'...Pour your heartbreaks into DUA...'
Bab 35
LANGSIR berbunga
kecil merah hati, dikuak sedikit. Dia melangkah masuk bersama pasangan suami
isteri yang baru sahaja sampai.
“Awal kamu sampai, Amiera. Tak
sempat Mak Usu nak sediakan apa-apa untuk kamu berdua. Tu... trio ‘Hang’ pun
tak bangun lagi.” Suzana tersenyum sengan.
“Eh, tak apalah Mak Usu. Tak payah
nak susah-susahkan diri. Saya dan suami okey aje. Kan awak?” Ekor mata melorong
ke arah Adlan.
Terangguk-angguk kepala Adlan. “Betul
tu, Mak Usu. Untung sangat ada tempat berehat.”
“Mak Usu keluar dulu, ye. Sekejap
lagi, turun dapur. Kita sarapan sama.”
“Pak Usu mana? Tak nampak pun.”
“Pak Usu kamu macam biasalah.
Pagi-pagi keluar ke kebun. Alah... kejap lagi tentu nampak batang hidung dia
tu.” Sejurus meminta diri, Suzana lekas ke dapur. Biar dilarang keras oleh
Amiera, dia tetap berdegil hendak menyediakan sarapan ala kampung untuk tetamu
istimewa yang datang bertandang.
“Adlan... terima kasih.” Ucap
Amiera, seraya mendekati Adlan yang sudah terlentang atas katil.
“Untuk apa?” Adlan bangkit.
“Sudi hantar saya datang sini.”
Spontan, Adlan tertawa kecil. “Dah
jadi tanggungjawab saya. Awak tu isteri saya, Amiera. Takkan saya nak biar awak
balik sini seorang diri?”
Ulas bibir Amiera mekar dengan
senyuman. Halus namun mampu menggetarkan perasaan Adlan. Getar yang bukan
sedikit. Bahkan seluruh jiwa bagai runtuh.
“BANG!” Suzana
menjerit kecil. Dengan tuala mandi menutupi kepala, dia bergegas meredah kebun
pisang, tercari-cari kelibat Hazman.
“Bang!” Panggilnya lagi.
“Eh, mana pula laki aku ni?” Suzana membebel
geram.
“Amri!” Tangan mengawang udara. Amri
yang sedang gigih memotong setandan pisang, terus terhenti perbuatannya.
“Ye Kak Su. Ada apa?” Hujung kemeja
lusuh dibawa ke dahi.
“Ni ha, kau nampak tak Abang Man?
Sakit tekak akak ni asyik pekik panggil dia. Munculnya, tak juga,” dengus
Suzana. Liar mata mencari kelibat Hazman.
“Abang dekat sini Su!” Sahut Hazman
tiba-tiba, disertai kemunculannya di sebalik daun-daun pisang yang lebar.
“Kita panggil dia, tak
datang-datang.” Suzana merungut.
“Selalu Ana tak panggil, abang balik
sendiri pun. Amri, tu dekat sana ada dua tiga tandan pisang. Nanti kau tolong
hantar ke kedai Wak Sadir ye. Dari semalam orang tua tu bertanyakan pisang tu.”
Amri mengangguk faham.
“Bang...” Suzana tergesa-gesa
menarik Hazman.
“Kenapa ni, Ana?”
“Mana Abang Latif?”
“Entah. Dia keluar sebelum subuh.
Pergi surau.”
“Tu...” Bibir Suzana memuncung.
“Apa?” Hazman garu kepala. Ulah si
isteri mengundang hairan.
“Amiera dah sampai.”
“Ye ke? Bila?” Mereka sama-sama
keluar dari kebun tersebut.
“Baru aje. Tu yang Ana tanyakan
Abang Latif. Kut-kut dia balik kejap lagi, apa kita nak buat, bang?” Terpancar
keresahan di roman wajah Suzana. Dia hanya mengikut rencana Hazman
membuta-tuli.
Hazman menanggalkan kemeja lusuh
dari tubuh. Badannya berkeringat.
“Ana tolong ambilkan tuala. Abang
nak mandi.”
Suzana patuh.
DERAP kaki semakin
perlahan. Lama-kelamaan terhenti sendiri. Dia pegun. Kaku tidak bergerak lagi.
Sedang mata kekal membidik ke arah kediaman yang ditumpangi beberapa hari ini.
“Abang Edi nak main tak dengan Am?”
Suara kecil Idham mencuri masuk jendela telinga.
Sejurus itu, muncul tubuh tinggi
lampai seorang lelaki, berpakaian kemas menuruni anak tangga, lantas
mendapatkan Idham yang sudah berada di halaman.
“Kak Mira!” Jeritan Idham bergema
lagi.
Mendengar nama itu disebut Idham,
langkah yang baru sahaja hendak dihayun, serta-merta mati. Malah dia terundur
ke belakang tatkala paras gadis itu menerpa pandangan. Meski dari kejauhan,
setiap lekuk wajahnya kekal terbias jelas.
“Kak Mira tak main bolalah, Am. Dia
main anak patung.” Suzana menegah permintaan pahlawan bongsunya.
“Alah... jomlah. Nantilah Kak Mira
main patung. Am ada banyak patung kayu.” Rengekan manja Idham mengundang tawa
Amiera.
‘Amiera?’ Latif merasakan seluruh
anggota tubuhnya seumpama lumpuh. Nyaris dia jatuh menyembah bumi. Segera dia
berpaut pada dahan pokok. Selanjur menyembunyikan diri di sebalik pohon sebesar
tiga pemeluk manusia. Dari celah-celah dahan, dia memandang ke hujung sana.
‘Ya Allah...’ Hati merintih lagi.
Tubuh melorot atas lantai bumi. Terpunduk dia di situ bertemankan kesakitan
yang maha dahsyat.
“Aku... kena balik, Man.” Dusta
Latif sebaik telefon bimbit melekap di telinga.
“Balik? Kenapa tiba-tiba nak balik?
Bukan ke abang kata nak tinggal dua tiga malam lagi?” Nyata Hazman terperanjat.
Nafas dihirup lelah. Sedaya-upaya
menyembunyikan galau perasaan yang sedang ganas menghentam relung jiwa. “Kedai
tukang aku... ada masalah sikit. Ahmad kena cuti.”
“Tak boleh tunggu ke bang?” pujuk
Hazman. Ternyata rencana dia tidak menjadi.
“Tak sempat, Man. Aku kena balik
sekarang juga. Insya Allah, tiga empat hari lagi aku datang balik. Barang-barang aku yang ada tu,
biarlah dulu.” Langkah dikemudi lemah. Terasa telapak kaki yang beralaskan
selipar jepun, terawang-awang tiada berpijak ke tanah. Sesekali kepala
tertoleh-toleh ke belakang.
“Baiklah... kalau abang dah putuskan
macam tu. Semoga selamat sampai.”
“Insya Allah...”
Dia tidak mencari kelibat Amiera
lagi. Tegak lurus mengemudi kaki menjauhi kediaman tersebut.
TANGAN kecil Idham
dipimpin Hazman. Kedua-duanya berjalan seiring menuju ke bilik peraduan
berhampiran ruang tamu. Sebaik langsir disingkap, batang tubuh Hafizi dan
Luqman menyambar penglihatan. Mengucap panjang Hazman jadinya. Dua-dua anak
bujangnya tidur dengan gaya gimnastik.
“Abah...” Idham menarik lengan
Hazman.
“Apa dia, sayang?” Punggung mendarat
di tepi katil. Gebar tebal ditarik menyelimuti Idham. Kemudian dia mencapai
patung Spongebob lalu diberikan kepada anak kecilnya.
“Kenapa Ayah Long tak balik lagi?
Kan dah malam.” Idham memintal jari-jari Hazman. Itulah tabiatnya.
“Ayah Long balik rumah dia. Ada
kerja. Itu yang Idham tak sempat jumpa Ayah Long. Insya Allah, nanti Ayah Long
datang sini lagi. Dah... tidur.”
“Tapi kan ayah, adik nampak Ayah
Long. Tapi Ayah Long tak balik rumah kita. Dia terus jalan pergi depan sana.”
Idham menyuarakan ingatannya tentang Latif.
Hazman mengerutkan dahi.
“Bila?”
“Pagi tadi. Masa adik ajak Kak Mira
main bola dengan adik.” Terus-terang anak kecil itu memberitahu.
“Idham tidur, ye. Ayah matikan
lampu.” Hazman bingkas berdiri. Setelah memastikan Idham benar-benar selesa,
barulah dia meninggalkan ruang peraduan putera-puteranya.
Pintu ditutup rapat. Setelah itu,
dia beransur ke ruang tamu. Ralit memikirkan kata-kata Idham. Selanjur
perbualan lewat pagi tadi menerpa jendela pendengaran.
“Bang!”
Hazman urut dada.
“Astaghfirullah...”
Terkekeh-kekeh Suzana ketawa.
“Suka sangat dapat kenakan abang ye?”
Dia duduk di anak tangga paling atas.
“Abang tu, termenung panjang
sampaikan Ana dah terpacak dekat sebelah pun tak perasan.”
Meski halus, namun helaan nafas
serba berat Hazman memutikkan kehairanan. “Abang kecewa ke?”
“Lebih dari tu, Ana.” Muka menunduk
tenung papan tebal berurat tidak selari.
“Dahlah, bang. Tak ada rezeki kita
nak temukan anak-beranak tu.” Belakang badan Hazman diusap lembut.
“Ana...”
“Ye, bang?”
“Ana pernah terfikir tak, yang
sebenarnya Abang Latif dah lama tahu siapa anak dia?” Paras Suzana pantas
direntap.
“Maksud abang...”
Roman yang menakungi wajah Suzana
seumpama menzahirkan kesimpulan yang terbina dalam kepala. Sejurus itu, Hazman
mengangguk. Membenarkan apa pun pernyatan yang berlegar di benak isterinya.
“TERIMA kasih,
Luth.” Kepala mendongak.
Luth tersenyum. Tangan menghulur
secangkir kopi.
“Minumlah,” pelawanya.
Cawan seramik putih itu dicapai.
“Kenapa kau tak beritahu aku nak
datang sini? Cuba telefon ke, apa ke... dibuatnya aku tak ada dekat rumah,
macam mana?” Luth duduk bersila mendepani sahabat lamanya.
“Maaf kalau aku menggaanggu.”
Pandangan jatuh merenung tikar mengkuang.
“Eh, kau jangan salah faham pula.
Maksud aku tu, sebelum datang kau beritahulah aku dulu. Boleh aku sediakan
apa-apa yang patut. Ni, kau datang sehelai sepinggang ni kenapa? Kata bermalam
sehari dua dekat sini.”
Belum pun sempat Latif merangka
bicara, Luth melanjut pertanyaan lagi. “Apa yang kau pegang tu?” Terjuih-juih
bibir Luth.
Sorot mata melorong ke arah ukiran
kayu kecil di dalam genggaman. Kelima-lima jarinya mengembang secara
perlahan-lahan.
Alif, mim, ya, ra, alif.
Amiera.
Sebaris nama itu diukir dalam huruf
jawi. Liuk setiap abjad mempamerkan ketekunan dan kehalusan seni tangan si
pemahat.
AMIERA menoleh.
Pandangan kedua-duanya bertaut sebelum ulas bibirnya membalas senyuman si
suami.
“Dah ewat malam ni. Kenapa tak tidur
lagi?” Adlan mengerling jam tangan. Hampir menginjak dua belas tengah malam.
“Nah.” Iphone Adlan dihulur.
“Nenek call tadi. Katanya mummy nak
cakap dengan awak,” lanjut Amiera.
Telefon itu dicampak ke tengah
katil. Selanjur dia turut rebah bersama. Sebelah tangan dijadikan alas.
Manakala sebelah lagi berjuntai atas dahi. Permainan Ku Embok, sudah lama dia
tahu. Rencananya tidak pernah putus. Namun dia kekal membekukan diri. Dingin
hati kian ditambah sukatan.
Adlan memerhatikan Amiera. Isterinya
begitu tekun membelek sesuatu di tangan. Pantas dia duduk. Mengengsot datang
mendekat.
“Apa tu?” soalnya ingin tahu.
Amiera menunjukkan ukiran kayu
tersebut.
Anak mata Adlan menjalar ke segenap
inci lekuknya. “Idham? Ini Idham punya ke?”
Amiera mengangguk. Kembali ralit
merenungi ukiran tersebut. Hujung jari merasai setiap huruf jawi yang timbul
itu.
“Saya tengok budak-budak tu banyak
simpan koleksi ukiran kayu macam ni. Kebanyakannya bermotif tulisan jawi.
Cantik.” Sejurus itu, dia menjulang roman Adlan.
Adlan yang sedia dirusuh resah,
lekas mengalihkan pandangan. Malah terus terjun terbaring dengan badan
terlentang. “Tidurlah. Dah malam ni,” tuturnya lembut.
Objek kayu diletak atas meja kecil
bersebelahan kepala katil. Dia membaringkan tubuh, membelakangi Adlan. Selimut
ditarik menutupi seluruh badan. Sedang sorot mata sentiasa segar
melantun-lantun pada kayu ukiran milik Idham.
Ukiran kayu seperti itu, pernah
diterimanya. Setiap tahun, sejak tujuh tahun lalu. Lentur seni yang terpahat di
atasnya kekal serupa. Lima abjad jawi memetakan nama depan, cuma berbeza dari
segi hiasan dan butiran halus di sekelilingnya.
Terima kasih baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Hai kawan dalam kepala, kenapa kadang-kadang suka merajuk dengan kita? Ya, kita janji kahwinkan awak berdua. Herher!
2 comments:
Bila nak sambung lagi kak? Novel akak terbit tak lagi?
Bila nak sambung lagi? Novel akak terbit tak lagi?
Post a Comment