Wednesday, February 11, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 32.

Assalamualaikum.







"...When you see aperson who has been given more than you in money and beauty, look to those who have been given less..."









Bab 32

‘BLOOD phobia is an intense fear of something that pose no actual danger.’ Suara hati kedengaran mengitari kepala sendiri. Artikel itu dibaca lagi. Sesekali jari-jarinya menekan tab yang berlambak di Google Chrome. Setiap satunya memaparkan maklumat dan kajian mengenai blood-phobia atau lebih dikenali sebagai hemophobia.
            Bola mata bergerak-gerak ke kiri dan kanan. Setiap baris ayat yang tertera di laman sesawang berkenaan difahami sedalam-dalamnya.
            ‘Blood phobia treatment option?’ Adlan kerut muka. Sejurus itu, dia meleret pandangan pada barisan ayat yang berwarna biru. ‘Hypnotheraphy?’ Bertambah dalam kerut mukanya.
            Setelah itu, dia duduk bersandar. Sorot mata terus menjulang siling.

“SAYA dah agak.” Amiera tersenyum kecil seraya menggeleng kepala.
            Adlan jongket bahu. “Dengan senang hati, dia cerita dekat saya.”
            Sejurus itu, Amiera menunduk muka. Jari-jari yang asyik merapikan kemeja Adlan sebelum disangkut pada penyangkut baju, beransur perlahan.
            “Jelas, awak memang takut darah, kan Amiera? That’s why awak pengsan masa kita...”
            “Awak tahu Adlan, darah tu seolah musuh pada saya.”
            “Kemalangan?” Adlan meneka.
            “Lebih teruk dari itu.” Amiera menuntas.
            Renungan Adlan kian tajam meratahi setiap inci roman yang kelihatan berkocak. Sedikit tetapi dia mampu menelusurinya.
            “Darah... terlalu banyak darah. Dekat tangan saya...” Anak mata jatuh menjunam ke telapak tangan. Terasa setiap tulang-tulang jari bergesel sesama sendiri setiap kali ingatan dipaksa menembusi relung waktu yang diselubungi kegelapan.
            Darah itu kelihatan mencemari telapak tangan. Hangat cecair likat itu kekal sama. Spontan, dia menggeleng kepala. Mata dipejam rapat. Cuba menyisih segala resah sebaik imbauan tersebut menampar diri.
            Amiera menjulang paras Adlan. “Dia meninggal depan mata saya, but there was nothing I could do. Nothing.”
            Tangan dikepal padu. Kekesalan yang menjadi barah dalam diri bertahun lama, seumpama bersatu di situ.
            “Apa jadi sebenarnya?” Duduk Adlan tidak seselesa tadi. Hikayat penuh emosi itu bagaikan satu dendangan yang tidak akan habis selagi Amiera terus-terusan bercerita dengan cara begitu. Tiada maklumat terperinci.
            “She’s my mom, Adlan. Dia mati ditikam.”
            Dan Adlan tertegun.

SEGALA urusan duniawi ditinggalkan seluruhnya hari ini. Ke mana hati hendak pergi, diikutkan tanpa berfikir panjang. Bukan sedikit hal yang membebani fikiran, hati, dan jiwa, bahkan tidak tertanggung andai kesabaran dan ketabahan itu tiada menduduki diri.
            Dia berjalan perlahan, menyusuri jalan kecil berumput halus. Kemudian, kaki dibawa ke kanan jalan sebaik menemui simpang. Lama kelamaan, pengemudian langkah semakin perlahan, sebelum terus terhenti sebaik tiba di sebuah pusara lama.
            Bibir berketap rapat. Telapak tangan bergerak merapati dada. Disertai esak tangis yang tidak mampu dibendung lagi.
            “Ya Allah...” Dia berdesis halus.
            ‘Kerana aku, nyawamu tidak panjang, Suria.’ Dengungan itu mencetuskan linangan airmata yang cukup banyak.
            “Rozita!”
            Sorot mata menempa paras wanita tua. Cukup tinggi mengawang tangan ke udara.
            Rozita segera berdiri. Cecair jenih yang membasahi mata, terus diseka rakus.
            “Assalamualaikum, Mak Mah...” Sapanya sejurus mereka saling berbalas pelukan.
            Tok Usu Mah tersenyum. Genggaman itu masih erat.

 “BUAT susah-susah aje, Mak Mah.” Lekas diambil unjukan cawan itu. Diletak rapi atas meja kayu.
            “Alah, bukan susah pun.” Tok Usu Mah tersenyum-senyum.
            “Dah bertahun tak nampak kamu, baru ni muncul balik,” lanjut wanita tua itu lagi. Gaya bertanya khabar seumpama saling kenal berdekad-dekad walhal baru satu dua kali mereka bertentang mata, saling berbalas kata.
            Ulas bibir Rozita meleret senyum hambar.Semestinya Tok Usu Mah tidak tahu bahawa destinasi ini menjadi tempat wajib kunjungannya setiap tahun.
            “Senyap sunyi aje rumah Mak Mah. Mana anak-anak?” Laju soalan itu meluncur dari mulut Rozita.
            “Aku ni tinggal sendiri aje. Anak-anak nak bawa pergi rumah masing-masing, tapi aku tak nak. Yelah, rumah ni rumah pusaka arwah suami. Tak bolehlah nak tinggal jauh. Nanti demam rindu,” seloroh Tok Usu Mah sehingga mengundang tawa kecil Rozita.
            “Habis tu, Mak Mah tinggal seorang?”
            “Macam itulah gayanya. Tapi setiap hujung minggu, anak-anak memang balik sini. Bila cuti sekolah, cucu-cucu pula datang berkampung. Riuh sikitlah rumah ni.” Sorot mata berlegar ke setiap penjuru rumah pusaka warisan keluarga suaminya.
            “Apa kata malam ni, kamu bermalam dekat sini? Lagipun, dah lewat petang dah ni. Pagi esok, baru bertolak balik.” Buru-buru Tok Usu Mah membentang pelawaan.
            Rozita menggeleng. “Tak apalah, Mak Mah. Buat susah aje.”
            “Lah, apa yang susah? Bukan kena bayar apa-apa pun. Percuma!”
            Senyum Rozita kembali menghiasi bibir. Peha wanita tua itu ditepuk perlahan. “Lain kalilah, Mak Mah.”
            “Mak Mah...” Rendah suaranya menyeru.
            Tok Usu Mah menoleh. Kerut-kerut kasar merauti wajah itu. “Kenapa?”
            “Anak arwah Suria tu...” Jeda seketika. Nafas disimpul rapi sebelum dilepas bergumpal dalam udara hening. Dia menyambung, “Mana budak tu... sekarang ni?”
            “Rin?”
            Sepotong nama ringkas itu tiada melekat dalam kepala. Yang bersisa hanyalah ingatannya terhadap seorang budak perempuan sedang menangis teresak-esak di hadapan sekujur tubuh kaku berlumuran darah.
            “Ibu! Ibu... bangun! Ibu!”
            “Adik nak ibu! Jangan ambil ibu!”
            Bentakan itu masih jelas meragut setiap urat saraf pendengaran. Dia pula sekadar mampu memandang dari kejauhan.
            “Budak tu dah besar panjang. Kahwin dah pun.” Dalam senyum lebar, Tok Usu Mah menyampaikan berita gembira tersebut.
            “Oh... baguslah.” Perutusan hati itu seolah masih terkandung rasa bersalah. Andai diizinkan, dia ingin menemui ‘Rin’.
            Ungkapan maaf harus diucap meski segalanya berlaku bukan atas kehendak diri.

“KAU nak apa?” Dalam malas, Fatma menghenyak punggung atas kerusi. Majalah Bazaar diselak sepintas lalu. Beberapa rekaan menempa ruang mata namun gagal diterjemahkan dalam fikiran tatkala udara yang disedut waktu ini turut dikongsi bersama Amiera.
            “Mira... nak jumpa ibu,” beritahu Amiera. Perlahan dan nyaris suaranya tersekat di kerongkong.
            “Kau ada nampak ibu dekat sini? Tak ada, kan? So... please...” Hujung jari menuding pintu pejabat yang terbuka luas. Sebagai satu arahan agar Amiera melenyapkan diri dalam kadar segera.
            Liur ditelan terasa mencucuk di tekak. Perit. Biarpun tidak dipertontonkan kekasaran perbuatan, tetapi petah lidah Fatma membutirkan kata cukup dimengerti.
            “Siti!” Fatma berdiri. Mata melikas liar, mencari kelibat Siti.
            Sebaik suara nyaring Fatma menjengah anak telinga, Siti yang pada ketika itu sedang sibuk mengemas stor barang, terus sahaja mencicit lari ke arah bilik pejabat gadis itu.
            “Eh, Amiera...” Terpaan Siti seumpama angin. Tiba-tiba sudah mendakap erat tubuh Amiera.
            “Lama betul tak nampak muka tu.”
            Amiera tersenyum senang hati. Rupanya masih ada yang sudi melayani kunjungannya selain ibu.
            Fatma mendegus geram. “Siti... aku panggil kau tadi, kan?” Kening dijongket tinggi. Rendah suaranya menegur kelakuan Siti.
            Buru-buru Siti pandang Fatma. “Ema nak apa?”
            “Mana manik yang aku suruh beli tadi?” Perbezaan usia antara dia dan Siti, tidak pernah diambil peduli. Empat tahun bukanlah satu perbezaan yang terlalu besar.
            Siti garu kepala. “Manik? Bila masa Ema suruh saya beli?”
            “Lupa?” Dia kembali duduk. Buku lakaran yang digunakan untuk menzahirkan idea, lekas dicapai dan dibelek penuh minat.
            “Ada apa-apa lagi?” Soalan itu menderu keras, menerobos ke jendela telinga Amiera.
            Melihat gelengan kepala Amiera, dia tersenyum sinis. “Dah tu? Aku sibuk ni.”
            “Amiera?”
            Serentak, Amiera dan Fatma menjulang paras di luar ruang kerja itu.
            “Kenapa tak beritahu nak datang? Budak ni!” Tasneem mengejar dalam langkah kecil.
            “Ibu!” Amiera lekas mendapatkan Tasneem. Wanita itu dipeluk erat.
            “Dah lama ke sampai?” Lebar senyuman Tasneem.
            “Baru aje, bu. Saje datang nak jenguk ibu, Kak Ema.” Dia memaniskan wajah.
            “Lain kali telefon dulu. Tak adalah ibu nak merayau mana-mana nanti.” Pipi Amiera dicubit mesra.
            “Rimas!” Tiba-tiba Fatma menderam keras. Lontaran kata yang perlahan namun kedengaran cukup jelas dipendengaran masing-masing.
            Tasneem memandang hairan. Kening lebat itu hampir bertaut.
            “Kenapa Ema?” soalnya prihatin.
            Panahan mata tertuju tepat pada Amiera.
            “Panas.” Dia menjawab sepatah.
            “Eh, kan berair-cond kedai kita ni. Takkan panas lagi?” Tasneem mengerutkan muka.
            Bibir dikunci rapat. Bicara ibunya dibiar berputar dalam udara serba dingin.

SUDU diletak sebagai tanda selera makannya sudah pudar. Tidak luak pun nasi kandar yang dipesan tadi.
            “Lah, sikitnya Ema makan. Biasa... sampai licin pinggan tu.” Tasneem berseloroh. Langsung tidak menyedari ulah dangkal anak perempuannya.
            “Kenyang.” Straw disumbat ke dalam mulut. Minuman itu dihabiskan dalam sekali nafas.
            Tergeleng-geleng kepala Tasneem memerhatikan gelagat Fatma. Di meja makan pun, masih sibuk meleret jari pada skrin sesentuh telefon.
            “Kenapa Mira tak ajak suami sekali tadi?”
            “Dia sibuk sikit, bu.” Amiera pamer senyum.
            “Alasan aje tu. Laki kau tak nak ikut, kan?” Fatma mencelah.
            “Ema, apa cakap macam tu!” Tasneem pantas menuntas.
            Fatma melirik ke arah Amiera. Senyumnya herot ke kiri. Sinis.
            “Ibu, Mira nak ke tandas kejap. Sakit perut pula.” Amiera berdiri, lalu segera mengemudi langkah pergi dari situ. Kali ini benar dia beralasan.
            “Kenapa dengan anak ibu ni?” Mencerlung mata Tasneem.
            “Kenapa apa?” Soalan dikembalikan tanpa sekelumit pun perasaan bersalah. Mulutnya kembali penuh dengan nasi. Selera jadi naik mendadak sepeninggalan Amiera.
            “Tentu kecil hati Mira dengar Ema cakap macam tadi tu.” Tasneem mengeluh kesal.
            “Ibu ni, sibuk-sibukkan nak jaga hati dia. Habis tu, hati ibu, hati ayah, hati kita ni, tak ada pula dia nak jaga, kan?”
            Pinggan ditolak ke tengah meja. “Lupa ke apa yang dia dah buat dekat keluarga kita? Masing-masing ada dosa sebab menipu semua orang. Konon kahwin atas nama cinta kilat, padahal... buat maksiat. Orang macam tu ibu nak suruh Ema jaga sangat hati dia?” Renungan Tasneem tidak dihirau. Baik ibu, mahupun ayah, kedua-duanya beraksi seolah-olah tiada apa-apa kejadian memalukan telah memalit lipatan hidup mereka. Amiera kekal berada di sisi, disayang melebihi sepatutnya.
            “Ema, benda dah lepas, buat apa nak dikenang-kenang?” Tasneem berkata lembut. Rambut panjang mengurai milik Fatma dilurut perlahan.
            “Ibu tak sakit hati ke?” soal Fatma.
            Tasneem terdiam sejenak. Jeda dalam helaan nafas yang memberati rengkungan.
            “Ibu dah tak rasa apa-apa pun, Ema.” Jujur dia menjawab pertanyaan tersebut.
            Bagi Fatma, jawapan yang meluncur keluar itu langsung tidak menjentik rasa hairan. Malah dia boleh tersenyum dan tertawa kecil.
            “Dah agak dah.” Dia menggumam.
            “Ema balik dululah.” Punggung dibawa menjauhi kerusi kayu. Tinggi pandangan Tasneem menjulang paras Fatma.
            “Ema...” Tasneem berusaha memujuk.
            “Kirim salam Ema dekat anak perempuan kesayangan ibu tu.” Langkah dikemudi laju meninggalkan Tasneem bersama pesanan yang cukup menjerut ulu jantung wanita tersebut.

TAWA manja Haili Sofea di hujung talian cukup menyenangkan hati Rozita.
            “Mestilah mummy rindu. Kan Elly permata ulam jantung mummy. Anak kesayangan mummy,” kata Rozita. Duduknya berlabuh di atas anak tangga kayu paling atas.
            “Elly! Mana Elly letak kunci kereta abang tadi?”
            Suara itu membuatkan seluruh tubuh Rozita kaku membeku.
            “Atas mejalah. Tu...!” Haili Sofea memberitahu.
            “Mummy... mummy nak cakap dengan abang tak?” Dibalik hijab sebelah sana, Haili Sofea sudahpun mengunjuk ganggang telefon kepada Adlan.
            “Nah...”
            “Siapa?”
            “Mummy lah.”
            “Elly ajelah cakap. Abang nak keluar.”
            Rozita mengetap bibir.
            “Sayang... mummy ada kerja sikit ni. Nanti mummy telefon balik.”
            “Okey mummy. Esok mummy balik, kan?”
            “Ye sayang. Esok mummy balik.”
            “Love you mummy!” Haili Sofea bertutur ceria sebelum panggilan itu berakhir.
            Rozita mengusap dada. Entah kenapa, hati seumpama disiat-siat apabila bicara endah tidak endah Adlan menjengah jendela telinga. Benci lelaki itu kepadanya, sudah diketahui dimana parasnya. Apa yang dia mampu lakukan hanyalah menadah tangan, memohon kepada Tuhan agar hati kepunyaan Adlan mempu dilentur.
            “Kamu buat apa duduk dekat luar ni? Kan sejuk.” Terkedek-kedek Tok Usu Mah datang mendekat.
            Rozita menoleh. “Seronok hirup udara malam. Segar.”
            Tok Usu Mah tersenyum. Secangkir kopi dihulur kepada Rozita. Wanita itu jadi segan-sengan hendak menyambut unjukan tersebut.
            “Ish... Mak Mah tak payahlah layan saya sampai macam ni.”
            “Kamu tu tetamu aku. Kenalah layan baik-baik.” Lebar Tok Usu Mah mengembangkan otot muka. Sehingga barisan giginya yang sudah berselerak dan lompong sana sini terlihat di mata Rozita.
            “Terima kasih Mak Mah. Dahlah bagi bermalam dekat sini. Makan pun percuma. Siap dapat minum kopi lagi. Ini kalau dekat hotel, perkhidmatan macam ni kena bayar double,” seloroh Rozita.
            “Alah... bukan orang lain pun. Kamu kan kawan arwah Suria.”
            Rozita pegun tanpa sebarang reaksi.
            ‘Kawan?’ Kuat suara hati sendiri mengulangi perkataan tersebut.
            “Ini... aku nak tunjuk gambar keluarga. Gambar lama.” Sebuah album diberikan kepada Rozita. Keuzuran album itu langsung tidak mencacat atau mencelakan isi dalamnya. Masih cantik tersusun dan setiap satu gambar yang terakam dalam kepingan kertas berkilat itu, seolah menyampaikan cerita yang berbeza-beza.
            “Cantik Mak Mah masa muda,” puji Rozita, seraya melirik nakal ke arah Tok Usu Mah. Wanita tua itu tampak malu-malu.
            “Masih muda, memanglah,” balas Tok Usu Mah.
            “Eh, sekarang pun cantik lagilah. Dalam versi yang berbeza,” jelas Rozita. Matanya kembali tertancap pada gambar lama Tok Usu Mah bersama seorang lelaki yang diyakini suami wanita tua tersebut. Tentu sewaktu menikah dahulu, usia Tok Usu Mah masih muda. Belasan tahun, mungkin.
            “Suria...” Leret jarinya mengusap paras Suria. Senyuman kaku itu terus terpeta dalam ingatan.
            “Gambar Rin tak banyak ada dalam album ni. Budak tu susah nak diajak bergambar. Ha... ini gambar paling besar yang aku ada. Masa ni, umurnya baru tiga empat belas tahun.”
            Sorot mata Rozita ikut arah tudingan itu. Sejurus pandangan mengamati roman tersebut, dia mengerutkan muka. Setiap inci lekuk wajah itu cuba diukir dalam kotak ingatan. Sedikit kabur namun dia terus menatap dengan kening nyaris bercantum.

Terima kasih kerana baca entri ini. have a nice day :)

notahujungkaki: Selepas Amiera Adlan, bakal ditaip pula kisah Iman. Then turn Dear Anna. Hmm... Dear Anna tu, tahun-tahun akan datang aje bakal jadi tatapan dekat blog sebab speed aku menulis ni, boleh dikategorikan sebagai S.N.A.I.L haha!

2 comments:

juridah said...

Tqvm cik writer. Akak suka cerita adlan dgn miera..nice couple

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear sis juridah

Tq kak,sudi dtg baca entri :) muahh! Teehe!