"...Say Alhamdulillah for everything..."
Bab 6
BIARPUN mereka
sudah kembali menjejak lantai bumi yang sama, keadaan kekal seperti dahulu.
Malah kian meruncing. Adlan dengan kedegilannya, manakala Rozita semakin
terjerut jiwa.
“Mak tahu kan, macam mana sayangnya
arwah dekat Adlan?” Rozita menghela nafas panjang. Cukup memberati rengkungan
yang terasa menyempit.
Ku Embok terdiam. “Dahlah tu, Ita.”
Rozita cuba mengawal perasaan sebak.
Benar, dia terkilan.
“Orang pertama yang arwah cari...
Adlan. Buka mata, nama Adlan yang dia sebut.
Sampai sekarang ni saya ingat, mak. Adlan tu...” Bibir diketap rapat.
Wajah yan berarak mendung itu kian ketara berombak ganas.
“Adlan tu bukan sengaja. Dia sibuk.
Lagipun, jauh dari Sabah nak ke sini.”
“Jauh? Kita dah tak perlu berakit
nak lepasi sempadan negara, mak!” Rozita membangkang.
“Saya tahu, dia sengaja nak sakitkan
hati saya. Dia memang tak sudi tatap muka orang yang dah banyak berkorban untuk
dia. Dari sekecil-kecil hal, sampai sebesar-besar perkara, Adlan sentiasa
didahulukan arwah Abang Saufi. Saya malu, mak. Malu! Malu pada arwah, malu pada
mak.” Kepala digeleng tanda kesal yang amat. Tubir mata kian memberat. Nyaris
tumpah airmata yang dibenteng dengan semampu boleh.
“Adlan tak pernah sukakan arwah...”
Rozita tidak mampu meneruskan kata-kata. Ulu jantung bagai direntap kuat.
Bentakan Adlan tempoh hari kuat mengetuk gegendang telinga sehingga berderai.
“He’s
not my father.”
“Sama ada dia hidup atau mati, I don’t really care.”
Berulang-ulang kali suara keras
Adlan menemani siang dan malam. Sukar untuknya melenyapkan bentakan itu sekelip
mata. Hati benar-benar terusik. Ahmad Saufi manusia berhati budiman. Lelaki
yang paling baik pernah ditemui. Tetapi mengapa kebaikan arwah suaminya tidak
menembusi jiwa Adlan? Sudah butakah hati anak lelakinya itu?
“Ita, Adlan tu budak baik. Mak tahu,
dia sayangkan kita semua. Cuma... ada sesuatu yang terkunci dalam hati budak
tu. Tentu Ita tahu, kan? Adlan bersikap macam ni sejak dulu bukan tak bersebab.
Itu pun Ita tahu, kan?” Rendah suara Ku Embok berbicara.
Terasa nafasnya diputuskan secara
paksa. Tiada kata pun mampu dihambur ketika itu. Fikirannya dipenuhi dengan
bayangan wajah Adlan Hakim.
“Kita doakan, satu hari nanti...
Adlan kembali pada kita. Adlan yang dah lama Ita rindu...”
Rozita menoleh. Paras berkedut Ku
Embok ditatap dengan pelbagai perasaan merusuh ke dalam relung jiwa.
JARI-JARI dileret
pada batu nisan yang diukir nama si mati bersama pembutiran tarikh lahir serta
tarikh kematian di tengah-tengahnya. Adlan meneliti satu per satu ukiran dalam
tulisan jawi itu.
‘Badrul Hisham bin Jasmani.’
Satu nama yang diingati sampai mati.
Nama yang tertera sebaris dengan nama miliknya.
“Ayah...” Perlahan suara Adlan
membisik panggilan itu.
“MAK kau tu
tinggalkan aku sebab nak kahwin dengan orang kaya. Dia mana nak hidup susah
dengan aku. Tak nak! Aku ni buruk, hina, tak kaya macam bapak baru kau tu,”
kata Badrul sambil menghembus kepulan asap putih dari mulut dan hidungnya.
Adlan duduk terpunduk di atas tangga
kayu hanya memandang sepi wajah ayahnya. Dari hujung kepala ke hujung kaki
diperhati keadaan fizikal lelaki itu. Susut tubuh ayah semakin ketara. Kurus
sehingga menampakkan tulang-temulang di bahagian dada. Muka semakin cengkung.
Batuk keras sentiasa menjadi teman setia ayah di rumah usang ini.
“Tentu hidup kau mewah, kan? Bapak
kau tu kaya, banyak duit. Muda lagi. Patutlah emak kau minta cerai dari aku.”
Terherot-herot mulut Badrul ketika berkata-kata. Rokok dihisap dengan rakus
sekali.
“Aku ni, apa ada? Tentu kau pun
gembira bila tak perlu duduk dengan aku lagi,” lanjutnya. Sorotan anak mata
menerjah ke paras Adlan.
“Ayah jangan cakap macam tu. Edi tak
pernah gembira tinggal dengan suami baru mummy,” keluh Adlan. Duduknya sudah
beralih posisi. Kini dia berada dekat dengan Badrul.
“Mummy?” Spontan Badrul ketawa
terbahak-bahak.
“Perempuan tu suruh kau panggil dia
mummy pula?” cebik Badrul.
“Dia tak pernah bersyukur dengan apa
yang dia ada. Tak pernah puas!” Badrul mengurut dada sendiri. Seolah sedang
dihimpit sesuatu yang keras. Nafas dihela perlahan.
CECAIR jernih
mengalir keluar dari celah-celah kelopak mata yang dikatup rapat. Betapa hiba
perasaannya saat imbasan wajah lesu dan cengkung ayahnya menabiri ingatan.
Setiap butir bicara Badrul kekal tersemat dalam kepala.
Sebagai anak remaja yang baru
menginjak empat belas tahun, pastinya dia tidak mampu menghalang penceraian itu
daripada berlaku. Waima dia sendiri tidak pernah tahu bila hubungan ibu dan
ayahnya berantakan, seterusnya membawa kepada perpisahan.
Kata ayah yang sering mengetuk jendela
telinga, ibu pilih untuk berpisah kerana seorang lelaki bujang kaya bernama
Ahmad Saufi. Ibu mahu hidup senang. Ibu enggan tinggal di rumah buruk itu lagi.
Pernah dia bertanya kepada ibu, namun wanita itu enggan buka mulut. Sebab
musabab yang dia ingin tahu langsung tidak menjengah pendengaran.
Dalam tidak rela, dia diheret keluar
dari rumah ayah. Dia menangis dalam hati. Dari jauh dia nampak ayah meleret
pandangan ke arah kereta besar yang dipandu Ahmad Saufi. Hati memberontak kasar
namun dirinya terus berteleku diam tidak berkutik.
Tanpa pengetahuan ibu, setiap kali
tiba musim cuti persekolahan, sekembalinya dia dari asrama, jejak kaki dibawa
melangkah ke rumah ayah. Biar ayah menyambut dia ala kadar- barangkali tersisa
amarah ekoran tindakan ibu, namun dia tetap jadi peneman setia ayah walau untuk
beberapa jam sahaja. Itu cukup memadai. Malahan, dia menghulur wang ringgit
kepada ayah hasil daripada wang saku pemberian Ahmad Saufi yang disimpannya
sendiri. Senyuman ayah waktu itu sungguh lebar. Ayah memuji dirinya sebagai
seorang anak yang baik, tidak lupa pada ayah walau sudah ada keluarga baru yang
serba-serbi kaya.
Ya Allah, dia merindui ayah. Kesal
kerana sewaktu ayah sakit, dia tidak menemani ayah. Tatkala malaikat maut
datang mencabut nyawa, dia tiada di sisi ayah, lantaran ayah telah berpindah ke
tempat lain beberapa bulan sebelum ayah meninggal dunia. Mujur jasad ayah
dikuburkan di tanah tempat lelaki itu dilahirkan.
“Ayah... saya rindukan ayah.”
Tangisan halus seakan memenuhi setiap ceruk tanah kubur yang serba sunyi.
“HUJUNG minggu
nanti, Edi datang tidur sini ya.” Ku Embok curi-curi pandang menantunya di
ceruk dapur. Bila dia terdengar esak tangis Rozita lewat malam semalam, ulu
jantung seumpama dihiris nipis. Rozita tampak tabah diluar, namun hatinya
terlalu rapuh. Sekian lama memendam perasaan sendirian.
“Edi?” Mendatar suara Ku Embok
apabila pertanyaannya dibiar sepi.
“Mmm...” Adlan menyahut perlahan.
Ku Embok menolak cermin mata yang
melorot ke hujung hidung. Kemudian, dia tarik nafas panjang.
“Datang, ya? Dah lama kita tak
habiskan masa sama-sama. Hari tu pun, Edi singgah sekejap sangat.” Wanita tua
itu memujuk lagi.
“Emak tak payah nak pujuk dia datang
sini kalau dia tak sudi,” kata Rozita sambil melenggang jalan melintasi Ku
Embok.
Terkejut bukan kepalang dibuatnya.
Ku Embok mengerutkan muka.
“Eh kamu ni Ita. Ada pula cakap
macam tu. Edi ni nak datang, cuma sibuk.” Cepat bibirnya melontar bicara.
“Kalau dia datang pun hati tak
ikhlas, baik tak payah. Emak pun tak perlu nak telefon dia banyak kali. Sibuk,
kan?” Rozita menyahut geram. Dia tahu Adlan masih berada dalam talian. Sengaja
berkata begitu dengan nada suara yang kuat.
Ku Embok kembali melekap telefon ke
telinga. “Edi?”
“Nek, saya nak balik dah ni. Nanti
saya call nenek. Kirim salam dekat Elly.”
“Edi dari mana?” tanya Ku Embok.
“Ziarah kubur ayah. Fasal bermalam
dekat sana tu, nantilah saya fikirkan. Memang tengah sibuk sekarang ni. Jadi
tak ada masa nak mengular sangat,” jawab Adlan serba ringkas.
Dan selepas itu, panggilan tersebut
diputuskan.
Ku Embok lambat-lambat meletak
ganggang telefon berwarna merah hati itu di atas meja berhampiran ruang tamu.
KERETA bergerak
perlahan memasuki perkarangan rumah. Setelah mematikan enjin, dia duduk
bersandar dengan kepala mendongak ke atas dan mata terpejam rapat.
“Kalau Edi sayang ibu, Edi kena ikut
ibu.”
“Ke mana?”
“Tinggal jauh dari sini.”
Andai dia mampu menebak makna di
sebalik kata-kata Rozita lama dulu, pastinya dia memilih untuk terus setia
berada di samping ayah, bukan seperti sekarang. Setiap butir bicara yang keluar
dari mulut ayah, terus-terusan berdengung dalam kepala, sehingga menyebabkan
hati semakin ingkar pada satu tuntutan dari Tuhan, hormati dan taati seorang
manusia bergelar ibu.
‘Ibu wanita jahat.’
‘Ibu perempuan mata duitan.’
“Ibu kejar harta dunia.’
‘Ibu curangi ayah.’
Mata terbuka serta-merta. Benar,
Rozita tiada melambangkan peribadi seorang ibu yang harus dia hormati. Sejak
bertahun dulu, rasa itu telah hilang dan kian terhapus dalam diri.
Lambat-lambat, dia bawa kaki memijak
lantai garaj kereta. Kemudian, tubuhnya yang hampir dua jam tersandar di kerusi
pemandu, diregangkan semua tulang-temulang. Lenguh segala sendi. Punggung juga
naik kebas.
“Bunga kau ni dah nak matilah, Yana.
Kenapa kau tak siram?”
“Alah, tak sempat. Kau tolonglah
siram alang-alang tu.”
Perbualan itu sempat menjengah anak
telinga. Lantas, dia mendekati tembok setinggi lima kaki. Kepala menjenguk ke
seberang sana.
“Aku juga jadi bibik siram bunga
kau,” omel Maya.
“Dapat pahala tau tolong member,”
sahut Dayana dari dalam rumah.
Maya mencebik.
“Muka tu... kalau kerut macam tu,
nanti bunga tak mahu hidup tau,” tegur Adlan.
Maya terperanjat. Getah paip
terlepas dari pegangan.
Adlan ketawa kecil. “Sorry,” katanya
sambil angkat tinggi tangan kanan.
Getah paip dikutip semula. Kepala
getah berkenaan dihala ke arah deretan pasu bunga berhampiran tembok.
“Banyak pokok bunga,” gumam Adlan.
“Semua ni, Yana yang tanam. Tapi
saya yang jadi bibiknya. Harapkan minah seorang tu, memang mati keringlah
bunga-bunga ni semua,” ujar Maya sambil mengulum senyum.
“Okeylah tu. Jimat belanja. Ada
khidmat bibik percuma.” Adlan bercanda. Mukanya meriak riang.
“Itulah. Bibik free of charge. Kalau
awak nak cuba penangan bibik ni, just let me know.”
Adlan jongket kening. “Daripada jadi
bibik, baik saya ambil terus jadi bini.” Terkekeh-kekeh lelaki itu ketawa.
Sampai lentur pipinya naik ke atas.
“Jadi bini tu bukan bibik, tapi
madam,” tuntas Maya seraya senyumnya tadi bertukar menjadi tawa yang bersahut-sahutan.
“Dari pagi tak nampak muka. Rumah
pun senyap sunyi aje.” Getah paip dililit pada meter paip.
“Dating eh?” Dia menduga nakal.
Adlan sembunyi senyum. “Ada hal
sikit.”
“Datinglah tu.” Giat Maya mengusik.
Adlan memandang jauh ke dalam rumah
sebelah yang ditabiri kain langsir. Kemudian, wajah Maya dicari kembali.
“Tak nampak Amiera pun,” katanya.
“Hujung minggu macam ni, Amiera
memang tak lekat dekat rumah,” beritahu Maya.
“Keluar dengan pakwelah tu.” Seperti
mana Maya menduga dia tadi, konklusi sama dilontar sama.
“Dia tu nak dating? Pakwe pun tak
ada lagi, Adlan oi. Single and available. Nak cuba masuk jarum ke?” Kening
sudah naik tinggi.
Pantas Adlan geleng kepala. “Eh,
taklah. Tanya aje.”
“Biasanya dia pergi rumah mak ayah
dia. Dari pagi sampai petang nanti baru balik sini.”
Tanpa mengira letih yang asyik
menggeluti tubuh sejak tadi, Adlan terus setia bertinggir dagu atas tembok.
Nama Amiera sering kali menjadi mainan bibir Maya.
“Dia tu takut darah tau. Sampai
boleh bawa pengsan.”
Tawanya langsung terburai.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
3 comments:
Nice...santai2 di tahun baru..xde plot yg menyentap..hi3..
HNY, dik.....moga tahun 2014 ni membuka pelbagai lembaran baru utk awak ya ;-)
@fizz larn
HNY 2 u too sis :)
Amin..mudah mudahan lembaran baru lebih baik dari tahun sblm ni :)
Kite takkan pnt ucap thnx u dekat sis sbb sudi terjah blog sememeh ni hihi :)
Selamat tahun baru cik penulis.Jgn pernah berhenti menghasilkan karya2 yg indah :)
Post a Comment