Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 6.

Assalamualaikum.









"...Say Alhamdulillah for everything..."









Bab 6
BIARPUN mereka sudah kembali menjejak lantai bumi yang sama, keadaan kekal seperti dahulu. Malah kian meruncing. Adlan dengan kedegilannya, manakala Rozita semakin terjerut jiwa.
            “Mak tahu kan, macam mana sayangnya arwah dekat Adlan?” Rozita menghela nafas panjang. Cukup memberati rengkungan yang terasa menyempit.
            Ku Embok terdiam. “Dahlah tu, Ita.”
            Rozita cuba mengawal perasaan sebak. Benar, dia terkilan.
            “Orang pertama yang arwah cari... Adlan. Buka mata, nama Adlan yang dia sebut.  Sampai sekarang ni saya ingat, mak. Adlan tu...” Bibir diketap rapat. Wajah yan berarak mendung itu kian ketara berombak ganas.
            “Adlan tu bukan sengaja. Dia sibuk. Lagipun, jauh dari Sabah nak ke sini.”
            “Jauh? Kita dah tak perlu berakit nak lepasi sempadan negara, mak!” Rozita membangkang.
            “Saya tahu, dia sengaja nak sakitkan hati saya. Dia memang tak sudi tatap muka orang yang dah banyak berkorban untuk dia. Dari sekecil-kecil hal, sampai sebesar-besar perkara, Adlan sentiasa didahulukan arwah Abang Saufi. Saya malu, mak. Malu! Malu pada arwah, malu pada mak.” Kepala digeleng tanda kesal yang amat. Tubir mata kian memberat. Nyaris tumpah airmata yang dibenteng dengan semampu boleh.
            “Adlan tak pernah sukakan arwah...” Rozita tidak mampu meneruskan kata-kata. Ulu jantung bagai direntap kuat. Bentakan Adlan tempoh hari kuat mengetuk gegendang telinga sehingga berderai.
            “He’s not my father.”
            “Sama ada dia hidup atau mati, I don’t really care.
            Berulang-ulang kali suara keras Adlan menemani siang dan malam. Sukar untuknya melenyapkan bentakan itu sekelip mata. Hati benar-benar terusik. Ahmad Saufi manusia berhati budiman. Lelaki yang paling baik pernah ditemui. Tetapi mengapa kebaikan arwah suaminya tidak menembusi jiwa Adlan? Sudah butakah hati anak lelakinya itu?
            “Ita, Adlan tu budak baik. Mak tahu, dia sayangkan kita semua. Cuma... ada sesuatu yang terkunci dalam hati budak tu. Tentu Ita tahu, kan? Adlan bersikap macam ni sejak dulu bukan tak bersebab. Itu pun Ita tahu, kan?” Rendah suara Ku Embok berbicara.
            Terasa nafasnya diputuskan secara paksa. Tiada kata pun mampu dihambur ketika itu. Fikirannya dipenuhi dengan bayangan wajah Adlan Hakim.
            “Kita doakan, satu hari nanti... Adlan kembali pada kita. Adlan yang dah lama Ita rindu...”
            Rozita menoleh. Paras berkedut Ku Embok ditatap dengan pelbagai perasaan merusuh ke dalam relung jiwa.

JARI-JARI dileret pada batu nisan yang diukir nama si mati bersama pembutiran tarikh lahir serta tarikh kematian di tengah-tengahnya. Adlan meneliti satu per satu ukiran dalam tulisan jawi itu.
            ‘Badrul Hisham bin Jasmani.’
            Satu nama yang diingati sampai mati. Nama yang tertera sebaris dengan nama miliknya.
            “Ayah...” Perlahan suara Adlan membisik panggilan itu.

“MAK kau tu tinggalkan aku sebab nak kahwin dengan orang kaya. Dia mana nak hidup susah dengan aku. Tak nak! Aku ni buruk, hina, tak kaya macam bapak baru kau tu,” kata Badrul sambil menghembus kepulan asap putih dari mulut dan hidungnya.
            Adlan duduk terpunduk di atas tangga kayu hanya memandang sepi wajah ayahnya. Dari hujung kepala ke hujung kaki diperhati keadaan fizikal lelaki itu. Susut tubuh ayah semakin ketara. Kurus sehingga menampakkan tulang-temulang di bahagian dada. Muka semakin cengkung. Batuk keras sentiasa menjadi teman setia ayah di rumah usang ini.
            “Tentu hidup kau mewah, kan? Bapak kau tu kaya, banyak duit. Muda lagi. Patutlah emak kau minta cerai dari aku.” Terherot-herot mulut Badrul ketika berkata-kata. Rokok dihisap dengan rakus sekali.
            “Aku ni, apa ada? Tentu kau pun gembira bila tak perlu duduk dengan aku lagi,” lanjutnya. Sorotan anak mata menerjah ke paras Adlan.
            “Ayah jangan cakap macam tu. Edi tak pernah gembira tinggal dengan suami baru mummy,” keluh Adlan. Duduknya sudah beralih posisi. Kini dia berada dekat dengan Badrul.
            “Mummy?” Spontan Badrul ketawa terbahak-bahak.
            “Perempuan tu suruh kau panggil dia mummy pula?” cebik Badrul.
            “Dia tak pernah bersyukur dengan apa yang dia ada. Tak pernah puas!” Badrul mengurut dada sendiri. Seolah sedang dihimpit sesuatu yang keras. Nafas dihela perlahan.

CECAIR jernih mengalir keluar dari celah-celah kelopak mata yang dikatup rapat. Betapa hiba perasaannya saat imbasan wajah lesu dan cengkung ayahnya menabiri ingatan. Setiap butir bicara Badrul kekal tersemat dalam kepala.
            Sebagai anak remaja yang baru menginjak empat belas tahun, pastinya dia tidak mampu menghalang penceraian itu daripada berlaku. Waima dia sendiri tidak pernah tahu bila hubungan ibu dan ayahnya berantakan, seterusnya membawa kepada perpisahan.
            Kata ayah yang sering mengetuk jendela telinga, ibu pilih untuk berpisah kerana seorang lelaki bujang kaya bernama Ahmad Saufi. Ibu mahu hidup senang. Ibu enggan tinggal di rumah buruk itu lagi. Pernah dia bertanya kepada ibu, namun wanita itu enggan buka mulut. Sebab musabab yang dia ingin tahu langsung tidak menjengah pendengaran.
            Dalam tidak rela, dia diheret keluar dari rumah ayah. Dia menangis dalam hati. Dari jauh dia nampak ayah meleret pandangan ke arah kereta besar yang dipandu Ahmad Saufi. Hati memberontak kasar namun dirinya terus berteleku diam tidak berkutik.
            Tanpa pengetahuan ibu, setiap kali tiba musim cuti persekolahan, sekembalinya dia dari asrama, jejak kaki dibawa melangkah ke rumah ayah. Biar ayah menyambut dia ala kadar- barangkali tersisa amarah ekoran tindakan ibu, namun dia tetap jadi peneman setia ayah walau untuk beberapa jam sahaja. Itu cukup memadai. Malahan, dia menghulur wang ringgit kepada ayah hasil daripada wang saku pemberian Ahmad Saufi yang disimpannya sendiri. Senyuman ayah waktu itu sungguh lebar. Ayah memuji dirinya sebagai seorang anak yang baik, tidak lupa pada ayah walau sudah ada keluarga baru yang serba-serbi kaya.
            Ya Allah, dia merindui ayah. Kesal kerana sewaktu ayah sakit, dia tidak menemani ayah. Tatkala malaikat maut datang mencabut nyawa, dia tiada di sisi ayah, lantaran ayah telah berpindah ke tempat lain beberapa bulan sebelum ayah meninggal dunia. Mujur jasad ayah dikuburkan di tanah tempat lelaki itu dilahirkan.
            “Ayah... saya rindukan ayah.” Tangisan halus seakan memenuhi setiap ceruk tanah kubur yang serba sunyi.

“HUJUNG minggu nanti, Edi datang tidur sini ya.” Ku Embok curi-curi pandang menantunya di ceruk dapur. Bila dia terdengar esak tangis Rozita lewat malam semalam, ulu jantung seumpama dihiris nipis. Rozita tampak tabah diluar, namun hatinya terlalu rapuh. Sekian lama memendam perasaan sendirian.
            “Edi?” Mendatar suara Ku Embok apabila pertanyaannya dibiar sepi.
            “Mmm...” Adlan menyahut perlahan.
            Ku Embok menolak cermin mata yang melorot ke hujung hidung. Kemudian, dia tarik nafas panjang.
            “Datang, ya? Dah lama kita tak habiskan masa sama-sama. Hari tu pun, Edi singgah sekejap sangat.” Wanita tua itu memujuk lagi.
            “Emak tak payah nak pujuk dia datang sini kalau dia tak sudi,” kata Rozita sambil melenggang jalan melintasi Ku Embok.
            Terkejut bukan kepalang dibuatnya. Ku Embok mengerutkan muka.
            “Eh kamu ni Ita. Ada pula cakap macam tu. Edi ni nak datang, cuma sibuk.” Cepat bibirnya melontar bicara.
            “Kalau dia datang pun hati tak ikhlas, baik tak payah. Emak pun tak perlu nak telefon dia banyak kali. Sibuk, kan?” Rozita menyahut geram. Dia tahu Adlan masih berada dalam talian. Sengaja berkata begitu dengan nada suara yang kuat.
            Ku Embok kembali melekap telefon ke telinga. “Edi?”
            “Nek, saya nak balik dah ni. Nanti saya call nenek. Kirim salam dekat Elly.”
            “Edi dari mana?” tanya Ku Embok.
            “Ziarah kubur ayah. Fasal bermalam dekat sana tu, nantilah saya fikirkan. Memang tengah sibuk sekarang ni. Jadi tak ada masa nak mengular sangat,” jawab Adlan serba ringkas.
            Dan selepas itu, panggilan tersebut diputuskan.
            Ku Embok lambat-lambat meletak ganggang telefon berwarna merah hati itu di atas meja berhampiran ruang tamu.

KERETA bergerak perlahan memasuki perkarangan rumah. Setelah mematikan enjin, dia duduk bersandar dengan kepala mendongak ke atas dan mata terpejam rapat.
            “Kalau Edi sayang ibu, Edi kena ikut ibu.”
            “Ke mana?”
            “Tinggal jauh dari sini.”
            Andai dia mampu menebak makna di sebalik kata-kata Rozita lama dulu, pastinya dia memilih untuk terus setia berada di samping ayah, bukan seperti sekarang. Setiap butir bicara yang keluar dari mulut ayah, terus-terusan berdengung dalam kepala, sehingga menyebabkan hati semakin ingkar pada satu tuntutan dari Tuhan, hormati dan taati seorang manusia bergelar ibu.
            ‘Ibu wanita jahat.’
            ‘Ibu perempuan mata duitan.’
            “Ibu kejar harta dunia.’
            ‘Ibu curangi ayah.’
            Mata terbuka serta-merta. Benar, Rozita tiada melambangkan peribadi seorang ibu yang harus dia hormati. Sejak bertahun dulu, rasa itu telah hilang dan kian terhapus dalam diri.
            Lambat-lambat, dia bawa kaki memijak lantai garaj kereta. Kemudian, tubuhnya yang hampir dua jam tersandar di kerusi pemandu, diregangkan semua tulang-temulang. Lenguh segala sendi. Punggung juga naik kebas.
            “Bunga kau ni dah nak matilah, Yana. Kenapa kau tak siram?”
            “Alah, tak sempat. Kau tolonglah siram alang-alang tu.”
            Perbualan itu sempat menjengah anak telinga. Lantas, dia mendekati tembok setinggi lima kaki. Kepala menjenguk ke seberang sana.
            “Aku juga jadi bibik siram bunga kau,” omel Maya.
            “Dapat pahala tau tolong member,” sahut Dayana dari dalam rumah.
            Maya mencebik.
            “Muka tu... kalau kerut macam tu, nanti bunga tak mahu hidup tau,” tegur Adlan.
            Maya terperanjat. Getah paip terlepas dari pegangan.
            Adlan ketawa kecil. “Sorry,” katanya sambil angkat tinggi tangan kanan.
            Getah paip dikutip semula. Kepala getah berkenaan dihala ke arah deretan pasu bunga berhampiran tembok.
            “Banyak pokok bunga,” gumam Adlan.
            “Semua ni, Yana yang tanam. Tapi saya yang jadi bibiknya. Harapkan minah seorang tu, memang mati keringlah bunga-bunga ni semua,” ujar Maya sambil mengulum senyum.
            “Okeylah tu. Jimat belanja. Ada khidmat bibik percuma.” Adlan bercanda. Mukanya meriak riang.
            “Itulah. Bibik free of charge. Kalau awak nak cuba penangan bibik ni, just let me know.”
            Adlan jongket kening. “Daripada jadi bibik, baik saya ambil terus jadi bini.” Terkekeh-kekeh lelaki itu ketawa. Sampai lentur pipinya naik ke atas.
            “Jadi bini tu bukan bibik, tapi madam,” tuntas Maya seraya senyumnya tadi bertukar menjadi tawa yang bersahut-sahutan.
            “Dari pagi tak nampak muka. Rumah pun senyap sunyi aje.” Getah paip dililit pada meter paip.
            “Dating eh?” Dia menduga nakal.
            Adlan sembunyi senyum. “Ada hal sikit.”
            “Datinglah tu.” Giat Maya mengusik.
            Adlan memandang jauh ke dalam rumah sebelah yang ditabiri kain langsir. Kemudian, wajah Maya dicari kembali.
            “Tak nampak Amiera pun,” katanya.
            “Hujung minggu macam ni, Amiera memang tak lekat dekat rumah,” beritahu Maya.
            “Keluar dengan pakwelah tu.” Seperti mana Maya menduga dia tadi, konklusi sama dilontar sama.
            “Dia tu nak dating? Pakwe pun tak ada lagi, Adlan oi. Single and available. Nak cuba masuk jarum ke?” Kening sudah naik tinggi.
            Pantas Adlan geleng kepala. “Eh, taklah. Tanya aje.”
            “Biasanya dia pergi rumah mak ayah dia. Dari pagi sampai petang nanti baru balik sini.”
            Tanpa mengira letih yang asyik menggeluti tubuh sejak tadi, Adlan terus setia bertinggir dagu atas tembok. Nama Amiera sering kali menjadi mainan bibir Maya.
            “Dia tu takut darah tau. Sampai boleh bawa pengsan.”

            Tawanya langsung terburai.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

3 comments:

Unknown said...

Nice...santai2 di tahun baru..xde plot yg menyentap..hi3..
HNY, dik.....moga tahun 2014 ni membuka pelbagai lembaran baru utk awak ya ;-)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@fizz larn

HNY 2 u too sis :)

Amin..mudah mudahan lembaran baru lebih baik dari tahun sblm ni :)

Kite takkan pnt ucap thnx u dekat sis sbb sudi terjah blog sememeh ni hihi :)

miera said...

Selamat tahun baru cik penulis.Jgn pernah berhenti menghasilkan karya2 yg indah :)