"...The reward for an accepted hajj is nothing less than paradise..." - Prophet Muhammad (SAW)
Bab 9
APA hak Hasnol memarahi Shahrul yang
menghantar dia pulang tempoh hari? Abang? Bukan! Hasnol bukan sesiapa! Humairah
menggumam geram dalam hati. Tetapi sewaktu Shahrul bercerita tadi, dia diamkan
sahaja. Bila Shahrul bertanya siapa gerangan lelaki itu, dia kata kawan sekampung.
Shahrul tertawa gelihati mendengar jawapan dia. Kata Shahrul, lagak Hasnol
seperti suaminya. Siap beri amaran segala. Humairah hanya mampu geleng kepala.
Apalah yang dikehendaki Hasnol agaknya.
Humairah
memperbetulkan tudung di kepala yang dirasakan senget. Kaki diatur laju
meninggalkan simpang tiga yang dilaluinya. Dari ekor mata, dia nampak Hasnol
dan kawan-kawannya duduk di pondok buruk di pinggir kebun kelapa sawit sana.
Terdengar siulan nakal daripada tiga lelaki itu. Humairah semakin mempercepatkan
langkah. Nahas kalau Hasnol mengejar dia nanti. Dia bukan hadap sangat melayan
kutu rayau itu.
“Humairah
sayang!” Hasnol memekik panggil nama Humairah yang semakin laju berjalan
seperti berlari-lari anak. Hasnol tersenyum menyeringai. Lekas mengejar Humairah.
Beg yang disandang di bahu gadis manis itu ditarik kuat. Humairah terundur ke
belakang.
“Kau
nak apa hah?” jerkah Humairah. Mukanya beriak tegang. Keluar segala kerutan di
dahinya. Jelas menunjukkan dia tidak menyenangi kewujudan Hasnol yang tidak
pernah faham bahasa orang tak suka.
Hasnol
enggan melepaskan beg Humairah. Terus melekat di tangannya. Hasnol meratahi
muka itu sepuasnya. Cantik! Humairah cukup cantik baginya meski kecantikan itu
biasa-biasa sahaja.
“Kau
jangan garang sangat dengan bakal laki kau ni. Derhaka namanya,” ujar Hasnol
tanpa berselindung pun.
Hendak
terkeluar segala isi dalam perut bila mendengar omongan Hasnol. Bakal laki?
Celah mana? Humairah mencebik dalam hati. Perasan!
“Aku
nak balik!” bentak Humairah. Kalau dilayan kepala gila Hasnol, sampai sudah
tidak pernah habis. Humairah merentap hujung begnya tetapi Hasnol tetap enggan
melepaskan Humairah pergi begitu sahaja.
“Kau
sombong sangat dengan aku Humairah,” kata Hasnol. Mendatar suaranya apabila
tidak menyenangi layanan dingin Humairah padanya. Teringat senyum manis
Humairah kepada Shahrul, budak hingusan dari kampung sebelah. Jadi sakit
hatinya. Bengkak!
Humairah
tidak menjawab. Rasanya Hasnol sendiri boleh fikir kenapa dia berkelakuan
begitu sewaktu berdepan dengan lelaki ini.
Hasnol
naik geram. Kebisuan Humairah menjentik amarah diri yang sememangnya bersifat
panas baran.
“Apa
budak tu dah bagi pada kau sampai kau boleh layan dia baik punya?” Hasnol
menyentak garang.
Humairah
terbejat. Terkebil-kebil pandang Hasnol. Tiba-tiba perasaannya dijentik
kegerunan. Tingkah Hasnol malam tempoh hari terlayar di fikiran. Humairah
pandang kiri kanan. Sunyi. Dia berkira-kira hendak lari selaju mungkin kalau
Hasnol naik gila.
“Lepaslah!”
Humairah berusaha menarik begnya.
Hasnol
mengancing gigi. Selagi Humairah belum menjadi miliknya, dia tidak akan
berhenti mengejar gadis itu. Gadis itu sombong dengannya. Pandang dia sebelah
mata. Hasnol merenung tajam ke arah Humairah.
“Kau
tu aku punya, tahu! Kau tak boleh berkawan dengan sesiapa pun. Faham?!” Naik
tinggi suara Hasnol.
Humairah
menelan air liur. Ugutan Hasnol tidak masuk akal langsung. Ikut dialah hendak
berkawan dengan siapa pun. Hasnol tidak punya hak melarang dia. Humairah
melawan renungan Hasnol dengan beraninya. Dibuang jauh-jauh perasaan takut yang
hinggap sekejap tadi.
“Dengan
siapa pun aku berkawan, itu hak aku. Kau tak ada hak mencampuri urusan hidup
aku.” Humairah berkata perlahan.
Humairah
tidak membentak, apatah lagi meninggikan suara, tetapi Hasnol tetap merasakan
Humairah seperti memperlekehkan dia. Lantas dia mencengkam pergelangan Humairah
dengan kuat sehingga gadis itu mengaduh kesakitan. Hasnol memperkemaskan
cengkaman bila Humairah meronta minta dilepaskan.
“Kau
ingat sini Humairah. Aku tak akan lepaskan kau. Kau ingat tu!” Hasnol berkata
kasar.
“Tak
bermakna bila kau tolak pinangan aku tu, kau dah mampu tolak aku dalam hidup
kau. Aku akan pastikan yang kau akan ingati aku sampai nyawa kau diambil
Tuhan!”
Hasnol
pamer senyum sinis. Ya, dia tahu Humairah menolak pinangan dia selepas sehari
dia meminang gadis itu. Sesungguhnya, dia tidak dapat menerima penolakan itu
dengan hati yang terbuka meski berkali-kali emaknya menasihati agar jangan
diingat kejadian itu.
Humairah
gugup. Ya Allah! Senyuman Hasnol menggugurkan sedikit keberanian yang
bertenggek di tangkai hati. Kata-kata Hasnol itu bagai ugutan yang bakal
mengekori disepanjang hayatnya.
“Kau
ingat tu!” Hasnol merengus kasar. Cengkaman itu dilepaskan. Hasnol angkat kaki
pergi meninggalkan Humairah.
Humairah
tarik nafas dalam-dalam. Kaki melangkah laju. Mahu segera sampai ke rumah.
Jejak langkahnya bagai disusuri oleh omongan Hasnol tadi. Seharusnya dia
mengabaikan kata-kata kasar Hasnol tadi, tetapi dia tidak mampu.
Terngiang-ngiang di telinga.
BERKALI-KALI Humairah menjenguk leher ke luar
jendela yang terbuka. Haikal? Berdetak-detik hati Humairah melihat makhluk itu
ada di kawasan masjid. Kelihatan Haikal sedang bertanya khabar dengan beberapa
orang kampung yang turut sama berjemaah di masjid kampung mereka. Tidak
berkelip mata Humairah memerhati sehinggalah Kamsiah datang menegur. Humairah
tersipu-sipu sendiri. Pantas mengalih anak mata daripada melorong ke arah
Haikal.
“Ara
tengok siapa tu?” Kamsiah menyoal.
Humairah
pantas menggeleng kepala. Dia membontoti langkah Kamsiah. Selipar jepun warna
merah disarung ke kaki.
“Mak!”
Haikal datang menerpa.
Kamsiah
nampak terkejut besar. Terbeliak mata wanita pertengahan usia itu memandang
Haikal atas bawah berkali-kali. Mulut itu terbuka sedikit. Nyata, bukan
Humairah seorang sahaja yang terperanjat melihat kelibat Haikal di masjid ini,
malah emaknya pun sama.
“Kau
mimpi apa Kal?” aju Kamsiah. Tidak putus-putus memandang Haikal yang nampak
lain bila menyarung baju melayu dan berkain pelikat, serta songkok hitam atas
kepala. Sekali pandang, seperti arwah suaminya yang sudah lama meninggal dunia.
“Mimpi?
Apa mak cakap ni?” Haikal tersengih-sengih. Sesekali mencuri pandang Humairah
yang bertelekung menutupi hampir separuh tubuhnya. Gadis itu turut sama memerhatikannya.
“Kau
buat apa di sini?” tanya Kamsiah penuh curiga.
“Aku
datang sembahyanglah mak. Takkanlah berjalan-jalan pulak,” seloroh Haikal dalam
tawa yang dibuat-buat.
Terbatuk-batuk
Kamsiah dibuatnya. Haikal datang sembahyang berjemaah di masjid? Dia yang salah
dengar dan salah lihat atau memang dunia sudah terbalik? Kamsiah menggeleng
kepala.
“Kenapa
mak?” soal Haikal bila terlihat gelengan Kamsiah.
Kamsiah
menghela nafas. Ekor mata melirik ke arah Humairah. Pasti perubahan Haikal yang
tiba-tiba ini ada kaitan dengan Humairah. Sudah dikata, berubah demi Tuhan,
bukan kerana manusia semata. Tidakkah pelik perubahan itu terjadi dalam masa
yang singkat? Dia percaya, hidayah Allah itu datang bila-bila masa sahaja
kepada manusia yang mencari-Nya, tetapi Haikal? Dia tidak percaya Haikal
benar-benar berubah. Pasti ada muslihat disebalik semua ini.
Kamsiah
menarik tangan Humairah sewaktu dia memulakan langkah pertama atur kaki menuju
ke rumah. Haikal pantas membontoti dari belakang. Mengambil tempat di sebelah
Kamsiah yang nampak tidak mempedulikan dia.
“Mak,
aku pernah kata yang aku akan berubah. Mak nampak kan?” Haikal berkata.
Lekas-lekas menyaingi langkah laju Kamsiah.
“Mak
tahu.” Kamsiah membalas ringkas.
Tersungging
senyuman di hujung bibir Haikal.
“Dan
mak tahu jugak yang kau tu bukannya ikhlas.” Kamsiah menyambung bicara.
Langsung
Haikal terkedu. Kata-kata Kamsiah begitu tajam bak belati. Haikal ikut rentak
emaknya.
“Keikhlasan
itu harus dipertontonkan ke, mak?” Persoal Haikal yang nampak sedikit bengang.
“Ara,
pergilah balik.” Kamsiah melepaskan tangan Humairah. Dia menghantar Humairah
sampai ke rumah gadis itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Humairah
mengangguk. Selepas menyalami tangan Kamsiah, Humairah cepat-cepat jalan menuju
ke pintu rumah yang tertutup rapat. Kepulangan Humairah disambut Rosnah yang
sudah lama menanti cucunya itu di ruang dapur. Rosnah bertambah sihat dan mampu
melakukan kerja-kerja rumah. Malam ini dia masakkan sesuatu yang istimewa buat
santapan cucu kesayangannya.
Sementara
di luar, Kamsiah masih menyangkal perubahan Haikal yang jelas di matanya. Apa
pun kata Haikal, dia tahu ini adalah salah satu cara Haikal memenangi hatinya,
lantas membuka peluang Haikal untuk memiliki Humairah. Masak sangat perangai
anak tunggalnya itu. Namun, andai benar seperti yang dikatakan Haikal,
Alhamdulillah, pintu hati Haikal sudah terbuka sepenuhnya untuk bertaubat.
“Mak
tak suka perubahan aku?” Haikal terus mengasak dengan soalan demi soalan yang
dimuntah keluar dari mulutnya. Songkok atas kepala sudah dicabut. Kain pelikat
juga sudah diangkat tinggi melepasi betis.
“Mak
bukan tak suka, cumanya mak tak percaya.” Kamsiah berkata tanpa memandang
sedikit pun pada Haikal.
Haikal
menggaru kepala. Berubah salah, tak berubah lagilah salah. Apa yang dimahukan
emak sebenarnya?
“Bukan
ke kewujudan satu medium untuk berubah itu baik, mak? Ara itu sebagai contoh
medium buat aku. Melalui Ara, aku berubah. Berubah menjadi lebih baik. Kemudian
aku mulai mendekati Allah, mencintai Dia. Tak salah kalau perubahan aku dengan
cara begitu, kan mak?” Haikal melontar bicara yang lahir dari fikirannya
sendiri.
Kamsiah
agak terkejut mendengar bicara Haikal. Sejak bila Haikal pintar berbicara
begitu? Laksana orang yang bijak pandai.
“Kau
cakap macam ustaz, Kal,” sindir Kamsiah.
Haikal
tarik muka bengang.
“Mak,
aku nak berubah. Sepatutnya mak sokong aku. Ini tidak, emak perkecilkan niat
aku.” Haikal mulai membentak geram.
Kamsiah
hela nafas panjang. Ingin sekali dia mempercayai kata-kata Haikal itu tetapi
bila mana memikirkan rencana yang terselindung disebaliknya, Kamsiah segera
bina tembok besi memagari hati sendiri, agar tidak terjebak dengan kata-kata
sebegitu dari mulut Haikal.
“Mungkin
mak tak tahu niat kau yang sebenar. Tapi jangan lupa, Allah tahu apa yang
tersirat di hati kau tu, Haikal,” tutur Kamsiah.
“Mak,
aku betul-betul nak berubah. Aku ingin mengahwini Ara itu untuk membentuk diri
aku sendiri. Mak tak mahu lihat aku menjadi Haikal yang baru? Haikal yang mak
idam menyenangkan hati mak dan mendoakan abah di sana?” Haikal menggunakan
kemanisan bicaranya untuk memancing kepercayaan Kamsiah.
Kamsiah
memerhati tajam ke wajah Haikal. Berat hatinya mempercayai Haikal. Benarkan
Haikal memang berkeinginan menjadi lebih baik?
KAMSIAH buka mata bila terdengar bunyi bising
dari arah dapur. Macam ada pesta periuk pula. Kamsiah bangkit. Sempat menyoroti
jam loceng di sebelah katil. Hampir menginjak jam lima setengah pagi.
Terjingkit-jingkit kaki Kamsiah mengatur langkah menuju ke dapur. Cukup berhati-hati.
Disebalik dinding dia mengintai. Susuk tubuh itu macam dikenalinya. Hampir
bertaut kening Kamsiah.
“Haikal!”
Kamsiah menegur.
Haikal
berpaling.
“Eh
mak! Awalnya mak bangun.” Haikal mengutip tudung periuk yang jatuh ke lantai.
Kamsiah
menarik kerusi lalu labuh duduk sambil mata tajam memerhatikan Haikal. Haikal
menuju ke sinki. Periuk sederhana besar saiznya itu diisi air paip sebelum
menjerangnya di atas dapur. Haikal sempat pamer sengihan bila mana renungan
keduanya saling bertempur.
“Sepatutnya
mak yang tanya kau soalan tu, Haikal.” Kamsiah membalas.
Haikal
tersengih lagi.
“Kau
ni buang tabiat ke apa? Sakit?” Bertubi-tubi pertanyaan diaju kepada Haikal.
“Aku
sihatlah mak.”
Haikal
meletak teko di depan mata Kamsiah. Manalah Kamsiah tidak naik hairan bila
matanya menangkap susuk tubuh Haikal yang lengkap berkain pelikat dan berbaju
t-shirt serta berbau harum di pagi hari. Seumur hidupnya, Haikal tidak pernah
jejak ke ceruk ini selagi matahari tidak naik atas kepala. Kalau bukan dia yang
kejutkan Haikal, jangan harap anak lelakinya itu akan bangun. Sehingga hendak
putus anak tekak memanggil Haikal sembahyang Subuh.
Tetapi
pagi ini, menghampiri seruan solat Subuh, Haikal sudah bersiap-siap. Ringan
tulang Haikal menjerang air untuk dibancuh kopi nanti. Kamsiah menggeleng
kepala. Di depan matanya ini Haikal atau jembalang yang menyerupai Haikal?
Kamsiah ralit memerhatikan perubahan drastik Haikal.
“Kau
kenapa ni, Haikal?” Kamsiah terus-terusan membidik soalan.
Haikal
mengerling Kamsiah. Berubah salah. Berperangai lama lagilah salah.
Sayup-sayup
kedengaran azan Subuh memecahkan kesunyian pagi itu. Kamsiah pantas bangun
meninggalkan Haikal yang berperangai pelik biarpun peliknya Haikal itu menjurus
kepada kebaikan. Kamsiah masih tidak mampu meleraikan niat tersirat disebalik
penghijrahan Haikal. Jauh di sudut hati, dia gembira andai Haikal benar-benar
berubah untuk menjadi seorang yang lebih baik.
Kamsiah
mencapai tuala di sampiran dan berlalu menuju ke bilik air. Sempat melempar
pandang ke arah Haikal yang tekun membancuh kopi di dalam teko. Sejuk hatinya
melihat Haikal begitu. Secebis senyuman timbul jua di pinggir bibir Kamsiah.
“ALHAMDULILLAH...” Rosnah menadah tangan lalu
meraup mukanya sebaik sahaja Kamsiah berkongsi perihal tingkah Haikal yang
nampak kelainannya sejak dua tiga hari ini.
Kamsiah
tayang senyum nipis. Dia turut panjatkan kesyukuran meski kemusykilan itu masih
bertenggek di tangkai hatinya. Masih rasa sangsi.
“Baguslah
kalau Haikal tu dah berubah. Mudah-mudahan perubahan tu kekal di hati dia,”
kata Rosnah lagi.
Kamsiah
angguk-angguk kepala. Perbualan mereka terhenti seketika dengan kemunculan
Humairah bersama dulang berisi cawan dan teko berserta sedikit kuih-muih yang
sempat dibelinya tadi sewaktu hendak pulang ke rumah.
“Untung
Mak Nah ada cucu sebaik Ara tu.” Kamsiah memuji Humairah sebaik gadis manis itu
hilang dari pandangan.
Menguntum
senyum Rosnah mendengar pujian sebegitu.
“Saya
pun sebenarnya sakit kepala memikirkan Haikal tu. Betul ke tidak berubahnya tu
hah. Manalah tahu setakat hangat-hangat tahi ayam. Niat orang ni bukannya kita
boleh agak,” celoteh Kamsiah. Kembali menarik topik sang anak ke dalam
perbualan petang itu.
“Fikir
ajelah yang baik-baik Siah. Budak tu nak berubah, sokong dia. Bagi semangat.
Jangan pula kita perkecilkan niat dia.” Ujar Rosnah, sekadar menasihati.
“Eh,
saya tak adalah sampai nak perkecilkan Haikal tu, cumanya... iyalah... saya
yang besarkan Haikal tu, Mak Nah. Tahu buruknya dia tu. Mulut saya ni penat dah
membebel benda yang sama dari dulu lagi. Payah nak ikut cakap. Siapa tak pelik
bila Haikal tu tiba-tiba jadi macam tu? Macam orang buang tabiat!”
Panjang-lebar Kamsiah berkongsi cerita.
Spontan
Rosnah menepuk peha Kamsiah. “Ada pulak cakap macam tu. Itu bukan buang tabiat,
tapi satu penghijrahan.”
Kamsiah
menghela nafas. Rosnah tidak tahu perubahan anak bujangnya itu ada kaitan
dengan Humairah. Barangkali berubah demi memancing hatinya supaya angguk setuju
meminang Humairah buat Haikal.
“Harap-harapnya,
macam itulah. Jangan ada niat lain sudah,” getus Kamsiah.
Tergeleng-geleng
kepala Rosnah dalam tawa kecil.
HUMAIRAH memerhatikan Haikal yang duduk di
bawah pokok bersama neneknya. Berkerut dahinya. Peristiwa malam tadi melewati
fikiran. Haikal ke masjid! Kamsiah pun terkejut.
Lain
betul penampilan Haikal. Nampak lebih kemas. Bila nampak dia, Haikal tidak
kejar-kejar seperti selalu. Sekilas sahaja lelaki itu memandangnya.
Bagus
juga Haikal tidak menganggunya seperti selalu. Aman hidup! Humairah menyelinap
masuk ke dalam biliknya. Tilam nipis diangkat tinggi. Di bawah tilam itu, dia
ambil sekeping kertas yang sudah dilipat-lipat. Lebar senyumannya melihat
kertas itu.
Humairah
panjat katil. Lama dia merenung pemberian Shahrul kepadanya beberapa hari yang
lalu. Kelakar sungguh bila mengenangkan tingkahnya waktu itu. Menggelabah!
Sehingga tidak mampu tutur kata pun.
Perlahan-lahan,
dia buka lipatan kertas tersebut. Bait-bait ayat ringkas tercoret kemas di atas
kertas bergaris satu warna biru. Humairah embacanya berkali-kali berserta
herotan senyum di bibir.
“Saya
suka awak!” Bibir Humairah bergerak-gerak menyebut ayat itu. Tiga rangkai kata
yang mampu mengundang debaran di jiwa.
Humairah
mendakap surat itu. Alangkah indahnya perasaan dia waktu ini. Berulang kali
tatap pun masih memutikkan rasa yang serupa.
Sudah
jatuh cintakah dia?
Humairah
ukir senyuman lagi. Kali ini, dia menutup mata dengan harapan wajah manis
Shahrul berlayar di ruang angkasa minda.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: 1 May- esok holiday yeayyyy balik kampung! Mahu peluk-cium-peluk mak abah juan lili dan adik. Rindunyaaa! Hihi :) Entri KPHM diupdate awal sangat pasal kan nak bercuti. Maka aku pon cuti update jugak. Ah, retis sangat! Wakakaka. Happy-happy reading ya :) Btw, tajuk Kupilih Hatimu (KPHM) akan ditukar jadi Akhir Cinta Abadi (ACA) :)
4 comments:
sapa hero ni?haikal or shahrul??
hope,haikal la..hihi..haikal yang dah berubah:)
@ilman_nafi
Hi ilman :) thnks drop komen :)
Hero eh? Hihi. Haikal? Maybe. Shahrul tu cinta sekejap aje. Hihi. Sampingan semata :D
smbng lGiiiiii
InsyaAllah..akan dismbung sesegera mngkin.hihi.thnks sudi bace :)
Post a Comment