Wednesday, February 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 33.

Assalamualaikum.







"...How far is the sky and how close is Allah..."










Bab 33
PANJANG tangannya mencapai sebuah bakul mengkuang di dalam almari. Bersama bakul mengkuang tersebut, dia menghenyak punggung di atas katil. Jari-jemari mula membuka ikatan tali yang merentangi bakul berkenaan.
            Sekeping gambar ditarik keluar. Gambar itu merakam paras ibunya ketika zaman muda, berambut panjang melepasi bahu, sedang tersenyum manis bersama Tok Awan, Nek Awan, dan Shahreza. Setelah puas menilik, kepingan kertas bersaiz 4R lain diambil pula.Diamati satu per satu.
            Ulas bibirnya menguntum senyum, menzahirkan kebahagiaan dalam hati tatkala dirinya yang berambut tocang dua, tiada gigi di depan dan berwajah ceria sedang erat merangkul leher ibu. Gambar itu diterbalikkan. Ada sesuatu tercanting di situ. ‘Selamat hari lahir sayangku Amiera Syazreen, yang ke empat tahun.’ Suara sendiri berbisik dalam kepala.
            Bakul mengkuang pemberian Tok Awan dahulu diselongkar lagi. Hampir lima puluh keping gambar terisi di dalam bakul itu.
            Hujung jari menarik keluar sekeping kertas berlipat-lipat yang terselit di antara gambar-gambar tersebut. Lipatan kertas lusuh itu dibuka. Bulat mata dia membaca sesuatu yang tertulis di atasnya.
            ‘Ibu selalu cerita tentang ayah. Kata ibu, ayah lelaki yang baik. Kalau betul apa yang ibu cakap dekat adik, kenapa ayah tak ada dengan kita?’
            Anak mata jatuh meleret kepada tulisan seterusnya.
            ‘Hari ni ibu kata lagi, ayah sayang dekat adik. Tapi kan ibu, kalau betul ayah sayang, kenapa dia tak pernah datang jumpa adik?’
            Amiera mengetap bibir. Dia ingat! Sehingga usia dia menginjak sembilan tahun, ibu sering bercerita mengenai lelaki bernama Latif. Benar, dia sudah muak dan mampu memikirkan di mana kedudukan dia dalam hidup lelaki berkenaan.
            ‘Mungkin adik dah tak ada ayah, kan ibu?’
            Tulisan sedikit herot berakhir setakat itu sahaja.
            “Kalau ikut Abang Latif, tak kahwin budak Amiera tu.” Secara tiba-tiba, gema suara Hazman menerobos ke lubang pendengaran.
            “Kan Abang Latif tak pernah ada di samping dia, apatah lagi kalau dia tahu yang Abang Latif menafikan hak dia sendiri untuk mewalikan Amiera,” lanjut Hazman, terus memuntahkan keraguan.
            “Amiera bukan seorang anak yang penuh dengan sifat benci. Kita tak tahu apa yang ada dalam hati dia tu. Saya yakin, Amiera tak akan membenci Latif, malah mungkin dia juga sedang tercari-cari siapa ayahnya. Siapa tahu, kan?”
            Dia terus memasang telinga tanpa pengetahuan dua orang lelaki berkenaan. Tiada yang tertinggal walau sepatah pun.
            Amiera menutup mata. Nafas dihela panjang. Kini dadanya terasa membungkam. Rengkungan cukup sesak dengan hempasan ombak yang ganas, tiba-tiba hadir bertimpa-timpa.
            ‘Ibu... kenapa ibu tipu Mira dulu? Ibu kata ayah sayangkan Mira. Ibu kata ayah akan datang cari Mira. Tapi ibu tahu sesuatu tak? Ayah tak sudi jumpa Mira. Mungkin... ayah benci Mira. Kenapa, bu?’
            Tubuh tersandar lemah di kepala katil. Perlahan-lahan, mata dibuka semula. Berkaca-kaca dicemari cecair hangat.
            “Ibu...” Kerinduan itu seumpama membuar keluar. Gambar Suria didakap erat.
            Meski di luar dia tampak kuat dan tabah, hakikatnya dia sudah cukup rapuh. Bahu yang selama ini memikul beban jiwa sendiri, kian merunduk ke tanah. Selantang mana pun dia menafikan, yang nyata jauh di sudut hati, dia ingin tahu siapa lelaki yang selayaknya dipanggil ‘ayah’.

PINTU diregang sedikit. Dia mencuri lihat ke dalam sana. Seluruh pelosok rumah dicari, namun kelibat Amiera langsung tidak kelihatan di mana-mana.
            “Amiera?” Dia menjenguk kepala.
            Selangkah dia melangkah memasuki ruang peraduan itu. “Amiera?” Dia memanggil lagi.
            Penuh berhati-hati, aturan kaki dikemudi. Tatkala pandangan mata menyoroti sekujur tubuh Amiera, untuk kali pertama, dia dijamu paras yang sedang lena itu tanpa sebarang halangan. Rambut panjang berombak di hujung, begitu menawan.
            Hijab yang menutupi aurat di kepala isterinya telah terbuka sebaik kaki mereka menjejak kediaman ini. Dengan rela hati, Amiera berbuat demikian. Itulah yang diharapkan sebenarnya.
            “Amiera.” Sengaja dinaik tinggi oktaf suara bagi memastikan Amiera benar-benar lena.
            ‘Subhanallah... kau memang cantik, Amiera.’ Hati berdesis kagum. Kepala lutut sudah mencecah lantai. Dia kini berada hampir di sebelah isterinya. Mengamati setiap lekuk wajah, setiap inci roman yang tampak tenang.
            Bukan dia tidak pernah mengagumi keindahan Amiera, bahkan keindahan yang biasa-biasa bagi sesiapa yang melihat, serta-merta menjadi terlalu istimewa buatnya setelah Amiera sah dimiliki.
            Amiera didekati. Begitu hampir menemukan wajah kedua-duanya. Sebuah kucupan hinggap di dahi Amiera.
            “Amiera... aku akan cuba jadi imam yang bakal membawa kau ke syurga Allah kelak. Walau percaturan jodoh kita pernah menghiris hati sebilangan orang, tapi aku sentiasa berdoa agar ikatan ini tak akan putus.”
            Itu janjinya. Janji yang termaktub pada lafaz dan kukuh dalam jiwa.

“ANAK... anak ki... kita... bang. Anak...” Nafas wanita itu kian tercungap-cungap seolah-olah salur nafasnya telah menjadi sempit.
            “Anak?” Matanya membuntang bagai tidak percaya.
            “Jan... janji jangan ting... tinggalkan dia. Tolong.” Dalam kepayahan, butir bicara ditutur perlahan.
            Seluruh anggota tubuh bagai mengigil. Saling bergesel sehingga menerbitkan rasa ngilu.
            “Su sa... sayang abang. Dunia akhirat.” Senyumnya meruntun hati sendiri. Dia sekadar mampu menzahirkan kekesalan melalui linangan airmata.
            Dia terus menangis teresak-esak. Senyuman itulah yang dibawa bersama sehingga sekarang. Roman wajah tenang Suria kekal terpahat dalam ingatan. Yang sering menggamit mimpi malam, juga paras yang serupa.
            Muka tersembam di kepala lutut, diangkat perlahan menjulang dada langit. Hitam. Suram. Seperti mana liku hidupnya dahulu. Kemunculan Suria seumpama satu hadiah dari Tuhan. Relung jiwa serba kelam, menjadi cerah secara tiba-tiba.
            Namun, dalam keterpaksaan, dia harus menjauhi cahaya tersebut. Suria ditinggalkan. Dan pertemuan pada hari itu langsung tiada terduga.
            Pada hari yang sama, Tuhan telah memadamkan sinar terang tersebut untuk selamanya. Ditarik kembali dengan cara paling tragis.
            “Ibu! Bangun... ibu!”
            Latif pejam mata semula. Dadanya bagai ditendang kuat, ditumbuk padu hingga pecah segala tulang rusuk setiap kali tangisan dan teriakan Amiera memenuhi ruang pendengaran.
            ‘Maafkan ayah, anakku. Maafkan ayah.’ Dia merintih kesal.

SESAK nafasnya tatkala gerombolan udara terasa berpusu-pusu memasuki rongga pernafasan. Dia bangkit. Duduk berlunjur kaki di atas katil. Muka diraup perlahan. Rintik peluh halus terasa melekat di telapak tangan sendiri.
            Gambar Suria ditatap lama. Wajah itu sudah jadi sebahagian daripada mimpi tidur, sama ada dalam bentuk kebahagiaan atau bakal menyebabkan relung mimpinya berantakan. Namun keanehan telah menyentap jantung. Lantas membuatkan dia bangkit dengan pelbagai perasaan merusuh dalam diri.
            ‘Siapa lelaki itu?’
            Parasnya terlalu kabur. Tidak mampu dicuri lihat oleh deria penglihatan. Malah kemunculannya memecahkan jasad Suria. Bertukar menjadi butir-butir debu dan terbang ke atas langit berbumbungkan kabus tebal lantaran tiupan angin benar-benar kencang ketika itu.
            “Astaghfirullah...” Dia beristighfar panjang. Betapa dia terlalu asyik memikirkan mainan tidur, sehingga lupa waktu kian beranjak senja. Solat asar pun belum didirikan lagi. Dengan pantas, dia menjejak kaki ke bilik air yang turut dibina di kamar peraduan.

“KITA sambut, nak? Buat surprise.” Keterujaan Haili Sofea jelas kelihatan. Wajah itu tampak girang. Senyumnya sampai ke telinga.
            Nafas Adlan mendesah perlahan. Dia tidak ingat langsung tentang tarikh penting wanita itu. Hendak menconteng di kalendar atau disimpan dalam nota peribadi pun, tidak pernah. Apatah lagi mahu meraikan majlis kelahiran yang sudah berbelas tahun tiada diambil peduli.
            “Buat apa? Kan dah bertambah usia, tak payahlah nak celebrate sangat. Membazir.” Dia membangkang secara terang-terangan.
            “Abang ni, sesekali apa salahnya? Ni... abang pun ada sekali. Tu... Kak Mira pun ada. Ha, meriahlah sikit. Dah banyak tahun tau asyik celebrate bertiga aje dengan nenek. Bosan.” Kedua-dua belah tangan melingkari tubuh.
            Gadis itu dikerling tajam. “Dah tahu bosan, yang pergi celebrate juga, kenapa?”
            Haili Sofea mengerutkan muka. Bermacam-macam andaian berputar dalam kepala melihat ulah Adlan. Sehingga mengundang curiga di hati.
            “Setahun sekali aje tau.” Hali Sofea enggan mengalah.
            “Apa yang setahun sekali tu?” Amiera menegur.
            Adlan dan Haili Sofea menoleh serentak. Kedua-duanya mengulum senyum, dan barangkali lebar bibir Adlan melebihi kebiasaan. Tatkala mengamati wajah manis isterinya, hati terus jadi tenang. Seumpama diresapi sesuatu.
            “Kak Mira...” Gadis kecil molek itu merengek manja.
            “Kenapa ni Elly?” Amiera mengusap lembut kepala adik iparnya.
            “Elly ingat, Elly nak buat surprise untuk mummy.” Kerlingan sempat tertuju kepada Adlan. Namun Adlan berpura-pura tidak mengerti. Pantas mencari skrin televisyen yang memaparkan slot sukan dari Astro Supersport.
            “Surprise apa?” Amiera mengerutkan muka.
            “Celebrate birthday mummy,” jelas Hali Sofea.
            “Oh ya? Bila?” Bulat mata Amiera menerima maklumat berkenaan.
            “Mmm...” Haili Sofea mulai membilang. Jari-jemari tegak sehingga cukup sembilan kiraan. “Next month. Elly nak buat kejutan untuk mummy. Mesti seronok. Kan semua orang ada. Kak Mira pun ada.”
            Amiera tertawa kecil. “Insya Allah.”
            Deruan enjin kereta dari luar menggamit perhatian Amiera. Dia menyelak sedikit tirai langsir nipis itu.
            “Mummy!” Terlebih dahulu Haili Sofea berteriak seperti kanak-kanak kecil.
            “Nak ke mana?” Adlan mendongak.
            Amiera tidak jadi melangkah. “Mummy balik tu.” Berserta senyuman, Amiera beransur meninggalkan Adlan.
            Anak mata kekal setia memerhatikan ulah Amiera.
            ‘Rozita disambut mesra.’
            ‘Rozita dilayan baik.’
            ‘Rozita sentiasa cuba didampingi Amiera.’
            Adlan mendengus keras. Sebaik kelibat Rozita menjelma, dia lekas alihkan pandangan.

SESEKALI lirik mata mencuri lihat kelakuan Ku Embok. Wanita tua itu asyik tersenyum-senyum. Kadang ketika, tawa halusnya kedengaran menjentik anak telinga.
            “Mak ni kenapa? Dari tadi saya tengok, senyum memanjang.” Rozita menegur hairan.
            “Ke dah bercinta balik?” Lanjutnya, seraya melontar jenaka kecil.
            Ku Embok menjegilkan mata. “Ke situ pula dia!”
            “Habis tu, dari tadi sengih-sengih, senyum-senyum, tu apa?” Sejadah dilipat dua. Kemudian disidai atas ampaian kayu di penjuru ruang musollah kediaman mereka.
            “Mak bukan apa, hati ni gembira. Rasa bahagia yang tak boleh nak ungkap dengan kata-kata,” ujar Ku Embok.
            Rozita duduk bersimpuh di depan Ku Embok. Ringan tangannya memicit tangan tua Ku Embok. Urat-urat seakan muncul meliar di tangan berkedut wanita tersebut.
            “Mak gembirakan apa sebenarnya?”
            “Keluarga kita.” Ringkas Ku Embok memberitahu.
            Kening Rozita kian bertaut.
            “Sejak Adlan pindah ke sini, Amiera pun ada... kita sekeluarga tak pernah tinggal solat berjemaah. Dapat sama-sama solat subuh, maghrib, dan isyak pun dah memadai. Alhamdulillah... mak bahagia sangat.” Senyum yang melingkari bibir itu tidak surut-surut. Jelas menggambarkan relung jiwa nan harum berbunga bahagia.
            “Ita...” Tangan Rozita diraih. “Ita tengok Adlan tu, boleh jadi imam. Bacaannya lancar. Merdu. Pandai Ita didik anak. Insya Allah, Adlan boleh jadi suami yang baik buat Amiera.”
            Wajah Rozita tunduk menekur lantai beralas karpet hijau tua. Tiada siapa pun tahu, saat terdengar suara Adlan mengalun takbir, membutirkan setiap satu kalimah-kalimah memuji Ilahi, malah berdiri paling hadapan menjadi imam mereka, tubir mata sendiri telah rabak. Hati jadi sayu. Tangisan ditahan sedaya mungkin.
            “Anak yang soleh dan solehah adalah harta yang paling berharga buat kita, Ita. Itulah kekayaan yang kita akan bawa bila mati nanti, selain amal jariah, juga ilmu yang bermanfaat kepada orang lain. Dan Ita beruntung ada Adlan, ada Elly. Anak-anak Ita baik-baik belaka.”
            Bicara itu seumpama menusuk ke jantung. Memutuskan setiap urat berselirat di situ.
            Sudikah Adlan mendoakan dia nanti? Anak itu... membenci dirinya.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Usah Lepaskan- sebuah kisah yang cuba memberi tumpuan kepada hubungan kekeluargaan, mempertontonkan takdir yang telah diatur Tuhan bukan satu kebetulan. Bukan kisah cinta Amiera Adlan semata. Bukan tentang Ekmal yang patah hati seluruhnya. Kalau ia kurang menarik minat, maaf :) Masih tak cukup ilmu dalam dada :) Enjoice reading okay.

2 comments:

juridah said...

Tqvm writer...mujur ada amiera..boleh la eratkan semula hubungan adlan dgn mummy

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear sis Juridah

Tq so much kak sbb selalu drop komen,sudi singgah baca hikayat serba kekurangan ni :) ye..hadir amiera satu anugerah buat keluarga Ku Embok hihi :)