Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 22.

Assalamualaikum.







"Whoever believes in Allah and the last day should not hurt or insult his neighbor..."








Bab 22
JARI-JARI memicit pelipis dahi. Denyut itu semakin menyengat. Teringat ulah Latif, dia jadi runsing. Mengapa begitu sukar abangnya melafaz kata persetujuan, mewalikan satu-satunya anak yang dia ada?
            “Abang Latif, budak perempuan tu anak abang. Apa abang tak nak jumpa dia, tengok keadaan dia?” Bersungguh dia memujuk setelah permintaan beberapa minggu lepas ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu.
            “Saya merayu dekat abang, tolonglah... fikir masa depan anak abang tu.” Rayuan semakin perlahan. Kecewa sebenarnya.
            “Aku tak mahu mewalikan dia.” Latif menyahut tegas.
            “Tapi kenapa? Dia anak abang. Anak yang abang tak pernah jumpa, tak pernah kenal. Apa perasaan dia bila tahu ayah kandung dia tak nak jadi wali dia?” Membuak perasaan tidak puas hati. Dia kancing gigi.
            “Kau ada.” Pendek Latif melontar kata.
            Kepala digeleng. Kesal. Semudah itu? Nafas dihela panjang. “Saya ni berstatus bapa saudara. Abang Latif tu ayah kandung dia, lelaki yang berhak menjadi wali budak tu.”
            Sepi di hujung talian. Hanya kedengaran desah nafas yang kian menderu lembut.
            “Jangan takut nak berdepan anak sendiri. Walau dulu abang pernah tinggalkan mereka, Amiera tetap anak abang.”
            “Aku bukan takut!” Latif menderam marah.
            “Habis tu, kenapa susah sangat abang nak penuhi permintaan keluarga Shahreza?” Dia semakin berani menuntas.
            “Aku... aku tak boleh.”
            Pranggg!!!
            Serta-merta, lamunan Hazman ghaib. Dia terpinga-pinga. Terus berkejar ke dapur. Keriuhan isterinya memarahi salah seorang anak mereka menghambat pendengaran.
            “Apa riuh-riuh ni, Ana?” Hazman memandang Suzana. Ditangan isterinya ada sebatang penyapu.
            “Anak-anak abang ni lah. Kucing kurap tu dibawa main. Bila nak dihalau, boleh pula masing-masing halang. Tu, tengok tu... habis berterabur pucuk ubi atas lantai.” Suzana membebel geram. Mencerlung matanya merenungi Luqman dan Idham.
            “Idham, pergi bawa Bella keluar. Luqman tolong ayah bersihkan lantai ni.” Idham segera memecut keluar bersama kucing jalanan yang diberi nama Bella oleh mereka adik-beradik. Luqman pula patuh arahan ayahnya. Terbongkok-bongkok mengutip pucuk ubi menghijau, lalu dimasukkan semula ke dalam periuk.
            “Maafkan Abang Chik dengan Adik. Tak sengaja, terlepas Bella tu masuk dalam rumah.” Luqman berbicara perlahan.
            Marah Suzana sebentar tadi menurun secara drastik. Sejuk hati melihat Luqman begitu. Leret mata Suzana menyoroti langkah Luqman. Berlari-lari anak menghampiri Idham yang ralit bermain dengan kucing tadi.
            “Bukan main glamour nama kucing budak-budak tu, bang,” ujar Suzana seraya menguntum senyum kecil.
            “Abang yang beri nama tu,” sahut Hazman penuh bersahaja.
            Suzana membuntangkan mata. “Abang? Emm... padanlah tu. Anak-beranak hantu kucing,” gumamnya. Periuk tadi dibawa ke singki. Pucuk ubi itu dibasuh bersih sebelum direbus untuk melembutkan dan membuang getah.
            “Bang, macam mana dengan Abang Latif tu, abang dah cakap dengan dia balik?” Suzana menoleh sekilas.
            Hazman menarik kerusi lantas punggung dilabuh malas.
            “Dia suruh abang aje gantikan dia.” Hazman memberitahu.
            “Eh, boleh pula macam tu.”
            “Ikut hukum, abang memang layak.”
            Ligat tangan Suzana mencapai cawan, bekas gula, dan balang kopi. “Itu Ana tahu lah bang. Maksud Ana... dia tu, tak nak ke jumpa anak dia. Dari kecil sampai besar panjang, nak kahwin dah pun... anak dengan bapa tak pernah saling kenal. Sedang kita ni, Ana sendiri naik teruja nak jumpa budak Amiera tu.”
            “Entahlah, Ana. Abang tak tahu apa yang dia fikir sampai tergamak tolak permintaan keluarga Encik Reza, terutama Amiera,” keluh Hazman.
            “Kalau macam tu, buat apa tunggu lagi? Dah sah-sah Abang Latif tak sudi jadi wali Amiera tu.” Cangkir kopi panas diunjuk kepada suaminya.
            “Kita kena pujuk Abang Latif juga,” tutur Hazman.
            “Sampai bila bang? Dua kali abang pujuk, merayu... sama juga jawapannya. Dia memang tak naklah tu. Nanti makin lama, bertangguh pula majlis Amiera tu. Tak salah Ana, hari tu Encik Reza ada beritahu, majlis pernikahan tu ada lebih kurang dua tiga minggu lagi, kan?”
            Hazman tidak membalas. Mulut dikunci rapat.
            Status bapa kandung memberi keistimewaan kepada Latif untuk mewalikan Amiera, namun lelaki itu memilih untuk terus menyepikan diri dan menolaknya.
            Tetapi, kenapa?
            Hazman kerut muka.

WALI- termasuk dalam rukun nikah yang mesti ada, termasuklah perkataan ijab dan kabul, bakal suami, bakal isteri dan dua saksi. Jika tidak ada, maka tidak boleh dilakukan akad nikah dan andai dilakukan juga, nikah tersebut tidak sah.
            Orang yang paling utama menjadi wali ialah bapa perempuan dan jika tiada, maka pengganti wali yang terdiri daripada ahli keluarga yang layak menjadi wali dan wali pula boleh mewalikannya kepada kadi atau naib kadi atau juru nikah.
            Susunan tertib orang yang boleh menjadi wali ialah:
1.      Bapa;
2.      Datuk lelaki dari pihak bapa perempuan;
3.      Adik beradik lelaki seibu sebapa;
4.      Adik beradik lelaki sebapa;
5.      Anak saudara lelaki dari adik beradik seibu sebapa sehingga juraian ke bawah;
6.      Anak saudara lelaki dari adik beradik sebapa sehingga juraian ke bawah;
7.      Bapa saudara seibu sebapa sehingga juraian ke atas;
8.      Bapa saudara sebapa;
9.      Anak lelaki dari bapa saudara seibu sebapa (sepupu) sehingga juraian ke bawah;
10.  Anak lelaki dari bapa saudara sebelah bapa (sepupu);
11.  Raja (pemerintah) atau orang yang diberi kuasa oleh pemerintah.

BUKU ilmiah itu ditutup, selajur diletak kembali di atas rak yang bersusun pelbagai jenis genre bahan bacaan. Setelah itu, dia merebah batang tubuhnya di atas kerusi rotan beralas bantal kecil di punggung.
            Sambil ulas bibir mengalun zikir, membasahkan lidah memuji, dan membesarkan Ilahi, fikiran terbawa-bawa mengingati kata-kata Hazman. Sudah dilahirkan pernolakan itu, namun Hazman tetap mendesak. Tindakan itu bukan disengajakan. Bahkan dia terlalu ingin menebus kekhilafan masa lalu, menzahirkan kata maaf, dan kekesalan itu, tetapi seluruh jiwa raga belum mampu menghadapinya.
            Selain dia, ada orang lain yang boleh menggantikan dirinya di majlis itu nanti- Hazman.

TASNEEM mengelus dada sendiri pada ketika bicara suaminya menerobos jendela telinga dengan begitu deras sekali.
            “Lagi sekali?” Dia seakan tidak percaya.
            Shahreza mengeluh hampa.
            “Hazman telefon saya, beritahu yang Latif tetap tak nak mewalikan Amiera.”
            “Latif tu kenapa? Susah sangat ke nak datang sini.” Tasneem mulai membentak.
            “Dahlah bang. Kalau dia tak sudi jadi wali anak kita tu, biarkan! Ada orang lain lagi yang layak.”
            “Kita kena usaha lagi. Itu hak Latif.”
            Terbeliak mata Tasneem.
            “Lagi?” Tasneem kelihatan tidak puas hati.
            “Hazman pun cakap benda yang sama. Peluang tu masih ada.” Tekan Shahreza.
            “Lepas penat merayu, pujuk... Latif tak nak juga macam mana?”
            “Usaha dulu.”
            “Abang dengan Hazman tu bukan tak usaha, tapi tuan badan sana tu tak sudi. Buat apa terhegeh-hegeh lagi?” Terherot-herot bibir Tasneem. Marah sungguh dia.
            “Entah-entah, dia memang dah tak anggap Amiera tu anak dia. Tu yang dia sanggup buat macam tu.”
            “Husnuzon, Tasneem. Kita tak tahu apa yang menyebabkan dia tolak permintaan kita. Jangan bersangka buruk pada orang lain,” nasihat Shahreza.
            “Mana tahu, berkat doa kita, hati Latif tu berubah.” Bicara dilanjutkan.
            Lama Tasneem merenungi roman tenang suaminya sebelum dia turut mengangguk.

            Shahreza beransur ke bilik peraduan. Tuala dicapai dan segera menghilang ke dalam bilik air.  Manakala Tasneem pula kembali mendapatkan Amiera yang duduk melangut di anjung rumah.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

6 comments:

Unknown said...

Panasss... Panasss... Hatiku panas... Hehehehe... :p

~::HANAH RISHAS::~ said...

Sis Nvel Addct,

Meh kita tlg kipaskn. Kasik kipas besau pnya hihi :)

Tq sis selalu singgah baca dan drop komen sekali hihi

Muuahh! ;)

kak na said...

kalau x pns xde ceriter...hehe nk lg

Lollipop Manis said...

maraton baca dari bab 1 sampailah sini nonstop. besttttt! nak lagi, nak lagi ! :D

~::HANAH RISHAS::~ said...

Hi kak na :)

Hahahaa tak pns mn kak ceta ni :) tq sudiiiii baca :D

~::HANAH RISHAS::~ said...

Hai lollipop manis :)

Tq tq tq sudi baca nonstop ULK ni.terharu! :) insyaAllah..akan ada entri next week. Mcm biasa..RABUDAY! :)