Wednesday, May 22, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 13.

Assalamualaikum.








"...If someone pulls out your faults, don't pick up theirs, but just protect theirs and make dua for them..." - Mohammed Sohail









Bab 13
Sekarang

ENGKU Zubaidah mencapai getah paip berwarna hijau, lantas memusingkan kepala paip. Air keluar mencurah-curah dari hujung bibir getah pair tersebut. Engku Zubaidah menghalakan muncung getah paip ke arah rimbunan bunga yang ditanam di dalam pasu sederhana besar. Sambil menyirami bunga-bunga itu, bibir Engku Zubaidah terkumat-kamit menyanyikan lagu tanpa irama.
            Engku Zubaidah yang leka menyirami bunga-bunga kesayangannya itu tidak menyedari langsung akan kewujudan sesusuk tubuh yang berdiri di belakangnya.
            “Nenek!” sergah Humairah.
            Terlepas getah paip dari pegangan. Engku Zubaidah urut dada. Melantun-lantun jantungnya. Segera Engku Zubaidah kalih pandang Humairah yang ketawa terdekah-dekah.
            “Mai!” marah Engku Zubaidah. Tangkas tangannya menampar badan Humairah. Humairah tidak sempat mengelak. Gelak ketawa gadis itu semakin menjadi-jadi bila melihat riak berkerut di wajah Engku Zubaidah.
            “Mai nak nenek mati cepat ya?” kata Engku Zubaidah, tegas.
            Humairah tersenyum nipis. Lekas memeluk tubuh pendek dan sedikit berisi si nenek dengan penuh kasih-sayang.
            “Nenek ni! Mai main-main ajelah,” balas Humairah. Pelukan itu semakin erat.
            Engku Zubaidah ikut senyum. Lengan Humairah digosok-gosok.
            “Mai suka sangat buat nenek terkejut macam tadi tu. Sakit dada nenek ni,” gumam Engku Zubaidah. Setelah Humairah meleraikan pelukan, segera dicapai semula getah paip tadi. Menyambung semula aktiviti yang terbantut sebentar tadi.
            “Mai janji, Mai tak buat lagi.” Humairah angkat tinggi tangan kanannya seakan sedang mengangkat sumpah depan hakim.
            “Iyalah tu!” tuntas Engku Zubaidah.
            “Betul. Mai janji tak buat lagi.” Humairah meyakinkan.
            Engku Zubaidah mencebik muka. Bukan boleh percaya cakap cucunya ini. Baru semalam Humairah angkat sumpah, berjanji tidak akan main sergah-sergah. Tengok hari ini, Humairah buat lagi.
            Engku Zubaidah mematikan paip. Getah paip digulung dan diletak di tempat asal.
            “Mai dari mana?” aju Engku Zubaidah. Dia berjalan menghampiri pondok kayu yang tersergam di tengah-tengah halaman sebelah kanan rumah sedarhana besar milik arwah suami Engku Zubaidah. Engku Zubaidah labuh duduk. Disertai Humairah yang menempel di sebelah neneknya.
            “Mai pergi rumah Jasmin sekejap. Ambil ni!” Humairah menunjukkan sebuah buku yang dipinjam dari Jasmin, anak kepada jiran sebelah rumah.
            Tumpuan Engku Zubaidah dan Humairah beralih kepada sebuah Honda City yang menyusur masuk ke perkarangan rumah. Humairah sudah tersenyum lebar. Cepat-cepat melangkah menghampiri kereta itu.
            “Kak Fina!” Humairah menyambut kepulangan Afina dengan senyuman manis. Disalami tangan Afina. Briefcase yang dijinjing Afina pantas diambilnya. Tergeleng-geleng kepala Afina melihat gelagat Humairah.
            Humairah dan Afina berjalan seiring menuju ke pondok yang diduduki Engku Zubaidah. Afina menyalami Engku Zubaidah. Dia labuh duduk hampir dengan nenek. Dia menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan. Humairah ambil tempat di sebelah Afina.
            “Fina nampak letih.” Engku Zubaidah membuat ulasan sementelah memerhatikan tingkah Afina.
            Afina senyum kecil. Batang leher diusap lembut.
            “Agaklah, nek. Pusing wad, tengok patient,” jawab Afina.
            “Kerja tu, kerja jugak. Jangan sibuk fikir pasal kerja sampaikan lupa tentang diri sendiri. Fina tu dah makin bertambah usia. Makin lama makin tua, bukan makin muda.” Engku Zubaidah memulakan sesi bebelan dan topik yang menjadi pilihan pastinya tentang status anak dara yang masih dipegang Engku Afina binti Engku Uzair, meski usia itu hampir mencecah lewat dua puluhan.
            “Dah mula dah,” gumam Afina dalam suara perlahan.
            Humairah yang terdengar bicara itu tersengih lebar bila mereka saling berbalas pandang.
            “Nek, Ada benda yang Fina nak beritahu ni,” kata Afina.Blazer yang dipakai segera ditanggalkan. Rimas pula.
            “Apa dia? Fina nak kahwin? Hah, nenek setuju siapa aje calon suami Fina tu asalkan calon suami Fina tu tahu tanggungjawab dia pada Fina.” Terburu-buru Engku Zubaidah menutur kata. Senyuman mekar muncul disebalik wajah yang berkedut-kedut itu.
            Afina pantas menggeleng kepala. Lain pula yang difikir nenek.
            “Bukanlah, nek,” tuntas Afina.
            “Habis tu?” Hampir bertaut kening Engku Zubaidah.
            “Pasal Lan.” Afina terus berkalih melontar pandangan ke arah Humairah. Hujung bibir menguntum senyum kecil.
            Humairah terkebil-kebil. Lan? Dalam hati berdetak nada resah gelisah. Aduhai, makhluk itu nak balik sini ke? Sedaya-upaya Humairah menyembunyikan perasaan yang muncul secara mendadak itu.
            “Budak bertuah tu nak balik ke?” soal Engku Zubaidah, separa teruja. Yang separa lagi, dia simpan rasa geramnya terhadap cucunya itu. Bertahun duduk luar negara. Habis belajar, terus bekerja di sana. Pulang ke tanah air berjumpa keluarga, boleh dibilang dengan jari.
            “Esok dia sampai sini.” Afina menyambung bicara.
            “Eh, kenapa tak beritahu nenek awal-awal? Suka sangat buat kejutan macam ni.” Engku Zubaidah mengomel geram.
            Lain pula perihal Humairah. Dengar sahaja perkhabaran itu, terus kaku. Terbayang-bayang muka adik Afina. Humairah telan air liur.
            Boleh tak kalau tak payah muncul hari esok?

SEAWAL jam lapan pagi, Afina dan Humairah pergi ke pasaraya berdekatan dengan kawasan perumahan mereka. Engku Zubaidah telah membuat beberapa pesanan dan kesemua pesanan itu ditulis di atas sehelai kertas putih. Kertas itu yang menjadi panduan kepada mereka berdua.
Setelah hampir satu jam berpusing-pusing di dalam pasaraya berkenaan dan mendapatkan barang-barang yang dikehendaki, mereka pun bertolak pulang. Sampai di rumah, Humairah mengangkat barang-barang yang dibeli oleh mereka tadi. Kata Afina, nenek hendak masak masakan istimewa untuk seseorang yang istimewa. Dia sudah sedia maklum siapakah gerangan manusia istimewa itu.
            “Fina mana, Mai?” Terjenguk-jenguk kepala Engku Zubaidah ke luar pintu. Kelibat cucu perempuannya masih tidak terjamah dek mata.
            “Ada tu.” Panjang muncung Humairah menghala ke depan sana. Kelihatan Afina berjalan menuju ke arah mereka.
            “Mai bawa masuk barang-barang ni dulu ya, nek.” Humairah berkata, meminta diri ke dapur.
            “Nek, semua barang yang nenek suruh beli tu, Fina dah beli,” ujar Afina sebaik sahaja sampai di depan mata Engku Zubaidah.
            Afina dan Engku Zubaidah beriringan masuk ke ruang dapur. Humairah leka membelek barang-barang yang dibeli tadi sehingga tidak sedar kemunculan Afina dan Engku Zubaidah.
            “Mai nak tolong nenek masak ke?” tanya Engku Zubaidah.
            Humairah angkat muka. Sebuah senyuman lebar terlukis di bibir itu.
            “Boleh jugak,” jawab Humairah.
            “Kalau macam tu...” Engku Zubaidah mendekati Humairah. Dia ambil seikat petai dari dalam plastik putih tadi dan lekas mencapai mangkuk plastik sederhana kecil, lalu diberikan kepada Humairah.
            “Mai tolong nenek kopek petai ni ya. Nenek nak masak sambal udang petai,” kata Engku Zubaidah.
            “Hah, Fina nak ke mana?” Pantas Engku Zubaidah menarik lengan Afina.
            Afina tersengih-sengih.
            “Fina nak mandilah, nek. Belengas badan ni. Sekejap lagi Fina turun tolong nenek masak,” tutur Afina.
            Engku Zubaidah cebik bibir. Dilepaskan lengan Afina. Dia percaya Afina tidak akan turun ke dapur. Cucu perempuannya itu memang dasar liat hendak duduk celah dapur. Dalam sekelip mata, Afina hilang dari situ. Tinggal lah Engku Zubaidah dan Humairah berdua memulakan misi memasak.
            “Tengoklah Kak Fina kamu tu. Macam manalah nak pandai memasak. Asal suruh masuk dapur aje, hilang. Asal minta tolong aje, lesap. Susah betul nak melekat. Esok lusa, kalau nak kahwin, barulah terkial-kial nak jejak dapur.” Engku Zubaidah membebel sambil tangannya ligat membersihkan kulit udang di dalam sinki.
            “Nanti lama-lama, Kak Fina tu pandailah masak. Kak Fina pandai buat kek, cookies, dessert semua tu. Kira okeylah, kan nek.” Humairah menyebelahi Afina.
            “Habis, kalau dah kahwin, suaminya tu nanti disumbat dengan makanan-makanan macam tu ajelah? Silap-silap haribulan, laki Fina tu cari lain,” bidas Engku Zubaidah. Lincah tangannya menggerakkan hujung mata pisau, memotong bawang dan cili besar warna merah dan hijau.
            “Suami moden, kena sumbat makanan jenis macam tu nek.” Humairah membalas dengan selamba.
            Membulat mata Engku Zubaidah. Sepantas kilat, jarinya terus bertukar jadi penyepit ketam. Humairah sempat mengelak. Ketawanya bersahut-sahutan.
            “Hah, bolehlah tu geng dengan Kak Fina. Seorang malas masuk dapur, seorang lagi loyar buruk. Baguslah tu.” Engku Zubaidah menggeleng kepala. Kembali menyambung kerjanya yang terbengkalai beberapa ketika.
            “Mengumpat Fina?” Afina muncul di muka pintu.
            Humairah dan Engku Zubaidah memandang Afina yang tampak lebih segar berbanding tadi. Afina menarik kerusi kayu. Dia labuh duduk di situ. Gatal tangannya menggolek-golekkan dua biji timun di atas meja.
            “Fina selalu on-call. Lepas tu hujung minggu pun bertapa kat hospital. Manalah Fina ada masa nak main masak-masak dengan nenek ni. Ini pun untung Fina boleh cuti hari ni. Kalau tidak, menghadap kerja memanjang,” celoteh Afina.
            “Nenek tahulah Fina sibuk. Tapi cuba Fina fikir masa depan sikit. Masa depan yang menjurus ke arah perkahwinan. Nak kahwin ni, kena tahu serba-serbi. Kena tahu masak, kena tahu kemas rumah, kena tahu itu, kena tahu ini.” Engku Zubaidah mencuci tangannya dengan sabun. Baun hanyir udang itu melekat di kulit tangan.
            “Tapi Fina tak merancang nak kahwin lagi. So masih ada banyak masa lagi untuk Fina belajar semua tu. Fina boleh belajar dari Mai. Kan Mai?”
            Humairah terpinga-pinga. Kosong pandangannya menerjah ke wajah Afina dan Engku Zubaidah silih berganti. Bersahut-sahutan tawa Afina dan Engku Zubaidah melihat tingkah Humairah.

“INGATKAN Lan dah tak ingat nak balik dah.” Engku Zubaidah seakan jauh hati dengan perbuatan Fadzlan yang jarang-jarang sekali pulang ke Malaysia. Entah apa yang ada di negara orang itu.
            Fadzlan terus memeluk Engku Zubaidah. Sempat mengenyit mata pada Afina yang memerhatikan dia.
            “Kan Lan dah balik ni,” pujuk Fadzlan.
            Engku Zubaidah tetap tarik muka. Betul bertuah punya budak! Hampir empat tahun tinggal di luar negara, boleh dikira dengan jari berapa kali sangat Fadzlan pulang ke Malaysia. Nampak muka bila menjelang Hari Raya. Tidak sampai seminggu sambut Hari Raya, Fadzlan terbang semula ke Australia. Mujur ada kemudahan teknologi. Boleh skype, nampak muka dan dengar suara.
            “Kak Fina, boleh tak tolong bawakkan beg Lan naik atas? Lan penatlah kak,” rengek Fadzlan.
            Afina menjengilkan mata.
            “Pemalaslah kau ni!” marah Afina namun dia turuti permintaan Fadzlan.
            Fadzlan membontoti langkah Engku Zubaidah. Mereka duduk di ruang tamu. Fadzlan tidak melepaskan genggaman erat Engku Zubaidah. Dikucupi tangan yang semakin berkedut itu. Usia neneknya hampir mencecah enam puluh lima tahun, namun tahap kesihatan nenek sangat memberansangkan. Nenek masih lincah bergerak ke sana sini. Malah mengikut pengkhabaran Afina, nenek tidak mahu menggaji pembantu rumah.
            “Lan cuti sampai bila?” tanya Engku Zubaidah.
            “Nenek nak Lan bercuti sampai bila?” Fadzlan pual mengusul pertanyaan sambil tersenyum-senyum.
            Engku Zubaidah menepuk kuat peha Fadzlan.
            “Lan suka main-main!” marah Engku Zubaidah.
            “Lan dah tak balik sana dah.” Fadzlan berkata perlahan.
            Terkebil-kebil mata Engku Zubaidah.  Benarkah apa yang didengarinya ini?
            “Lan dah ambil keputusan nak duduk sini. Tinggal semula dengan nenek dan Kak Fina, menyumbang bakti di negara tumpah darah.”
            “Lan tak tipu nenek, kan?” Engku Zubaidah ragu-ragu.
            Fadzlan mengangguk. Dia pamer senyum lebar.
            Serentak dengan itu, Engku Zubaidah memeluk Fadzlan. Bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah membuka hati Fadzlan untuk kembali ke sisinya setelah hampir empat tahun membawa diri ke luar negara.
            “Lan nak rehatlah nek. Letih. Nanti dah masuk waktu Maghrib, nenek kejutkan Lan ye.”
            Engku Zubaidah mengangguk. Lekas kembali menuju ke dapur. Masih ada hidangan yang belum sempurna dihidangkan. Afina melintasi Fadzlan yang menonong menuju ke tingkat atas.
            “Betul ke Lan tu tak akan balik sana lagi?” Afina bertanya. Dia menongkat dagu. Masih terngiang-ngiang perbualan mereka lewat petang semalam.
            “Haah, Fina. Lan dah tak balik sana dah. Dia akan tinggal dengan kita.” Engku Zubaidah membalas dengan perasaan berbunga-bunga. Riang hati tidak terungkap dengan kata-kata.
            “Mudah-mudahan Lan dah sedar yang peristiwa dulu tu tak ada kaitan dengan Maira. Fina kasihankan Maira. Lan tak pernah layan Maira tu dengan baik,” keluh Afina.
            Engku Zubaidah memandang Afina. Wajah Afina bertukar keruh.
            “Insya-Allah, semuanya akan baik-baik, Fina.” Lembut Engku Zubaidah menutur bicara.
            “Nanti dah dekat pukul tujuh tu, Fina kejutkan Lan ye. Dia kata nak berehat.”
            Afina mengangguk. Baru hendak menuju ke ruang tamu, Afina kembali mendapatkan Engku Zubaidah.
            “Lan tidur mana, nek?” soal Afina.
            Terbuntang mata Engku Zubaidah. Pantas mengejar Fadzlan yang sudah memulas tombol pintu biliknya. Afina turut bergegas membontoti langkah Engku Zubaidah.
            “Lan!” Engku Zubaidah memekik.
            Fadzlan berkalih ke belakang. Waktu itu juga, pintu sudah terbuka sepenuhnya. Dan bila dia pandang ke depan semula, ada seorang gadis sedang bersiap-siap mengeringkan rambutnya yang panjang melepasi bahu menggunakan tuala. Terkebil-kebil mata Fadzlan.
            “Aaaaaaa!” Jeritan Humairah menggegarkan seisi rumah besar itu.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Makin lama aku rasa makin berserabut, tak nampak jalan macam mana nak selit-selit kisah Humairah. Adehhhh... -..-" Percaya atau tak, dah masuk lima enam kali aku rombak. Nampak sangat tak ada perancangan awal. Hahaha. Well, itulah aku. 

3 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lagiiii♥

Unknown said...

x la faham apa yang terjadi kat humaira.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ruunna Qizbal

:)


@baby mio

sorry if awk dah mula beblurr. teehee. ada sbb knp sy buat macam tu. kena baca yg seterusnya mybe akan faham nnti yehhh :D