Wednesday, April 22, 2015

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab9.

Assalamualaikum.








"...Oh Allah, grant me your love, grant me that I love those who love you; grant me, that I might do the deeds that win your love. Make your love dearer to me than the love of myself, my family and wealth..." - Reported by At-Tirmidhi, Hadeeth.










Bab 9
“SAYA tak suka tunggu orang.”
            Lain macam benar ucapan itu menyusup masuk ke dalam rongga pendengaran. Terngiang-ngiang sehingga sekarang.
            Nurul Ain duduk terpunduk di atas sebuah kerusi, terletak di penjuru restoran berkenaan. Dia berseorangan di situ, ditemani segelas minuman yang dibelinya tadi sebaik sahaja mesyuarat berakhir.
            Kelewatan dia pagi tadi bukan disengajakan. Sungguh dia lupa, motosikal ditinggalkan di perkarangan tempat parkir kenderaan berhampiran bangunan Menara Holdings.
            Sesampai sahaja di situ, Tengku Hanif sudah terpacak menunggu di pintu utama. Maka terkocoh-kocoh dia melangkah. Dan sapaan ringkas begitu, jelas sengaja memerlinya.
            “Lain kali, kalau dah berjanji, jangan nak mungkir pula. Munafik tahu.”
            Straw disumbat ke dalam mulut. Minuman itu disedut laju-laju.
            “Hai.”
            Hampir tersembur air dari mulutnya. Terkejut.
            Irfan menarik kerusi, lalu melabuh punggungnya di situ. Kedudukannya mendepani Nurul Ain.
            “Tak bosan duduk sorang dekat sini?” Ifran menyoal pula. Sebelah tangannya memegang tin minuman berkarbonat 100 Plus.
            “Semua dah keluar ke?” Soalan dibalas soalan.
            “Baru aje.” Irfan menyeluk poket seluar, lantas mengambil sesuatu dari dalamnya. Anak kunci yang diapit bersama keychain Panda ditolak ke tangah meja.
            “Tayar motosikal awak dah okey,” beritahu Irfan.
            Nurul Ain terdiam. Agak lama dia memerhatikan kunci itu sebelum diambil. “Emm... terima kasih, encik.”
            Sebenarnya dia rasa janggal. Kenal pun tidak, tiba-tiba sahaja lelaki itu berlaku baik padanya.
            “Irfan. Panggil saya Irfan. Tak payah nak berencik-encik bagai.” Irfan menitip tawa kecil. Walhal, semalam mereka bergerak dalam satu kereta, namun sesi suai kenal tidak berlaku langsung. Masing-masing menyepi seribu bahasa. Dalam kepala dia sendiri, ditujah pelbagai persoalan tentang gadis manis itu.
            “Berapa upah betulkan tayar motosikal saya tu?” Nurul Ain hendak mengeluarkan dompet. Buru-buru meraba perut beg  yang disangkut ke bahu.
            “Eh, tak payah.” Irfan menuntas.
            “Tapi... encik... semalam tu...”
            Irfan menggeleng. “It’s okay. Saya ikhlas tolong awak.”
            “Awak ni staff baru ke?” Irfan kerut muka. Kemunculan Nurul Ain menjadi tanda-tanya paling besar hari ini. Tiba-tiba sahaja susuk gadis itu dilihat hadir bersama Tengku Hanif, bukan Lufiya seperti kelaziman.
            “Part-time tea lady,” beritahu Nurul Ain dalam suaranya yang terpunduk di anak tekak.
            “Hah?” Bicara itu tidak sampai ke telinga Irfan. Mengecil mata dia.
            “Sorry, tak berapa jelas.” Wajahnya membentuk sengihan lebar.
            Nurul Ain sudah bersiap sedia hendak mengulangi kata-katanya tadi, namun sebaik ternampak kelibat Tengku Hanif berjalan menghampiri, dia kunci mulut. Selajur berdiri tegak.
            Kelakuan Nurul Ain mengundang hairan. Irfan menoleh. Hempasan nafas diluncur dengan kasar.
            “Irfan, let’s having lunch together,” pelawa Tengku Hanif. Tumpuannya memusat penuh kepada Irfan. Meski bahasa tubuh lelaki itu cukup difahami tetapi dia enggan berganjak. Kebisuan Irfan bukan menjadi masalah besar pada dia.
            “Tuan Low dan yang lain-lain dah nak gerak dah tu,” lanjutnya.
            Irfan bangun. Pandangannya dijaga rapi. Sedikit pun tidak menyambar renungan Tengku Hanif.
            “See you next time.” Irfan berkata kepada Nurul Ain. Siapa nama gadis itu pun belum sempat diselidiki.
            “Irfan.” Tengku Hanif mengejar langkah yang dipacu perlahan.
            “Anything?” Irfan membelah kolam mata Tengku Hanif. Terasa ada busur bermata tajam tersingkap dicelah-celah lontaran mata Irfan.
            Cengkaman pada bahu Irfan dilepaskan. Dia berundur selangkah ke belakang.
            “Nothing,” sahutnya.
            Irfan kembali mengemudi langkah.

PINGGAN yang diusung ke sana sini masih kosong. Meski di depan mata terhidang pelbagai menu yang mampu membuarkan rasa lapar serta-merta, dia masih kaku berdiri di hujung meja, dengan mata liar merayapi ke segenap pelosok ruang ini. Persekitarannya dipenuhi manusia-manusia yang datang daripada kelas berbeza-beza. Yang nyata, dia paling terpencil.
            “Diet?” Tengku Hanif datang seumpama angin. Menegur dengan suara yang perlahan namun masih jelas di pendengaran Nurul Ain.
            Nurul Ain mengerling sekilas. Lelaki itu sedang berdiri di sebelahnya, sibuk memilih menu untuk disumbat ke dalam perut. Wajahnya memaling ke sisi sehingga sukar baginya mencuri lihat.
            “Kalau nak jaga diet tu, janganlah sampai tak makan. Tu, ada banyak makanan yang berkhasiat.” Tengku Hanif berkata lagi. Garfu bermata empat ditunjuk ke hujung meja sebelah kiri mereka.
            ‘Dia ni kenapa?’ Nurul Ain mendongkol geram tiba-tiba. Dahinya sudah berlapis-lapis. Keprihatinan yang cuba dipamer Tengku Hanif telah disalah anggap. Lontaran bicara sebegitu, seumpama kesinisan yang dipamer secara lisan.
            “Tengku...” Dalam perasaan berbungkam, ada sesuatu yang menyengat fikiran. Kenapa mesti dia yang diusung Tengku Hanif ke sini? Dia bukan sesiapa. Hanya pekerja separuh masa bagi melangsaikan tanggungjawab yang terbeban di bahu hasil kecuaian sendiri. Kalaupun Lufiya tiada, masih berderet kakitangan di jabatan itu menganggantikan tempat Lufiya.
            “Emm...” Tengku Hanif menyahut dalam keghairahan dia memilih makanan.
            “Kenapa Tengku bawa saya ke sini?” soal Nurul Ain.
            Tengku Hanif menoleh sekilas. “Makanlah. Takkan bawa you masuk sini untuk tidur pula? See, semua orang tengah makan.” Bibirnya terjuih-juih.
            Nurul Ain ketap bibir.
            “Bukan. Maksud saya, kenapa saya yang disuruh gantikan tempat Lufiya? Saya ni part time tea lady aje, Tengku.”
            Nurul Ain masih cuba membungkus perasaan geram yang mula menular sampai ke jantung apabila tawa halus Tengku Hanif melayang-layang, lalu hinggap ke cuping telinga.
            “I nak you belajar.” Ringkas dan padat namun sukar dimengertikan oleh halwa pendengaran Nurul Ain. Gadis itu tercengang.
            “Banyak benda yang you kena belajar, Nurul Ain.”
            Jika sebelum ini hanya rahang yang jatuh, kini jantung juga bagai menghempas bumi tatkala redup mata lelaki itu dan senyumnya menempa penglihatan. Tuhan, dia bagaikan baru sahaja menghabisi larian trek seribu meter secara bersendirian.
            “Eat this.” Salad buah-buahan disudu ke dalam pinggan Nurul Ain. Kemudian dia mencedok sedikit kacang panggang dan diletak bersebelahan salad buah-buahan tadi.
            “Sesuai untuk diet you,” katanya pula.
            Langsung tidak terbuka pun selera Nurul Ain melihat makanan dalam pinggan sendiri. Dia lapar nasi, bukan hadap salad dan kacang panggang.
            “Dah siap penuhkan pinggang tu, nanti kita makan dekat meja sana. I tunggu you.”
            Nurul Ain keras membatu.
            ‘Perasaan apakah ini?’
            Sejurus itu, dia mengelus dada.

“KENAPA papa tak tunggu Hanif tadi?” Sebaik kelibat Datuk Awang Kader melintas depan mata, Tengku Hanif terus bertanya.
            Datuk Awang Kader menghempas punggung, duduk di atas kerusi bertentangan pemuda itu.  Dahinya berlapis-lapis, menzahirkan mindanya sedang berkeja keras memikirkan sesuatu.
            “I’m not strong enough, Hanif,” keluhnya.
            Hela nafas turut terbabas keluar dari rengkungan. Tengku Hanif melorong renungan tepat ke wajah Datuk Awang Kader. Dia punya satu niat namun tidak pernah tertunai kerana sikap ayah tirinya. Barangkali masih tersisip rasa gusar andai yang diharap-harapkan bukan kebenaran yang dicari.
            “Sampai bila, pa?” ajunya lagi.
            Datuk Awang Kader menggeleng. Penuh keterpaksaan.
            “Papa perlu masa.”
            “Sampai bila?” Ulanginya lagi.
            Jari-jari dibawa memicit pelipis. Berdenyut. Seluruh jiwanya seakan terbeban dengan ketulan batu yang berat, sehingga terasa rengkungannya menyempit.
            “Hanif tak faham. Papa tak kuat...” Lirih bunyi suara itu.
            Tengku Hanif menompang dagu. “Atau... papa takut?”
            Soalan itu benar-benar mengejutkan Datuk Awang Kader. Buntang mata itu membelah renungan Tengku Hanif.
            “Trust me, papa. Kenyataan yang papa takut nak hadapi tu, bukan sesuatu yang menyakitkan.” Tengku Hanif meyakinkan.
            Serta-merta, tubuh Datuk Awang Kader jadi lemah. Tersandar longlai di kerusi. Jari yang memicit pelipis tadi, dikembangkan lalu menguak anak rambut sampai ke ubun-ubun.
            “Kalau bukan?” Nyata, Datuk Awang Kader masih sangsi.
            “Trust me, papa. Trust me.” Bicara itu diulangi lagi. Serius.
            “Perempuan tu... dia.”
            Datuk Awang Kader menekup wajah.

KELIBAT seorang Tengku Hanif itu, baginya bersifat misteri. Tutur kata, perbuatan, mahupun tindakannya sering menimbulkan wasangka meski baru beberapa hari dia menjadi sebahagian daripada keluarga besar syarikat hartanah tersebut, secara separuh masa.
            “Apa yang aku kena belajar?” Dia menggumam halus.
            Lamunan sendiri terbejat tatkala keriuhan runut lagu kedengaran menjerit lantang. Sebaik skrin bercahaya keputihan itu memaparkan ‘private number’, dia berkerut hairan. Ikon hijau dileret ke kiri, lantas melekapkan gadjet serba canggih berjenama Samsung ke telinga kiri.
            “Helo?”
            Sepi. Cukup sunyi.
            Nurul Ain melihat skrin telefonnya. Mana tahu panggilan telah terputus. Namun jelas menunjukkan mereka masih berhubung talian.
            “Helo.” Suara ditekan mendatar. “Nak cakap dengan siapa?” soalnya.
            Masih menyepi. Tiada sahutan kedengaran.
            Dia jadi geram tiba-tiba. Tanpa menunggu lama-lama, panggilan tadi sengaja dimatikan. ‘Salah nombor, kut,’ fikirnya.
            Daripada duduk bertenggek hampir di jendela, dia membawa kaki keluar dari bilik dan terus menuju ke kamar peraduan Suriani. Leret mata mencuri-curi lihat ibunya yang duduk berteleku di atas sejadah. Sedang khusyuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
            Lama-kelamaan, dia hanyut dalam alunan merdu suara Suriani, membutirkan setiap kalimah suci dalam kitab Al-Quran. Tiba-tiba, perasaan dirundung pilu.

BERLAPIS-LAPIS dahi Datin Sabrina memerhatikan gelagat suaminya. Termenung panjang di balkoni bilik mereka. Datin Sabrina mendekati Datuk Awang Kader. Bahu suaminya disentuh lembut.
            “Abang...” panggilnya.
            Datuk Awang Kader menoleh.
            “Na...” Lelaki itu sekadar berbahasa. Selanjur melempar pandang ke hadapan semula.
            “Tadi saya tengok abang cakap dekat telefon. Dengan siapa?” Datin Sabrina menyoal ingin tahu.
            Pertanyaan itu dibiar terawang-awang.
            Melihat gelagat aneh Datuk Awang Kader, perasaan Datin Sabrina bagai dihambat pelbagai persoalan. Sejak dua menjak ini, dia menyedari suaminya bertingkah aneh. Sering termenung panjang. Seolah sedang memikirkan sesuatu yang maha berat. Kadang ketika, terdengar keluhan berat terlepas keluar. Bila diaju pertanyaan, lelaki itu sekadar mengukir senyum dan menggeleng kepala.
            Mata dia masih membidik paras Datuk Awang Kader. Mengamati setiap lentur garis yang terlukis jelas di wajah itu. Diamati dalam-dalam.
            “Abang... rindukan Kak Min?” Entah kenapa, soalan itu juga yang meluncur laju keluar dari mulutnya.
            Spontan, Datuk Awang Kader mencari wajah Datin Sabrina.
            Pandangan keduanya bersatu. Cukup lama, sebelum akhirnya Datuk Awang Kader mengalihkan pandangan mata. Senyum yang sedikit, kian melebar.
            “Rindu saya pada arwah Min tak pernah mati. Tapi saya bersyukur sebab awak ada, menggantikan tempat arwah.” Datuk Awang Kader berkata perlahan.
            Datin Sabrina diam tidak berkutik.
            “Walau arwah tiada ganti, tapi... awak sentiasa di hati. Cinta sampai mati,” seloroh Datuk Awang Kader. Dileret-leret suaranya agar mampu menghidupkan suasana ceria mereka suami isteri.
            Terburai gelak tawa Datin Sabrina.
            “Ayat mana yang abang hafal tu?” Kening diangkat tinggi.
            Datuk Awang Kader menyimpul senyum. Dia mula memacu langkah, menyembunyikan batang tubuh ke dalam kamar peraduan. Kesejukan angin malam telah sampai ke tulang.
            Datin Sabrina kekal berdiri di ruang balkoni. Wajah mendongak, menjulang dada langit. Saat itu, fikiran dia dirangkul imbasan mengejut. Sepasang mata galak melawan renungannya. Sepasang mata yang sering dimimpikan dahulu. Kedua-duanya punya persamaan!

            Hati jadi tidak aman tiba-tiba.

Terima kasih kerana baca entri ini dan have a nice day :)

notahujungkaki: CJKP versi cantas lagi :) Hanif, Badri, Irfan