Sunday, April 14, 2013

[Novel] : Status Palsu Bab 1.

Assalamualaikum.








"...Give charity without delay, for it stands in the way of calamity..." - Tirmidhi









Bab 1
“AAAAA!” Jeritan sulung Amiera kedengaran kuat sehingga mengejutkan seisi rumah. Turun naik dada menahan debaran yang menggila. Panahan mata menusuk ke arah sekujur tubuh yang bergerak-gerak.
            “Aaaaa!” Amiera memekik lagi. Dia mengengsot merapati dinding. Bulat mata itu memandang Adlan yang mulai bangkit dari pembaringan. Lelaki itu menutup telinga. Berkerut-kerut dahinya.
            “Dah kau ni kenapa? Ada lipas?” Adlan bertanya. Bingit telinga dengar Amiera terpekik-terlolong. Baru merancang hendak bangun bila matahari naik tinggi atas kepala. Letih badan memandu masih tidak hilang. Tambahan pula tidur malamnya hanya beralaskan toto dan sebiji bantal. Mahu tak sakit badan dia. Adlan mengeluh. Dia buka mata. Renungannya tertusuk ke arah Amiera yang membungkus diri dengan selimut tebal.
            Apa kes minah ni? Sejuk? Adlan bangun.
            “Jangan!” Amiera menghalang. Dibaling sebiji bantal tepat mengena muka Adlan.
            Adlan ketap bibir. Sakit hati. Angin gila minah ni. Adlan berdiri semula. Dia labuhkan punggung di hujung birai katil.
            “Tepilah!” Amiera marah lagi. Kakinya terjulur keluar dari selimut. Ibu jari kaki menunjal peha Adlan. Selagi lelaki itu tidak berganjak, dia akan terus berkelakuan begitu.
            “Kau ni kan, memang menggila ke bila bangun tidur? Dahlah memekik macam nak tercabut anak tekak. Sakit telinga aku ni tahu,” bebel Adlan, geram.
            Amiera membulatkan mata. Siapa yang gila? Dia atau lelaki bernama Adlan Hakim? Amiera tarik selimut yang melurut dari tubuh.
            Ketika masing-masing berperang dengan perasaan sakit hati dan marah, kemunculan Embok Khalidah mengejutkan Amiera dan Adlan. Terpaku dua pasang mata itu ke  arah Embok Khalidah dan Elina.
            “Kenapa jeit-jerit ni, Reen?” soal Embok Khalidah. Sekejap pandang cucu menantunya, sekejap pandang Adlan.
            Adlan menjungkit bahu tanda tidak tahu. Digerling wajah Amiera yang kelihatan ketat itu. Gelihatinya.
            “Reen… Reen nampak lipas tadi.” Amiera berkata. Pura-pura gagap konon. Memang dia nampak lipas. Lipas besar punya. Lipas kepala hitam!
            “Hisy… tu, isteri sendiri takut lipas, dia pergi gelak pulak,” marah Embok Khalidah.
            Terus terbantut ketawa Adlan. Terkulat-kulat pandang muka Embok Khalidah yang beriak marah.
            “Mana lipas tu sayang? Mana?” Adlan kalut tiba-tiba. Ditarik selimut yang menyelubungi tubuh Amiera. Amiera menjerit lagi. Terkejut! Geramnya!
            Amiera menyambar majalah di atas lantai lalu memukul kaki Adlan sekuat hati. Adlan mengaduh kesakitan. Embok Khalidah terpana manakala Elina memerhati penuh gelihati. Tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan keadaan huru-hara antara Amiera dan Adlan.
            Adlan jatuh tergolek ke atas lantai. Berdenyut-denyut tulang kering di lutut.
            “Reen nampak lipas kat kaki Adlan tadi. Tu yang Reen pukul,” kata Amiera. Terjun ke bawah sambil belek-belek kaki ‘suami’nya tadi. Acap kali mulut itu mengucap kata maaf walhal dalam hati dia rasa puas bila dapat pukul lipas berkepala hitam itu sekuat hati.
            Tergeleng-geleng kepala Embok Khalidah. Senyuman kecil meniti bibir. Ada-ada sahajalah budak-budak ni. Dia beransur ke dapur semula. Ditinggalkan Amiera dan Adlan yang berbalas renungan tajam.
            “Yang kau pukul aku tu tadi kenapa?” sergah Adlan.
            “Eh, padanlah muka awak. Awak cari pasal dulu. Apa pasal awak masuk tidur dalam bilik saya ni? Awak ingat bilik ni hotel?” Giliran Amiera melempiaskan kemarahan. Ditolak-tolak tubuh Adlan.
            Semalam mereka sudah capai kata sepakat. Dia tidur di dalam bilik manakala lelaki itu tidur di luar. Tup-tup pagi hari nampak lelaki itu terbongkang atas lantai di dalam bilik ini.
            “Kau tu yang menumpang! Ini bilik aku, suka hati akulah. Kau tahu tak kat luar banyak nyamuk. Aku ni bukan jenis yang baik hati sangat nak derma darah kat nyamuk tu. Kau sedap-sedap tidur selesa dalam bilik, aku pulak berperang, berpencak silat bagai dengan serangga tu. Banyak cantik!” bidas Adlan.
            Amiera gigit bibir. Kalau tak menjawab tak boleh agaknya. Bila jawab, berjela-jela.
            Elina yang memerhati dari tadi mulai mencelah. Dia duduk di sebelah Amiera. Tegang gila muka kawannya itu.
            “Dahlah Mira. Aku yang panggil dia masuk dalam.”
            “What?” Terbuntang mata Amiera.
            “Kau suruh orang gila ni masuk tidur sekali?”
            Elina mengangguk.
            Amiera meraup muka. Patutlah Adlan boleh masuk sedangkan bilik telah dikunci dari dalam. Pula, seingat dia malam tadi bilik ini dihuni oleh mereka berdua sahaja. Tiba-tiba Adlan ada sekali. Dia mengerling Adlan yang tersenyum-senyum kemenangan.
            “Iyalah, takkanlah aku nak biar laki kau tidur kat ruang tamu. Dibuatnya nenek tahu, macam mana? Tak ke kecoh nanti. Tu yang ajak dia tidur sekali dengan kita, tapi kat bawah.” Elina menerangkan keadaan sebenar.
            Turun naik nafas Amiera. Ini lagi seekor. Bikin hati panas. Bagai hendak terkeluar biji mata dari soket kepala bila dia merenungi Adlan yang memanjat katil lalu tarik selimut dan tidur dengan enaknya.
            “Hoi, bangunlah!” jerkah Amiera dengan garang. Selimut tebal ditarik kuat namun Adlan enggan mengalah. Dia membatukan diri, tidak berkutik langsung sehingga membuat Amiera makin naik hantu.
            “Awak ni pekak eh? Kan saya kata bangun!” Amiera membentak kasar.
            Adlan merengus sakit hati. Dia bingkas bangun, lalu duduk berteleku di atas katil dengan mata menghala tepat ke wajah Amiera yang merona merah.
            “Kau ni tak boleh tutup mulut eh?” tegur Adlan. Suaranya mendatar.
            “Suka hati sayalah! Mulut saya,” bidas Amiera.
            Adlan menghampiri Amiera. Renungannya tajam buat gadis bernama Amiera Syazreen.
            “Aku cium kau, baru tahu!” gertak Adlan sebelum meninggalkan bilik besar itu.
            Terbuntang mata Amiera. Biadap kau manusia! Amiera menjerit dalam hati sepuasnya. Dasar lelaki kepala hantu! Marahnya lagi. Elina yang datang mendekat tidak dipedulikan. Dia terjun semula di atas katil.
            “Sayang, bangun! Matahari dah tinggi ni.” Kedengaran suara Adlan memanggil dari luar bilik.
            Amiera membuka mata. Gigi dikancing ketat. Elina sekadar jungkit bahu bila Amiera buat muka ketat.
            “Tuu, laki kau dah panggil dah tu,” kata Elina. Sembunyi senyum bila mana mengenangkan tingkah teman baiknya, Amiera Syazreen dan sepupunya, Adlan Hakim.
            Amiera menggigit bibir.
            Geli-geleman dia dengar status ‘laki’. Meski hanya status palsu, sungguh dia tidak pernah bermimpi hidup bersama lelaki bernama Adlan Hakim itu.

Terima kasih baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Cuba nak buat kisah yang manis-manis gula taaaapiii kannnn kita tak reti. Sedang belajar dari yang pakar. Hihi. Entri yang pendek sahaja :)

2 comments:

Unknown said...

Best semua saya suka.disaat aku mencintaimu x ada n3 baru ke.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ baby mio

Hai awk :) Thanks coz menyukainya. Disaat aku mencintaimu? Hmm.. itu bakal terbit. Jadi sy stopkan entri dlm blog. Hee :D