Wednesday, February 25, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 34.

Assalamualaikum.







"...The only reason you need to do something is for the sake of Allah..."










Bab 34
STRAW disumbat ke dalam mulut. Jus tembikai susu disedut sekali nafas. Kemudian, gelas tinggi berliku di tengah, ditolak ke tepi.
            “Budak tu tak salah apa pun dengan kau, kan?” Hanis menjongket kening.
            “Tak salah? Banyak dosa dia dekat aku. Sampai tak boleh nak kira!” Fatma menuntas keras.
            Hanis terdiam sejenak. Mengenali Fatma sejak zaman persekolahan, setelah itu terus bersama sehingga sekarang, membuatkan dia cukup masak dengan permasalahan jiwa sahabatnya.
            “Amiera tu bukan orang lain. Sepupu kau juga.” Rendah suara Hanis mengingatkan.
            Fatma tarik muka. Bibir dicebik tanda menyampah.
            “Kau juga yang buka cerita fasal budak tu.” Hanis mengungkit pula.
            “Aku nak lepaskan perasaan, bukan nak dengar ceramah kau, okay?”
            Spontan, Hanis tertawa kecil.
            Fatma memandang kehairanan. “Kenapa? Apa yang lawak?”
            “Kau tu...” Jeda seketika. Dia berdeham sebelum menyambung, “Actually... aku tengok kau sebenarnya concern dekat Amiera, kan?”
            “Ulang sekali lagi? Concern? Hello... kalau dah pandang muka dia pun aku naik menyampah, apatah lagi nak ambil berat.”
            “Kau ni tak patut tau. Bukan aje sepupu, dia tu anak angkat keluarga kau. Adik kau.” Perhitungan mereka masih belum selesai. Hanis berdiri di sisi Fatma selaku sahabat, namun dalam waktu yang sama, dia enggan Fatma terus-terusan menjadi pendendam.
            Kedua-dua belah tangannya memeluk tubuh. Mencerlung mata Fatma merenungi Hanis. “Yang kau ni, nak menangkan perempuan tu sangat, kenapa? Dia bukan baik mana pun. Konon suci depan ibu ayah aku, tapi sudahnya kahwin sebab kena tangkap bercengkerama dalam rumah sewa dia tu.” Sengaja ditekan oktaf suara di anak tekak sebaik perkataan ‘bercengkerama’ meluncur keluar.
“Kau tak percaya juga?” Kening naik tinggi. Ulah Hanis diperhati tajam. Lihat pada roman wajah temannya, nyata Hanis tidak bersetuju.
“Bukan tak percaya tapi ragu-ragu. Tentu kau pernah dengar, jodoh tu Allah dah tetapkan dekat atas langit lagi. Dengan siapa, macam mana pertemuan tu boleh terjadi, dekat mana... semua tu dah ditentukan. Lagipun, aku kenal Amiera tu, Ema. Dia budak baik. Mungkin apa yang dia cakap, tentang salah faham tu... betul. Sebab tu aku rasa mak ayah kau terus jadi lembut hati even malapetaka tu... sesuatu yang sangat mengaibkan. Allah lembutkan hati mereka. Allah padamkan peristiwa yang menyakiti mak ayah kau. Kau tak terfikir ke, Ema?”
            Bibir Fatma terkunci. Bukan kerana lidahnya kelu, tetapi berat mulut hendak membalas. Kerana dia tahu, Hanis tidak pernah memandang Amiera seperti mana dia.

BENCINYA dia kepada Amiera bukan secara melulu. Punya asas kukuh. Ada alasan kuat. Amiera telah meragut semua darinya. Kasih sayang, perhatian, dan keluarga, segala yang ada sudah tertumpu kepada Amiera.
            Bohong jika perasaannya tiada terusik mengenang kehidupan Amiera yang serba serbi menumpang ehsan orang lain. Simpati itu ada. Namun tatkala anak mata melewati kemesraan antara Amiera dan semua orang dalam keluarga kecilnya, seumpama ada busur tajam membidik tepat ke jantung. Memutuskan segala belas yang muncul sekejap cuma. Dan seterusnya, menjala kembali perasaan iri hati, benci yang kadang ketika tenggelam di dasar hati.
            Silapkah dia membenci perempuan itu? Atau sebenarnya silap ibu dan ayah sendiri yang kerap benar membandingkan dia dengan Amiera? Benar, dalam segala hal, Amiera berada di carta paling tertinggi. Kedudukan teratas. Katanya, Amiera itu bijak. Dari sekolah rendah, hingga ke universiti, sentiasa memperoleh keputusan baik. Sedang dia, tidak pintar mana. Puas menelaah, namun otak yang dianugerahkan dengan akal, tidak mampu menampung lebihan beban.
            Perbandingan yang dianggap satu motivasi untuknya bagi Tasneem dan Shahreza, sebenarnya satu permulaan rasa benci itu bercambah.
            Ah, bukan hal itu sahaja bikin dada sebal.
            Semakin hari, semakin ketara Amiera telah mengusai hampir keseluruhan apa yang seharusnya dia miliki. Buktinya sudah ada. Terang lagi bersuluh. Pada saat Amiera mengotori wajah ibu dan ayah, kedua-duanya masih mampu melupus dan melembutkan hati untuk kembali merangkul Amiera dalam dakapan. Andai dia yang berada di tempat Amiera, adakah keadaan kekal serupa?
            “Cuba kau renung balik, muhasabah diri... tanya hati... kenapa kau benci sangat dekat Amiera tu. Kalau benci tu tumbuh sebabkan hal kecil-kecil, kau rasa berbaloi ke?”
            Bicara Hanis tadi, melantun dalam kepala.
“PANJANG kau berdoa?” Sesekali ekor mata menyoroti Amiera, berserta senyuman halus mulai membasahi bibirnya.
            Kerja melipat telekung terhenti seketika. Pandangan dibawa melorot ke sisi. “Lah, salah ke aku doa banyak-banyak dekat Tuhan?”
            “Apa yang salah? Aku tak cakap apa pun.” Pantas Betty menuntas.
            “Dah tu, yang kau tanya tadi tu, kenapa?” Telekung yang siap dilipat rapi, disumbat masuk ke dalam beg seperti uncang. Cuma saiznya berganda empat lima kali.
            Roman wajah membentuk kerutan halus tatkala menyedari rias yang merauti airmuka Betty seumpama menyembunyikan sesuatu. Dia sangsi.
            “Ni mesti doa supaya cepat dapat ni...” Hujung jari hendak mencuit perut Amiera, namun perbuatannya segera ditepis. Terkekeh-kekeh dia ketawa.
            “Dapat apa?” Amiera menepuk perut sendiri. “Ni... dalam ni penuh dengan organ pencernaan.”
            “Kau lupa. Yang penuh dengan segala macam organ tu nanti bakal bertemankan khalifah Allah.” Betty sedia jongket kening.
            Amiera sekadar mampu membalas dengan sebuah senyuman.
            “Itu aje yang kau fikir, kan?” Pipi Betty dicubit geram.
            Cemberut muka Betty. Mulutnya mengomel tanda tidak puas hati. “Habis, apa lagi yang aku kena fikir selain tu? Kau dengan Encik Adlan tu dah kahwin, lepas tu mesti ada anak. Betul tak?”
            Senyuman berputik lagi. Sesungguhnya, perjalanan dia dan Adlan masih terlalu panjang. Liku-liku yang terbentang, sedang diusahakan untuk ditembusi bersama. Waima pernah terbeban atas dasar paksaan, kini dia seakan rela. Membajai jiwa dengan kecintaan setulusnya yang diharap hadir sedikit demi sedikit.
            “Kau doakan aku cepat kahwin eh.” Betty kenyit mata pula. Ada sahaja ulah nakalnya menempa penglihatan.
            “Tak dapat macam Encik Adlan, kut iras Encik Is pun okey.” Galak Betty berseloroh.
            “Rancak berborak.”    
            Amiera dan Betty saling berpandangan. Selanjur kedua-duanya menekup mulut masing-masing. Betty hilang suara, Amiera terus senyap sunyi.
            “Tu... laki kau, kan?” Betty berbisik ke telinga Amiera.
            “Betty... awak ni nak berbisik, tapi sampai juga ke telinga saya.” Adlan berkata lagi.
            Buntang mata Betty. Bibir diketap rapat. Pantas menggesa Amiera untuk sama-sama keluar dari ruang musollah tersebut, yang mana pembahagian kawasannya menggunakan tabir tebal berwarna coklat.
            “Sorry Encik Adlan,” ujar Betty sebelum mencicit laju bersama Amiera.
            Ulas bibir Adlan mengulum senyum. Disertai tawa halus menembusi bukaan kecil mulutnya. ‘Bakal khalifah kecil?’ Hati bagai bergendang. Kata-kata Betty membuatkan dia tidak mampu mematikan langsung senyuman sendiri.
            ‘Astagfirullah...’ Dia meraup muka. Kaki dikemudi memijak sejadah, menghadap kiblat.
            Hati ditunduk serendah-rendahnya kala ingin mendepani Tuhan.
            “Bismillah...”

KALAU mampu dirobek dada, boleh dipatahkan tulang rusuk, akan dia cabut keluar satu organ tubuh bernama hati. Dengan itu, hati yang asyik berpalu nada bahagia, akan segera diperiksa. Mencari punca sebenar kenapa dia berperasaan sebegini rupa.
            ‘Bakal khalifah kecil.’ Entah kali ke berapa bingkisan suara kecil itu mengetuk anak telinga.
            Lentur otot muka mengembalikan senyuman tadi. Tiada tertahan-tahan.
            “Lebar senyum tu.” Ku Embok duduk hampir di sisi Adlan.
            Adlan terperanjat. Gema suara hati langsung ghaib. Malah perasaan bahagia yang sedang dia alami turut lenyap. Anak mata terus mencari paras wanita tua itu.
            “Dari tadi nenek perhati, Edi asyik senyum aje.” Wanita tua itu mulai membuat rumusan kasar. Selajur menepuk peha Adlan beberapa kali dan berkata lagi, “Macam orang jatuh cinta.”
            Senyumnya disembunyikan jauh-jauh.
            “Nenek ni, pandai aje serkap jarang.” Adlan berdalih.
            “Kalau Edi dah mula rasa bahagia, rasa cinta pada Amiera, tak salah. Dia... isteri kamu, kan?” Pinggang Adlan dicuit.
            Adlan menepis lembut. Kemudian tangan tua itu digenggam erat, lantas dibawa mendekati muka. Diciumi penuh rasa hormat.
            Jari-jemari Ku Embok merayapi kepala lelaki itu. Diusap lembut, bersama perasaan yang bercampur-baur. Sebagaimana Adlan meletakkan dia selaku manusia yang harus dijaga adab dan sopan bila bertutur dan berkelakuan, selayaknya Rozita punya hak yang sama. Rozita ibu yang mengandungkan Adlan. Yang telah meletakkan nyawa di hujung nafas tatkala melahirkan lelaki itu.
            “Adlan...” Hati dipagut pilu.
            Adlan mendongak.
            “Selagi dia masih hidup, belum diambil Tuhan... alangkah baiknya kalau kamu mampu membahagiakan dia.”
            Mendengar bicara itu, Adlan terus bersandar tubuh. Pandangan dihala ke hadapan. Roman sayu Ku Embok enggan dipicing walau sedikit.

DADA dielus perlahan. Menahan detak jantung yang tidak sekata. Kadang kala membuatkan rasa ngilu membaluti seluruh organ penampung nyawa tersebut.
            Dia tidak pernah jemu berdoa, tidak putus mengangkat telapak tangan menjulang langit. Malah titipan kesejahteraan untuk Adlan sentiasa membasahi bibir, ditutur lidah dengan begitu mengharap sekali. Luka parah di hati sendiri segera ditolak ke tepi.
            ‘Tuhan, hukumlah aku seberat mana pun. Dugalah aku dalam apa keadaan pun. Tapi... jangan bawa dia jauh dari ku, Tuhan.’ Sayup-sayup suara yang muncul dari relung jiwa, mengalun satu nada sayu.
            Betapa dia ingin berada di tempat Ku Embok tika ini. Tangan itu disalami penuh rasa hormat bersulam kasih yang sememangnya datang dari hati. Sedang hujung jari Adlan pun, seakan tidak sudi berlabuh untuknya!
            Tirai langsir dilepaskan. Lelah dada menyaksikan Adlan di situ.
            “Mummy?”
            Rozita tersentak.
            “Mummy okay?” Amiera bertanya lagi.
            Lekas dia angguk kepala. Buru-buru bawa kaki pergi dari jendela lalu menapak ke ruang tamu.
            Amiera di belakang, terus membuntuti.
            “Mummy nak minum? Saya boleh buatkan.” Senyuman manis diukir kecil. Walau sikap Rozita sering acuh tidak acuh terhadapnya, hati tidak pernah terguris. Kerana dia sedar, barangkali benci yang wujud itu bertunjangkan keaiban dia dan Adlan.
            Belum pun sempat Rozita menuntas, Amiera terlebih dahulu menyanggah. “Mummy tunggu sekejap.” Terkocoh-kocoh larian anak mengemudi kaki Amiera.
            Rozita menghela nafas panjang. Rengkungan yang tadi terasa cukup berat, kini beransur lapang. Dadanya meringan.
            Sepasang mata milik Amiera menyambar fikiran. Kolam mata itu, bercahaya. Airmuka juga tampak jernih. Sisi murni si menantu mulai menempa penglihatan sendiri. Amiera seumpama satu bius. Kebencian yang cuba disalur terus ke jiwa, serta merta mati. Malah hendak memutikkan bunga-bunganya juga tidak pernah berjaya. Perasaan langsung melentur lembut.
            ‘Amiera... siapa kau sebenarnya?’

“ESOK ada orang nak datang.” Suzana melabuh punggung di sebelah suaminya.
            Spontan, Hazman memaling muka. Suzana ditatap dengan kerutan terbenam kasar di dahi.
            “Siapa?” Latif mencapai kopiah putih, lantas dipakai bagi menutupi atas kepala. Dia sudah bersiap-siap hendak ke surau.
            “A...” Suara Suzana mati.
            “Kawan saya, bang. Esok abang masih dekat kampung, kan?” Jari isterinya dipaut kuat. Suzana mengetap bibir.
            Latif tersenyum. “Kalau kau izinkan...”
            “Eh abang ni. Takkanlah saya nak halau abang balik pula? Inikan rumah abang juga.” Hazman bertutur seraya ketawa kuat.
            “Alhamdulillah... bolehlah aku menumpang sehari dua lagi. Tapi tak boleh nak lama sangat. Kedai tukang tu, tak ada siapa nak tengok,” jelas Latif.
            “Boleh bang,” sahut Hazman dalam senyuman.
            Terangguk-angguk kepala Latif. Sejurus itu, dia mula menginjak anak tangga paling atas. Cukup lima semuanya, barulah telapak kaki merasai dinginnya lantai simen.
            “Aku jalan kaki ajelah.” Latif menolak pemberian Hazman. Gugusan anak kunci motosikal segera dikembalikan.
            “Penat bang, jalan kaki.”
            “Tak apa. Kan aku dah biasa ke surau jalan kaki aje. Aku pergi dulu. Assalamualaikum!”
            Penat itu memang ada. Namun sebaik mengingatkan ganjaran pahala dalam setiap langkah yang dilewati, hati jadi kuat. Letih terus hilang. Berganti dengan perasaan bahagia.
            “Yang abang pergi siku Ana tadi, kenapa?” Mencuka roman Suzana tanda tidak puas hati.
            Sebaik bayang Latif hilang dari pandangan, barulah Hazman menatap paras isterinya. “Ana tu, kenapa nak buka mulut fasal Amiera?”
            “Eh, dah memang Amiera tu nak datang esok. Apa salahnya kalau Abang Latif tahu?”
            Hazman menarik nafas dalam-dalam. “Ana...”
            Rendah oktaf yang dilontar Hazman, mengingatkan dia kepada sesuatu. Dahi ditepuk kuat.
            “Ya Allah... Ana lupa, bang.” Bibir diketap rapat.
            Hazman tersenyum kemudiannya.
            “Kalau Abang Latif tahu Amiera nak datang, tentu awal-awal dia dah angkut beg dia, kan?”
            Retetan tutur kata Suzana tiada menembusi corong pendengaran. Hazman ralit memikirkan hari esok. Sebagaimana Latif, Amiera juga tidak tahu kewujudan ayah kandungnya di sini.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Dear Anna dah ada sikit plot :) Anak yang sangat patuh kepada ibunya sampai segala susun atur dalam hidup sendiri pun, mak dia juga yang tentukan. Emm :) Oh.. Happy Borndayyyy my bro- Juan :) Semoga sentiasa success dalam apa jua bidang dan pekerjaan yang kau lakukan. Dan moga rahmat Allah sentiasa melingkari hidupmu :)

No comments: