Saturday, June 7, 2014

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab2.

Assalamualaikum.








"...We come to love not by finding a perfect person, but by learning to see an imperfect person perfectly..."









BAB 2
MENARA GlOBAL merupakan sebuah syarikat anak tempatan yang begitu berjaya di dalam arena perniagaan hartanah. Perniagaan hartanah ini merupakan legasi keluarga Datuk Awang Khir yang mana kemudiannya diwarisi oleh anak lelakinya, Datuk Awang Kader. Kecekapan Datuk Awang Kader menguruskan Menara Global telah menaikkan lagi kedudukan syarikat itu di dalam negara ini.
            Legasi keluarga itu, kini bakal diwarisi oleh satu-satunya anak lelaki Datuk Awang Kader iaitu Tengku Hanif. Tengku Hanif seorang lelaki yang sangat komited di dalam kerjaya sehingga mendapat kepercayaan bapa tirinya, Datuk Awang Kader untuk memegang jawatan Timbalan Pengarah di dalam organisasi syarikat.
            Itu antara baris ayat yang tercetak di atas kertas di sebuah majalah tempatan. Tengku Hanif memerhatikan wajahnya sendiri yang terpampang di situ. Kemudian dia mengulum senyum. Sudah beberapa kali cerita tentang dirinya dimuatkan di dalam sudut majalah ini. Bangga? Tidak sama sekali. Diikutkan hati, dia kurang gemar memaparkan cerita privasinya kepada umum. Oleh kerana cerita yang dikongsi bukan sahaja mengenai dirinya, Datuk Awang Kader dan Datin Sabrina juga ada, maka dia tidak menolak.
            Tengku Hanif menutup majalah itu lalu ditolak ke tepi. Matanya terpejam rapat. Sedikit letih kerana seharian terpaksa menghadiri mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah syarikat dan beberapa pertemuan penting dengan pelanggan.
            “Apa yang kau intai tu, Mi?”
            Suhaimi mengeluh. Longlai langkah kaki diatur menghampiri Tengku Hanif.
            “Lufiya...” Kedengaran sedih nada suara itu. Macam orang tengah frust menonggeng. Tergeleng-geleng kepala Tengku Hanif.
            “Kenapa dengan kau ni? Tak laku jual minyak tadi?” senda Tengku Hanif. Bukannya dia tidak tahu Suhaimi begitu tertarik kepada setiausahanya. Pantang punya kesempatan, terus melekat depan Lufiya. Sebab itulah Suhaimi rajin benar datang melawat dia di bilik ini.
            Keluhan halus meniti bibir Suhaimi lagi. Sejak kali pertama terpandang Lufiya, hatinya terdetik satu nada yang asing. Lama-kelamaan nada itu sebati dengan diri. Ada juga dia mencuba dekati Lufiya tetapi Lufiya tidak pula memberi sebarang respon. Ajak makan sekali pun, Lufiya enggan.
Tengku Hanif ketawa memerhatikan ulah sahabatnya. Duduk pun tidak senang. Sekejap kalih sana, sekejap kalih sini. Seolah ada sesuatu sedang menyakiti punggung.
            Suhaimi mengerling ke arah Tengku Hanif. Mukanya beriak serius.
            “Susah sangatlah nak mengorat setiausaha kau tu. Dah berbulan-bulan aku cuba, tak juga berjaya. Senyum aje. Cakapnya tidak,” rungut Suhaimi.
            Pandangan mata Tengku Hanif dan Suhaimi melorong ke pintu yang merenggang luas. Tersembul Lufiya di situ. Dalam langkah penuh santun, Lufiya berjalan menghampiri Tengku Hanif. Suhaimi pula tidak lepas merenungi paras gadis yang telah menempa posisi istimewadalam hatinya.
            “Tengku nak minum apa-apa ke?” tanya Lufiya.
            Tengku Hanif menggeleng kepala tanda tidak mahu. “Kau nak minum tak?” Giliran Tengku Hanif bertanya kepada Suhaimi pula.
            “Cik Lufiya ke yang buatkan air tu?” Suhaimi mengambil peluang bercakap dengan Lufiya.
            Tengku Hanif menepuk meja dengan kuat. Pantas Suhaimi mengalihkan pandangan mata. Tepat terpacak ke muka Tengku Hanif.
            “Memang Lufiya yang buatkanlah. Habis kau ingat dia order kat luar ke?” Dia angkat kening.
            Suhaimi tersengih. “Tak apalah Cik Lufiya. Dapat tengok Cik Lufiya pun dah memadai. Hilang semua rasa haus.”
            Lufiya melarik senyuman. Selepas itu dia meminta izin keluar. Dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki diperhatikan Lufiya. Sampai hendak terkeluar mata dari soket. Bila Tengku Hanif menegur lagi, barulah Suhaimi berpijak di bumi nyata.
            “Eh, abang handsome masuk megazine lagilah!” teriak Suhaimi. Kononnya teruja.
            Ralit Suhaimi membaca artikel yang memuatkan profil keluarga hartawan Datuk Awang Kader. Dalam diam, Suhaimi kagum. Kagumnya jatuh kepada Datuk Awang Kader. Meski Tengku Hanif bukanlah anak kandungnya, Datuk Awang Kader begitu mempercayai Tengku Hanif.
            “Aku kacak, kan?” usul Tengku Hanif.
            Suhaimi mendongak. Wajahnya berkerut.
            “Tolonglah!”
            Tengku Hanif ketawa.
            “Kau tengoklah muka kacak aku tu sampai lebam.” Tengku Hanif berkata lagi. Dia berdiri. Meregangkan sedikit badan yang rasa sengal-sengal.
            “Kau nak ke mana?” tanya Suhaimi. Majalah itu tidak dipeduli lagi. Mengekor dia di belakang Tengku Hanif.
            “Makan. Takkan nak jumpa perempuan kut? Dah dekat lunch hour dah ni.” Tengku Hanif menjawab, seraya bingkas bangun dan mencapai barang-barang peribadi miliknya.
            “Perempuan? Siapa?”
            Tengku Hanif dan Suhaimi terkejut. Masing-masing memanah pandangan ke arah sesusuk tubuh yang menyarung skirt pendek paras peha dan berkemeja tanpa lengan.
            “Kathy?”
            Kathy senyum melipat. Terus dia memaut lengan Tengku Hanif. Suhaimi pandang atas bawah. Spesis rumpai laut jenis Kathy memang tidak pernah jemu tunjuk muka. Liat sungguh hendak pergi.
            “Iyalah. I Kathy. Takkanlah you dah lupa I? Baru aje semalam kita jumpa,” omel Kathy dalam nada rajuk.
            “No, I means...”
            “Why? You terkejut tengok I hari ni? I cantik-cantik macam ni sebab you tau.”
            Terherot-herot bibir Suhaimi apabila mendengar kata-kata Kathy. Tidak ada yang memuji, terus puji diri sendiri. Masuk lif, tekan sendiri. Lufiya yang ternampak mimik muka Suhaimi yang kelakar itu turut mengulum senyum.
            “Apa you gelak-gelak?!” marah Kathy. Mencerlung matanya ke arah Suhaimi.
            “I? Eh, mana ada I gelak. I memang macam ni. Kalau ada something yang unusual, I terus dijangkiti simptom ketawa.”
            Tengku Hanif membungkus rasa gelihati jauh-jauh. Dalam pada itu, dia berusaha meleraikan pelukan Kathy. Rimas betul bila ada makhluk bergayut di situ.
            “Kenapa?” Kathy memaut kembali lengan Tengku Hanif.
            “You nak ke mana? I nak ikut!”
            “I nak keluar dengan Suhaimi. Ada kerja.”
            “Nak ikut!” rengek Kathy.
            “Kami nak pergi tapak perumahan. Kat sana panas terik. Boleh buat kulit Cik Kathy tu naik hitam macam Dayang Senandung. Peluh-peluh, bau busuk. Lepas tu sana banyak sangat habuk. Nanti Cik Kathy bersin-bersin, macam mana?” ujar Suhaimi. Geli-geleman dia tengok gaya Kathy yang enggan melepaskan Tengku Hanif pergi. Melekat di sisi lelaki itu.
            Serta-merta waut wajah Kathy berubah corak. Antara percaya dengan tidak. Panas, habuk, kotor?
            “Tak apa. Hanif ada. Dia boleh jaga I, kan Hanif?” Kathy mengerdipkan mata beberapa kali. Konon manjalah. Tengku Hanif menyampah sebenarnya. Kalau tidak mengenangkan Kathy itu anak saudara papanya, merangkap sepupunya, pasti sudah lama dinyahkan perempuan itu dari hidupnya.
            Secara realiti, keadaan semakin serabut saat ini kerana Datin Sabrina merancang hendak merapatkan hubungan kekeluargaan antara mereka- menjodohkan dia dengan Kathy. Bala! Walau Datin Sabrina sekadar cakap-cakap, tidak mustahil cakapnya itu dimaknakan.
            “I sibuk. Boleh tak you balik sekarang? Mi, jom. Lewat sangat dah ni.”
            Suhaimi mengangguk laju. Mereka jalan seiring. Ditinggalkan Kathy di situ. Muka Kathy sudah kemerahan. Malu pada Lufiya.
            “Hanif!” Kathy berlari menyaingi langkah Tengku Hanif.
            “Baliklah Kathy. I ada kerja.”
            “Hanif, I baru aje balik Malaysia this week. Bila your mom ajak I keluar makan sekali dengan you, I excited gila. So now, I’m here.”
            Tengku Hanif menghela nafas panjang. Penat betul bercakap dengan orang yang tidak pernah faham bahasa.
            “I sibuk okey. Sibuk.” Suara ditekan agar Kathy sedar, kedatangan gadis itu langsung tidak diundang.
            “Hanif, I nak ikut you. Please,” rayu Kathy.
            “No.”
            “Please...” Kathy tidak berputus asa memujuk. Lagak gaya seperti si kecil yang minta ditimang-timang.
            “I said no!”
            “Hanif, kenapa ni?” Tiba-tiba Datin Sabrina muncul entah dari mana. Semua memandang ke arah Datin Sabrina yang berkaca mata hitam.
            Sebaik ternampak Datin Sabrina, Kathy meluru mendapatkan wanita itu. Mukanya masam mencuka. Bibir merah itu muncung umpama mulut itik.
            “Hah, mama nak keluar makan dengan Kathy. Hanif ikut sekalilah.”
            “Hanif nak keluar dengan Suhaimi, ma.” Pantas dia memberi alasan.
            “Suhaimi, boleh kan kalau saya nak bawa Tengku Hanif keluar makan?” Datin Sabrina bertanya.
            Suhaimi terpinga-pinga. Tengku Hanif pula tahu Datin Sabrina sengaja memerlinya.
            “Dah, jom,” ajak Datin Sabrina. Ditarik Tengku Hanif agar berjalan bersamanya. Kathy mengulum senyum.
            Sempat Tengku Hanif memandang belakang. Wajahnya penuh kasihan. Suhaimi tidak mampu menolong apa pun.
            “You’ll be okay.” Terkumat-kamit mulut Suhaimi menyebut ayat itu tanpa suara. Tengku Hanif memahaminya dan dia pasrah kini berdepan dengan perempuan yang tidak pernah pun berjaya menjentik hatinya dengan perasaan indah itu.

DATIN SABRINA tidak akan pernah berputus asa memujuk Tengku Hanif menerima dan melayani Kathy dengan baik. Daripada memadankan Tengku Hanif dengan orang lain, lebih baik dia memilih dalam kalangan keluarga mereka.
            Langkah Tengku Hanif dibuntuti lambat-lambat. Sejak pulang dari makan tengahari bersama Kathy, Tengku Hanif tiada menutur bicara walau sebutir pun. Mogok, barangkali.
            “Kenapa dengan Hanif ni? Dari tadi mama macam cakap dengan dinding aje,” rungut Datin Sabrina.
            Tengku Hanif berpura-pura tekun membelek majalah sukan. Perasaan sebal melayani Kathy yang terlebih manja lewat tengahari tadi masih merajai hati. Hendak makan pun bersuap bagai.
            “Hanif tak suka apa yang mama cuba lakukan tadi.”
            Berkerut dahi Datin Sabrina. “Mama buat apa?”
            Tengku Hanif menutup majalah itu. Dia berteleku di depan Datin Sabrina.
            “Mama cakap pada Kathy yang Hanif ni bakal suami dia. Jangan beri harapan palsu, ma.”
            “Bukan harapan palsu, sayang. Hanif memang akan kahwin dengan dia nanti.” Lebar senyuman melatari wajah wanita itu.
            “Tapi Hanif tak mahu.” bidas Tengku Hanif.
            “Kamu yang tak nak mencuba.” Datin Sabrina menuntas.
            “Hanif tak layak untuk Kathy, ma. Dia memerlukan seorang lelaki yang berganda-ganda lebih baik berbanding Hanif.”
            “Atau Hanif rasa Kathy yang tak layak jadi isteri Hanif?” Tajam renungan Datin Sabrina membelah hening pandangan anak terunanya.
            Serta-merta, perasaan sendiri berbalut rasa serba-salah. “Bukan macam tu, ma.”
            “Anak yang baik akan ikut cakap mama dia, macam Hanif, kan?” Datin Sabrina memilih jalan untuk memaksa secara halus.

            Pelipis dahi diurut perlahan. Denyutan keras menyengat tiba-tiba. Fikiran jadi semak memikirkan rancangan Datin Sabrina yang bersungguh mahu menyatukan dia dengan Kathy.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Konon CJKP ni nak buat ada sikit manis, tapi hamba tidak punya kepakaran itu. Maaflah andai kalian, pembaca yang dikasihi, baca apa yang hamba coretkan (karya-karya kecil hamba) seumpama baca buku teks. Ah, berbahasa sangat kau, kan? Haha! :p