Friday, May 10, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 11.

Assalamualaikum.








"...I will not leave anything Allah's Messenger did, except that I will also do it; for I fear that if I were to leave any of his commands and ways I would deviate..." -Abu Bakar As-Siddiq









Bab 11
ROSNAH menyelak langsir bilik Humairah. Lama dia berdiri di muka pintu sambil memerhatikan Humairah yang duduk berteleku di atas sejadah. Merdu suara Humairah mengalun bacaan ayat suci Al-Quran. Sehingga Rosnah yang mendengar, dijentik perasaan syahdu yang datang secara tiba-tiba. Rosnah terus memerhati sehinggalah Humairah sendiri menyedari kemunculan neneknya. Humairah memberhentikan bacaan. Dia mengucup naskhah Al-Quran itu lalu diletakkan di atas sebuah meja kecil di sisi katil. Humairah pamer senyum ketika bertemu pandang dengan Rosnah yang berjalan perlahan menghampirinya. Rosnah labuh duduk di sebelah Humairah yang masih lengkap bertelekung.
            “Nenek...” Humairah bersuara lembut. Disentuh tangan Rosnah. Tangan tua yang sudah menampakkan urat-urat berselirat itulah yang telah membesarkan dia. Tangan itulah yang telah bersusah-payah mencari rezeki untuk dirinya. Humairah membawa tangan tua itu ke pipinya.
            “Ara.” Rosnah menyeru nama cucu kesayangannya. Renungan itu terarah ke raut wajah mulus milik Humairah.
            Humairah tersenyum manis. Dia memeluk Rosnah dengan erat.
            “Maafkan  nenek,” kata Rosnah membuat Humairah tersentak. Acap kali Rosnah mengucap kata maaf yang mana dia sendiri tidak nampak di mana kekhilafan neneknya itu.
            Humairah meleraikan pelukan. Memandang ke arah Rosnah dengan kerutan jelas terlukis di dahinya.
            “Kalau bukan kerana Kamarul, kalau bukan kerana kita termakan budi, tentu Ara tak perlu melalui semua ni,” kata Rosnah lagi.
            Terkebil-kebil Humairah memerhatikan Rosnah tanpa kata. Sudah lama nama Kamarul tidak meniti bibir neneknya. Humairah tahu, Rosnah terlalu kecewa dengan tingkah anak bongsunya itu. Sanggup menggadaikan tanah mereka demi kepentingan sendiri. Humairah cukup marah dengan tindakan tidak cukup pandai bapa saudaranya itu.
            “Ara boleh tolak kalau Ara tak mahu,” tutur Rosnah. Tersekat-sekat suaranya. Hatinya bagai dihimpit sehingga terasa sukar untuk bernafas.
            Tergeleng-geleng kepala Humairah. Keputusannya sudah bulat. Ya, tidak dinafikan, keputusan itu sebenarnya dipengaruhi oleh budi yang ditabur kepada mereka dua beranak, tetapi keputusan itu dirasakan cukup wajar walau tidak pernah terlintas di hati sanubari sendiri bahawa dia akan menerima pinangan dari keluarga Haikal. Bagai ada kuasa yang melembutkan hatinya untuk menerima pinangan Haikal. Saat itu dia terlihat senyuman manis Kamsiah. Dan ketika itu juga dia nampak wajah sayu Rosnah.
            “Betul Ara tak kisah kahwin dengan Haikal?” aju Rosnah. Terdetik curiga di hati kecilnya. Dia enggan menggadaikan masa depan dan kebahagiaan Humairah.
            “Betul nek. Ara akan kahwin dengan Haikal,” ujar Humairah meyakinkan.
            Rosnah menghela nafas panjang., Memberat di hujungnya. Dia tarik Humairah ke dalam pelukan. Terasa diri sedang menggadaikan Humairah demi melunaskan hutang budi itu.
            “Kenapa hati nenek tak tenang, Ara? Bila Ara ambil keputusan terima pinangan Kamsiah untuk Haikal tu, perasaan nenek tak tenteram. Bagai ada sesuatu yang menghalang nenek daripada merestui perkahwinan yang bakal Ara tempuhi,” tutur Rosnah. Menyampaikan kegelisahan hatinya. Ditatap wajah Humiarah. Direnung dalam-dalam.
            Berkerut dahi Humairah. “Nenek...” Humairah kembali memeluk Rosnah. Selesa berada dalam dakapan neneknya.
            “Ara dah pilih jalan ni, nek. Mungkin memang dah tertulis Ara akan menyusuri kehidupan begini. Nenek sendiri pernah kata, setiap yang berlaku di muka bumi ini, kebetulan tidak pernah berlaku. Semua dirancang oleh Allah.” Humairah mencalit senyuman seikhlas mungkin. Dia tidak ingin perasaan Rosnah dihinggapi sebarang keraguan lagi. Dia ingin Rosnah berasa senang hati meski hati sendiri beritma tidak menentu bila memikirkan keputusan sendiri menerima Haikal sebagai bakal suami.
            Rosnah mengusap lembut bahu Humairah. Dikucup pipi Humairah penuh kasih-sayang.
            “Ara rehatlah. Esok kerja, kan?” Rosnah bangkit.
            Humairah ikut berdiri.
            “Nenek pun rehatlah. Nenek tu baru aje nak sihat,” kata Humairah, mengiringi langkah Rosnah menuju ke luar biliknya.
            Rosnah mengangguk, disulami senyuman halus. Pintu ditutup rapat.
            Humairah menanggalkan telekung dari tubuh, lalu disidai di sampiran dawai di dinding. Kemudian dia kembali duduk berteleku di atas lantai. Memeluk ke dua belah kepala lutut sendiri sambil kepala ligat memikirkan keputusan muktamad yang telah diambil.
            Pasti Haikal ketawa suka hati! Bukankah lelaki itu memang bersungguh mahu mengahwini dia meski dia puas menolak dan mengatakan tidak. Tetapi... tunggu sebentar! Dia sudah lama tidak nampak bayang Haikal. Haikal tidak lagi mengganggunya meski mereka berselisih pandang. Lelaki itu berubah. Malah dia sering ternampak Haikal menyertai orang-orang kampung berjemaah di masjid.
            Apa yang menyebabkan Haikal berubah? Adakah perubahan itu sesuatu yang nyata atau sekadar mahu menjerat dia? Humairah memicit kepala.
            Haikal...
            Dia membenci Haikal kerana sikap tidak tahu malu lelaki itu. Dia membenci Haikal kerana sikap buruk lelaki itu. Haikal tidak pernah berlaku baik di depannya. Sering mengusik dengan usikan yang mengundang amarahnya. Malah Haikal berani-berani mahu menyentuh dia. Maka pernah terjadi di mana dia menampar Haikal di depan kawan-kawannya. Dia tahu Haikal bengang tetapi bukan salah dia kerana bertindak begitu. Haikal yang memaksa dia.
            Ya Allah, mudah-mudahan perubahan Haikal itu sesuatu yang nyata, bukan lakonan semata. Dia telah memperjudikan hidupnya demi menyenangkan hati wanita yang telah banyak membantu dia dan nenek. Humairah meraup mukanya. Dia ikhlaskan hati. Semoga dia bertemu kebahagiaan itu.
            Humairah memasukkan tangannya ke bawah tilam. Teraba-raba dia mencari sesuatu. Sehelai kertas berlipat-lipat itu diambil dan diperhati lama. Surat itu dari Shahrul. Perlahan-lahan, dia mengoyakkan surat tersebut menjadi cebisan-cebisan halus. Dia tidak akan simpan surat ini lagi. Selepas ini, Shahrul harus dibuangnya daripada hati sendiri. Perasaan kecil itu harus dilupuskan kerana selepas ini, Haikal yang bakal memiliki seluruh jiwa dan raganya.
            Humairah menekur lantai.
            Dia redha.

TERPINGA-PINGA Kamsiah dibuatnya bila Haikal bagai terperanjat saat diberitahu tentang risikan yang telah dihantarnya untuk meminang Humairah. Aksi Haikal yang tidak senang duduk, ke hulu hilir sambil mencekak pinggang itu tidak difahaminya. Bukankah sebelum ini Haikal yang bersungguh-sungguh mahu mengahwini Humairah? Sepatutnya Haikal bersorak gembira, meloncat-loncat kegirangan bila mana keinginan yang satu itu tercapai.
            “Kenapa mak tak beritahu aku dulu?” Haikal mengumam.
            Naik tinggi kening Kamsiah.
            “Eh, sebelum ni kau bukan main nak kahwin dengan Ara tu. Sebab itulah mak pinangkan dia untuk kau,” jawab Kamsiah.
            Haikal menguak anak rambut sehingga ke ubun-ubun kepala. Resah gelisah hatinya.
            “Itu dulu mak. Sekarang dah lain dah.” Haikal membalas.
            Makinlah Kamsiah terkejut mendengar kata-kata yang dilempar Haikal.
            “Kenapa? Sekarang kau dah tak suka Ara? Kau suka orang lain?” Bertalu-talu soalan diaju kepada Haikal. Geram pula jadinya. Waktu Haikal bersungguh hendakkan Humairah, dia membantah. Bila dia yang bersungguh pula pinangkan Humairah, Haikal pula buat hal.
            “Bukan...” Haikal menjawab lemah.
            “Habis tu?” Kamsiah menanti Haikal buka mulut.
            Haikal labuhkan duduknya. Riak wajahnya menzahirkan perasaan yang bergelora dalam sana.
            “Mak, Ara tu tak pernah suka aku, mak. Dia benci aku.” Haikal berkata.
            “Kalau dia tak suka, dia tak akan terima kau, Kal.”
            Haikal menggeleng kepala, tidak bersetuju dengan kenyataan Kamsiah. Dia yang menabur kata jahat supaya Humairah menunduk ikut cakap dia. Dia ungkit segala kebaikanKamsiah depan Humairah agar gadis itu sedar diri. Dia yakin. Humairah menerima dia kerana terpaksa!
            “Dia terima pinangan tu sebab terpaksa. Sebab budi baik yang emak hulur pada Ara dan Nek Rosnah tu.” Haikal berterus-terang.
            Kamsiah terdiam tanpa sebarang kata. Hanya matanya sahaja yang bergerak-gerak memerhatikan Haikal.
            “Aku jahat pada dia, mak. Selalu ganggu dia. Malah aku pernah menerima tamparan dari Ara sebab aku cuba sentuh dia.” Terkumat-kamit mulut Haikal menceritakan sikap buruknya terhadap Humairah.
            “Mak nak tahu sesuatu? Dulu aku berkeras mahu mak pinangkan Ara untuk aku sebab aku sakit hati pada Ara. Dia malukan aku depan kawan-kawan aku. Dia benci aku. Sebab tu aku nak kahwin dengan dia. Biar dia rasa hidup dengan manusia yang dibencinya,” jelas Haikal tanpa berselindung sedikit pun.
            Tergeleng-geleng kepala Kamsiah. Begitu jauh sekali niat Haikal. Dia hanya mampu mengucap dalam hati. Mujurlah dia tidak ikut kehendak Haikal sewaktu zaman kegelapan Haikal dahulu. Andai sahaja dia angguk setuju, hidup Humairah diperjudikan sepenuhnya.
            “Kau suka Ara?” Giliran Kamsiah pula menyoal tentang hati dan perasaan anak tunggalnya itu.
            Lama Haikal mendiamkan diri sebelum kepala itu terangguk-angguk perlahan.
            Kamsiah sembunyi senyum. Itu yang penting. Dia hendak tahu perasaan Haikal terhadap Humairah.
            “Aku tak layak untuk Ara tu, mak. Ara budak baik. Aku ni? Siapa aku ni, mak? Aku jahat.” Haikal merintih mengenangkan sikap sebelum ini. Tidak kenal halal haram. Tidak tahu dosa pahala.
            Kamsiah menghampiri Haikal. Ditepuk-tepuk belakang tubuh Haikal seolah-olah memujuk.
            “Haikal, mak percaya hati manusia boleh berubah. Macam mana kau boleh berubah sekelip mata, macam itu juga Humairah. Dia dah bulatkan hati dia untuk terima kau, Haikal. Jadi, kau jangan persiakan dia. Mak sayang Ara tu macam anak mak sendiri. Sebab tu mak pinangkan Ara untuk kau bila mak yakin kau mampu jaga Ara macam mana Rosnah jaga dia.” Kamsiah berkata lembut. Dipandang waut wajah Haikal yang mendongak ke arahnya.
            “Ikhlas ke Ara terima aku, mak?” Haikal masih ragu-ragu. Kepincangan hati sendiri tidak dapat dinafikan setelah apa yang dia hamburkan di depan Humairah tidak lama dulu.
            “Alangkan sungai pun mampu berubah bentuknya, apatah lagi hati manusia, Kal. Kalau betul kau ikhlas berubah, kau ikhlas menyayangi Ara, Insya-Allah, rasa yang sama juga menghuni hati dia.”
            Haikal menunduk merenung lantai beralaskan tikar getah warna biru gelap.

MAJLIS pertunangan antara Haikal dan Humairah diadakan serba sederhana. Saudara-mara terdekat keluarga di pihak Haikal dijemput oleh Kamsiah untuk memeriahkan majlis yang berlangsung di rumah Rosnah.
            Humairah berhias sederhana sahaja. Hanya mengenakan sepasang kurung moden berwarna putih susu yang dihadiahkan oleh Kamsiah beberapa hari sebelum majlis berlangsung. Selendang turut digayakan ringkas. Solekan nipis dicalitkan ke muka sendiri. Semua dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa pun.
            Haikal tidak datang pun bertandang ke rumah Humairah selepas majlis sarung cincin. Dia bersembunyi disebalik pokok besar yang berada tidak jauh dari rumah Humairah. Mencuri-curi pandang ke arah Humairah yang dilihatnya dari bukaan tingkap yang terbuka luas itu.
            Haikal leka memerhati sehinggalah dia tersedar Humairah turut melempar pandang ke arahnya dengan wajah berkerut. Terbejat tingkahnya. Dia beristigfar panjang. Apa yang sedang dilakukannya? Mengintai anak gadis orang! Terburu-buru buka langkah meninggalkan kediaman Humairah dan menuju ke rumah sendiri. Jadi malu dengan perbuatan dia tadi.
            “Ara, tengok apa tu?” Kamsiah menegur.
            Humairah tersentak. Lekas paling muka pandang bakal ibu mentuanya. Segaris senyuman terlukis di bibir yang dibasahi lipstick berwarna merah jambu lembut.
            “Ara nampak cantik sangat, “ puji Kamsiah. Tidak lepas mata itu memerhatikan Humairah. Terispu-sipu Humairah dibuatnya. Rendah hati menerima pujian dari Kamsiah.
            “Sekejap lagi mak nak balik. Tu, semua tu biar orang catering yang angkut.” Terjuih-juih mulut Kamsiah menunjuk ke arah beberapa orang pekerja katering yang ditempahnya, sedang mengemas pinggan mangkuk dan saki-baki makanan lalu dibawa masuk ke dalam van yang di parkir di depan rumah.
            Humairah mengangguk halus. Untuk kesekian kalinya, dia bagai terikat dengan budi dan kebaikan Kamsiah. Jamuan makan ditanggung sepenuhnya oleh Kamsiah. Malah Kamsiah turut bermurah hati beri sejumlah wang untuk perbelanjaan pertunangan dia. Dia pula jadi malu. Terlalu banyak pemberian Kamsiah kepada dia dan nenek sehingga serasa tidak mampu dibalas oleh mereka nanti.
            “Terima kasih makcik,” ucap Humairah. Buat masa ini, hanya pertuturan terima kasih sahaja yang mampu dia beri.
            Kamsiah seakan memahami ucapan terima kasih itu, lantas mengangguk perlahan.
            “Mak nak balik ni,” kata Kamsiah. Lancar lidahnya menggelar diri sendiri ‘mak’ kepada Humairah sedang Humairah masih mengekalkan panggilan makcik kepadanya.
            Humairah pantas menyalami tangan Kamsiah dan menghantar kepergian Kamsiah sehingga ke pintu utama. Lenggok wanita itu diperhati sehingga hilang dari pandangan mata. Sesudah itu, dia meluru ke dalam bilik. Menyalin pakaian dan kembali ke ruang dapur, membantu Rosnah mencuci pinggan mangkuk yang digunakan tadi. Sambil-sambil mengemas, dua beranak itu berkongsi cerita. Sesekali terdengar gelak-tawa Humairah bila Rosnah mengusiknya.

PENUH debar, Haikal menarik sehelai kertas kecil yang diselit di bawah lipatan kemeja yang dijadikan barang hantaran daripada Humairah kepadanya. Tadi, sedang dia ralit membelek barang-barang pemberian tunangnya itu, dia ternampak kertas kecil yang berlipat segi empat itu di celah-celah lipatan kemeja. Hairan sebentar. Bila memikirkan kertas itu datang dari Humairah, terus dada berdetak kencang.
            Naik menggigil tangannya. Peluh-peluh halus membasahi dahi. Macam duduk dalam ketuhar! Haikal tarik nafas panjang sebelum membuka lipatan kertas itu. Ekor mata menyoroti tulisan tangan yang kemas tercanting di atas kertas itu. Satu per satu perkataan yang ditulis itu dibacanya penuh tumpuan.

            Haikal, andai memang sudah tertulis bahawa awaklah lelaki yang akan menjadi imam saya, saya ikhlas terima awak.

            Melantun-lantun tinggi jantung Haikal. Berulang-ulang kali dia baca ayat yang ditulis Humairah kepadanya. Humairah ikhlas menerima dia? Spontan, Haikal meraup mukanya dengan kedua belan tapak tangannya.
            “Apa kau buat tu Haikal? Tak jemu ke belek dari siang tadi?” Kamsiah datang menegur.
            Hampir-hampir terlepas kertas itu dari tangan Haikal.
            “Ya Allah! Terkejut aku mak,” gerutu Haikal.
            Kamsiah ketawa mengekek.
            “Sudah-sudahlah tu hadap barang-barang tu. Nanti, enam bulan dari sekarang, kau boleh hadap orangnya depan mata sendiri.” Kamsiah sempat mengusik sebelum meninggalkan Haikal di dalam bilik itu.
            Haikal menggaru kepala yang tidak gatal. Tiba-tiba teringat tingkahnya lewat petang tadi. Curi-curi pandang Humairah yang kelihatan sungguh ayu. Kamsiah ada berpesan kepadanya, menyuruh dia datang selepas majlis sarung cincin, tetapi dia enggan. Malu sebenarnya. Hah, sekarang jadi lebih malu. Humairah yang menangkap dia curi-curi intai gadis itu.

JALI dan Azli memandang Hasnol. Lelaki itu tidak henti-henti menyumpah Haikal dalam bahasa yang sungguh kasar. Pengkhabaran dari mereka tentang majlis pertunangan antara Haikal dan Humairah memutikkan kemarahan Hasnol. Dia rasa ditipu. Sah, Haikal sengaja mengubah diri semata-mata hendak mendapatkan Humairah! Apa ada pada Haikal sehingga Humairah tunduk ikut kehendak Haikal sedang pinangan dia ditolak mentah-mentah, walhal mereka berdua tiada beza pun. Hasnol mengepal penumbuk.
            “Humairah tu bakal jadi hak Haikal. Nampaknya kau kena cari perempuan lainlah,” kata Jali di tengah-tengah kesunyian malam itu. Azli sudah menoleh ke arahnya, bagai memberi isyarat bahawa kata-kata itu bakal menyemarakkan lagi amarah yang sedia menghuni diri Hasnol.
            Benar seperti yang dibayangkan Azli. Hasnol memang naik gila. Hasnol berpaling, lalu merentap baju Jali dengan kasar. Jali kegerunan. Dia tidak pernah nampak Hasnol sebengis ini. Azli pula sudah menyembunyikan diri di ceruk pondok usang tersebut.
            “Apa kau cakap tadi? Humairah milik Haikal?” Mencerlung mata Hasnol merenungi Jali.
            Jali mengangguk. Semakin kuat cengkaman itu.
            “Humairah memang akan menjadi Haikal, tapi kau jangan lupa. Haikal pernah kata dia tak kisah berkongsi. Aku akan tuntut hak aku atas Humairah.” Hasnol ketawa terdekah-dekah. Cengkaman kuat pada baju Jali dilepaskan.
            “Kau jangan buat gila Nol! Takkan kau nak...”
            “Ya!” Hasnol menyahut bagai mengiyakan apa yang terdetik di fikiran Jali waktu itu.
            Jali dan Azli saling bertempur pandang. Kedua-duanya mengerutkan dahi.
            “Aku dia tolak, tapi kenapa Haikal dia terima?” Hasnol memuntahkan persoalan itu. Persoalan yang membuat dia jadi sakit hati kepada Humairah. Dia berusaha memikat Humairah tetapi tidak pernah berjaya. Malah Humairah sering marah-marah dan dia pernah makan pernampar gadis itu.
            Hasnol mencekak pinggang. Kencang pernafasannya.
            “Humairah, sebelum kau bermimpi hidup dengan orang lain, kau akan mimpikan aku dulu!” Hasnol berkata tegas, berserta himpunan amarah dan sakit hati yang menjalar ke segenap urat nadi dalam tubuh. Racun hitam itu menjangkiti hati hanya kerana Humairah menolak pinangan dia, lantas menerima Haikal, yang menjadi seterunya dalam diam.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Dua bulan lagi dah nak masuk bulan Ramadan. Semoga diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan mulia itu. Insya-Allah :) Lepas tu raya yeayyy. Ehem! Aku kalau bab raya, memang sakan semangatnya. Haha. Bulan-bulan tak raya pun aku pulun lagu raya. Fefeeling duduk di perantauan. Oke, bai! #np: Dari jauh kupohon ampun - Sudirman.

4 comments:

Ruunna Qizbal said...

minta2 x jdi apa lah kat humairah..
hehe.. jom main bnga apiiii, x sbr nak raya ooo

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ruunna Qizbal

Hai :) Kan, tak sabar nak raye main bunga api buat biskut bagai.Hahaha. Over tau! Hihi :) BTW, thanks drop sini :D

Unknown said...

x sukalah dng hasnol tu jahat bila lah berubah.

Unknown said...

x sukalah dng hasnol tu jahat bila lah berubah.