Saturday, June 14, 2014

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab3.

Assalamualaikum.








"...Find that someone that will pick up every piece of your shattered heart and put it back together; keeping one piece for himself, replacing it with a piece of his..."










BAB 3
TERGOPOH-GOPOH Nurul Ain berlari ke ruang pejabat Nirmala. Nafas panjang ditarik sedalam mungkin sebelum melangkah masuk bilik itu. Seumpama hendak berjumpa dengan ketua segala ahli sihir.
            Sebaik sahaja mendepani Nirmala, Nurul Ain tidak angkat muka pun. Dia menunduk. Dalam kepala, berputaran segala kemungkinan kesalahan yang dilakukannya hari ini.
            “Hari ini awak hantar bunga kat Coffee House. Mereka nak dalam masa dua jam dari sekarang.” Nirmala mula memberi arahan. Dia membelek beberapa helai kertas di dalam sebuah fail hitam berkulit keras.
            “Dengar tak?”
            “Dengar!” sahut Nurul Ain. ‘Eleh, kalau tak ada aku, memang tak berhantarlah bunga-bunga kau tu,’ desis Nurul Ain di dalam hati. Dengan cara itu sahaja dia berani hendak meluahkan perasaan marahnya terhadap Nirmala.
            “Nisa dah packing bunga-bunga tu. Tak banyak mana pun,” sambung Nirmala lagi.
            Terangguk-angguk kepala Nurul Ain, meski dalam kepala, terbit pelbagai persoalan. Nama kedai tersebut cukup asing di pendengaran.
            “Buat apa lagi kat sini? Pergilah hantar bunga tu. Nanti lambat, aku juga yang kena marah,” bebel Nirmala.
            Nurul Ain berlalu pergi. Sampai di luar pintu yang tertutup rapat, Nurul Ain mencekak pinggang. Naik juling matanya merenungi pintu kayu itu. Sakit hati! ‘Sabar Nurul Ain. Sabar. Nirmala itu bos kau. Kau siapa hendak marah-marah macam ini? Lebih baik engkau ikut sahaja apa yang dia arahkan.’ Nurul  Ain memujuk diri sendiri.
            “Nah, ni bunga tu.” Anisa menghulur dua bekas plastik berisi bunga-bungaan segar yang dibungkus dengan kertas suratkhabar. Nurul Ain mengambil plastik itu dengan muka masam mencuka.
            “Aku tak faham betullah dengan witch tu. Sikit-sikit nak marah. Biasalah kalau hantar lambat. Bukannya aku yang jaga jalan tu. Boleh lalu ikut suka hati. Dia tak tahu aku terperangkap dalam jammed bagai.” Nurul Ain mengomel geram. Pada Anisa sahajalah dia melepaskan rasa tidak puas hati.
            “Nak buat macam mana. Dia tu bos. Aku pun selalu juga kena marah. Lagi-lagi kalau stock bunga datang lambat. Aku lebarkan aje telinga. Ni, telinga aku dah naik bernanah tahu. Bukan kau sorang yang macam tu.”
            Nurul Ain ketawa. Kadang ketika hati dijentik gelihati mengenangkan ulah Nirmala. Konon berstatus anak saudara, langsung tunjuk besar kepala.
            “Bos kecil!” Mereka berkata serentak. Kedua-duanya suka menggelar Nirmala dengan nama itu- bos kecil.
            “Eh, apa nama kedai tu? Coffee... coffee.”
            “Coffee House,” beritahu Anisa.
            “Kat mana Coffee House tu?”
            Terjuih-juih mulut Anisa menghala ke depan.
            “Sana?” soal Nurul Ain. Dia menuding jalan yang membelok ke sebelah kanan. Anisa mengangguk.
            “Alah, sekangkang kera jauhnya pun nak suruh cepat-cepat hantar,” rungut Nurul Ain.
            Anisa sekadar senyum kecil. “Kau masuk jalan situ, lepas tu belok kanan. Terus aje. Kedai tu baru buka. Tak silap aku baru dua minggu kut beroperasi. Comel gila kedai dia. Ala-ala Coffee Prince gitu.” Bersemangat Anisa bercerita tentang kedai itu. Semalam dia berkesempatan singgah ke sana.
            “Kau kirim salam aku dekat mamat yang jaga kaunter ya.” Meleret senyum nakal Anisa.
            Nurul Ain jongket kening. “Mengada!” cebiknya.
            Anisa tertawa kuat.

‘ZAKRI.’ Berdesir suara hati memerhatikan tanda nama yang dipin kemas pada baju lelaki tersebut. Barangkali, lelaki inilah yang diminati Anisa agaknya. Dia terus menempa mata pada roman manis lelaki berkenaan.
“Kau kalau tengok dia senyum, gerenti pengsan!” Bergema bicara Anisa yang sempat dititip padanya. Sejurus itu, dia tertawa kecil. Apa pun yang dibicarakan Anisa, segalanya kelihatan gah. 
             “Ini pesanan cik tadi.” Zakri mengunjuk sebekas plastik kepada Nurul Ain.
            Unjukan itu bersambut. Sekeping wang kertas merah diberikan kepada Zakri. Selang beberapa saat, baki wang dikembalikan.
            “Terima kasih ya,” ucap Nurul Ain, selajur melentur otot muka- membentuk sebuah senyuman.
            Bekas itu dibelek-belek. Bau harum semerbak minuman itu memecahkan liur sendiri.
            “Cepat sikit balik. Mak kau dah bising. Asyik tercari-cari kau. Itulah, susah kalau jadi anak kesayangan ni.” Suara di hujung talian sana kedengaran begitu dekat. Sempat juga Anisa mengenakan dia dengan gelaran ‘anak kesayangan.’
            Nurul Ain menjeling jam di tangan. “Lima belas minit lagi aku sampai. Suruh nenek kau tu sabar sikit.”
            “Eh, mak sendiri tak nak mengaku.”
            Herot bibir Nurul Ain terjongket ke atas. “Dahlah. Kang aku lambat, kena marah pula. Nenek kau tu suka membebel, tahu!” selorohnya.
            Corong telefon bimbit gamat dengan hilai tawa Anisa. Sejurus panggilan itu berakhir, Nurul Ain menghela nafas panjang. Dalam apa jua hal, Nirmala tidak pernah bersabar. Bukankah sabar itu sikap terpuji? Malah diumpamakan sebahagian daripada iman.
            Entah mengapa, tubuhnya tiba-tiba terasa melayang selepas terlanggar sesuatu dengan begitu kasar sekali. Belum pun dia sempat menahan diri, dia sudah jatuh menyembah bumi.
            “Miss, are you okay?!” Seorang gadis datang menerpa.
            Nurul Ain terangguk-angguk dalam kekeliruan. Sepasang kasut hitam berkilat menggamit pandangan. Berjarak kira-kira tiga meter darinya. Leret mata menjulang sehingga ke atas.
            “Boleh bangun tak?” Gadis pelayan tadi menyoal kembali.
            “Boleh,” sahut Nurul Ain. Berbantukan gadis pelayan itu, dia kembali memijak lantai dengan stabil. Mujur hanya dua tiga orang pelanggan pun waktu itu. Masing-masing sekadar mengerling sekilas dan tumpuan ke arahnya langsung lenyap.
            “Thank you.” Bibir dipaksa mengukir senyum bagi melindungi rasa malu.
            ‘Kopi!’ Nurul Ain menggelabah. Mana terbangnya secawan kopi untuk Nirmala tadi? Berpusing-pusing dia di situ.
            “Cari ni?”
            Bersinar-sinar bebola mata Nurul Ain melihat unjukan cawan kertas warna coklat terang, berketinggian lebih kurang empat inci. Alangkah terkejutnya dia, saat bekas itu bertukar tangan, isipadunya seakan telah ghaib.
            “Dah kosong?!” Terbeliak mata Nurul Ain.
            “Ya, memang dah kosong sebab kau jatuhkan benda alah tu atas laptop aku. Kau tengok.” Tengku Hanif menuding ke arah sebuah komputer riba di atas meja kayu, berhampiran tempat mereka berdua berdiri. Permukaan putih papan kekunci komputer itu tampak comot.
            Serta-merta, Nurul Ain jadi gelabah. Komputer riba diangkat tinggi. Sisa air kopi keluar melalui celah-celah lubang di badan komputer riba tersebut.
            “Macam mana boleh jadi macam ni.” Keluhan itu seakan memenuhi rengkungan.
            “Sorry,” ucapnya perlahan. Kepalanya semakin tunduk ke bawah. Bagai ada batu besar tergantung melenturkan batang leher.
            “Semudah tu kau cakap sorry? You know what, dalam loptop aku ni, ada banyak benda penting. Ada dokumen hartanah yang bernilai ratusan ribu ringgit. What if laptop ni rosak? Kau nak bayar ganti rugi?!” Nyaris melengking tinggi suara Tengku Hanif. Bulat mata dia mememandang Nurul Ain yang terkulat-kulat tahan perasaan bersalah.
            “Maaf.” Nurul Ain tidak berani angkat muka walau sedikit. Dia sedar, ada mata-mata yang memerhatikan dia. Dan di hujung ceruk kedai ini, dua orang pekerja sedang berbisik sesama mereka sambil melorong pandangan ke arahnya. Nurul Ain ketap bibir.
            Tengku Hanif melurut anak rambut. Kembang kempis dadanya menahan amarah.
            “Kau boleh ganti apa yang kau dah buat?” Dia menyoal. Cukup tegas.
            Liur ditelan. Pahit.
            “Gan... ganti dengan apa?” Dua ulas bibirnya terketar-ketar.
            “Ini boleh dibaiki, kan?” Buru-buru dia mengangkat komputer riba itu.
            Leret tawa Tengku Hanif benar-benar menakutkan Nurul Ain. Spontan, komputer riba dikembalikan ke atas meja. Dia menjauhi lelaki itu beberapa langkah.
            “Kau pernah kena saman?” aju Tengku Hanif. Duduknya berlabuh di atas kerusi kayu. Sehelai sapu tangan dikeluarkan dari poket seluar, lalu permukaan komputer riba miliknya dilap perlahan.
            Laju Nurul Ain geleng kepala. “Tak... tak pernah.”
            Hujung bibir Tengku Hanif lentur tinggi ke atas. Sinis.
            “Encik... encik nak... saman saya ke?”
            “Maybe.” Tengku Hanif menjawab, seraya mengerling sekilas. Sesudah membersihkan sisa cecair hitam tadi, dia bingkas berdiri. Telefon bimbit dan segugus kunci pantas dicapai.
            Mendengar jawapan serba ringkas itu hampir membuatkan jantung terhenti seketika. Segera dikejar langkah lelaki itu biarpun panggilannya langsung tidak diendahkan.
            “Encik!” Nurul Ain memekik kuat.
            Tengku Hanif mematikan langkah. “Yes?” ajunya dengan wajah meriak selamba.
            “Takkan sampai sama-saman bagai? Benda kecil aje, kan. Mana tahu laptop encik boleh dibaiki. Lagipun, saya ni bukan kaya mana nak bayar saman tu nanti.” Nurul Ain berkata perlahan.
            “We’ll see.” Sepatah Tengku Hanif membalas.
            Dan Nurul Ain langsung kaku di situ. Susuk tinggi lampai itu dipandang sehingga hilang dari penglihatan. Lambat-lambat, dia elus keluhan berat.
            ‘Apa kau dah buat, Ain?’
            Dia kesal.

TELEFON bimbit dilambung tinggi ke udara. Apabila sudah bosan, dia menekan nombor-nombor yang melekat di atas permukaan alat komunikasi tersebut, sehingga akhirnya terbit satu gabungan nombor-nombor dan perlbagai simbol.
            Hati bagai ditimpa batuan besar. Cukup memberati dada. Setiap helaan nafas yang terhembus seumpama begitu payah hendak melepasi rengkungan.
            “Ain...” Sapaan lembut itu mengejutkan Nurul Ain. Dia menoleh. Terbias seraut roman lembut milik Puan Suriani. Wanita itu tersenyum mesra memandangnya.
            “Sejuk dekat luar ni,” rumus Puan Suriani. Punggung melabuh duduk hampir di sisi Nurul Ain.
            “Nak hujan, bu. Tu, guruh pun dah berdentam-dentum.” Nurul Ain pula membalas, seraya menjulang dada langit nan hitam. Tiada secebis biasan cahaya pun mampu meruak dari celah-celah kepulan awan.
            “Adik mana, bu?” soalnya. Panjang leher mencari kelibat Asyikin.
            “Mana lagi kalau bukan melekat depan tv.”
            Terbit senyum kecil di pinggir bibir. Tanpa sedar, dia mengeluh berat.
            “Ain ada masalah?” Puan Suriani menduga.
            Pantas dia menggeleng. “Tak adalah, bu. Ain penat aje.”
            Puan Suriani menyentuh lembut jari-jari Nurul Ain, Kemudian digenggam erat.
            “Jangan sembunyi dari ibu kalau Ain ada masalah,” tutur wanita itu. Begitu lembut menyentuh kalbu Nurul Ain. Wanita mulia itu tidak pernah jemu membuatkan dia rasa disayangi. Tidak pernah jemu memberikan sepenuh perhatian kepadanya.
            Sekali lagi, dia menempel senyum manis. Penuh keterpaksaan.
            “Ain kata, Faisal nak datang kedai hari ni. Tak muncul pun budak tu.” Segera dilencong perbualan mereka kerana dia tahu, Nurul Ain bukan jenis yang suka buka mulut, menceritakan beban di bahu sendiri.          
            “Dia ada aktiviti amal dengan badan kebajikan anak-anak kurang upaya, bu.”
            “Oh.” Panjang harkatnya.
            “Ibu rindu Faisal ke?” tebak Nurul Ain. Ulas bibirnya terbentuk senyum nakal.
            “Rindulah juga. Dah banyak hari tak nampak muka,” senda Puan Suriani, enggan kalah.
            Nurul Ain ketawa besar.
            “Anak ibu ni, tak rindu ke dekat Faisal?” Secara rapi, dia mula mencuri masuk ke dalam laman hati Nurul Ain. Sebagai seorang ibu, dia cukup mahir menduga-duga jiwa yang sedang diasak rasa kasih.
            Berkerut dahi Nurul Ain. “Eee... tak ada makna nak rindu Faisal tu,” cebiknya.
            Puan Suriani sembunyi tawa disebalik roman wajahnya yang meriak tenang.
            “Kalau rindu, cakap dekat Tuhan supaya jaga hati tu.” Jari telunjuk Puan Suriani menuding ke dada Nurul Ain. Dia menyambung, “Jaga hati supaya rindu tu tak berlebihan sampai lupa semua.”
            Paras Nurul Ain dihiasi bunga-bunga senyum nan menguntum. Biar pada dasarnya, lukisan wajah Faisal asyik berlegar dalam lintasan fikiran ketika ini, jiwa lebih gusar memikirkan kejadian lewat tengahari tadi.
            Mohonnya agar segala dipermudahkan. Jangan ditebar seluas alam kesusahan itu depan mata dia.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Eh, makin pendeklah pulak entri CJKP ni selepas dicantas sana sini -..-' Oh ya, RABUDAY, kita jumpa Encik Adlan dan Cik Amiera. SABTUDAY khas buat Tengku Hanif ya :) Moga kawan-kawan sudi datang jenguk mereka bila tiba harinya setiap minggu :) Tata!