Wednesday, April 29, 2015

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab10.

Assalamualaikum.








'...The more you know Allah, the more you love Him...' - Imam Al Ghazali











Bab 10
CINTA itu menyakitkan. Andai sudah tergores hati, maka luka yang tinggal begitu payah hendak sembuh. Parutnya pula akan dibawa ke mana pun.
            Cinta juga menuntut pengorbanan. Kadang ketika, pengorbanan itu sebenarnya meranapkan jiwa sendiri. Hancur lumat, jadi debu dan terus diterbangkan angin. Seperti dia, sekeping hatinya telah berderai pada saat insan itu mengheret kaki pergi dari hidupnya. Pergi yang tidak pernah kembali sampai hari ini.
            “Gia...” Nama itu meluncur laju tanpa ditahan-tahan. Berdesir halus.

“I perempuan jijik.” Mengongoi tangisan gadis berambut ikal, panjang melepasi bahu. Mata itu sembab, memerah, dan lencun dengan airmata.
            “Apa you cakap ni?” Irfan kelihatan terkejut. Gadis itu dihampiri. Duduknya bertentangan Gia yang menunduk pandang lantai bumi.
            Gia angkat muka. Dadanya kencang menahan sebak.
            “I tak layak untuk sesiapa pun. Even you!”
            “Gia...” Ifran cuba memujuk cinta hatinya. Rambut itu dielus lembut. “Sesiapa pun layak memiliki you. You baik, jujur and...”
            Tiba-tiba Irfan ketap bibir. ‘Aku cinta padamu, Gia.’ Bicara itulah yang ingin sekali diluahkan kepada Gia. Namun dia sedar, cinta Gia separuh mati buat manusia yang seorang lagi.
            “Irfan...” Esak tangis Gia kian reda.
            Irfan merenungi paras itu sepuasnya. Meski lencun dengan airmata, kerupawanannya masih jelas mengabui mata sendiri.
            Gia tampak takut-takut.
            “Gia...” Nama itu diseru.
            Kepala Gia semakin menunduk.
            Irfan keresahan.
            “Dia tak mahu bertanggungjawab atas apa yang dia dah buat pada I. I... I...” Gia tekup muka dengan telapak tangan. Buraian esak tangisnya kembali menggila.

“IRFAN?”
            Teguran seorang perempuan membuatkan ingatan lampau musnah serta-merta. Lalu mata diangkat menjulang paras perempuan itu. Tidak sampai sesaat pun bertentang mata, Irfan sudah kalih muka.
            “What are you doing here?” Kathy tampak teruja. Senyumnya sampai ke telinga. Tanpa dipelawa, Kathy tarik kerusi, terus duduk mendepani Irfan.
            “Tidur.” Irfan menjawab penuh sarkasik.
            Terjuih bibir Kathy. Mencebik.
            “Dah tu, kenapa tak beguling aje atas lantai? Kenapa masih duduk atas kerusi? Ke gaya you tidur memang macam ni?” Kathy membalas. Rentak Irfan diikuti.
            Irfan menghela nafas panjang. Rimas.
            “Alah you ni. Jumpa I pun, muka nak toya,” omel Kathy.
            Irfan kekal senyap. Sekadar menelah gelagat Kathy. Dia dan Kathy, mereka saling kenal sejak kecil lagi. Hubungan kekeluargaan antara mereka, biarpun jauh, tetap dipandang penting oleh ibunya.  
            “Dah lama I tak jumpa parents you. Auntie and uncle sihat?” Kathy menyoal.
            Ya, inilah satu sikap yang harus dipuji. Gadis yang tampak agak sosial, suka berhibur tidak kena gaya, namun apabila menyentuh soal keluarga, Kathy boleh dipuji, malah dicontohi. Keluarga jadi keutamaan, tidak kira jauh atau dekat hubungan itu.
            “Alhamdulillah... mereka sihat,” jawab Irfan. Barulah senyum kecil bertinggir di hujung bibir.
            “Your parents?” lanjut Irfan.
            “Macam biasa.” Kathy ikut senyum.
            “I sebenarnya dari rumah Hanif.”
            Irfan sekadar memasang telinga. Bibir Kathy memang tidak pernah lekang menyebut nama lelaki itu. Dari pejabat, sampai ke rumah dicarinya.
            “I pergi cari dekat rumah, tapi dia tak ada. Entah ke manalah Hanif pergi agaknya. I call pun tak berjawab. Auntie Na call pun tak dapat.” Kathy mula bercerita.
            Tanpa Kathy sedar, rias wajah Irfan berubah rona. Kelihatan bosan, atau lebih tepat, jelak.
            “Bertapa dalam gua, kut.”
            “Gua?” Bukaan mulut Kathy membentuk huruf ‘O’.
            “Mana you tahu? Gua mana yang dia pergi tu?” Buru-buru dia bertanya.
            Sudahnya, Irfan hambur tawa. Lurus juga rupanya.
            “You faham tak bahasa orang berkias?” Irfan jongket kening.
            Bulat mata Kathy. “Saja kenakan I?” cebik Kathy.
            Tergeleng-geleng kepala Irfan.
            “Apa yang you kejar sangat pada Hanif tu?”
            “Cinta.” Laju Kathy menjawab.
            Spontan, Irfan leret senyum yang menjongket hujung bibir ke atas. Sinis.
            “Kathy, lelaki tu tak layak dicintai sesiapa pun, even you.” Selamba dia berkata.
            Berlapis-lapis dahi Kathy. Dia memandang pelik ke arah Irfan.
            “You know what, better you cari lelaki lain.” Lontaran suara Irfan kedengaran serius.
            “Siapa? You?” Lebar senyum Kathy sampai ke telinga.
            Irfan ketawa lagi.
            “Eleh, nanti kalau betul jodoh you dengan I, padan muka!” cebik Kathy.
            Tawa Irfan kian luruh, berganti pula dengan ulas senyum yang muncul kecil di sebalik bibirnya. “Serius, cari orang lain.”
            “Tapi I nak Hanif.”
            “Cari orang lain yang nama Hanif.”
            “Gila!” Kathy berpeluk tubuh.
            “Mana sama,” lanjutnya.
            Irfan menompang dagu. Pandangannya tajam merenungi setiap inci paras Kathy. Kerut-kerut kasar kian merauti wajah itu. Jelas benar, Kathy tidak bersetuju dengannya.
            “Jangan terpedaya dengan apa yang you nampak, Kathy. Manusia itu, kadang-kadang macam pantulan cermin. Apa yang terbias, tak semestinya itu yang kita nampak.” Kali ini, suara Irfan kembali seperti biasa. Tidak mendatar. Tidak juga keras.
            Kening yang beralis cantik, merunduk ke bawah. Hampir bersatu.
            “You ingat sekarang ni kelas bahasa? Cakap biar clear. Tak payah nak berbunga-bunga ayat tu.” Kathy mengomel geram.
            Kali ini, benar jujur dia hambur ketawa. Bukan dibuat-buat.

HAIRAN.
            Sungguh dia hairan.
            Bagaimana setiap inci paras Tengku Hanif yang dicuri-curi lihat mampu memenuhi rangkaian urat saraf dalam kepala?
            Nurul Ain geleng kepala. Kemudian, dia panggung dagu. Pandangan terbuang ke luar jendela. Sejurus itu, helaan nafas dilepas perlahan.
            “I nak you belajar.”
            Bicara pendek itu mengetuk semula anak telinga. Menggumpal pelbagai tanda tanya, juga mencipta berbagai-bagai konklusi. Dia bukan sesiapa untuk diheret masuk ke dalam sebuah mesyuarat besar bersama klien Menara Holdings. Di dalam sana, dia terkebil-kebil. Fikiran tumpu. Malah nyaris keras bagai batu kerana terlalu resah.
            ‘Apa permainan kau sebenarnya, Tengku Hanif?’
            Muka diraup bersulam keluh kesah nan merimbun.

UNJUKAN gelas kaca pantas disambar. Buru-buru dia meneguk air putih dalam sekali nafas.
            “Minum tu, jangan sekali teguk. Tak elok. Dah rupa unta,” tegur Datuk Awang Kader.
            Tengku Hanif mengesat hujung bibir. Dia pamer sengih.
            “Maaf, pa,” ucapnya. Selanjur meletak gelas tadi dengan cermat.
            “Abang ni, Hanif tu tersedak. Memang sekali nafas ajelah dia teguk air.” Datin Sabrina bertindak membela Tengku Hanif.
            “Saya cuba nak amalkan apa yang disarankan. Tak adalah buruk sangat minum tu, sampai macam unta.” Datuk Awang Kader membalas. Nasi digumpal bersama kuah kari sebelum disumbat ke dalam mulut.
            “Ada samakan anak dengan unta,” bebel Datin Sabrina. Mencerlung mata dia perhatikan sang suami yang berselera menjamu hidangan makan malam.
            “Dahlah, ma. Betul apa papa cakap tu.” Akhirnya Tengku Hanif mencelah di tengah-tengah perbalahan kecil tersebut.
            “Ni... ke mana Hanif pergi sepanjang hari ni? Mama call, tak dapat. Kathy call pun tak berangkat. Tu, Kathy datang sini nak jumpa Hanif.” Isu kegemaran Datin Sabrina telah sengaja dilempar ke ruang makan mereka.
            Tengku Hanif dan Datuk Awang Kader curi-curi berbalas pandang.
            “Kita tengah makan ni, Na. Takkanlah nak bantutkan selera anak dengan cerita anak angkat kesayangan awak tu?”
            “Eh, kita cakap aje. Bukannya orang tu ada depan mata.” Datin Sabrina menuntas.
            “Hanif jumpa kawan, ma.” Tengku Hanif menjawab jujur.
            “Siapa?”
            Tiada jawapan yang diberikan. Tengku Hanif pura-pura tidak dengar.
            “Jangan kacau budak tu nak makan,” tegah Datuk Awang Kader. Faham benar perangai isterinya. Tidak pernah berhenti mendesak Tengku Hanif agar akur dengan kehendak hati, walhal sedia maklum dasar jiwa anak muda tersebut.
            “Abang ni! Geram saya tahu!” Datin Sabrina kancing gigi.
            “Bukan sekatat Hanif, entah-entah papa pun dah tak ada selera. Kan, pa?” Ekor mata Tengku Hanif melirik nakal pada ayahnya. Keduanya sembunyi senyum.
            “Betul kata Hanif tu, Na. Tengok, selera saya dah mati dah.” Pinggan ditolak ke tengan meja.
            Datin Sabrina berpeluk tubuh. “Selera dah mati konon. Padahal, kenyang dah. Tu, tengok pinggan tu licin sampai boleh buat cermin,” cebiknya.

            Terburai gelak tawa dua beranak itu. Manakala Datin Sabrina kekal menegangkan roman wajah. Dia benar-benar geram melayani ulah ‘sekapal’ suami dan anaknya.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Rezeki itu ada di mana-mana :)