"...When you see aperson who has been given more than you in money and beauty, look to those who have been given less..."
Bab 32
‘BLOOD phobia is an intense fear of something that
pose no actual danger.’
Suara hati kedengaran mengitari kepala sendiri. Artikel itu dibaca lagi.
Sesekali jari-jarinya menekan tab yang berlambak di Google Chrome. Setiap
satunya memaparkan maklumat dan kajian mengenai blood-phobia atau lebih
dikenali sebagai hemophobia.
Bola mata bergerak-gerak ke kiri dan
kanan. Setiap baris ayat yang tertera di laman sesawang berkenaan difahami
sedalam-dalamnya.
‘Blood
phobia treatment option?’ Adlan kerut muka. Sejurus itu, dia meleret
pandangan pada barisan ayat yang berwarna biru. ‘Hypnotheraphy?’ Bertambah dalam kerut mukanya.
Setelah itu, dia duduk bersandar.
Sorot mata terus menjulang siling.
“SAYA dah agak.”
Amiera tersenyum kecil seraya menggeleng kepala.
Adlan jongket bahu. “Dengan senang
hati, dia cerita dekat saya.”
Sejurus itu, Amiera menunduk muka.
Jari-jari yang asyik merapikan kemeja Adlan sebelum disangkut pada penyangkut
baju, beransur perlahan.
“Jelas, awak memang takut darah, kan
Amiera? That’s why awak pengsan masa kita...”
“Awak tahu Adlan, darah tu seolah
musuh pada saya.”
“Kemalangan?” Adlan meneka.
“Lebih teruk dari itu.” Amiera
menuntas.
Renungan Adlan kian tajam meratahi
setiap inci roman yang kelihatan berkocak. Sedikit tetapi dia mampu
menelusurinya.
“Darah... terlalu banyak darah.
Dekat tangan saya...” Anak mata jatuh menjunam ke telapak tangan. Terasa setiap
tulang-tulang jari bergesel sesama sendiri setiap kali ingatan dipaksa
menembusi relung waktu yang diselubungi kegelapan.
Darah itu kelihatan mencemari
telapak tangan. Hangat cecair likat itu kekal sama. Spontan, dia menggeleng
kepala. Mata dipejam rapat. Cuba menyisih segala resah sebaik imbauan tersebut
menampar diri.
Amiera menjulang paras Adlan. “Dia
meninggal depan mata saya, but there was nothing I could do. Nothing.”
Tangan dikepal padu. Kekesalan yang
menjadi barah dalam diri bertahun lama, seumpama bersatu di situ.
“Apa jadi sebenarnya?” Duduk Adlan
tidak seselesa tadi. Hikayat penuh emosi itu bagaikan satu dendangan yang tidak
akan habis selagi Amiera terus-terusan bercerita dengan cara begitu. Tiada
maklumat terperinci.
“She’s my mom, Adlan. Dia mati
ditikam.”
Dan Adlan tertegun.
SEGALA urusan
duniawi ditinggalkan seluruhnya hari ini. Ke mana hati hendak pergi, diikutkan
tanpa berfikir panjang. Bukan sedikit hal yang membebani fikiran, hati, dan
jiwa, bahkan tidak tertanggung andai kesabaran dan ketabahan itu tiada
menduduki diri.
Dia berjalan perlahan, menyusuri
jalan kecil berumput halus. Kemudian, kaki dibawa ke kanan jalan sebaik menemui
simpang. Lama kelamaan, pengemudian langkah semakin perlahan, sebelum terus
terhenti sebaik tiba di sebuah pusara lama.
Bibir berketap rapat. Telapak tangan
bergerak merapati dada. Disertai esak tangis yang tidak mampu dibendung lagi.
“Ya Allah...” Dia berdesis halus.
‘Kerana aku, nyawamu tidak panjang,
Suria.’ Dengungan itu mencetuskan linangan airmata yang cukup banyak.
“Rozita!”
Sorot mata menempa paras wanita tua.
Cukup tinggi mengawang tangan ke udara.
Rozita segera berdiri. Cecair jenih
yang membasahi mata, terus diseka rakus.
“Assalamualaikum, Mak Mah...”
Sapanya sejurus mereka saling berbalas pelukan.
Tok Usu Mah tersenyum. Genggaman itu
masih erat.
“BUAT susah-susah aje, Mak Mah.” Lekas diambil
unjukan cawan itu. Diletak rapi atas meja kayu.
“Alah, bukan susah pun.” Tok Usu Mah
tersenyum-senyum.
“Dah bertahun tak nampak kamu, baru
ni muncul balik,” lanjut wanita tua itu lagi. Gaya bertanya khabar seumpama
saling kenal berdekad-dekad walhal baru satu dua kali mereka bertentang mata,
saling berbalas kata.
Ulas bibir Rozita meleret senyum
hambar.Semestinya Tok Usu Mah tidak tahu bahawa destinasi ini menjadi tempat
wajib kunjungannya setiap tahun.
“Senyap sunyi aje rumah Mak Mah.
Mana anak-anak?” Laju soalan itu meluncur dari mulut Rozita.
“Aku ni tinggal sendiri aje.
Anak-anak nak bawa pergi rumah masing-masing, tapi aku tak nak. Yelah, rumah ni
rumah pusaka arwah suami. Tak bolehlah nak tinggal jauh. Nanti demam rindu,”
seloroh Tok Usu Mah sehingga mengundang tawa kecil Rozita.
“Habis tu, Mak Mah tinggal seorang?”
“Macam itulah gayanya. Tapi setiap
hujung minggu, anak-anak memang balik sini. Bila cuti sekolah, cucu-cucu pula
datang berkampung. Riuh sikitlah rumah ni.” Sorot mata berlegar ke setiap
penjuru rumah pusaka warisan keluarga suaminya.
“Apa kata malam ni, kamu bermalam
dekat sini? Lagipun, dah lewat petang dah ni. Pagi esok, baru bertolak balik.”
Buru-buru Tok Usu Mah membentang pelawaan.
Rozita menggeleng. “Tak apalah, Mak
Mah. Buat susah aje.”
“Lah, apa yang susah? Bukan kena
bayar apa-apa pun. Percuma!”
Senyum Rozita kembali menghiasi
bibir. Peha wanita tua itu ditepuk perlahan. “Lain kalilah, Mak Mah.”
“Mak Mah...” Rendah suaranya
menyeru.
Tok Usu Mah menoleh. Kerut-kerut
kasar merauti wajah itu. “Kenapa?”
“Anak arwah Suria tu...” Jeda
seketika. Nafas disimpul rapi sebelum dilepas bergumpal dalam udara hening. Dia
menyambung, “Mana budak tu... sekarang ni?”
“Rin?”
Sepotong nama ringkas itu tiada
melekat dalam kepala. Yang bersisa hanyalah ingatannya terhadap seorang budak
perempuan sedang menangis teresak-esak di hadapan sekujur tubuh kaku berlumuran
darah.
“Ibu! Ibu... bangun! Ibu!”
“Adik nak ibu! Jangan ambil ibu!”
Bentakan itu masih jelas meragut
setiap urat saraf pendengaran. Dia pula sekadar mampu memandang dari kejauhan.
“Budak tu dah besar panjang. Kahwin
dah pun.” Dalam senyum lebar, Tok Usu Mah menyampaikan berita gembira tersebut.
“Oh... baguslah.” Perutusan hati itu
seolah masih terkandung rasa bersalah. Andai diizinkan, dia ingin menemui
‘Rin’.
Ungkapan maaf harus diucap meski
segalanya berlaku bukan atas kehendak diri.
“KAU nak apa?”
Dalam malas, Fatma menghenyak punggung atas kerusi. Majalah Bazaar diselak
sepintas lalu. Beberapa rekaan menempa ruang mata namun gagal diterjemahkan
dalam fikiran tatkala udara yang disedut waktu ini turut dikongsi bersama
Amiera.
“Mira... nak jumpa ibu,” beritahu
Amiera. Perlahan dan nyaris suaranya tersekat di kerongkong.
“Kau ada nampak ibu dekat sini? Tak
ada, kan? So... please...” Hujung jari menuding pintu pejabat yang terbuka
luas. Sebagai satu arahan agar Amiera melenyapkan diri dalam kadar segera.
Liur ditelan terasa mencucuk di
tekak. Perit. Biarpun tidak dipertontonkan kekasaran perbuatan, tetapi petah
lidah Fatma membutirkan kata cukup dimengerti.
“Siti!” Fatma berdiri. Mata melikas
liar, mencari kelibat Siti.
Sebaik suara nyaring Fatma menjengah
anak telinga, Siti yang pada ketika itu sedang sibuk mengemas stor barang,
terus sahaja mencicit lari ke arah bilik pejabat gadis itu.
“Eh, Amiera...” Terpaan Siti
seumpama angin. Tiba-tiba sudah mendakap erat tubuh Amiera.
“Lama betul tak nampak muka tu.”
Amiera tersenyum senang hati.
Rupanya masih ada yang sudi melayani kunjungannya selain ibu.
Fatma mendegus geram. “Siti... aku
panggil kau tadi, kan?” Kening dijongket tinggi. Rendah suaranya menegur
kelakuan Siti.
Buru-buru Siti pandang Fatma. “Ema
nak apa?”
“Mana manik yang aku suruh beli
tadi?” Perbezaan usia antara dia dan Siti, tidak pernah diambil peduli. Empat
tahun bukanlah satu perbezaan yang terlalu besar.
Siti garu kepala. “Manik? Bila masa
Ema suruh saya beli?”
“Lupa?” Dia kembali duduk. Buku
lakaran yang digunakan untuk menzahirkan idea, lekas dicapai dan dibelek penuh
minat.
“Ada apa-apa lagi?” Soalan itu
menderu keras, menerobos ke jendela telinga Amiera.
Melihat gelengan kepala Amiera, dia
tersenyum sinis. “Dah tu? Aku sibuk ni.”
“Amiera?”
Serentak, Amiera dan Fatma menjulang
paras di luar ruang kerja itu.
“Kenapa tak beritahu nak datang?
Budak ni!” Tasneem mengejar dalam langkah kecil.
“Ibu!” Amiera lekas mendapatkan
Tasneem. Wanita itu dipeluk erat.
“Dah lama ke sampai?” Lebar senyuman
Tasneem.
“Baru aje, bu. Saje datang nak
jenguk ibu, Kak Ema.” Dia memaniskan wajah.
“Lain kali telefon dulu. Tak adalah
ibu nak merayau mana-mana nanti.” Pipi Amiera dicubit mesra.
“Rimas!” Tiba-tiba Fatma menderam
keras. Lontaran kata yang perlahan namun kedengaran cukup jelas dipendengaran
masing-masing.
Tasneem memandang hairan. Kening
lebat itu hampir bertaut.
“Kenapa Ema?” soalnya prihatin.
Panahan mata tertuju tepat pada
Amiera.
“Panas.” Dia menjawab sepatah.
“Eh, kan berair-cond kedai kita ni.
Takkan panas lagi?” Tasneem mengerutkan muka.
Bibir dikunci rapat. Bicara ibunya
dibiar berputar dalam udara serba dingin.
SUDU diletak
sebagai tanda selera makannya sudah pudar. Tidak luak pun nasi kandar yang
dipesan tadi.
“Lah, sikitnya Ema makan. Biasa...
sampai licin pinggan tu.” Tasneem berseloroh. Langsung tidak menyedari ulah
dangkal anak perempuannya.
“Kenyang.” Straw disumbat ke dalam
mulut. Minuman itu dihabiskan dalam sekali nafas.
Tergeleng-geleng kepala Tasneem
memerhatikan gelagat Fatma. Di meja makan pun, masih sibuk meleret jari pada
skrin sesentuh telefon.
“Kenapa Mira tak ajak suami sekali
tadi?”
“Dia sibuk sikit, bu.” Amiera pamer
senyum.
“Alasan aje tu. Laki kau tak nak
ikut, kan?” Fatma mencelah.
“Ema, apa cakap macam tu!” Tasneem
pantas menuntas.
Fatma melirik ke arah Amiera.
Senyumnya herot ke kiri. Sinis.
“Ibu, Mira nak ke tandas kejap.
Sakit perut pula.” Amiera berdiri, lalu segera mengemudi langkah pergi dari
situ. Kali ini benar dia beralasan.
“Kenapa dengan anak ibu ni?”
Mencerlung mata Tasneem.
“Kenapa apa?” Soalan dikembalikan
tanpa sekelumit pun perasaan bersalah. Mulutnya kembali penuh dengan nasi.
Selera jadi naik mendadak sepeninggalan Amiera.
“Tentu kecil hati Mira dengar Ema
cakap macam tadi tu.” Tasneem mengeluh kesal.
“Ibu ni, sibuk-sibukkan nak jaga
hati dia. Habis tu, hati ibu, hati ayah, hati kita ni, tak ada pula dia nak
jaga, kan?”
Pinggan ditolak ke tengah meja.
“Lupa ke apa yang dia dah buat dekat keluarga kita? Masing-masing ada dosa
sebab menipu semua orang. Konon kahwin atas nama cinta kilat, padahal... buat
maksiat. Orang macam tu ibu nak suruh Ema jaga sangat hati dia?” Renungan
Tasneem tidak dihirau. Baik ibu, mahupun ayah, kedua-duanya beraksi seolah-olah
tiada apa-apa kejadian memalukan telah memalit lipatan hidup mereka. Amiera
kekal berada di sisi, disayang melebihi sepatutnya.
“Ema, benda dah lepas, buat apa nak
dikenang-kenang?” Tasneem berkata lembut. Rambut panjang mengurai milik Fatma
dilurut perlahan.
“Ibu tak sakit hati ke?” soal Fatma.
Tasneem terdiam sejenak. Jeda dalam
helaan nafas yang memberati rengkungan.
“Ibu dah tak rasa apa-apa pun, Ema.”
Jujur dia menjawab pertanyaan tersebut.
Bagi Fatma, jawapan yang meluncur
keluar itu langsung tidak menjentik rasa hairan. Malah dia boleh tersenyum dan
tertawa kecil.
“Dah agak dah.” Dia menggumam.
“Ema balik dululah.” Punggung dibawa
menjauhi kerusi kayu. Tinggi pandangan Tasneem menjulang paras Fatma.
“Ema...” Tasneem berusaha memujuk.
“Kirim salam Ema dekat anak
perempuan kesayangan ibu tu.” Langkah dikemudi laju meninggalkan Tasneem
bersama pesanan yang cukup menjerut ulu jantung wanita tersebut.
TAWA manja Haili
Sofea di hujung talian cukup menyenangkan hati Rozita.
“Mestilah mummy rindu. Kan Elly
permata ulam jantung mummy. Anak kesayangan mummy,” kata Rozita. Duduknya
berlabuh di atas anak tangga kayu paling atas.
“Elly! Mana Elly letak kunci kereta
abang tadi?”
Suara itu membuatkan seluruh tubuh
Rozita kaku membeku.
“Atas mejalah. Tu...!” Haili Sofea
memberitahu.
“Mummy... mummy nak cakap dengan
abang tak?” Dibalik hijab sebelah sana, Haili Sofea sudahpun mengunjuk ganggang
telefon kepada Adlan.
“Nah...”
“Siapa?”
“Mummy lah.”
“Elly ajelah cakap. Abang nak
keluar.”
Rozita mengetap bibir.
“Sayang... mummy ada kerja sikit ni.
Nanti mummy telefon balik.”
“Okey mummy. Esok mummy balik, kan?”
“Ye sayang. Esok mummy balik.”
“Love you mummy!” Haili Sofea
bertutur ceria sebelum panggilan itu berakhir.
Rozita mengusap dada. Entah kenapa,
hati seumpama disiat-siat apabila bicara endah tidak endah Adlan menjengah
jendela telinga. Benci lelaki itu kepadanya, sudah diketahui dimana parasnya.
Apa yang dia mampu lakukan hanyalah menadah tangan, memohon kepada Tuhan agar
hati kepunyaan Adlan mempu dilentur.
“Kamu buat apa duduk dekat luar ni?
Kan sejuk.” Terkedek-kedek Tok Usu Mah datang mendekat.
Rozita menoleh. “Seronok hirup udara
malam. Segar.”
Tok Usu Mah tersenyum. Secangkir
kopi dihulur kepada Rozita. Wanita itu jadi segan-sengan hendak menyambut
unjukan tersebut.
“Ish... Mak Mah tak payahlah layan
saya sampai macam ni.”
“Kamu tu tetamu aku. Kenalah layan
baik-baik.” Lebar Tok Usu Mah mengembangkan otot muka. Sehingga barisan giginya
yang sudah berselerak dan lompong sana sini terlihat di mata Rozita.
“Terima kasih Mak Mah. Dahlah bagi
bermalam dekat sini. Makan pun percuma. Siap dapat minum kopi lagi. Ini kalau
dekat hotel, perkhidmatan macam ni kena bayar double,” seloroh Rozita.
“Alah... bukan orang lain pun. Kamu
kan kawan arwah Suria.”
Rozita pegun tanpa sebarang reaksi.
‘Kawan?’ Kuat suara hati sendiri
mengulangi perkataan tersebut.
“Ini... aku nak tunjuk gambar
keluarga. Gambar lama.” Sebuah album diberikan kepada Rozita. Keuzuran album
itu langsung tidak mencacat atau mencelakan isi dalamnya. Masih cantik tersusun
dan setiap satu gambar yang terakam dalam kepingan kertas berkilat itu, seolah
menyampaikan cerita yang berbeza-beza.
“Cantik Mak Mah masa muda,” puji
Rozita, seraya melirik nakal ke arah Tok Usu Mah. Wanita tua itu tampak
malu-malu.
“Masih muda, memanglah,” balas Tok
Usu Mah.
“Eh, sekarang pun cantik lagilah. Dalam
versi yang berbeza,” jelas Rozita. Matanya kembali tertancap pada gambar lama
Tok Usu Mah bersama seorang lelaki yang diyakini suami wanita tua tersebut.
Tentu sewaktu menikah dahulu, usia Tok Usu Mah masih muda. Belasan tahun,
mungkin.
“Suria...” Leret jarinya mengusap
paras Suria. Senyuman kaku itu terus terpeta dalam ingatan.
“Gambar Rin tak banyak ada dalam
album ni. Budak tu susah nak diajak bergambar. Ha... ini gambar paling besar
yang aku ada. Masa ni, umurnya baru tiga empat belas tahun.”
Sorot mata Rozita ikut arah tudingan
itu. Sejurus pandangan mengamati roman tersebut, dia mengerutkan muka. Setiap
inci lekuk wajah itu cuba diukir dalam kotak ingatan. Sedikit kabur namun dia
terus menatap dengan kening nyaris bercantum.
Terima kasih kerana baca entri ini. have a nice day :)
notahujungkaki: Selepas Amiera Adlan, bakal ditaip pula kisah Iman. Then turn Dear Anna. Hmm... Dear Anna tu, tahun-tahun akan datang aje bakal jadi tatapan dekat blog sebab speed aku menulis ni, boleh dikategorikan sebagai S.N.A.I.L haha!
2 comments:
Tqvm cik writer. Akak suka cerita adlan dgn miera..nice couple
Dear sis juridah
Tq kak,sudi dtg baca entri :) muahh! Teehe!
Post a Comment