Wednesday, May 15, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab12.

Assalamualaikum.








"...Stay close to anything that reminds you of Allah..."










Bab 12
KAMSIAH mulai sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan Haikal dan Humairah yang bakal berlangsung tiga bulan lagi. Dari sekecil-kecil hal, sehinggalah perkara yang paling besar, Kamsiah urus sendiri, dibantu oleh Haikal. Mereka telah sepakat hendak mengadakan majlis itu di dewan raya kampung sahaja. Dua majlis berlangsung serentak- majlis pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Jimat belanja. Rosnah dan Humairah angguk kepala, menuruti segala perancangan Kamsiah yang difikirkan lebih arif dalam mengurus majlis itu nanti.
            Pagi itu, Humairah mengikut Kamsiah ke bandar meski kesihatan diri tidak mengizinkan. Mereka perlu memilih persalinan baju untuk majlis itu nanti. Kamsiah memberi cadangan agar menggunakan khidmat andaman anak kepada kawan yang dikenalinya. Humairah angguk kepala juga. Baik bagi Kamsiah, maka baik juga bagi dia. Haikal ikut serta. Dari awal perjalanan menaiki kereta yang dipandu Haikal, hanya Kamsiah yang sibuk berceloteh. Sesekali Humairah menyampuk bila ditanya. Haikal diam sepanjang masa. Cuma mata itu mencuri-curi pandang si tunang yang duduk di tempat duduk belakang. Bila Humairah menyedari perbuatannya, Haikal lekas kembali fokuskan mata ke jalan raya.
            Meliar mata Humairah melewati persekitaran dalam butik tersebut. Sesekali ekor matanya tertancap ke arah seorang lelaki berketinggian sederhana yang melayani bicara Kamsiah. Yakin lelaki itu pemilik butik yang dikunjungi mereka.
            Sedang asyik membelek beberapa helai persalinan pengantun yang tergantung itu, Humairah merasakan kepala yang sedia berat itu semakin memberat. Bagai ada batu menindih. Aduh! Humairah merintih dalam hati. Berkerut-kerut dahinya tahan sakit yang menyerang tiba-tiba.
            “Kenapa ni?” Haikal datang menghampiri lalu menyoal Humairah. Humairah geleng kepala. Dia berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya.
            “Ara tak sihat?” soal Haikal lagi.
            Humairah tetap menggeleng kepala lantas pamer senyum.
            Haikal terus memanggil Kamsiah. Terkedek-kedek wanita itu mendekati anak dan bakal menantunya.
            “Ada apa, Kal?” aju Kamsiah. Kemudian dia melirik ke arah Humairah. Naik bercantum kening wanita itu. “Ara!” Berdecit suara Kamsiah. Haizat, pemilik butik itu pantas berlari mendapatkan Kamsiah yang terduduk di atas lantai. Humairah jatuh terjelepuk di situ.
            “Ya Allah, Ara demam ni, Haikal!” Kamsiah menunjuk wajah resah. Tapak tangan belah kanan masih melekat di dahi Humairah yang separa sedar itu.
            “Izat, makcik datang lain kalilah. Bakal pengantin tak sihat pulak,” tutur Kamsiah.
            Haizat mengangguk. “Tak apalah makcik. Majlis lambat lagikan. Lagipun nak fitting baju aje. Bila-bila pun boleh.”
            “Haikal, mari tolong mak papah Ara ni.” Kamsiah menyuruh.
            Haikal patuh. Dia membantu Kamsiah memapah Humairah sampai ke kereta. Kamsiah duduk di belakang. Kepala Humairah dipangku. Pipi gadis itu diusap lembut.
            “Kita pergi klinik dululah, Kal. Bawak Ara jumpa doktor.” Kamsiah mengarahkan lagi.
            Haikal menurut. Dia menghidupkan enjin kereta. Pedal minyak ditekan menggunakan hujung kaki. Kereta menderum laju meninggalkan perkarangan Butik Sari Anggun milik Haizat.
            Sampai di rumah, Rosnah menyambut Humairah dengan kejutan. Humairah dipapah Kamsiah. Haikal mengekori di belakang. Ubat-ubatan yang diberikan doktor tadi dalam tangannya. Diserahkan ubat-ubatan itu kepada Rosnah.
            “Maaflah, Mak Nah. Saya tak jaga Ara elok-elok. Dia hampir-hampir pengsan tadi,” keluh Kamsiah. Berasak-asak perasaan bersalah menghuni jiwa bila mengingati desakan dia mengajak Humairah ke butik itu meski Humairah menolak pada mulanya. Tidak pula dia tahu Humairah tidak sihat sebenarnya.
            Rosnah sekadar ukir senyum melihat keresahan Kamsiah. Naik berkerut dahi wanita itu.
            “Saya tak apa-apa, makcik. Sakit kepala aje,” balas Humairah diiringi senyum halus.
            Kamsiah mencapai tangan Humairah. Digenggam erat.
            “Maafkan mak ye. Tadi paksa-paksa Ara ikut.” Kamsiah bersuara penuh kekesalan.
            Humairah tertawa perlahan. “Makcik janganlah macam ni. Saya baik-baik aje.” Humairah meyakinkan.
            “Kami balik dululah, Mak Nah,” tutur Kamsiah. Kepada Humairah dia berpesan, “Jaga kesihatan ya, Ara. Nanti bila Ara dah sihat, kita pergi butik tu semula.”
            Humairah mengangguk.
            Haikal tidak berkata apa pun. Dia jadi pemerhati tegar. Sedang dalam diri bergelut resah yang datang menerpa tanpa henti.

“ARA rehat di rumah aje ya.” Rosnah menyarung telekung di kepala. Bersiap-siap hendak ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat secara berjemaah. Rosnah dan Haikal sudah menunggu di luar.
            Humairah bangkit dari pembaringan. Seingatnya, dia sudah telan ubat demam yang dibekalkan oleh doktor, tetapi entah kenapa demamnya tidak pula kebah. Sakit kepala semakin menjadi-jadi.
            “Nenek jangan balik lambat tau,” ujar Humairah. Selanjur dia memeluk batang tubuh Rosnah.
            “Nenek pergi masjid, Ara. Taklah lama mana. Nanti lepas sembahyang Isyak, nenek balik. Ara rehat ya,” kata Rosnah dengan lembut.
            Humairah mengangguk. Dia capai selendang lalu dipakainya kemas menutupi kepala. Dia mengekor langkah Rosnah menuju ke pintu yang terbuka luas. Bila dia angkat muka, dia nampak Haikal. Mereka saling berbalas renungan buat seketika sebelum Haikal bertindak melarikan renungan itu ke tempat lain.
            “Dah siap, Mak Nah?” tanya Kamsiah.
            Rosnah mengangguk. Sedang dia terkial-kial menyarung selipar, dia teringat sesuatu. Terkedek-kedek dia masuk ke dalam rumah.
            “Aku terlupa nak ambil kain telekung. Tudungnya aku pakai,” omel Rosnah. Kamsiah ikut jejak Rosnah. Tinggalkah Humairah bertemankan Haikal yang membelakanginya.
            Humairah terus memerhatikan Haikal dari belakang. Seingatnya, sejak mereka ditunangkan, mereka tidak pernah duduk berbual bersama. Malah, hendak pandang muka pun susah. Humairah kulum senyum yang hinggap tiba-tiba. Haikal berubah sepenuhnya. Dari seorang lelaki yang tidak tahu malu, menjadi lelaki yang penuh adab. Dari lelaki yang tidak pernah ambil pusing tentang perihal agama, kini Haikal semakin rajin ikut Kamsiah dan Rosnah bersembahyang berjemaah bersama orang-orang kampung di masjid. Saat ini, dia sedar, hijrah seseorang itu tidak berlandaskan waktu semata. Kesedaran itu mungkin wujud dalam masa yang singkat.
            “Awak...” Humairah memanggil perlahan.
            Haikal menunduk kepala. Menekur lantai tanah. Menahan debar yang menjentik hati sendiri.
            “Nenek dah nak pergi ni.” Rosnah kelaur dari biliknya bersama bekas blastik yang diisi dengan kain telekung.
            Terbejat tingkah Humairah yang mahu berbicara sesuatu dengan Haikal. Terus dia beralih ke tepi, memberi laluan kepada Rosnah dan Kamsiah.
            “Nenek pergi dulu ya.” Rosnah berkata lagi. Sebelah tangannya mengusap pipi Humairah.
            Humairah memerhati lenggang tiga manusia itu. Berkerut dahinya bila mana ternampak Haikal berlari-lari anak ke arahnya, manakala Rosnah dan Kamsiah memaku kaki di depan sana sambil berpaling ke arah mereka.
            Haikal tarik nafas panjang. Tercungap-cungap.
            “Ara...” Turun naik nafasnya.
            Kening Humairah hampir bertaut.
            “Jaga diri.” Haikal menghulur senyum pertamanya buat Humairah.
            Humairah kaku. Matanya sahaja yang merenung Haikal.
            Beberapa ketika bertempur pandangan mata, akhirnya Humairah menguntum senyum. Senyuman itu melekat di mata Haikal yang merenungi Humairah. Saat ini Haikal terlihat lesung pipit di pipi sebelah kiri Humairah. Cantik!  
            Menyedari diri terlalu lama menatapi Humairah, Haikal kembali mendapatkan Rosnah dan Kamsiah. Rasa hendak meletup dada ketika berkata begitu kepada Humairah. Kali pertama! Tetapi bagai ada sesuatu yang merunsingkannya. Berkali-kali dia kalih kepala ke belakang. Melihat Humairah yang semakin lama semakin menjauh.
            Apa maksud disebalik keresahan ini? Begitu perlahan Haikal menapak menuju ke masjid sehingga dipanggil berkali-kali oleh emaknya supaya mempercepatkan langkah.

HUMAIRAH terbangun dari lenanya. Bunyi pintu berkeriuk itu mengetuk jendela telinga, lalu dia bingkas bangun dan mula atur langkah menuju ke luar biliknya. Sempat dia bersandar di pintu bilik, menahan kadar keberatan kepala yang agak melampau. Dia tarik nafas dalam-dalam. Fikirnya, Rosnah sudah pulang dari masjid.
            “Nenek?” Humairah memanggil. Tersembul mukanya di pintu. Memerhati ruang yang masih tidak dibayangi Rosnah.
            Humairah memanjangkan langkah. Tercari-cari kelibat Rosnah.
            “Nek?”
            Humairah menjengah ke dalam bilik Rosnah. Hairan! Rosnah tiada. Humairah garu kepala. Atau sebenarnya dia salah dengar? Humairah geleng kepala. Kemudian ketuk kepala berkali-kali. Sudah tidak dapat membezakan realiti atau fantasi. Humairah bernasur ke biliknya semula. Namun langkahnya terhenti bila terdengar bunyi sesuatu dari arah dapur. Dia berpatah balik. Terus laju ke dapur.
            “Nenek?” Bergetar hujung suara Humairah. Hatinya ditunjangi rasa seram.
            “Nenek?!” Laungan Humairah menggegarkan seisi rumah. Tiada sebarang sahutan.
            Ketika Humairah berkalih, satu lembaga sudah pun berdiri di belakangnya. Humairah terperanjat. Dia jatuh terduduk atas lantai. Membulat mata itu memandang ke arah Hasnol yang tersenyum menyeringai. Humairah mengengsot menjauhi Hasnol.
            “Humairah kusayang...” Hasnol menunduk. Lutut dipacak ke lantai. Tangannya cuba menggapai Humairah yang mulai ketakutan.
            “Kau... kau! Keluar Hasnol. Keluar!” jerkah Humairah, garang.
            Hasnol tertawa. Bukannya susah pun menyelinap masuk ke dalam rumah ini. Humairah yang membuka ruang itu kepadanya. Pintu rumah tidak dikunci. Hasnol menarik kaki Humairah. Humairah meronta. Digagahkan diri menendang Hasnol sekuat hati. Humairah bingkas bangun. Dia berlari ke pintu utama. Menggigil tangannya memulas tombol pintu yang licin jadinya tiba-tiba.
            Hasnol menerpa ke arah Humairah. Pinggang itu ditariknya ke dalam pelukan. Humairah menjerit nyaring. Dia meronta lagi. Rangkulan tangan kekar Hasnol mampu dileraikan. Humairah lekas berlari ke bilik. Belum pun sempat dia menutup pintu bilik, Hasnol pantas menolak dari luar. Humairah terpelanting. Belakang badannya terhenyak ke meja kayu. Dia mengaduh kesakitan.
            Hasnol melangkah memasuki bilik Humairah. Tajam renungannya menujah ke muka Humairah yang berkerut menahan sakit. Senyuman jahatnya masih berulit di bibir. Sebelah tangan menutup pintu dan dikuncinya. Humairah angkat muka. Dia berpeluh-peluh. Kadar pernafasannya turut tidak seimbang. Humairah memencilkan diri di penjuru bilik. Dia tidak tahu hendak lari ke mana lagi. Hasnol menjadi tabir yang sukar untuk dia lepasi.
            “Kau nak apa hah?!” tengking Humairah. Takut-takut.
            Hasnol labuh duduknya di depan Humairah. Dia menyentuh hujung kaki Humairah namun Humairah pantas menepis.
            “Aku mahukan kau, Humairah,” kata Hasnol. Suaranya kedengaran mengerikan.
            Humairah cuba mencuri peluang hendak lari tetapi Hasnol lebih tangkas menangkap tubuh kecil Humairah dan dirangkus penuh rakus.
            “Lepaskan aku!”
            Kuat rontaan itu tetapi Hasnol enggan melepaskan gadis yang kini berada dalam rangkulannya.
            “Lepaslah!” Nyaring suara Humairah.
            “Nak minta aku lepaskan kau? Mimpilah! Aku tak akan lepaskan kau, Humairah.”
            Sejurus Hasnol berkata, dia menolak tubuh Humairah jatuh ke atas katil. Humairah mengengsot menjauhi lelaki yang kini sudah dirasuk iblis. Dia bersandar ke dinding dnegan ketakutan yang amat. Dalam hati, dia hanya mampu berdoa agar Allah melindungi dia dari sebarang kejahatan manusia bertuankan syaitan.
            “Tolong lepaskan aku, Hasnol. Tolonglah.” Humiarah merayu. Deras airmata jatuh membasahi pipi.
            Hasnol ketawa kuat sehingga menaikkan bulu roma Humairah yang mendengarnya. Humairah mengengsot lagi dan kini dia terkepung di antara Hasnol dan dinding. Tingkap kayu itu pula sudah dikunci rapat. Dia tidak akan punya peluang untuk membuka tingkap tersebut dan melarikan diri. Pintu bilik pula sudah dikunci Hasnol. Humairah mati akal. Dia terus menangis sambil merayu-rayu agar Hasnol melepaskannya.
            Hanol memanjat katil. Dia menghampiri Humairah. Menyeringai senyumannya. Dari hujung rambut ke hujung kaki direnungnya. Kemudian mata itu kembali memerhati wajah Humairah yang lencun dengan airmata. Dia tersenyum lagi.
            Pipi Humairah diusap lembut. Rambut panjang berombak di hujung diciuminya penuh nafsu. Wangi sehingga menggetarkan perasaan. Humiarah yang ketakutan terus pegun dengan kedua belah tangannya memeluk kaki. Langsung tidak angkat muka padang Hasnol.
            “Tolong! Tolong!” Humairah menjerit sekuat hati dengan harapan ada sesiapa yang mendengar jeritannya dan menyelamatkan dia daripada syaitan bertopengkan manusia ini.
            Mencerlung mata Hasnol merenungi Humairah. Dengan kasar, dia menarik lengan Humairah sehingga gadis itu jatuh terjelepuk. Mukanya tersembam di atas tilam.
            “Diam!” Hasnol menekup mulut Humairah.
            Hasnol mulai bertindak kasar. Sekali lagi tubuh kecil Humairah ditolak kasar sehingga terbaring di atas tilam. Humairah mengengsot lagi. Berusaha menjauhi Hasnol yang kerasukan. Senyuman Hasnol menakutkan. Dia menjerit lagi, namun Hasnol sempat menerpa ke arahnya dia menekup semula mulutnya. Humairah meronta. Dia sesak nafas. Riwayatnya bagai berada di hujung tanduk. Dia tidak mampu melawan Hasnol. Kudratnya tidak mencukupi. Sekuat mana pun dia meronta, dia tidak akan mampu menewaskan kekuatan Hasnol.
            Hasnol tersenyum lebar. Dia berbisik ke telinga Humairah, gadis yang menjadi idaman hati sejak dulu lagi. Kemuncak amarahnya menerobos setiap urat nadi dalam tubuh bila mana Humairah menerima pinangan Haikal dan menolak pinangan dia. Adakah itu adil baginya? Tekad dalam hati, andai dia tidak dapat memiliki Humairah, dia akan pastikan bahawa dialah orang pertama yang merasmikan Humairah!
            Humairah tidak sempat bangun. Tubuhnya ditindih Hasnol. Semakin kuat dia meronta, semakin kuat cengkaman Hasnol di kedua belah tangannya. Humairah memejam mata saat Hasnol cuba mencumbuinya.
            “Kau tahu, aku sukakan kau, Ara. Tapi kau tolak aku. Kau terima Haikal. Apa kurang aku? Apa lebih dia?”
            Tangis Humiarah langsung tidak dihirau oleh Hasnol. Dalam hati cuma ingin melunaskan satu perasaan jahat yang sudah lama bertinggung di hati. Cuma sebelum ini dia masih mampu bersabar.
            “Tolonglah aku, Hasnol. Jangan apa-apakan aku.” Mengongoi tangisan Humairah namun Hasnol tiada peduli.
            “Haikal tak kisah berkongsi. Dia pernah kata begitu kepada aku. Jadi aku tuntut janji dia!”
            Humairah terpempam. Haikal?
            “Jangan!” Humairah berteriak.
            Hasnol menciumi pipi Humairah dengan rakus. Kemudian dia merentap baju tidur yang dipakai Humairah. Humairah menjerit nyaring.
            “Nenek!”

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Banyak perkara yang perlu aku belajar dalam penulisan kreatif ni. Lubang sana sini. Tulis ikut sedap hati jewww. Ah, kau menggedik dah kenapa hah?! ;) Maaf kalau penulisan aku tak menepati citarasa korang. Atau mungkin jalan cerita yang tak best. Kuikui. Happy-happy reading guys! :)

4 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lagiiii... harap ada orng dtg selamatkan humairah..

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ruunna Qizbal

Hi awak :) thanks drop comment ;')

Unknown said...

sian humaira.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

:)