Saturday, May 31, 2014

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab1.

Assalamualaikum.







"...Cintailah kekasihmu sekadar sahaja, siapa tahu nanti akan menjadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu sekadar sahaja, siapa tahu nanti akan jadi kekasihmu..."









BAB 1
ORANGNYA cantik. Memang cantik. Sekali pandang persis anak berdarah kacukan walau hakikat gadis yang baru diperkenalkan kepadanya itu berdarah melayu tulen. Agaknya sewaktu si ibu hamil, terlalu mengidam anak secantik bulan purnama penuh. Maka lahirlah si cantik itu yang kini tersenyum simpul di depan mata.
            Renungan mata Tengku Hanif tidak ralit pun memerhatikan gadis yang bernama Puteri Suriani Muhammad Ikbal. Senyuman juga hanya sedikit terlukis di bibirnya.
            “Mama, Hanif nak keluar kejap,” beritahu Tengku Hanif, separuh berbisik. Dia hendak bangun tetapi Datin Sabrina sempat merentap hujung seluarnya. Terduduk dia semula di situ.
            Saat bertembung mata dengan Puan Juhana, Datin Sabrina mengulum senyum. Anak teruna yang tidak senang duduk digerling tajam. Tidak dilepaskan hujung seluar Tengku Hanif. Kalau terlepas, tentu Tengku Hanif terus cabut lari.
            “Suka betul saya tengok anak gadis awak ni, Juha. Cantik, manis, ayu,” puji Datin Sabrina.
            Puteri Suriani yang mendengar pujian itu semakin tersipu-sipu. Menunduk merenung lantai berserta senyuman kecil.
            “Kalau duduk berdamping dengan anak kita ni, memang sesuai sangatlah!” Datin Sabrina menambah lagi.
            “Eh, anak kita ni biasa-biasa aje kalau nak dibandingkan dengan Hanif tu.” Puan Juhana merendah diri. Hendak dibandingkan pangkat dan taraf hidup mereka dengan keluarga itu memang jauh. Tengku Hanif anak orang kaya yang cukup terkenal di dalam negara ini. Bukan hanya berjaya di dalam menguruskan syarikat papanya, malah Tengku Hanif membawa imej sangat berkesan di dalam bidang peragaan. Andai Puteri Suriani, satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga itu boleh menjadi isteri kepada Tengku Hanif, cerah masa depan.
            “Nak ke mana? Kita tak habis lagi ni.” Mencerlung mata Datin Sabrina. Suaranya mendatar dan kedengaran tegas.
            Tengku Hanif mengeluh halus. Bosan! Perlu berdepan dengan orang-orang yang tidak dia kenali. Sejak dua menjak ini, kerap benar Datin Sabrina mengajak dia keluar makan bersama kawan-kawan mamanya.
            Motif utama? Apa lagi kalau bukan mencari bakal menantu di rumah besar mereka!
            Tengku Hanif enggan menuruti kata-kata Datin Sabrina dan bingkas bangun. Puan Juhana dan Puteri Suriani serentak memerhatikannya.
            “Saya nak ke tandas sekejap,” ujarnya sebelum angkat kaki pergi dari situ.
            Selamat! Tengku Hanif mengurut dada. Disebalik dinding, Tengku Hanif mencuri-curi pandang ke arah Puteri Suriani. Hatinya dipagut perasaan menyampah. Plastik! Tidak dinafikan Puteri Suriani mampu menggegarkan hati sesiapa sahaja dengan senyuman manis bak gula itu namun awas, senyuman itulah yang bakal menjerat sang arjuna dalam dunia penuh muslihat. Puteri Suriani tidak pernah ikhlas.

TENGKU HANIF berpaling ke belakang apabila terasa bahunya dicuit seseorang. Seraut wajah cantik itu terlayar di ruang mata. Seketika cuma dia membalas renungan itu sebelum kembali berkalih memandang pemandangan di depan sana.
            Puteri Suriani berdiri hampir dengan Tengku Hanif. Apabila Tengku Hanif duduk, dia juga mengambil tempat di sisi lelaki itu. Sesekali mengerling ke arah Tengku Hanif yang masih pegun matanya memandang ke hadapan.
            “You memang suka termenung ya?” Puteri Suriani memulakan bicara.
            Senyap. Hanya terdengar Tengku Hanif menghela nafas panjang. Serentak Puteri Suriani menoleh.
            “Let’s make this clear, Puteri Suriani.”
            Tidak berkalih anak mata Puteri Suriani. “Clear what?” usulnya.
            Tengku Hanif berdehem beberapa kali sebelum kembali menyambung bicara. Dia menghadap Puteri Suriani. Perlahan-lahan, tubuhnya merapati Puteri Suriani yang nyata terkejut dengan tindakannya. Puteri Suriani mengengsot sedikit menjauhi Tengku Hanif.
            “I know you, Suri,” kata Tengku Hanif. Senyuman sinis muncul di pinggir bibir itu.
            “You tahu apa?” Dalam gugup, Puteri Suriani melontar pertanyaan.
            Spontan Tengku Hanif langsung ketawa. Kedengaran tawa itu dibuat-buat.
            “You tinggalkan Redza sebab nak muncul depan I, kan? If tak salah, before Redza, you dengan Datuk Manaf, si tua beristeri tiga yang tak sedar diri tu. Am I right, Suri?”
            Membulat mata Puteri Suriani mendengar kenyataan Tengku Hanif. Dia berdiri.
            “You jangan nak cakap macam-macam!” bentak Puteri Suriani.
            Tengku Hanif ketawa lagi.
            “So I salahlah? Oh, I am sorry. Maybe I nampak kembar you kut. But yang I tahu, menurut mama I, you ni anak perempuan tunggal dalam keluarga you tu. The only one. So, takkan tiba-tiba you ada kembar, kan? Hah, maybe I salah tengok kut time I terperasan you dengan Datuk Manaf dulu.”
            Omongan Tengku Hanif memanah tepat ke muka Puteri Suriani. Roman wajahnya naik merah menahan amarah dan rasa malu.
            “You ni kan... memang...!” Jari telunjuk Puteri Suriani tegak sembilan puluh darjah.
            Tengku Hanif mempamer senyuman sinis lagi.
            “Kalau you fikir you boleh buat kat I macam mana you buat kat Redza tu, you are wrong dear. Walau I tak pernah kenal you, tapi I tahu you siapa. Seronok ye bercinta dengan orang kaya, berduit ni. You boleh dapat apa yang you nak, kan?”
            Tengku Hanif berjeda buat seketika sebelum kembali menyambung, “For your information, I tak kaya pun. Yang kaya papa I tu. Tak semestinya semua harta dia akan jatuh kat I. Entah-entah dia wasiatkan semua harta dia kat Baitulmal.”
            Puteri Suriani sudah tidak dapat menahan telinganya menadah setiap butir bicara penuh sindiran padanya. Menanah telinganya. Terus terdiam dia tanpa kata. Hendak berpaling muka menghadap Tengku Hanif pun dia enggan. Malu sebenarnya. Tidak pula dia tahu Tengku Hanif mengenali Redza, anak seorang usahawan yang agak terkemuka di ibu negara. Dan dia tidak menyangka Tengku Hanif mengetahui hubungan sulitnya dahulu dengan Datuk Manaf.
            “Eh, nak ke mana tu?” tanya Tengku Hanif, seolah-olah bertindak menghalang Puteri Suriani daripada pergi.
            “Balik,” jawab Puteri Suriani.
            “Next time kita jumpa lagi, nak?” Giat sungguh Tengku Hanif mengambil peluang mengenakan Puteri Suriani.
            Puteri Suriani tidak membalas ajakan Tengku Hanif kerana sekarang ini dia berasa malu. Sangat malu sehingga tidak sanggup berdepan dengan lelaki itu. Menonong dia jalan meninggalkan Tengku Hanif yang sudah tersenyum lebar.

“APA Hanif buat tadi? Lain benar mama tengok Suriani tadi. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba dia ajak mak dia balik.” Laju langkah Datin Sabrina menyaingi Tengku Hanif. Datin Sabrina percaya, anak terunanya ini ada buat onar sehingga membuatkan Puteri Suriani berkecil hati lantas meminta diri lebih awal.
            “Mama tanya ni.” Datin Sabrina bersuara lagi.
            “Tanya apa?” Pendek sahutan Tengku Hanif.
            Datin Sabrina menarik lengan Tengku Hanif. Terdorong tubuh tinggi itu ke belakang.
            “Hanif buat lagi ya?”
            “Buat apa, ma? Hanif tak ada buat apa-apalah kat perempuan tu.”
            “Tengok sini.” Datin Sabrina meletakkan kedua belah tangannya di pipi Tengku Hanif.  Naik muncung mulut Tengku Hanif apabila Datin Sabrina menekan pipinya. Sekali pandang macam muncung itik.
            “Dah berapa kali pertemuan berakhir dengan keadaan macam ni? Cuba Hanif kira.”
            Tengku Hanif memandang ke atas. Kali ke berapa? Entah. Yang dia tahu, lebih dari tiga. Sedikit? Baginya itu cukup banyak dan dia selalu berdoa supaya tidak akan ada lagi pertemuan seperti ini lagi kerana bagi dia, semua perempuan itu tidak ikhlas berkawan dengannya. Siapa yang tidak mahu dijodohkan dengan lelaki yang dipandang berharta seperti dia.
            Puas ditolak tetapi Datin Sabrina tetap berusaha memadankan dia dengan anak gadis rakan taulan mamanya. Dia rimas. Hendak menentang lebih-lebih, nanti lain pula jadinya.
            “Esok...”
            Tengku Hanif pantas mencelah. Seakan mengetahui apa yang hendak disampaikan Datin Sabrina.
            “Lagi?” Kening Tengku Hanif berkerut-kerut.
            Datin Sabrina mengusap lembut bahu satu-satunya anak yang dia punya hasil perkahwinan dengan bekas suaminya dahulu, Tengku Ali.
            “Mama buat semua ini untuk Hanif tahu. Hanif tu, tak pernahnya nak bawa bakal menantu mama datang rumah.”
            “Macam mana nak bawa balik. Hanif bukannya ada sesiapa pun,” dengus Tengku Hanif. Langkah pertama diatur pergi. Datin Sabrina mengekor rapat di belakang.
            “Dah tu?”
            “Malaslah mama. Tu, semua perempuan yang mama bawa jumpa Hanif tu, bukannya ikhlas nak berkawan dengan Hanif. Masing-masing nampak Hanif ni macam guni emas.”
            Datin Sabrina kematian kata. Rumusan seperti itu sudah acap kali dilontar oleh anaknya. Bagi Tengku Hanif, semua orang yang hendak berkawan itu tidak pernah ikhlas.
            “Dah memang betul Hanif tu guni emas,” usik Datin Sabrina.
            “Yang guni emas tu papa, bukan Hanif. So buat apa pandang Hanif. Pandanglah papa.”
            “Amboi! Nak suruh orang pandang suami kita pulak.” Datin Sabrina mencekak pinggang.
            Tengku Hanif ketawa mengekek.
            “Mama tunggu sini kejap. Hanif pergi ambil kereta.”
            “Hanif, esok ikut mama ya.”
            “Alah mama. Tak mahulah. Mama kasi ajelah anak dara yang mama nak kenalkan kat Hanif tu kat orang lain. Kalau Hanif nak kahwin, Hanif cari sendiri.”
            “Tak boleh. Hanif kena ikut juga,” desak Datin Sabrina.
            “Siapa pula kali ni, mama? Anak siapa?”
            Datin Sabrina tersenyum simpul. Pastinya Tengku Hanif cukup kenal dengan orang yang bakal disebut namanya. “Anak dara Uncle Harun and Auntie Mardhiha.”
            “What?!” Hampir terkeluar anak tekak Tengku Hanif. Kathy? Tergeleng-geleng kepalanya.
            “Hanif kena ikut mama juga esok.”
            “Tu kan, anak buah mama. Sepupu Hanif juga.” Kedua belah keningnya kian rapat. Membentuk kerutan di dahi.
            “Tahu pula sepupu. Sebelum ni, tak mengaku pun.” Datin Sabrina mengungkit.
            Helaan nafas berat terasa memenuhi dada. Tengku Hanif menguak anak rambut hingga ke ubun-ubun.
            “No, no, no.” Tengku Hanif menolak. Dia mahu cepat-cepat pergi dari situ.
            “Hanif!”
            “I don’t think so, mama,” laungnya sebelum menghilang dari pandangan mata Datin Sabrina.

TENGKU HANIF memandang kiri kanan. Kemudian matanya berkalih pada sebuah motosikal yang di parkir betul-betul di belakang keretanya. Di tengah panas terik macam ini, ditambah dengan halangan yang ada depan mata, memang cukup untuk menaikkan suhu amarahnya. Telefon pula sudah beberapa kali berdering.
            “Adoi!”
            Teriakan suara itu mengejutkan Tengku Hanif. Mengecil matanya melihat jauh ke depan. Seorang gadis sederhana tinggi jatuh terjelepuk di atas jalan. Gadis itu bangun sendiri, mengibas baju yang dipakai, dan mengutip barang-barang yang terkeluar daripada beg yang dibawanya.
            “Siapa suruh tukar pesanan? Dia ingat semua benda boleh siap sekelip mata agaknya.”
            Nurul Ain berdiri tegak sambil mencekak pinggang. Sesekali nafasnya turun naik melepasi rengkungan. Lantas hati mengalun istighfar beberapa kali. Rasa tidak puas hati, bercampur bengang mulai kendur.
            Lambat-lambat, dia berjalan menghampiri motosikal miliknya bersama wajah yang berkerut menahan terik mentari.
            Ekoran terasa diri sedang diperhatikan, Nurul Ain lekas mengalih pandangan ke sisi. Benar, ada seorang lelaki begitu rakus menebak mata ke arahnya.
            “Oh, maaf,” tutur Nurul Ain. Kelam-kabut dia mengalihkan motosikal miliknya.
            “Lain kali jangan parking sembarangan.” Perlahan Tengku Hanif bersuara.
            Tertunduk-tunduk kepala Nurul Ain. Tidak betah berdiri lama-lama, jadi bahan tatapan lelaki tersebut. Anak kunci disumbat ke dalam lubang kecil, berhampiran kepala motosikal berkenaan.
            Sekilas, dia mencuri pandang ke tepi. Lelaki tadi masih kaku di situ.
            ‘Tengok macam nak telan orang!’ Hati mendengus kurang senang.
            Leret mata Tengku Hanif terus-terusan membaham gadis tadi sehingga hilang dari pandangan. Hanya apabila telefon dalam tangan mulai berteriak minta diangkat, barulah dia kembali ke dunia nyata. 
“Hai sayang!”
            Bagai hendak tercabut jantung tatkala suara itu mencecah gegendang telinga.
            ‘Kathy?’

            Hati membisik nama itu, disertai bayangan roman manis seorang gadis.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Halo! :) Ini merupakan entri yang dah diedit dari sebelum ini. Ya EDIT :) So, selamat membaca kisah Nurul Ain yang dah bertukar sikit :) Good luck for myself, actually telah menyusahkan diri sendiri apabila decide nak edit CJKP dan kembalikan semula kepada rumah penerbitan awal bulan depan. Sigh!

No comments: