Wednesday, June 24, 2015

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab11.

Assalamualaikum.








"...Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba..."









Bab 11
SETIAP perlakuan Nurul Ain diperhati. Dari cara memegang sudu, sehinggalah tertib mengunjuk cangkir kopi kepadanya, ralit direnungi. Sesekali, dia ukir senyum halus tatkala mereka bertembung pandang.
            “Patutlah sedap air yang Ain buat. Rupanya diadun dengan penuh kasih sayang,” seloroh Suhaimi. Kopi panas dicicip sedikit. Panas tetapi enak.
            “Kenalah buat dengan kasih sayang, perasaan ikhlas, kalau tak, tak sedap.” Nurul Ain berkata, seraya menguntum senyum kecil.
            Suhaimi tertawa pula. Selajur, melorong anak mata ke hadapan, ke arah Lufiya yang melintasi ruang pantry.
            “Kalau Kak Lufiya yang buat air untuk Encik Suhaimi, lagi terangkat sedapnya.”
            Spontan, Suhaimi menoleh. Terkebil-kebil membelah kolam mata Nurul Ain. Gadis itu sudah tersengih lebar.
            “Jangan ingat saya tak tahu. Even sekejap-sekejap aje saya berlegar kat sini, mata saya tajam, tahu. Instict kuat,” ujar Nurul Ain, seperti mendabik dada.
            “Ketara sangat ke?” Suhaimi garu kepala.
            Nurul Ain jongket bahu. “Agak-agak?”
            Daripada cara Suhaimi memandang setiausaha Tengku Hanif, daripada cara senyum dan layanan Suhaimi kepada Lufiya, jelas bersuluh bahawa lelaki itu mempunyai perasaan istimewa kepada gadis yang berasal dari pantai timur tanah air.
            “Obvious sangat,” rumus Nurul Ain lagi.
            “Sedangkan saya yang baru aje menyempit dekat sini dah nampak, apatah lagi orang lain. Kak Lufiya tu, lagilah. Mesti dia tunggu Encik Suhaimi mengorat dia secara terang-terang.” Kening dijongket tinggi.
            Wajah Suhaimi meriak segan. Tidak pula dia menyangka, secekap itu Nurul Ain mampu mendasari perasaan dia.
            Kerusi ditarik mendekati Nurul Ain. Liar mata dia menebak ke sana sini, sebelum memuntahkan sesuatu yang sejak tadi berlegar dalam kepala.
            “Nak minta tolong sikit, boleh tak?” Bicaranya separuh berbisik.
            Nurul Ain kerut dahi.
            “Tolong? Tolong apa? Kenen-kenenkan encik dengan Kak Lufiya?” Nurul Ain menduga-duga.
            Suhaimi menyembunyikan senyum. “Well... emmm...”
            “Janganlah jadi pengecut. Be a gentleman, Encik Suhaimi. Kalau nak mengorat, pergi sendiri. Apa kelas minta tolong orang adjust.” Sesambil itu, ligat tangan Nurul Ain mengemas troli sederhana besar yang diusung bersama bekas teko dan cawan.
            “Dah try tapi... tak menjadilah,” rungut Suhaimi. Nampak patah semangat benar dengan gaya dia melentokkan kepala atas meja begitu.
            “Tu tandanya, Kak Lufiya bukan sembarangan bunga. Kena berusaha lebih kalau betul nak dia. Jangan fikir nak mengorat jadikan awek semata. Niat jadikan isteri. Barulah Tuhan tolong buka jalan tu.” Panjang lebar Nurul Ain bermukadimah buat santapan halwa telinga Suhaimi.
            Suhaimi tertegun. Tidak berkelip mata dia memerhatikan paras Nurul Ain. Selanjur, dia bertepuk tangan. Cuma sorak gempita tidak memenuhi ruang persekitaran mereka.
            “I think, awak kena kerja sini terus. Senanglah saya nak rujuk soal hati dan perasaan ni,” senda Suhaimi.
            Nurul Ain ketawa kecil. Seraya kepala digeleng perlahan.
            “Kenapa? Tak suka jadi tea-lady?”
            “Bukan.”
            “Habis tu?”
            Kepala digaru pula. “Saya dah ada pendapatan yang lebih stabil.”
            “Awak kerja mana?” aju Suhaimi.
            “Kedai bunga.”
            Spontan, Suhaimi mengukir senyum. “Flower girl lah ni.” Meleret panjang suara dia.
            Nurul Ain tersengih-sengih.
            “Kalau dah stabil, kenapa kerja part-time as tea-lady?” Suhaimi menompang dagu. Tidak lepas anak mata dia mengitari paras Nurul Ain.
            “Tambah pendapatan.” Laju sahaja dia menjawab. Pekung di dada sendiri usah dijaja ke telinga orang lain.
            Jari-jemari Suhaimi naik ke pelipis dahi. Berkerut-kerut muka dia. Ligat otak sendiri memproses sesuatu.
            “Saya hairan tengok pattern part-time awak ni, Ain. Lain macam sangat. Ke Tengku bayar awak ikut jam?”
            Sekali lagi, bibir enggan memuntahkan sebarang bicara. Lekuk pipi sekadar menjadi bayang-bayang senyuman yang terukir palsu.
            Sehelai tuala dicapai. Tangan dilap bersih.
            “Dah nak balik dah?” Suhaimi bangkit dari duduknya.
            Terangguk-angguk kepala Nurul Ain. Beg sandang disangkut ke bahu. Kunci motosikal dikeluarkan dari poket kecil beg sandangnya.
            “Saya balik dulu, Encik Suhaimi. Jumpa esok,” katanya, selanjur mengawang tangan ke udara ketika kaki mulai mengemudi langkah keluar dari pantry. Nyaris terlanggar seseorang yang mendadak muncul depan mata. Dia urut dada. Tidak pandang muka pun, dia tahu siapa gerangan manusia itu.
            Tanpa menunggu lama-lama, dia panjangkan langkah. Bergegas mencelah masuk ke dalam lif bersama beberapa kakitangan syarikat berkenaan.
            “Mana kau dapat budak Ain tu?” Terjuih-juih mulut Suhaimi, walhal bayang Nurul Ain sudah lesap dari pandangan.
            “Why?” Soalan dibalas soalan.
            “I like her.” Jujur Suhami mengemukakan perasaannya terhadap Nurul Ain.
            Tengku Hanif mencapai sebotol air mineral di atas kabinet kayu serba putih. Tidak mampu menyembunyikan senyum kecil yang tiba-tiba hadir sebaik bicara Suhaimi tadi menyentuh cuping, lantas menyusuri anak telinga.

‘TENGKU?’ Hati berdetak-detik penuh sangsi. Susuk tubuh yang membelakanginya itu jelas menyerupai Tengku Hanif. Tingginya dan gaya berdiri, sama. Sisi wajah lelaki itu kelihatan seperti lekuk muka lelaki anak hartawan itu. Dengan cermin mata bertenggek di batang hidung. Walau sekadar sekali imbas, mata dia tetap memetakan roman tenangnya.
            “Selamat datang.” Entah dari mana muncul Anisa, tiba-tiba sahaja sudah tersenyum-senyum pandang lelaki tadi.
            Seperti kelaziman, Anisa melayani lelaki itu dengan begitu ramah.
            Selang beberapa detik memerhatikan keduanya, dia dan Anisa saling berbalas pandang. Roman wajah Ansia seakan sedang memberitahu sesuatu.
            “Sekejap ya.” Anisa kerkocoh-kocoh mendekati Nurul Ain.
            “Tu, orang tu cari kau.” Anisa menuding jari telunjuk.
            Lambat-lambat dia atur langkah. Semakin dekat, semakin lain aura yang terbias di sebalik tubuh itu.
            Nyaris lumpuh segala urat sendi apabila lelaki itu berpaling ke belakang. Mata dia membuntang. Bulat. Langkah rapinya kian berterabur. Malah, dia heret kaki beberapa langkah menjauhi lelaki itu.
            “Hai...”
            “Teng... Tengku...” Berdesir halus suara dia.

LUFIYA tidak jadi meninggalkan meja kerjanya apabila ternampak susuk tubuh Irfan datang menghampiri. Otot muka melentur senyum manis. Sapaannya dibalas mesra oleh lelaki berstatus anak saudara Datuk Awang Kader.
            “Nak keluar lunch ke?” Irfan bertanya. Tertoleh-toleh kepala dia seolah sedang mencari sesuatu.
            Lufiya mengangguk. Sorot mata turut menjejaki ulah Irfan.
            “Encik Irfan cari Tengku ke? Tengku tak ada dekat dalam bilik dia. Awal-awal lagi dah keluar,” beritahu Lufiya.
            Irfan kembali mencari roman wajah Lufiya. Direnungi dalam-dalam. Sekilas, dia mengingati kewujudan gadis tempoh hari berlegar-legar di sekitar kawasan ini.
            “Saya tak cari dia tapi...” Jeda seketika.
            “Dekat sini, ada staff baru ke?” soalnya.
            “Staff?” Lufiya mengerutkan muka. Kemudian, dia petik jari. “Oh... staff baru tak ada. Tapi kami ada tea lady baru.”
             “Tea lady?” Irfan seakan berminat. Lebar telinga dia hendak mendengar bicara lanjut Lufiya.
            “Nurul Ain tu kerja part-time jadi tea lady dekat jabatan kami ni.” Lufiya tersenyum lagi. Sempat memberi isyarat kepada rakan-rakan yang menunggu dia untuk makan tengahari bersama-sama seperti kebiasaan.
            ‘Nurul Ain.’ Seumpama pintalan angin yang menyapa halus, nama itu berdesir dalam hati.
            Irfan menoleh ke belakang pada ketika pendengarannya terasa sarat dengan bisikan yang sayup-sayup menerobos anak telinga. Dua tiga orang perempuan sedang bercerita sesama mereka. Manakala salah seorang daripada mereka melambai ke arah dia dan Lufiya.
            “Saya keluar makan dulu, Encik Irfan. Duk mencangak mereka kat sana tu,” ujar Lufiya. Senyumnya tidak pernah mati.
            Irfan sekadar mengangguk. Ekor mata menyoroti lenggang gadis itu. Sejurus itu, dia terkenang-kenang dua pertemuan dia dan Nurul Ain. Terimbau dan seakan melekat dalam ingatan.
            “Nurul Ain.” Kali ini, nama itu dibutirkan secara nyata.

“BUKAN susah nak cari you.”
            “I kenal you, Nurul Ain.”
‘Psiko?’ Hati mengguman kurang senang. Semacam segala maklumat peribadi dia telah dibukukan dalam kepala lelaki itu. Terbayang senyuman halus tersungging di wajah lelaki itu. Sedikit herot ke kiri.
Nurul Ain tarik nafas dalam-dalam.
Tidak mustahil bagi Tengku Hanif untuk mendapatkan ‘profil’ dirinya. Barangkali Encik Suhaimi ada bercerita serba sedikit berkenaan dirinya kepada lelaki itu. Kepala menunduk renung jambangan bunga hybird tea. Dipandang sepintas lalu.  
“Lately, my dad macam stress sikit. So, I nak minta jasa baik you, tolong bawa bunga dan letak dekat bilik Datuk everyday. Every morning. Boleh?”
Terngiang bicara Tengku Hanif dalam kepala. Tekanan boleh dihilangkan dengan bunga? Fikiran dia ligat berpusing. Mungkin untuk menambah ketenangan diri. Bunga, kan cantik?
“Excuse me.”
Nurul Ain pantas membawa tubuh ke tepi, berganjak beberapa langkah. Memberi laluan kepada perempuan itu memasuki ruang lif bersama dengannya. Sesekali leret mata terbenam jauh mendasari persalinan yang melekap bagai getah di tubuh tinggi lampai tersebut.  
            “Hantar bunga?” Perempuan itu menegur, seraya meleret senyum manis.
            “Untuk Datuk,” jawab Nurul Ain. Diamati paras paras mulus perempuan itu.
            “Datuk? Emm... office Datuk kat level tujuh.” Ramah perempuan itu memberitahu. Malah ringan tulang menekan butang buat Nurul Ain.
            “Ahh... ya. Terima kasih.”
            Selang beberapa saat, bunyi detingan loceng disertai belahan pintu besi merenggang luas. Liar mata dia mengitari persekitaran. Tingkat enam, jabatan yang diketuai oleh Tengku Hanif. Selesai urusan dia di tingkat tujuh, langkahnya akan dipanjangkan ke sini pula.
            “Bye.” Perempuan tadi sempat mengawang tangan ke udara.
            Nurul Ain sekadar angguk kepala. Leret senyum diukir nipis. Setelah dikupas-kupas lapisan dalam ingatan sendiri, perempuan itulah yang telah menempelak dia dengan begitu kasar sekali. Ternyata, selain sisi garang dan kurang sopan bahasa, perempuan itu seorang yang manis dan mampu menutur kata dengan lembut, macam tadi.

“BOLEH tak pasu kaca tu?” Terjengul kepala Sufiah disebalik belahan nipis pintu kayu bercatan coklat gelap.
            Nurul Ain mengangkat ibu jari. “Okey kak. Dah cantik dah ni,” katanya. Kuntuman bunga-bunga itu dibelek lagi. Moga keindahan bunga hybird tea mampu mengendurkan segala ketegangan yang dialami oleh bapa Tengku Hanif.
            “Siap!” Nurul Ain menolak pasu kaca berbentuk silinder, berbiku di muncung, melekuk di bahagian tengah ke tepi meja. Dekat dengan bingkai gambar yang mengabadikan gambar keluarga kecil Tengku Hanif bersama kedua orang tuanya.
            “Saya keluar dululah, Kak Sufi. Ada kerja menanti dekat bawah.” Nurul Ain mencapai kertas pembalut jambangan bunga tadi, lalu dikeronyok sebelum dicampak masuk ke dalam tong sampah kecil.
            “Baiklah.” Sufiah terangguk-angguk. Meja kerja Datuk Awang Kader dikemaskan lagi. Buku-buku berkulit tebal diambil, lantas disusun di atas rak mengikut nombor roman yang tercetak di tepinya.
            Setelah memastikan segalanya cukup teratur, barulah Sufiah meninggalkan ruang serba sunyi itu.
            “Eh Datuk!” Bejat langkahnya hendak ke pantry apabila terserempak Datuk Awang Kader, berdiri dengan tubuh tersandar ke dinding.
            “Datuk okey ke?” Buru-buru Sufiah bertanya.
            Datuk Awang Kader melorong anak mata ke arah Sufiah. Kepala diangguk. Cukup perlahan.
            “Are you sure, Datuk?” Sufiah ragu-ragu. Dia tahu, Datuk Awang Kader menghidap penyakit jantung tetapi tidak terlalu kronik.
            “Saya okay, Sufi. Don’t worry,” jelas Datuk Awang Kader.
            “Datuk masuk dalam, then saya bawakan air untuk Datuk.”
            Belum pun sempat Datuk Awang Kader menegah, Sufiah lekas pacu kaki menuju ke pantry.
            Lelah nafas terasa menyempit dalam rengkungan. Dada dielus.
            Biar tidak pernah bertemu empat mata, hanya memerhati dari kejauhan, jelas dia tiada daya hendak mengawal emosi. Terasa membuar-buar.
            ‘Hanif, mengapa kian giat kau mendera jiwa papa? Papa belum kuat. Kau tak akan pernah faham, anakku.’

            Rintihan itu seumpama terlukis dalam kerut yang melapisi kulit dahi.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Apa yang ditulis bakal menjadi beban atas bahu sendiri. :)