu menghapuskan kewujudan tompok hitam itu. Hasnol bukan sesiapa yang hendak memberi amaran seperti itu.
            Hasnol menggigit bibir apabila Haikal bertindak mendiamkan diri dan langsung pergi meninggalkan mereka di situ. Merasakan diri dipijak-pijak oleh Haikal yang berperangai pelik sebegitu. Haikal bagai dirasuk hantu. Berubah dan tidak sama seperti dulu. Apakah perubahan Haikal mengandungi sesuatu? Atau hendak mengambil hati Humairah yang satu? Hasnol mendengus marah memikirkan dia dan Haikal sudah tidak sebulu.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Sakit 'otak-blur-tak-boleh-menulis' dah kembali menyerang aku. Hadap laa skrin laptop tu berejam-jam, sampai nak tembus berlubang, masih tak mampu taip pun. Apekah?! -..-" 

5 comments:

Siti Mahizan ( Ayra Zahra ) said...

ecece..Haikal dah berubah ..:D

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ayra Zahra

Ohhh yeahhh. Haikal baik dahhh. Sekelip mata, tapi tak mustahil kan :)

baby mio said...

saya suka haikal.

Ruunna Qizbal said...

dah insaf..

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

:)


@Ruunna Qizbal

ye, bagi Haikal jadi baik sekelip mata teehee