"...Knowledge is that benefits, not that which is memorized..."
Bab 8
MELIHAT suasana
rumah dua tingkat ini, telah menggamit kembali zaman kanak-kanak yang sudah
ditinggalkan jauh ke belakang. Di rumah ini, dia membesar bersama anak-anak
Shahreza dan Tasneem. Kasih sayang yang tiada beza. Apa yang anak-anak pasangan
itu dapat, dia juga diberi sama.
Betapa dia terhutang budi dengan
keluarga kecil ini. Pohonnya dalam setiap penghujung solat agar keluarga
budiman ini sentiasa dilimpahi rahmat dan mendapat kesenangan dunia dan
akhirat.
“Jauh termenung anak ibu ni.”
Tasneem ambil tempat di sisi Amiera.
Amiera tersenyum simpul. Segala
macam perkara dalam kepala tadi langsung hilang sekelip mata.
“Fikirkan apa tu?” tanya Tasneem.
“Mana ada fikir apa-apa, bu,” jawab
Amiera.
Tasneem mengusap tangan Amiera
dengan lembut. “Ingatkan buah hati?” Tebak wanita itu.
Laju Amiera geleng kepala.
“Ke situ pula ibu.” Panjang muncung
Amiera.
Tasneem ketawa kecil.
“Abang Amal! Jahatlah abang ni. Bak
sini telefon Sarah. Nak!”
“Bagi abang tengok siapa yang adik
duk layan sms dari tadi. Sibuk sangat gayanya.”
Kekecohan di ruang tengah menggamit
perhatian Amiera dan Tasneem. Kemudiannya mereka berdua kulum senyum. Sarah
terlompat-lompat cuba merampas kembali telefon bimbitnya dari tangan Ekmal.
Oleh kerana Ekmal lebih tinggi daripada Sarah, maka dengan mudah dia mengenakan
adiknya itu. Tangan dijulang tinggi. Sarah mengomel marah.
“Kak Ema mana, bu?” Amiera kalih
muka. Dia menyedari Ekmal sedang merenunginya dari jauh.
“Dia keluar. Kata ada hal tadi.
Sejak akhir-akhir ni, tak lekat kat rumah betul budak tu.”
“Jumpa bakal menantu ibu tak?”
Amiera tunjuk muka nakal.
Tasneem meleret senyum.
“Mira ada buah hati tak?”
Terasa lehernya dijerut dengan
soalan itu. Dia yang soal, rupanya soalan itu dikembalikan kepadanya.
“Mira single mingle lagi tau ibu,”
katanya sambil buat-buat ketawa.
“Betul ke ni?” Tasneem cuba mengorek
rahsia hati gadis itu.
Lambat-lambat Amiera mengangguk.
Langsung lebar senyuman Tasneem.
“Kalau macam tu, bolehlah ibu cari calon suami untuk Mira.”
Serta-merta dia merasakan dunianya
senyap sunyi. Ulas bibir Tasneem dilihatnya bergerak-gerak namun tiada bicara
yang menerobos ke dalam telinga. Liur di telan. Pahit.
“Apalah awak ni. Budak tu jadi beku
macam tu sebab dengar awak cakap fasal calon jodoh untuk dia,” celah Shahreza.
Ketika itu, barulah Amiera tersedar.
Silih berganti pandang kedua ibu bapa angkatnya. Detak jantung makin ketara
pantas.
“Abang, kalau betul pun saya nak
carikan calon suami untuk Amiera ni pun, bukannya orang lain,” cebik Tasneem.
Tergeleng-geleng kepala Shahreza.
Tidak ingin masuk campur perihal anak-anak. Namun Tasneem nampak begitu teruja
bermenantukan Amiera. Cuma hasrat isterinya itu belum diluahkan kepada Ekmal
mahupun Amiera.
Amiera terkulat-kulat melayani
Tasneem. Hal kahwin dan cari jodoh jadi topik perbualan ibunya. Lebih
memelikkan, nama Ekmal disebut sama. Barangkali ibu mahu mereka segera mencari
pasangan hidup.
“MIRA suka Amal?”
“Bagi Mira, Amal tu baik tak?”
“Ada tak ciri-ciri lelaki idaman
Mira tu macam Amal?”
Amiera garu kepala. Itu antara
soalan Tasneem yang asyik menempa tempat dalam telinganya. Terngiang-ngiang.
Keluhan berat meniti bibir. Kenapa
ibu tanya dia macam-macam fasal Ekmal? Macamlah Ekmal yang hendak dijadikan
calon suami untuknya. Kepala digeleng perlahan. Tidak mungkin!
Setelah memastikan motosikal dikunci
rapi dan pagar besi telah dimangga kemas, dia menghayun langkah masuk ke dalam
rumah.
“Adlan!”
Pekikan itu menyebabkan kakinya
beku, melekat atas lantai.
“Adlan Hakim!” Gema suara lantang
itu disertai dengan bunyi enjin kereta yang mengaum kuat. Amiera menoleh.
Ketika itu, dia nampak kenderaan dipandu Adlan laju menyusuri jalan raya.
“Sudahlah tu, Ita.” Ada suara lain
bertutur lembut.
Amiera kerut muka. Secara
sembunyi-sembunyi, dia mengintai ke sebelah sana.
‘Siapa mereka?’ Terbersit perasaan
ingin tahu.
NYARIS tersembur
kopi dalam mulutnya. Buru-buru dia capai tisu lalu mengesat sisa cecair hitam
yang mencemari hujung bibir.
“Ibu cakap apa?” Ekmal bertanya.
Kerut wajahnya semakin jelas ketara saat menahan batuk kasar melepasi salur
trakea.
Tasneem memandang suaminya. Mereka
bertatapan buat seketika sebelum kembali merenungi Ekmal.
“Amal tak dengar ke apa yang ibu
cakap tadi?” Tasneem menyoal pula.
Ekmal usap batang leher. Langsung
tidak membalas padangan yang terarah padanya. Roman tenang Amiera kini giat
melatari fikiran.
“Ibu berkenan bermenantukan Amiera,”
tutur Tasneem. Rangkai ayat itu diulangi semula.
Semakin rancak detak jantung Ekmal
mengalun debar. Terasa hendak pecah dada pun ada. Cangkir kopi diletak penuh
berhati-hati.
“Siapa?” Dia pura-pura tidak tahu.
“Amiera mana lagi? Amiera Syazreen
adik kamu itulah.” Shahreza bersuara tiba-tiba.
Peha suaminya ditepuk kuat. Lelaki
itu mengaduh sakit.
“Abang ni! Amiera Syazreen tu anak
angkat kita. Bukan adik Ekmal,” tegas Tasneem.
Naik tinggi kening Shahreza.
“Iyalah.”
Dia mengalah. Lantas angkat punggung dari situ. Hal hati dan perasaan, serah
sahaja kepada isterinya. Seawal perbincangan tempoh hari, dia sudah angkat
tangan tanda enggan mencampuri apa pun keputusan nanti.
“Ibu nak Amal... Amal kahwin dengan
Mira?” Lambat-lambat dia bertanya.
Tasneem kulum senyum. Anggukan
kepala menjawab pertanyaan Ekmal tadi. Ekmal telan liur. Dia tidak salah dengar,
kan? Ini bukan mimpi? Atau jenaka yang sengaja dicipta untuk mengenakan dia?
“Kan ke Amal suka Mira?” Tasneem
mengambil jalan menyucuk ulu hati si teruna.
“Apa ibu ni, tanya soalan macam tu.”
Ekmal berdalih. Duduknya semakin tidak selesa. Seolah ada bara api yang sedang
memanggang punggungnya.
“Jangan tipu ibu lagilah. Ibu tahu
Amal dah lama suka dekat Mira, kan?”
“Mmm...” Ekmal garu kepala. Cukup
canggung rasanya.
“Ibu jamin, kalau ibu sendiri pergi
lamar Mira untuk Amal, dia mesti terima.” Kesungguhan Tasneem membuat Ekmal
resah. Bukan dia tidak tahu apa yang terbenam jauh di lubuk hati gadis itu.
Amiera membenci dia.
“Ibu sayang Mira tu macam anak
sendiri. Mira anak yang baik, gadis yang sempurna untuk Amal. Dan ibu tak
sanggup lepaskan Mira pada mana-mana lelaki,” jelas Tasneem. Jari-jemari Ekmal
digenggam erat.
“Tapi bu...” Ekmal berjeda seketika
sebelum menyambung, “Kalau pun betul Amal suka Mira tapi Mira belum tentu suka
Amal. Hati dia tu, kita tak tahu.” Sedaya-upaya menghalang niat Tasneem walau
hakikatnya kebahagiaan itu sedang menyarungi seluruh jiwa.
Tasneem angkat jari telunjuk
merentangi bibirnya. Bersama kuluman senyum dia berkata, “Ibu yakin Mira akan
suka Amal. Anak ibu ni kan lelaki yang baik.”
Lelaki baik? Ibu tidak pernah tahu
perbuatannya dulu telah memutikkan perasaan benci di hati Amiera padanya.
Lenggang si ibu diperhati sehingga
hilang dari penglihatan. Dia hela nafas berat kemudiannya. Bagaimana penerimaan
Amiera nanti andai benar Tasneem mengotakan bicara sebentar tadi? Ekmal
bersandar di kerusi.
‘KAHWIN?’ Spontan,
Fatma mencebik. Nama Amiera yang disebut-sebut sepanjang perbualan antara Ekmal
dan ibunya seakan menyakiti anak telinga. Apatah lagi Tasneem menyatakan
perasaan sayang terhadap Amiera bagai anak sendiri.
Macam bidadari sangatkah budak
perempuan itu sehingga ibu tidak sanggup melepaskannya kepada lelaki lain?
Herot bibir semakin nyata sinisnya.
Fatma memanjat anak tangga ke
biliknya. Pintu ditutup rapat dan dikunci. Dia rebah bersama hati yang
tiba-tiba bertukar hangat.
Seisi
dalam rumah ini terlalu mementingkan Amiera. Menatang Amiera seumpama gadis
itulah puteri alam kayangan. Dia mencebik lagi. Menzahirkan rasa tidak puas
hati yang bertimbun sejak dulu.ayat.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
4 comments:
Hai...sabar la hati..sabar la jiwa..napa la tuan tanah up n3 seminggu sekali je...hai la jantung..hai lah nyawa...hiks..
A gud one dik <3
jgn stress beb.. kitakn geng ko stuck kat situ aku lak stuck dkt Tasha nk kenakn Awa ... Y_Y
@nveladdct
Hihi :) Seminggu sekali je mampu sis :)
Thanks sbb sis selalu drop komen yg sangat membina dan mmbakar smngat kita hiks! :)
@ayra
kita serupa laa babe! wuwuwuwuwu
Post a Comment