"...Whenever we're going through the rough time, we should try counting the good things in our lives..."
Bab 5
BETTY membelek
bungkusan hadiah itu berulang kali.
“Siapa bagi?” soalnya kehairanan.
“Entah.” Amiera menjawab acuh tidak
acuh.
Betty angkat kening. Sejurus itu,
dia cuit pinggang Amiera bersama senyuman nakal mula terbentuk di bibir.
“Ke kau ada admire ni?” Suara
dilontar tadi, sengaja dileret panjang.
Amiera mengerling sekilas. Bungkusan
seperti itu, yang hanya tertera namanya tanpa diketahui siapa gerangan sang
pengirim, bukan kali pertama diterima olehnya.
Bungkusan itu diambil dari tangan
Betty. Diamati lama. Tiada satu pun yang berubah. Kekal serupa seperti mana
mula-mula dia menerima bungkusan misteri ini bertahun dulu.
“Nak aku tolong siasat?” Betty
menawarkan bantuan.
“Siasat apa?” Amiera mencari muka
Betty.
Gadis bertahi lalat kecil di atas
bibir itu, mula menguntum senyum lebar. “Alah, siasat orang misteri yang bagi
kau ni.” Bungkusan tadi diraih kembali dalam pegangan.
“Kau tak nak tahu ke?”
Amiera seperti tidak berminat.
Tumpuan dilaras terus ke skrin komputer.
“Tak payahlah kau bazirkan masa dan
tenaga kau tu. Baik simpan untuk sesuatu yang lebih bermanfaat,” tutur Amiera.
Roman wajah Betty berubah sekelip
mata. Dahinya berlapis-lapis. Kening yang beralis cantik itu, terus meruduk ke
bawah, hampir bercantum.
“Kau ni tak berperasaan ke apa?
Kalau aku yang dapat benda macam ni, jangan tunggu ada tenaga ke, masa ke,
sekarang juga aku pergi cari orangnya, tahu!” Betty menggigit bibir.
“Itu kau...” Amiera tersengih
panjang.
Betty mencebik. Bungkusan sederhana
besar, berbalut kertas coklat diletak atas meja Amiera. Mukanya masam mencuka.
Tindak balas Amiera yang pasif membuatkan dia naik geram.
Amiera tertawa gelihati.
“Sini... aku tolong buatkan air
untuk kau. Nak?” Dia seolah memujuk.
Betty menyorong kerusi menjauhi
Amiera. “Suka hatilah. Aku tak kisah.”
Lekuk pipi mulai lentur,
sebelum tawa kecilnya meletus.
“Mengada kau ni, Betty. Nak merajuk
konon. Kalau kau rajin sangat, pergilah cari siapa yang bagi aku benda tu.”
Bahu Betty ditepuk kuat.
“Serius... takkan kau tak teringin
pun nak tahu?” Betty menyoal.
Amiera hela nafas panjang. Sungguh,
hati tidak sedikit pun tergadah.
“Apa korang borakkan ni?” Kak Mila
menyergah tiba-tiba.
Amiera dan Betty sama-sama elus
dada.
“Kak Mila ni kenapa? Tiba-tiba
sergah orang.” Betty merutuk geram.
Kak Mila menyimpul senyum.
“Our creative designer is back,”
beritahu wanita itu.
Amiera kerut muka, manakala Betty
sudah pamer riak teruja.
“Betul ke kak? Ingatkan bila Encik
Is kata dia akan datang balik sini dulu, macam tipu aje. Iye lah, dah ada kerja
baru.”
“Sebab tu lah Encik Is kosongkan
position tu. Empat tahun tau, ingat sekejap?”
Amiera menjadi pendengar setia.
Fikiran dia kosong. Apa pun yang dibicarakan Betty dan Kak Mila, tiada mampu
memenuhi ruang pencernaan otak.
“Masih manis macam dulu, kan kak?”
Terkidum-kidum Betty simpan suara yang kebiasaan menggegarkan hampir seluruh
ruang ini.
Leret mata Amiera ikut terarah ke
hadapan. Waktu itu, dia tergamam seketika. Biar kejauhan, paras itu masih mampu
dipadankan dengan raut wajah seseorang.
Jiran sebelah rumah?
“TAK berubah
langsung?” Adlan terkedu melihat keadaan biliknya yang kekal rapi, seperti mana
mula-mula dia membawa diri pergi meninggalkan keluarga kecil Iskandar.
“Sebab aku tahu, kau akan balik
sini,” kata Iskandar.
Adlan tersenyum lagi. “Kau yakin
sangat, Is.”
Iskandar terangguk-angguk. Lantas
bersandar tubuh ke dinding.
“Aku kenal kau, Edi. And look now,
you’re back. Just like you’ve said before.”
“Bila nak mula kerja? Aku dah tak
sabar nak open new project ni.” Iskandar leret senyum lebar.
Lirik mata kembali mencari wajah
Iskandar.
“Up to you,” jawabnya ringkas.
“Kalau ikut aku, sekarang pun aku
dah nak suruh kau mula kerja.” Beberapa pelan projek baru sudah mula menerjah
kotak fikiran.
Adlan sekadar mengisi ruang itu
dengan gelak tawanya.
“Kenapa dulu kau pilih Sabah?”
Iskandar kerut muka.
Pertanyaan Iskandar terus dibiar
terawang-awang. Sabah? Sejauh itu dia bawa diri biar di Semenanjung, rezeki itu
mampu dicari. Entah, benar tidak betah dia terus berbumbungkan langit yang
sama. Setiap detik waktu, perasaan sendiri bagai dihiris halus.
Adlan membawa pandangan menembusi
cermin kaca yang ditabiri sejenis penghadang plastik. Dari celah-celah objek
itu, dia nampak Amiera sedang ke hulu-hilir membawa beberapa buah buku lebar ke
tengah pejabat. Duduk di meja bersama Betty. Kedua-duanya begitu tekun membelek
buku berkelebaran 12 inci.
“Yang tu...” Adlan menuding jari.
“Apa?” Iskandar turut menjengah.
“Betty? Takkan kau dah lupa kut?”
aju Iskandar pula.
Adlan menggeleng. “Sorang lagi.”
“Oh, itu Amiera. Baru lima enam
bulan aku hire dia kerja sini,” jelas Iskandar.
Spontan, lentur senyum Adlan naik
tinggi ke pipi.
“Lain macam aje aku tengok kau.”
Iskandar curiga.
Adlan pantas menggeleng.
‘ASTAGHFIRULLAH...’
Amiera elus dada. Dia bawa tubuh bersembunyi di sebalik tiang sebesar dua
pemeluk manusia. Cuba mengelak terkena tempias air hujan yang kian lebat
membasahi bumi Tuhan.
Sesekali, jam tangan dikerling
rakus. Hampir setengah jam dia terpacak umpama tiang seri bangunan dua tingkat
milik Datuk Rizal, bapa kepada majikannya. Doanya dalam hati agar hujan segera
teduh dan guruh serta kilat yang sabung menyabung minggir daripada
terus-terusan menggegarkan hati sendiri.
“Eh, kau tak balik lagi?” Kak Mila
yang sudah bersiap-siap dengan payung di tangan, sempat menegur.
“Hujan kak. Bagi teduh sikit,” ujar
Amiera.
“Hati-hati tu bawa motor. Jangan
merempit.” Kak Mila mengingatkan.
Amiera tersengih. “Nak merempit
apanya, kak? Hujan macam ni.”
Kak Mila ketawa. Kain diangkat
sedikit melepasi buku lali.
“Akak balik dululah. Tu, hubby dah
tunggu tu. Nanti lambat, dia bising!” Kak Mila melambai tangan ke udara sebelum
tubuh sedikit gempal itu hilang ditelan perut kereta.
“Amiera!”
Amiera terperanjat. Tubuh berkalih
ke kanan. Ekor mata menyoroti sebuah Proton Preve merah berkilat dengan
tingkapnya terbuka separuh. Dia menunduk, cuba melihat wajah yang tersembunyi
dari penglihatan.
“Come!” Suara itu memanggil lagi.
Dahi sudah berlapis-lapis.
“Encik Adlan?” Bulat matanya.
“Cepat! Saya hantar awak balik. Nak
tunggu hujan berhenti, sampai malam buta nanti. Come!”
Tanpa bertangguh, Amiera meluru ke
arah kereta itu. Buru-buru dia menyumbat tubuh ke dalam kenderaan tersebut.
“Here...” Adlan mengunjuk sekotak
tisu. “Tu... lap air hujan tu.”
Amiera menurut. Sekilas, dia
menoleh.
“Terima kasih,” ucapnya.
“Tak sangka, jumpa awak dekat sini
pula.” Adlan berkata perlahan, disulami sebuah senyuman mekar membasahi bibir.
“Saya pun. Ingat pelanduk dua
serupa.”
Meletus tawa Adlan. Brek kaki
ditekan pada saat lampu merah menyala di tengah simpang empat yang menemukan
laluan masuk ke jalan utama.
“Esok...awak pergi kerja dengan
saya, okay?”
Roman wajah Amiera menggambarkan apa
yang sedang bermain dalam kepala. Diikuti dengan kerut dahi yang semakin dalam.
Adlan ketawa lagi. “Bukan ke
motosikal awak dah tinggal depan office tadi?” Kening dijongket tinggi.
Amiera tepuk dahi. Dia lupa. Dalam
segan, dia buka mulut, “Tak apa ke?”
“Kalau saya kisah, saya tak pelawa
tau,” canda Adlan.
Senyuman tidak mampu disembunyikan
lagi.
DIA mahukan ibu!
Tetapi kenapa semua manusia itu seakan memisahkan dia dari ibu? Dari jauh, dia
lihat ibu diangkat oleh beberapa orang lelaki berpakaian biru. Jasad kaku ibu
dimasukkan ke dalam beg warna hitam.
Zapppp!
Sekali tarik, jasad ibunya langsung
tenggelam dalam beg tersebut.
“Ibu!”
Jeritannya tidak diendahkan. Seorang
wanita yang duduk berhampiran dengannya cuba menghalang dia daripada mendekati
tempat itu.
Dia mahu ibu!
Dia hendak peluk ibu!
Tidakkah semua orang memahami
kehendak hatinya?
“AMIERA, bangun!”
Adlan menunjal tubuh Amiera berkali-kali. Tiada sebarang tindak balas melainkan
ulas bibir Amiera terus-terusan menitip bicara yang tidak difahami.
“Bangunlah!” sergahnya. Selajur
menepuk pipi Amiera sehingga membuatkan mata yang terkatup lama itu kembali
celik. Amiera terpinga-pinga. Dia menoleh sekilas.
“Kenapa dengan awak ni” Sebelah
kening dijongket tinggi. Aneh melihat ulah Amiera. Sebermula lena itu
menggeluti diri, Amiera bertingkah pelik. Bibirnya bergerak-gerak membutirkan bicara
halus, cukup asing dipendengaran.
Amiera menggeleng laju.
“Dah sampai dah ni,” beritahu Adlan.
Tali pinggang keledar segera ditanggalkan daripada merentangi tubuh.
“Oh... oh ye...” Amiera berusaha
melepaskan diri. Entah kenapa, tali pinggang keledar itu sukar dileraikan. Dia
hampir lemas!
“Hei... hei... perlahan-lahan. Awak
kelam-kabut macam ni, memanglah susah nak tanggalkan benda ni. Cuba sabar,”
omel Adlan.
“Terima kasih.” Sepantas kilat,
Amiera meluru keluar. Pintu dihempas kuat.
Adlan terkebil-kebil memerhatikan
langkah laju gadis itu.
“KENAPA Edi tak
balik masa arwah daddy tengah nazak?”
Bergema suara wanita itu.
Melantun-lantun.
Adlan langsung tidak terkejut.
Kewujudan wanita itu sedia diperasani sebaik ternampak sepasang kasut tumit tinggi
diletak elok atas rak.
“I ask you, Edi.” Rozita meninggikan
suara apabila Adlan buat tidak endah. Lengan Adlan direntap perlahan. Pemuda
itu pegun di tempatnya berdiri.
“I’m tired.” Sepatah Adlan menjawab.
Malas melayani bebelan wanita itu. Dia hendak melangkah pergi namun Rozita
masih enggan melepaskannya. Perlahan-lahan, Adlan menghela nafas panjang dan
kedengaran berat.
“Edi tak menjawab pertanyaan mummy.
Mummy tanya, kenapa Edi langsung tak balik? Edi tahu tak, sepanjang masa, daddy
tanyakan Edi.”
Adlan memaling wajah. Tajam memerhatikan
Rozita.
“He’s not my father!” tegas Adlan.
Serta-merta, pegangan erat di lengan
Adlan beransur lerai.
“Daddy dah tak ada, sayang.” Rias
mendung merauti roman Rozita. Sungguh, dia terkilan. Adlan masih enggan
menerima Ahmad Saufi dalam keluarga kecil mereka.
Otot-otot muka melentur senyum yang
kelihatan sinis sekali. Adlan melirik sekilas ke arah ibunya. Sayu wajah wanita
itu langsung tidak menjentik ulu jantung. Dia bagai kayu. Hati seumpama batu.
“Sama ada dia hidup atau mati, I
don’t really care.”
“Adlan Hakim!” Rozita mengancing
gigi. Bicara Adlan benar-benar melampau.
Tanpa sepatah kata, Adlan
meninggalkan Rozita di ruang tamu itu bersendirian. Sebaik sampai ke bilik,
tubuh dihempas kasar di atas sebuah kerusi yang terletak di penjuru bilik,
berhampiran katil.
“Daddy? Huh!” Jari-jemari rakus
melonggarkan cerutan tali leher yang membelit batang leher.
ROZITA terduduk di
kerusi. Anak mata melorong ke tingkat atas. Dentuman pintu dihempas kuat tadi
masih berdesing di telinga. Dada dielus perlahan. Dia sudah lama bersabar
dengan kerenah satu-satunya putera hasil perkahwinannya yang pertama- Adlan
Hakim.
Sayu hati tatkala ulas bibir
suaminya sentiasa menyebut nama Adlan, walhal anak muda itu langsung tidak sudi
menghadirkan diri demi mengubati kerinduan sang ayah. Sehingga nafas terakhir,
Adlan tidak muncul. Malah, pengkebumian Ahmad Saufi juga kosong tanpa kehadiran
Adlan yang dikatakan begitu sibuk di bumi Sabah.
Pelipis dahi diurut perlahan.
Pening! Kepalanya pusing memikirkan sikap Adlan. Sengajakah Adlan bertindak
sebegini rupa semata-mata ingin menyakiti hati dia? Benarkah Adlan tidak peduli
sama sekali? Hati itu... dinginnya bagai tiada tara.
Rozita bersandar lemah di sofa.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
7 comments:
Haha....mgu lps sy tgk dh tukar tajuk..mula2 igt salah masuk blog..rupanya betul...heeee
tq for tis n3...dh stat nk warm up dh citer ni..
Tukar awal2 sementara entri masih secoet hihi :)
Terima ksih selalu singgah baca dan drop komen :) Terharu betol! :')
Saya suka ur storyline...awak ada buku yg dh diterbitkan x? Kalau ada bgtau la..saya suka review novel yg ada potential...ni link pada blog saya www.nveloaddct.blogspot.com ;-)
Kite dah jejak blog awk dah :) ada review novel yg power2 mcm RM, Hanina Abdullah yg awesome tu!hihi mcm tak lyk je first baby kite nak direview :) Percubaan pertama yg byk kekurangan sana sini :)
Setiap karya ada kelebihan dan kekurangan...garapam pertama kalau ada terkucil tu mmg perkara biasa kan? Tp sy sokong hasil2 karya penulis2 yang ada potential mcm awak. I am a hard person to please when it comes to books. Tp karya anda berjaya menarik perhatian sy. Saya suka bagi review yg dtg terus dari hati sy. Bila dh keluar buku nnt..boleh la sy beli dan buat review utk awak. Review tu nnt sy boleh share kat fb dgn rakan2 lain. Nnt boleh la dorg beli buku awak di pasaran kan? Hi3...Hanina pun x tahu sy buat review novel dia until sy bgtau dgn dia mgu lps...hehehe..n dia mmg sporting! :D
Terharu gila bila sis ckp mcm tu :') thnks byk2!
InsyaAllah..kalau dah ada versi cetak,kite uar2kan :)
@ada
Hai ada :)
Thank u sudi baca sini :)
Post a Comment