Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab8.

Assalamualaikum.







"...Knowledge is that benefits, not that which is memorized..."









Bab 8
MELIHAT suasana rumah dua tingkat ini, telah menggamit kembali zaman kanak-kanak yang sudah ditinggalkan jauh ke belakang. Di rumah ini, dia membesar bersama anak-anak Shahreza dan Tasneem. Kasih sayang yang tiada beza. Apa yang anak-anak pasangan itu dapat, dia juga diberi sama.
            Betapa dia terhutang budi dengan keluarga kecil ini. Pohonnya dalam setiap penghujung solat agar keluarga budiman ini sentiasa dilimpahi rahmat dan mendapat kesenangan dunia dan akhirat.
            “Jauh termenung anak ibu ni.” Tasneem ambil tempat di sisi Amiera.
            Amiera tersenyum simpul. Segala macam perkara dalam kepala tadi langsung hilang sekelip mata.
            “Fikirkan apa tu?” tanya Tasneem.
            “Mana ada fikir apa-apa, bu,” jawab Amiera.
            Tasneem mengusap tangan Amiera dengan lembut. “Ingatkan buah hati?” Tebak wanita itu.
            Laju Amiera geleng kepala.
            “Ke situ pula ibu.” Panjang muncung Amiera.
            Tasneem ketawa kecil.
            “Abang Amal! Jahatlah abang ni. Bak sini telefon Sarah. Nak!”
            “Bagi abang tengok siapa yang adik duk layan sms dari tadi. Sibuk sangat gayanya.”
            Kekecohan di ruang tengah menggamit perhatian Amiera dan Tasneem. Kemudiannya mereka berdua kulum senyum. Sarah terlompat-lompat cuba merampas kembali telefon bimbitnya dari tangan Ekmal. Oleh kerana Ekmal lebih tinggi daripada Sarah, maka dengan mudah dia mengenakan adiknya itu. Tangan dijulang tinggi. Sarah mengomel marah.
            “Kak Ema mana, bu?” Amiera kalih muka. Dia menyedari Ekmal sedang merenunginya dari jauh.
            “Dia keluar. Kata ada hal tadi. Sejak akhir-akhir ni, tak lekat kat rumah betul budak tu.”
            “Jumpa bakal menantu ibu tak?” Amiera tunjuk muka nakal.
            Tasneem meleret senyum.
            “Mira ada buah hati tak?”
            Terasa lehernya dijerut dengan soalan itu. Dia yang soal, rupanya soalan itu dikembalikan kepadanya.
            “Mira single mingle lagi tau ibu,” katanya sambil buat-buat ketawa.
            “Betul ke ni?” Tasneem cuba mengorek rahsia hati gadis itu.
            Lambat-lambat Amiera mengangguk.
            Langsung lebar senyuman Tasneem. “Kalau macam tu, bolehlah ibu cari calon suami untuk Mira.”
            Serta-merta dia merasakan dunianya senyap sunyi. Ulas bibir Tasneem dilihatnya bergerak-gerak namun tiada bicara yang menerobos ke dalam telinga. Liur di telan. Pahit.
            “Apalah awak ni. Budak tu jadi beku macam tu sebab dengar awak cakap fasal calon jodoh untuk dia,” celah Shahreza.
            Ketika itu, barulah Amiera tersedar. Silih berganti pandang kedua ibu bapa angkatnya. Detak jantung makin ketara pantas.
            “Abang, kalau betul pun saya nak carikan calon suami untuk Amiera ni pun, bukannya orang lain,” cebik Tasneem.
            Tergeleng-geleng kepala Shahreza. Tidak ingin masuk campur perihal anak-anak. Namun Tasneem nampak begitu teruja bermenantukan Amiera. Cuma hasrat isterinya itu belum diluahkan kepada Ekmal mahupun Amiera.
            Amiera terkulat-kulat melayani Tasneem. Hal kahwin dan cari jodoh jadi topik perbualan ibunya. Lebih memelikkan, nama Ekmal disebut sama. Barangkali ibu mahu mereka segera mencari pasangan hidup.

“MIRA suka Amal?”
            “Bagi Mira, Amal tu baik tak?”
            “Ada tak ciri-ciri lelaki idaman Mira tu macam Amal?”
            Amiera garu kepala. Itu antara soalan Tasneem yang asyik menempa tempat dalam telinganya. Terngiang-ngiang.
            Keluhan berat meniti bibir. Kenapa ibu tanya dia macam-macam fasal Ekmal? Macamlah Ekmal yang hendak dijadikan calon suami untuknya. Kepala digeleng perlahan. Tidak mungkin!
            Setelah memastikan motosikal dikunci rapi dan pagar besi telah dimangga kemas, dia menghayun langkah masuk ke dalam rumah.
            “Adlan!”
            Pekikan itu menyebabkan kakinya beku, melekat atas lantai.
            “Adlan Hakim!” Gema suara lantang itu disertai dengan bunyi enjin kereta yang mengaum kuat. Amiera menoleh. Ketika itu, dia nampak kenderaan dipandu Adlan laju menyusuri jalan raya.
            “Sudahlah tu, Ita.” Ada suara lain bertutur lembut.
            Amiera kerut muka. Secara sembunyi-sembunyi, dia mengintai ke sebelah sana.
            ‘Siapa mereka?’ Terbersit perasaan ingin tahu.

NYARIS tersembur kopi dalam mulutnya. Buru-buru dia capai tisu lalu mengesat sisa cecair hitam yang mencemari hujung bibir.
            “Ibu cakap apa?” Ekmal bertanya. Kerut wajahnya semakin jelas ketara saat menahan batuk kasar melepasi salur trakea.
            Tasneem memandang suaminya. Mereka bertatapan buat seketika sebelum kembali merenungi Ekmal.
            “Amal tak dengar ke apa yang ibu cakap tadi?” Tasneem menyoal pula.
            Ekmal usap batang leher. Langsung tidak membalas padangan yang terarah padanya. Roman tenang Amiera kini giat melatari fikiran.
            “Ibu berkenan bermenantukan Amiera,” tutur Tasneem. Rangkai ayat itu diulangi semula.
            Semakin rancak detak jantung Ekmal mengalun debar. Terasa hendak pecah dada pun ada. Cangkir kopi diletak penuh berhati-hati.
            “Siapa?” Dia pura-pura tidak tahu.
            “Amiera mana lagi? Amiera Syazreen adik kamu itulah.” Shahreza bersuara tiba-tiba.
            Peha suaminya ditepuk kuat. Lelaki itu mengaduh sakit.
            “Abang ni! Amiera Syazreen tu anak angkat kita. Bukan adik Ekmal,” tegas Tasneem.
            Naik tinggi kening Shahreza.
“Iyalah.” Dia mengalah. Lantas angkat punggung dari situ. Hal hati dan perasaan, serah sahaja kepada isterinya. Seawal perbincangan tempoh hari, dia sudah angkat tangan tanda enggan mencampuri apa pun keputusan nanti.
            “Ibu nak Amal... Amal kahwin dengan Mira?” Lambat-lambat dia bertanya.
            Tasneem kulum senyum. Anggukan kepala menjawab pertanyaan Ekmal tadi. Ekmal telan liur. Dia tidak salah dengar, kan? Ini bukan mimpi? Atau jenaka yang sengaja dicipta untuk mengenakan dia?
            “Kan ke Amal suka Mira?” Tasneem mengambil jalan menyucuk ulu hati si teruna.
            “Apa ibu ni, tanya soalan macam tu.” Ekmal berdalih. Duduknya semakin tidak selesa. Seolah ada bara api yang sedang memanggang punggungnya.
            “Jangan tipu ibu lagilah. Ibu tahu Amal dah lama suka dekat Mira, kan?”
            “Mmm...” Ekmal garu kepala. Cukup canggung rasanya.
            “Ibu jamin, kalau ibu sendiri pergi lamar Mira untuk Amal, dia mesti terima.” Kesungguhan Tasneem membuat Ekmal resah. Bukan dia tidak tahu apa yang terbenam jauh di lubuk hati gadis itu. Amiera membenci dia.
            “Ibu sayang Mira tu macam anak sendiri. Mira anak yang baik, gadis yang sempurna untuk Amal. Dan ibu tak sanggup lepaskan Mira pada mana-mana lelaki,” jelas Tasneem. Jari-jemari Ekmal digenggam erat.
            “Tapi bu...” Ekmal berjeda seketika sebelum menyambung, “Kalau pun betul Amal suka Mira tapi Mira belum tentu suka Amal. Hati dia tu, kita tak tahu.” Sedaya-upaya menghalang niat Tasneem walau hakikatnya kebahagiaan itu sedang menyarungi seluruh jiwa.
            Tasneem angkat jari telunjuk merentangi bibirnya. Bersama kuluman senyum dia berkata, “Ibu yakin Mira akan suka Amal. Anak ibu ni kan lelaki yang baik.”
            Lelaki baik? Ibu tidak pernah tahu perbuatannya dulu telah memutikkan perasaan benci di hati Amiera padanya.
            Lenggang si ibu diperhati sehingga hilang dari penglihatan. Dia hela nafas berat kemudiannya. Bagaimana penerimaan Amiera nanti andai benar Tasneem mengotakan bicara sebentar tadi? Ekmal bersandar di kerusi.

‘KAHWIN?’ Spontan, Fatma mencebik. Nama Amiera yang disebut-sebut sepanjang perbualan antara Ekmal dan ibunya seakan menyakiti anak telinga. Apatah lagi Tasneem menyatakan perasaan sayang terhadap Amiera bagai anak sendiri.
            Macam bidadari sangatkah budak perempuan itu sehingga ibu tidak sanggup melepaskannya kepada lelaki lain? Herot bibir semakin nyata sinisnya.
            Fatma memanjat anak tangga ke biliknya. Pintu ditutup rapat dan dikunci. Dia rebah bersama hati yang tiba-tiba bertukar hangat.
Seisi dalam rumah ini terlalu mementingkan Amiera. Menatang Amiera seumpama gadis itulah puteri alam kayangan. Dia mencebik lagi. Menzahirkan rasa tidak puas hati yang bertimbun sejak dulu.ayat.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

4 comments:

Unknown said...

Hai...sabar la hati..sabar la jiwa..napa la tuan tanah up n3 seminggu sekali je...hai la jantung..hai lah nyawa...hiks..

A gud one dik <3

AYRA ZAHRA said...

jgn stress beb.. kitakn geng ko stuck kat situ aku lak stuck dkt Tasha nk kenakn Awa ... Y_Y

~::HANAH RISHAS::~ said...

@nveladdct

Hihi :) Seminggu sekali je mampu sis :)

Thanks sbb sis selalu drop komen yg sangat membina dan mmbakar smngat kita hiks! :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

kita serupa laa babe! wuwuwuwuwu