'...The biggest barrier between you and Allah is YOU...'
Bab 36
“INI gambar
keluarga kita,” jelas Suzana.
Unjukan itu bersambut. Kemudian
diletak atas lantai beralas tikar mengkuang.
“Bukalah...” gesa Suzana lagi dalam
senyuman.
“Mak Usu nak tunjuk arwah atok
Mira,” lanjutnya pula.
Amiera mengangguk. Helaian pertama
diselak. Terpampang gambar lama, hitam putih. Seorang lelaki muda bersama
pasangannya berserta dua orang budak lelaki. Salah seorang dikendong dalam
pelukan, manakala seorang lagi berdiri hampir di sisi si lelaki itu.
“Ini atok. Yang ini nenek.” Suzana
memperkenalkan wajah-wajah asing tersebut.
“Yang didukung nenek tu, Pak Usu
kamu.”
“Comel.” Amiera tersenyum pandang
Suzana. Setelah itu, anak mata kembali menyoroti kepingan gambar tadi.
“Ini... ayah kamu, Amiera.”
Lama dia memerhatikan paras itu.
“Ha, kita tengok gambar lain.” Laju
helaian seterusnya diselak lagi. Setiap satu memori itu, dihurai dengan begitu
jelas oleh Suzana. Kadang ketika, tawa keduanya bersatu.
Renungan Amiera akhirnya melekat
pada kepingan gambar terakhir. Berbeza dengan gambar di awal tadi, kali ini
wajah-wajah mereka sudah menampakkan kedewasaan masing-masing. Lelaki dan
wanita yang mulanya tampak muda, kian dimamah usia.
“Kenapa ni?”
Airmata laju bercucuran, dilap
menggunakan hujung lengan baju sekolah serba putih.
“Nak balik.” Teresak-esak dia
memberitahu.
“Mari, pak cik hantarkan.” Tawar
lelaki tersebut.
“Pak cik tahu rumah saya?” ajunya.
“Tahu. Mari, pak cik hantar kamu
balik.”
Dia mengangguk laju. Lekas memanjat
motosikal itu.
“Amiera...”
“Ha?” Amiera terperanjat. Ingatan
yang berlapis-lapis tadi, telah berderai sebaik suara Betty tiba-tiba muncul.
Terkebil-kebil matanya memandang Betty. Gadis itu mengerutkan muka. Setelah
itu, menjuih bibir ke depan.
“Amiera, are you okay?” Iskandar
menyoal.
Spontan, dia mencari paras Iskandar.
“Okay, Encik Is.”
“Panjang betul awak mengelamun. Dah
sampai bumi mana tu?” Ulas bibir Iskandar menyembunyikan senyuman gelihati.
Amiera tersengih lebar. Malu pun
ada. Tidak pula dia sedar akan kelakuan sendiri. Ralat melayani ingatan yang
dibawa bersama.
Selang beberapa saat, bunyi halus
‘beep’ menandakan ada kiriman pesanan ringkas diterima. Tertera nama Adlan di
situ.
Betul
awak tak apa-apa, Amiera?
Hujung jari laju menekan skrin
sesentuh telefon bimbit. Melayangkan satu kiriman sebagai balasan atas
pertanyaan suaminya.
Saya
okay.
Tidak sampai seminit, kiriman
pesanan ringkas diterima lagi.
Are
you sure, sayang? Nampak jauh sangat awak terbang tadi
Jari yang lincah, mulai kendur.
‘Sayang?’
Muka diangkat. Adlan di depan sana
sudah bersedia menyambut dia dengan renungan lembut. Walau lelaki itu tiada
mempamer sebarang riak, namun terzahir sebuah senyuman dari matanya.
PINGGANG Amiera
disiku perlahan.
“Kau ni, sejak dua menjak ni...
asyik termenung aje. Kenapa?” Betty menyorong kerusi mendekati Amiera.
“Tak ada apa. Sesekali berangan.”
Ketawa kecil mengiringi tutur kata.
“Eleh... berangan apa, kalau dah
dalam meeting room pun jauh mengelamun.” Betty mencebik.
Amiera tertawa lagi. “Okeylah aku
berangan, termenung tu... tak ada lah sampai senyum sorang-sorang macam kau.”
“Ingat lagi?” Kening dijongket
tinggi.
“Siapa? Bila?” Betty pura-pura
terkejut, walhal dialah yang menjadi subjek bagi pernyataan Amiera tadi.
“Alah... masa tu aku
terbayang-bayang betapa sweetnya ex-aku tu. Bagi bunga, siap dengan coklat
sekali. Mahu tak cair aku ni. Sampai semua orang aku nampak macam muka dia.”
Dia mengaku juga akhirnya. Manis yang dia rasa sementara cuma. Lelaki tersebut
akhirnya angkat kaki gara-gara pertemuan lama dengan bekas kekasih sewaktu
zaman budak hingusan. Wajarkah? Namun memikirkan pasti ada seseorang yang jauh
lebih baik sedang menanti, dia pasrah sahaja. Sakit hati dan perasaan marah
terus lenyap sekelip mata.
“Aku nak contohi kaulah, Mira.”
Lentur pipinya dengan senyuman penuh makna.
“Bercinta senyap-senyap, lepas tu
terus kahwin. Macam kau dengan Encik Adlan tu.” Bicara itu nyaris membuatkan
Amiera sesak nafas. Ah, andai sahaja Betty tahu bagaimana permulaan hubungan
antara mereka, tentu lidah Betty tidak selentur ini.
“Hello!” Jari dipetik beberapa kali.
“Tengok! Berangan lagi.”
Kalut perasaannya segera disembunyikan
dari pandangan Betty.
“Tu, telefon kau tu.” Betty menuding
jadi.
“Siapa Sarah?” Sempat dia menjenguk
skrin yang bercahaya.
“Adik akulah.” Amiera menjawab
ringkas. Lekas-lekas melekap gadget pintar itu ke telinga.
“Assalamualaikum kakak!”
“WAALAIKUMSALAM!”
Terkocoh-kocoh larian Hazman ke muka pintu.
“Abang Latif.” Terhembus nama itu,
berpadu dalam pusaran angin malam yang menyapa lembut.
Kedatangan Latif disambut seperti
kebiasaan. Tangan dihulur mahu berjabat. Tunduk menciumi sepasang tangan yang
digenggam erat, menzahirkan rasa hormat selaku adik kepada lelaki tersebut.
“Mana anak-anak kau?” Sebaik
melepasi lima anak tangga kayu, kelibat putera-putera Hazman segera dicari.
“Budak-budak tu ada kelas tambahan.
Idham pula, ikut Ana pergi rumah Zaleha.” Hazman memberitahu.
Terangguk-angguk kepala Latif.
“Bang...” Rendah oktaf suara Hazman
menyeru.
Latif menoleh.
“Dah lama saya tak jumpa Abang Luth
sekeluarga.”
“Aku pun sama. Dulu, masa zaman
budak-budak, kita selalu main bola sepak sama-sama. Kau pun, ikut menyibuk nak
ikut.” Latif tertawa kemudiannya mengenangkan memori lama yang mencetuskan rasa
bahagia.
“Mereka sihat?” Tiba-tiba Hazman
melontar pertanyaan dalam nada aneh.
Berkerut dahi Latif. “Kenapa kau
tanya aku?”
“Sebab abang ada jumpa Abang Luth,
kan?”
Terasa liur ditelan kelat.
“Saya jumpa Abang Luth dekat bandar
kelmarin. Katanya abang datang bermalam di rumah dia. Bukan sepatutnya abang
balik rumah abang ke? Kan kedai tukang abang ada masalah sikit.” Berjela dia
mengemukakan bicara sehingga Latif tidak punya peluang hendak mencelah. Lelaki
itu sekadar duduk terpunduk di kerusi dengan pandangan menjunam jatuh ke
lantai.
“Kenapa abang buat macam ni? Apa
yang abang cuba elak sebenarnya?” Roman wajah Hazman meriak tegang.
Latif kunci mulut. Sedar kesilapan
itu datang dari diri sendiri.
“Abang nampak, kan siapa yang datang hari tu?”
Senyap.
“Dan abang memang dah lama tahu
Amiera tu anak abang, kan?”
Kepala kian tunduk. Hendak menjulang
paras Hazman, memang dia tidak sanggup.
“Ya Allah... kenapa abang buat macam
ni? Mati-matian saya ingat abang tak pernah tahu yang abang ada anak.
Rupa-rupanya... astaghfirullah....” Dada diurut kasar. Ungkapan istighfar terus
membasahi lidah.
“Kenapa abang buat macam ni?
Sampaikan untuk hadir ke majlis nikah Amiera, jadi wali satu-satunya pun abang
tak nak.” Hazman mengeluh kesal.
“Kau tak faham, Man.” Perlahan suara
itu membalas.
“Saya tak faham? Ya, memang saya tak
faham apa yang ada dalam kepala abang sebenarnya. Macam mana abang boleh lalui
hidup macam ni? Abang bahagia tengok anak abang hidup dengan orang lain? Abang
suka dengar dia panggil lelaki lain tu ayah dia?” Hazman terus-terusan
menghukum dengan bicara penuh rasa tidak percaya.
Longlai tubuh bangkit dari kerusi.
Derap kaki turut lemah. Perlahan-lahan dikemudi menjauhi Hazman.
“Abang!” Lengan Latif disambar
kasar.
“Jangan paksa aku, Man. Tolonglah.”
Rayuan tersebut tiada menjemput rasa simpati di hati Hazman. Lelaki itu giat
memaksa abangnya membongkar kemelut yang sekian lama bergumpal dalam relung
jiwa.
“Amiera anak abang!” Tegas Hazman.
“Ya, dia anak aku. Aku tahu! Tapi
aku yang musnahkan keluarga kami. Aku yang buat dia hidup menumpang macam tu.
Aku! Semua salah aku! Aku!” Latif menepis genggaman Hazman. Berair tubir mata
menahan sebak. Serentak dengan itu, jantung mengalun degup yang tidak sekata.
Meronta-ronta bagai hendak merobek dada.
Hazman berdiri seumpama tiang kayu.
Tidak berkutik langsung.
“Bang...” Kali ini, panggilannya
lebih lembut.
“Tangan ni...” Bergerak-gerak anak
mata merenung tangan kanan dan kiri. Tulang-tulang kecil saling bersambung di
situ, menggigil halus.
“Aku yang musnahkan semuanya.
Aku...” Tangisan tiada tertahan lagi. Di hadapan Hazman, dia merintih hiba.
GELAK tawa Sarah
kadang ketika mengundang senyum sendiri. Kata-kata penuh usikan gadis itu
seolah tertempa kuat dalam ingatan.
“Bila Sarah nak dapat anak buah ni?
Asyik jaga anak tekak aje.”
Jari-jemarinya mengembang, lalu
dibawa merasai bahagian tubuh yang telah dianugerahkan kekuatan untuk menampung
satu jasad selama sembilan bulan. Masih kosong. Kekal tiada isi.
“Sakit perut ke?” Teguran Adlan
memusnahkan gurauan Sarah, sekaligus memaksa dia kembali berpijak di bumi
nyata.
“Taklah.” Buru-buru dia mencapai
selendang.
“Atau...” Adlan merenungi paras
Amiera melalui pantulan berkilat cermin meja solek. Langkah diatur mendekati
Amiera, lantas bahu isterinya dielus lembut.
“Satu hari nanti... insya Allah...”
tuturnya seraya menguntum senyum kecil.
Amiera terpinga-pinga.
“Khalifah kecil.” Leret bibir enggan
berhenti melentur.
Liur ditelan lambat-lambat. Begitu
dalam bicara Adlan sehingga berjaya menendang kuat organ takungan nyawa.
“Awak wanita paling cantik,
Amiera...” Kepala menunduk sedikit. Selajur kucupan hangat singgah di ubun-ubun
wanita itu.
Perasaan apakah yang sedang
menelusuri setiap urat nadi dalam tubuh? Amiera melirik mata, menghantar
pemergian Adlan keluar dari ruang peraduan.
Sempit dada kian mengendur. Degupnya
juga telah senada.
‘Adakah aku sudah mulai mengasihi
suamiku, Tuhan?’
KU EMBOK mengelar
pergelangan tangan Rozita. Langkah wanita itu tidak mampu dibejat lagi.
“Kenapa Edi tak nak ikut?” Mendatar
suaranya.
Adlan buat tidak endah. Anak kunci
di atas meja kayu berhampiran ruang tamu segera diambil. Dilambung tinggi
sambil mengemudi kaki meninggalkan Rozita dan Ku Embok.
“Adlan!” Rozita mengejar di
belakang. Lengan Adlan direntap kuat.
“What?” Sedikit pun dia tidak
membalas renungan itu.
“Apa salah daddy dekat Edi? Tell
me.”
“You sepatutnya lebih tahu, kan?”
Menderu deras setiap hembusan nafas
Rozita. Panas.
“Dahlah Ita. Adlan ada hal tu. Bukan
dia tak nak ikut.” Ku Embok mencelah. Meletak dirinya di tengah-tengah
pertelingkahan tersebut.
“Sibuk? Mak kata dia ni sibuk? Semua
tu alasan aje. Takkan mak tak kenal Edi ni macam mana orangnya?” Meriak tegang
wajah Rozita. Malap bara yang tersimpan jauh dari dasar hati, terperosok di
celah-celah kepiluan, seakan menjulang marak kembali.
Lenturan serba sinis hinggap di
pinggir bibir. Rozita didekati.
“I hanya ada seorang ayah. The only
one, ever. Siapa Ahmad Saufi tu? I tak pernah kenal pun.” Dia berbisik halus ke
telinga Rozita. Waima sekecil kuman pun, ehsan dan simpati tidak wujud
langsung. Seluruh jiwa telah digagahi dendam. Maka mata hati turut sama
terlindung.
Rozita ketap bibir. Genggaman jadi
padu.
“Saya nak rehat sekejap,” pohon
Rozita, cukup lemah.
“Mummy!” Haili Sofea berlari
menuruni anak tangga bersama Amiera. Kedua-duanya menerpa ke arah wanita itu.
“Kenapa ni mummy?”
Rozita menggeleng kepala tanda dia
baik-baik sahaja.
“Eh, Abang Edi nak ke mana tu, nek?”
Panjang leher Haili Sofea sebaik terdengar deruman enjin kereta, diikuti Proton
Preve menyusur laju meninggalkan perkarangan rumah.
“Abang tak ikut kita pergi ziarah
kubur daddy ke?”
“Abang Edi ada hal sikit. Ita... Ita
duduk rumah ajelah. Rehat.”
“Tapi...”
“Jangan paksa diri. Biar hari ni
emak bawa Amiera dan Elly aje.” Pantas Ku Embok menuntas.
Rozita tunduk menekur lantai beralas
karpet merah hati.
Terima kasih baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tahun ni, tahun tak ada 'baby' kut pfftt! -..-' Dah sampai tengah tahun pun, satu apa pun tak siap grr! Okay, sila salahkan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment