Sunday, February 8, 2015

[Novel] : Usah Lepskan Bab 31

Assalamualaikum







"...If your aim is to touch the sky first place your head to sujood..."








Bab 31

“PUAN...” Terjegul muka Anith di muka pintu.
            Rozita mendongak. “Yes?”
            Anith mula menapak masuk ke dalam ruang pejabat majikannya. Beberapa helai kertas bercetak diunjuk kepada wanita tersebut.
            “Ini quotation untuk barang-barang mesin hari tu. Saya dah confirmkan dengan our supplier,” jelas Anith tanpa diminta.
            Terangguk-angguk kepala Rozita. Patah-patah perkataan itu dibaca sepintas lalu.
            “Yang ni...” Hujung jari menuding ke baris bernombor 5. Dia menyambung, “Kata Zakri, yang ni tak perlu lagi, kan?”
            “Puan jangan risau. Even masih ada dalam list, the actual barang takkan sampai sini. Lagipun saya dah minta mereka refax balik list tu.” Dengan yakin, Anith membalas.
            Ulas bibir Rozita menguntum senyum. Kepakaran Anith jelas terbukti kerana wanita beranak empat itu sudah berbelas tahun bekerja di sini.
            Pen mata bulat berdakwat hitam segera dicapai. Tanpa menunggu lebih lama, segera diturunkan tandatangan di tempat yang sepatutnya.
            “Yang ni payment untuk TNB.” Sehelai cek kuning diletak berhampiran kertas-kertas yang sedang ditandatangani Rozita.
            “Awak ni... kerja menghabiskan duit saya aje.” Rozita menjongket kening.
            Anith tertawa kecil.
            “Itu memang kepakaran saya,” balas wanita itu.
            Spontan, Rozita ikut hambur tawa. Kecil.
            “Masuklah...”
            Gema suara Ku Embok sampai ke pendengaran Rozita. Malah Anith juga meleret mata ke hujung pintu sana. Timbul garis-garis halus di dahinya sebaik kelibat asing turut hadir bersama.
            “Assalamualaikum Ku.” Anith ramah menyapa. Tangan lekas disua untuk berjabat. Sesekali mencuri lihat perempuan yang kelihatan manis dalam persalinan kurung moden dan berselendang rapi.
            “Lama Ku tak datang sini. Sihat?” lanjut Anith.
            Riak tenang Ku Embok bersulam senyum lebar. “Alhamdulillah... saya sihat.”
            Ekor mata Anith menyambar roman wajah empunya diri yang berdiri di belakang Ku Embok.
            “Ada teman nampak. Bodyguard ke Ku?” selorohnya.
            “Eh... bodyguard apanya. Ini cucu menantu saya,” jelas Ku Embok. Lengan Amiera diraih.
            “Cucu menantu? Edi dah kahwin ke? Tak tahu pun.” Dahi sudah nyaris berlapis-lapis.
            “Rozita tak ada beritahu ke?” Ku Embok berpura-pura terkejut.
            Anith menoleh sejenak. Kemudian, dia geleng kepala.
            “Entah saja nak buat kejutan agaknya. Tu... anak bujang dia menikah dulu, majlis kemudian.”
            “Patutlah. Majlis tertutup ke?”
            “Jemput saudara-mara aje. Budak sekarang ni... tahu ajelah. Lagi-lagi Adlan tu, sibuk sangat. Ini untung nak juga menikah. Kalau tak, entah bila nak kahwin. Tak sedar-sedar diri. Dia ingat, dia muda lagi.” Laju ulas bibirnya terkumat-kamit, memintal sebuah hikayat dusta. Sedang Amiera di sisi, terus terjerut jantung. Andai sahaja hikayat itu satu hakikat, alangkah dia berlapang dada.
            “Ni... siapa namanya?” Perhatian Anith tertumpu kepada Amiera.
            Mereka berbalas pandang. Leret senyum masing-masing berbuah di pinggir bibir.
            “Amiera.” Deru nafas yang terhembus seumpama berpadu dalam udara dingin ruang itu, sebaik Rozita datang menghampiri mereka.
            “Kenapa mak tak cakap nak datang sini? Siap bawa Amiera lagi. Amiera, kamu tak kerja ke?”
            Amiera menjulang paras Rozita. Romannya mempamer kemesraan. Lentur otot muka yang teradun sewaktu mengukir senyum, tampak berbeza.
            Namun, kerdipan cahaya tidak terlukis di sebalik mata itu. Malap.

ISKANDAR berpeluk tubuh.
            “Tak boleh macam ni, Di.” Dia mendengus kurang senang.
            “Kita, kan ramai staff yang boleh backup kerja-kerja dia tu.” Adlan kekal menegakkan kehendak diri yang turut dipersetujui oleh tuan badan. Namun kelihatan Iskandar berat hati hendak memutuskan sebarang jawapan.
            “She’s talented you know. Apa yang dia sentuh macam ada magis. Perfect even untuk background drawing aje. Even baru tiga empat bulan involved dalam projek multimedia Hang Tuah sekarang ni, dia banyak membantu.” Tegas Iskandar.
            “Takkan bila kau dah kahwin dengan dia, kau nak ambil dia dari aku?” lanjutnya lagi.
            Adlan jadi serba-salah. Tubuh yang bersandar tadi sudah tegak menghampiri meja. Kedua-dua belah tangan menompang dagu.
            “Nenek aku tu...” Jeda seketika.
            “Macam ni lah, bagi aku pinjam lima bulan. Lima bulan aje. Lepas tu, rela hati aku nak lepaskan Amiera.” Iskandar terus memujuk. Betapa sukar baginya mencari seorang pereka berbakat seperti Amiera. Meski terdapat kekurangan, namun Amiera layak duduk setanding pereka-pereka senior seperti Dija dan Fazli.
            Sepucuk surat ditolak kembali kepada Adlan. Dalam senyum nipis, dia berkata, “Simpan ni. Cakap dengan Amiera, esok aku nak dia isi balik tempat kosong sebelah Betty.” Bibirnya menjuih ke depan.
            Adlan menggeleng kepala, selajur turut mengulum senyum.
            “Amiera tu, okay tak duduk dengan family kau?”
            “So far so good. Nenek aku pun macam happy. Tu yang dia minta Amiera berhenti kerja, temankan dia. Aku pun, bukan tak mampu nak tanggung dia. Lebih dari tu pun aku mampu.”
            Iskandar jongket kening. “Amboi, apesal lain macam aje aku dengar?”
            “Kau tu yang fikir bukan-bukan.” Pantas Adlan menuntas.
            Bersahut-sahutan tawa Iskandar. Hingar-bingar ruang itu jadinya.
            “Amiera tu budak baik.” Iskandar berdeham. Sejurus itu, sorot mata mencari wajah Adlan.
            “Aku tahu.” Adlan menjawab ringkas.
            “Di... kau kahwin dengan dia, bawa dia tinggal dengan keluarga kau, bukan sebab nak sakitkan hati mummy kau, kan?” Duganya dengan suara sedikit rendah. Hati masih sangsi.
            “Kau ingat aku zalim sangat, sanggup perjudikan masa depan Amiera semata-mata untuk perempuan tu?” Adlan tersenyum sinis sebelum menyambung, “Kau kenal aku, kan?”
            Iskandar menghela nafas berat. “Sebab aku kenal kau, aku tanya. Perempuan tu emak kau, Di.” Dia mengingatkan.
            Ulas bibir Adlan sudah terkunci rapat.

“BOLEH pun Ita layan Amiera tu baik-baik.” Ku Embok mengulum rasa senang.
            Rozita berpura-pura tidak dengar. Fokus mata sengaja dihala kepada lambakan dokumen projek biogas yang sedang diusahakannya.
            “Makin mak kenal menantu kamu tu, makin suka pula hati mak ni, Ta.” Ku Embok tidak mampu membendung perasaan sendiri. Ia terzahir melalui simpulan bibir yang kian ketara lebar sampai ke pipi.
            “Emak senang sangat suka pada orang. Baru jumpa, kenal sikit-sikit dah mula puji melambung sampai langit.” Rozita menuntas acuh tidak acuh.
            “Ke mak lupa apa yang perempuan tu buat untuk perangkap Edi?” Mata kembali mencari paras orang tua itu.
            “Kenapa Ita tak boleh percaya, macam mak percayakan anak kamu tu? Kamu kenal dia, Ita. Ita sendiri kata, Adlan tak akan pernah puas sakitkan hati Ita. Jadi... ini apa?” Ku Embok enggan mengalah. Cukup lelah mengingatkan Rozita tentang hal itu. Kalau ditanya, dari mana Adlan mewarisi sikap degil dan keras kepala, harus jari dituding kepada Rozita sendiri.
            “Ita...” Langkah dibawa menghampiri Rozita. Bahu itu diusap lembut.
            “Ingat lagi tak, masa mula-mula Saufi bawa Ita datang jumpa mak?”
            Lambat-lambat Rozita mengangguk. Masakan dia lupa? Ahmad Saufi tidak menghakimi dia seperti orang keliling.
            “Banyak suara cakap Ita sama macam perempuan dekat luar sana. Janda yang mata duitan. Konon nak kikis harta Saufi.”
            Anak mata jatuh merenung jari manis. Di situ masih tersarung cincin pemberian Ahmad Saufi. “Mak tetap terima Ita, kan?”
            Bertenggek senyum halus di pinggir bibir Ku Embok.
            “Mak tahu, Ita tak macam tu. Sama juga dengan Amiera. Kamu berdua tak ada beza bagi mak. Sama. Cuma... datangnya Amiera dalam keluarga kita, dalam cara yang tak sepatutnya. Ita nampak, kan? Budak Amiera tu... baik. Tak perlu perangkap sesiapa pun, akan ada lelaki yang datang untuk sunting dia jadi isteri.”
            Pandangan menjulang ke atas. Roman berkedut Ku Embok menempa ruang penglihatan. Ya... tidak dapat dia sangkal, perwatakan dan pekerti isteri segera Adlan tiada cela. Entah kenapa, hati jadi tuli. Amiera kekal disabit sebagai pesalah paling berat.

“SETIAP layer house ni, berbeza-beza. Ada yang tiga tier. Ada juga yang empat tier. Paling tinggi, enam tier. Tu... layer house 17, 18 dan 19.” Daripada Anith, kini Fadzilah pula menjadi juru pandu Amiera. Dia dibawa ke kawasan ladang yang berkeluasan kira-kira 21 hektar, dikelilingi kelapa sawit.
            Amiera tekun mendengar. Sesekali dia mencelah, bertanyakan soalan seperti kanak-kanak sekolah. Mujur Fadzilah ramah melayan. Malah wanita itu turut memperkenalkan dia kepada beberapa orang pekerja yang ditemui sewaktu sesi lawatan tersebut.
            “Bukan ke anak Puan Ita tu... perempuan? Sofea, kan?” Kamisah mengerutkan muka.
            Nurul mengangguk. “Entah tu kak. Ni... sejak bila puan ada anak jantan? Habaq mai.”
            Fadzilah menjegilkan mata sebagai amaran agar lidah wanita beranak satu itu, segera dikawal lenturnya. Nurul yang menyedari bahasa tubuh Fadzilah lekas pamer sengih sebelum kembali memerhatikan paras Amiera.
            “Maklumlah, suami kamu tu jarang datang sini, Amiera. Dulu pun, masa arwah Tuan Saufi masih hidup, sekali aje dibawanya Adlan. Kalau Sofea tu, memang kerap. Tu... Puan Ita pun rajin ke sini sekali dengan Sofea. Tapi bila time cuti sekolah lah,” jelas Fadzilah tanpa diminta. Biar Amiera tahu kenapa sebilangan pekerja seumpama disuakan kisah yang tidak pernah didengar pada ketika status menantu hinggap ke telinga masing-masing.
            “Tuan Saufi tu, macam mana kak orangnya?” Lambat-lambat Amiera bertanya.
            Fadzilah menoleh sekilas. Selajur senyumnya menampakkan seri di wajah. “Arwah seorang yang sangat kuat bekerja tetapi tak bermakna dia hambakan diri sepenuhnya pada duniawi. Orangnya merendah diri, baik, pandai bergaul dengan orang lain sampaikan budak-budak Indonesia pun sayang dekat dia. Apa yang arwah minta tolong, laju mereka datang bantu.” Fadzilah membawa renungan menjulang dada langit. Keluhuran budi Ahmad Saufi bagaikan bertebaran dalam segenap pelosok dataran tanah milik keluarga lelaki tersebut.
            “Akak dah lama kerja sini. Hampir dua puluh lima tahun. Sejak bujang, lepas tu kahwin. Dari anak sorang sampai empat. Ada cucu dah pun ni.” Ulas bibir Fadzilah tidak lekang membentuk unjuran ke atas.
            “Seniorlah akak ni sebenarnya,” senda Amiera.
            Fadzilah tertawa kecil. “Senior apanya? Tua dah ni.”
            “Amiera...” Ku Embok mengawang tangan, membelah udara.
            Amiera dan Fadzilah melenggang beriringan.
            “Jom kita makan tengahari. Sekali dengan mummy kamu,” kata Ku Embok. Begitu gigih dia hendak mendekatkan Amiera kepada menantunya.
            Rozita yang baru melangkah keluar, terus memuntahkan segala tumpuan ke arah Ku Embok dan Amiera.
            “Ila... ikut sekali?” pelawa wanita tua itu.
            “Eh, tak apalah Ku. Saya ni, macam biasalah. Balik rumah mak.” Fadzilah menolak.
            Terangguk-angguk kepala Ku Embok. “Kirim salam saya pada Hajah Rokiah ye.”
            “Insya Allah...”
            “Dah cepat Ita. Mak lapar ni.”
            “Sabarlah, mak. Tak lari kedai tu pun,” gumam Rozita perlahan.
            “Hisy... kamu ni Ita. Jalan macam model. Mana tak lambat. Tu... pergi tarik mummy kamu tu Amiera,” suruh Ku Embok lagi.
            Amiera kekal berdiri bagai tiang lampu. Sekadar memandang Rozita berjalan melintasinya. Selang beberapa saat, dia mula ikut mengemudi kaki mendapatkan Ku Embok dan Rozita.

“NAH.” Sekeping surat dihulur kepada Amiera.
            “Big boss tak nak lepaskan awak, Amiera. Sekurang-kurangnya dia nak ikat awak for another five six months,” keluh Adlan dalam hela nafas yang sengaja mempertontonkan kekesalan.
            Berkerut dahi Amiera. “Encik Is...”
            “Dia sayang awak lebih sangat.” Kian giat Adlan mengatur usikan.
            Lambat-lambat, surat itu diambil.
            “Amiera, kalau awak nak terus bekerja, saya izinkan. Let me slow talk dengan nenek.”
            “No need.” Amiera pamer senyum.
            “Serius?” Belum pun sempat hujung jari mencecah telinga mug, tangannya sudah ditepis kuat.
            “Bukan untuk awak.”
            “Then?”
            Amiera memandang ke depan saat terlihat kelibat seseorang melintasi ruang dapur. “Mummy!” panggilnya.
            Buru-buru dia mengejar langkah Rozita.
            “Mummy.” Dia menyeru lembut berserta unjukan mug kepada wanita itu.
            Rozita menoleh. Untuk sesaat sahaja.
            “Mummy tak haus.”
            “Tapi... nenek kata, setiap malam sebelum tidur, mummy akan minum segelas susu.” Amiera enggan kalah mesti separuh hati sudah gugur sebaik renungan tajam Rozita membelah anak mata.
            “Sayang... kalau orang dah tak nak, jangan bersungguh nak bagi.” Mug itu sudah bertukar tangan. Cukup pantas.
            Susu hangat itu diteguk sedikit. “Tak perlu tunjuk prihatin awak dekat manusia yang tak tahu nak hargai. Itu namanya membuang masa.”
            Adlan mendaki anak tangga. Langsung tidak menghiraukan Rozita yang terus pegun di tengah ruang itu. 


Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Alhamdulillah... lately telah diberikan buah fikiran untuk menyambung hikayat so-so Amiera Adlan ni yeayy! Tak ada lah aku menghadap skrin sampai naik berlubang jadinya tehee! :) Enjoice your reading kayy. Sebarang kritikan, komen sangat dialu-alukan :)

4 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah. Sambung lagi.

juridah said...

Tqcm writer...makin best

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear anon,

Tq sudi singgah baca entri kita. InsyaAllah...hari rabu nanti ada up entri :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear sis Juridah,

Alhamdulillah..akak sudi layan kisah Amiera Adlan :)