Friday, May 17, 2013

[Novel] : Ruang Rindu Prolog.

Assalamualaikum.








"...Allah answers the call of the caller not because of the greatness of the caller but of the magnanimity of the one being called..." - Omar Suleiman









PROLOG
“NANI tak kasihankan kami? Nani tak sayang ayah, tak sayang ibu?” Bergetar suara Huzaimi di hujung talian.
            Hannani ketap bibir. Habis lencun pipi dia dibasahi airmata yang tidak berhenti mengalir saat suara ayahnya menyentuh gegendang telinga.
            “Jangan buat ayah macam ni, sayang. Baliklah.” Huzaimi memujuk.
            Hannani diam. Esak tangisnya sahaja yang kedengaran. Tersorot mata yang berair itu ke arah seorang lelaki yang duduk di sebelah dia, sedang memegang stereng kereta. Wajah lelaki itu tampak tenang.
            “Ayah...” Menggigil bibir dia.
            “Kita bawa bincang, Nani. Jangan ikut hati.” Huzaimi tidak berputus asa memujuk. Walau apa pun yang jadi, dia mahu anak gadisnya itu kembali kepada mereka. Isterinya, Puan Raina masih berada di sisi bersama kebimbangan yang tidak surut-surut. Ada sisa airmata yang bergenang di tubir mata isterinya.
            “Nani ada keluarga, Nani ada ayah, ada ibu. Kenapa Nani pilih jalan melarikan diri macam ni? Baliklah, nak.”
            Hannani memintal jari sendiri. Sebelah hati tertinggal bersama keluarga, separuh lagi berada dalam genggaman Dayyan, lelaki yang dicintai sepenuh jiwa dan raga. Hannani mengesat airmata.
            “Ayah, Nani sayang ibu, sayang ayah dan Nani sayang Dayyan,” rintih Hannani. “Nani tak boleh hidup tanpa Dayyan, ayah.”
            Huzaimi berdiri. Lemah jantung saat diberitahu bahawa anak gadisnya sedang menuju ke pantai timur tanah air, mahu menyeberangi sempadan- melarikan diri bersama lelaki yang ingin dikahwininya di sana nanti.
            Cinta membutakan mata hati. Memudarkan tahap kewarasan fikiran demi menurut kehendak jiwa yang meronta di kala tuntutan itu terhalang. Itulah yang terjadi kepada anak gadisnya- Adra Hannani.
            “Nani sanggup buang ayah dan ibu?” aju Huzaimi.
            Hannani gigit bibir. Kepala digeleng halus.
            “Balik sini. Kita bincang,” tegas Huzaimi lagi.
            Hannani senyap tidak menyahut.
            “Kalau pun Nani nak kahwin, biarlah ayah jadi walinya.”
            Hannani menumpah airmata lagi. Kali ini lebih lebat. Sekelumit hati dia dicalit kekesalan kerana hampir-hampir membelakangi keluarga sendiri. Menidakkan hak ayahnya sebagai wali.
            Dayyan merenung Hannani. Dalam cahaya kuning yang meruak di dalam kereta, dia nampak kesedihan yang menjalar di riak mulus itu. Dayyan hela nafas.
            “Kita balik,” ujarnya sepatah.
            Hannani angkat muka.
            “Kalau kita balik, kita tak mungkin bersama,” pintas Hannani. Hatinya menjadi dua kini.
            “Saya sayang awak, Dayyan,” luah Hannani.
            “Saya tahu.” Dayyan membalas. Renungannya berkalih ke depan. Melebar mata ke jalan raya yang kelihatan lengang. Perjalanan mereka masih jauh. Berbaki beratus-ratus kilometer sebelum mereka sampai ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
            “Kita terlalu mengikut perasaan.” Dayyan bersandar pula. Kembali melorong mata pada Hannani.
            “Kita lupa yang kita ada keluarga. Ada emak ayah. Perbuatan kita hanya akan menyebabkan mereka bersedih, Nani,” tutur Dayyan.
            “Kita balik. Kita lupakan niat kita ni.”
            Cadangan Dayyan itu disambut dengan gelengan Hannani. Gadis itu menangis lagi. Dayyan tidak tahu bagaimana cara hendak memujuk. Keterlanjuran dia mengajak Hannani kahwin lari di negara Thailand menjerumuskan mereka dalam kancah ini. Waktu itu, dia berfikir seperti Hannani sekarang. Tidak mahu sesiapa menjadi penghalang kasih suci mereka.
            Dayyan menghidupkan enjin kereta. Sudah berkira-kira hendak menyongsang arus destinasi mereka.
            “No!” Hannani memekik.
            Terbejat tingkah Dayyan.
            “No...” Mengongoi tangisan Hannani. Menghambur kesedihan yang bertapak dalam diri.
            “Nani, saya percaya pada jodoh, pada takdir Allah. Kalau betul kita telah ditakdirkan untuk sehidup semati bersama, Insya-Allah, seberat mana pun dugaan, sehebat mana pun halangan, pasti kita dapat tempuhinya.”
            “Saya minta maaf sebab hasut awak untuk ikut kata hati saya. Saya sayangkan awak Nani. Sebab sayang itulah, saya tak mahu awak jadi anak derhaka. Membelakangi keluarga sendiri.” Dayyan berkata lagi. Lembut renungannya menusuk ke wajah Hannani.
            Hannani membalas pandangan yang tertuju padanya.
            “Saya tak mampu berpatah balik, Dayyan.” Sendu Hannani masih bersisa.
            Dayyan menguak anak rambut sampai ke ubun-ubun. Renungannya tidak berkalih seinci pun.
            “Keputusan di tangan awak, Nani. Kalau awak nak teruskan rancangan kita, kita pergi sekarang. Kalau awak mahu undur masa, kita kembali ke pangkuan mereka.”
            Hannani menekup muka. Kepala dia kusut!

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Salam Jumaat :) Semalam blog buat hal. Konon nak tutup lama padahal time2 tu jugak aku betolkan semula. So, rupa masih sama teehee. Ruang Rindu in da-houzeee! Update satu entri lepas tu bersawang semula. Harhar

3 comments:

AYRA ZAHRA said...

wow..kemain lg..:D

Unknown said...

best saya suka sangat-2.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ayra Zahra

Eh eh.... eonnie! Kihkih


@baby mio

Mekasih awak :)