Friday, February 8, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab24.

Assalamualaikum.








"...Be like a flower that gives its fragrance even to the hand that crushes it..." - 
Ali Ibn Abi Talib AS









Bab 24
SEPASANG mata awas memandang ke semua sudut di dalam rumah besar itu. Setiap manusia yang memenuhi ruang rumah diperhati. Dia nampak seseorang. Dia nampak! Irfan mara ke hadapan. Tadi dia nampak Nurul Ain. Jelas. Matanya tidak menipu. Nurul Ain berdiri di hujung sana bersama seorang wanita dan seorang budak perempuan.
            Tergesa-gesa dia mengatur langkah. Yang berbaju biru itu pasti Nurul Ain. Dia dapat mengecam lagi seraut wajah itu sewaktu orang tersebut menoleh. Keghairahan dia mencari Nurul Ain menyebabkan dia tidak awas dengan orang di sekeliling. Sampai terlanggar-langgar.
            “Irfan.” Tengku Hanif memperbetulkan songkoknya yang beralih sedikit dari kedudukan asal. Irfan melanggar dia agak kasar. Sampai terdorong ke belakang dia dibuatnya.
            “Sorry,” ucap Irfan.
            Tengku Hanif mengelar lengan Irfan. Dia mahu Irfan berhenti mencari kerana dia tahu siapa yang dicari lelaki itu.
            “Tunggu sekejap. Tu, papa aku nak cakap sesuatu,” bisik Tengku Hanif.
            Irfan mengerling Tengku Hanif. Walau bengang kerana dia dipaksa melangut di situ, di sebelah Tengku Hanif, dia menurut juga. Berdirilah dia di situ sambil mata menghala ke depan.
            “Alhamdulillah, majlis doa selamat sudahpun selamat disempurnakan. Terima kasih kepada semua ahli keluarga yang datang. Terima kasih banyak-banyak.” Datuk Awang Kader memulakan bicara. Satu per satu wajah di situ diperhati. Kini yang tinggal di dalam rumah ini hanyalah kaum keluarga. Tetamu dan jemaah masjid sudah pulang selepas selesai majlis doa kesyukuran tadi.
            “Saya adakan majlis doa kesyukuran ini bersebab. Sebagai tanda betapa syukurnya saya di atas nikmat dan pemberian yang telah Allah berikan kepada saya. Pemberian yang tiada nilainya. Pemberian yang begitu berharga lebih dari nyawa saya sendiri.”
            Beberapa orang ahli keluarga Datuk Awang Kader saling berpandangan. Masing-masing kurang faham dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Datuk Awang Kader. Puan Marlissa juga begitu. Berkerut dahinya memandang abangnya di depan sana.
            “Alhamdulillah. Allahuakbar. Hanya itu kata-kata yang mampu saya ungkapkan di saat saya masih diberi peluang untuk menikmati dan memperoleh satu anugerah yang tiada tandingan. PadaNya saya meminta, padaNya saya memohon dan padaNya saya merayu. Allah itu Maha Agung, Allah itu Maha Pemberi, Dia perkenankan doa saya. Dia makbulkan doa saya.” Ketika berkata, Datuk Awang Kader menoleh ke arah Nurul Ain yang duduk di ceruk rumah itu. Berselindung di sebalik dinding bersama Puan Suriani dan Asyikin yang dijemput hadir bersama.           
            Datuk Awang Kader menarik nafas sebelum menyambung, “Dua puluh satu tahun yang lalu, di dalam sebuah kemalangan yang meragut nyawa seseorang, anak saya juga hilang. Ada yang berkata dia sudah mati, tetapi saya percaya Dayang Nur Aisha masih hidup cuma tidak diketahui di mana dia menghilang. Saban hari, setiap kali berdoa, saya memohon agak puteri kecil saya itu dilindungi. Allah telah memperkenankan doa saya.”
            Datuk Awang Kader berhenti di situ. Dia memandang kaum keluarga yang mulai berbisik sesama sendiri. Ada yang merenungnya dengan kerutan di dahi. Ada yang beriak terkejut, berkemungkinan sudah tahu apa yang hendak disampaikan olehnya.
            “Syukur Alhamdulillah, Dayang Nur Aisha selamat di dalam kemalangan itu dan sekarang, dia sudah cukup dewasa. Kak Mardihah, Marlissa, anak saya masih hidup. Dayang Nur Aisha sudah kembali ke pangkuan saya.” Merembes juga air mata Datuk Awang Kader. Betapa dia menantikan saat ini. Betapa dia mahu menunjukkan bahawa usaha dan kesabaran selama ini menemui jawapan yang menggembirakan.
            Puan Sri Mardihah dan Puan Marlissa saling berpandangan sebelum keduanya memesong mata pada seorang gadis yang berjalan mendekati Datuk Awang Kader.
            “Ain?” Tercetus nama itu dari mulut Irfan. Dia tercengang. Khabar itu mengejutkan dirinya seratus peratus. Itukah Dayang Nur Aisha? Nurul Ain? Dia terus merenungi Nurul Ain.
            “Yes, she is your cousin. Real cousin, selain Kathy.” Tengku Hanif memegang bahu Irfan.
            Irfan menoleh. Antara percaya dan tidak percaya. Selama ini Nurul Ain yang berdiri di sebelahnya, Nurul Ain yang diajak berbual dan Nurul Ain yang disenangi ialah Dayang Nur Aisha? Tergeleng-geleng kepala Irfan. Kecilnya dunia dan besarnya kuasa Allah.

NURUL AIN meninggalkan Puan Suriani di ruang tamu. Terlalu banyak persoalan yang ditanya oleh kedua orang makcik yang baru dikenali sebentar tadi. Salah seorang dari mereka merupakan ibu Irfan.
            Asingnya terasa di sini. Semua nampak mewah. Semua nampak gah. Gaya bercakap pun macam pelik. Nurul Ain menarik nafas dalam-dalam. Bukan mudah untuk dia bertukar status diri sekelip mata. Dia perlu masa. Buat masa ini, dia memberi ruang kepada diri untuk lebih menerima. Itu pesan emak.
            “Rupanya youlah anak perempuan tunggal uncle I. So unbelieveable! Kita pernah bertembung, bercakap, even you pernah langgar I.” Kathy yang datang dari arah belakang menegur dengan nada suara penuh kejutan.
            Nurul Ain berpaling. Atas bawah dia pandang perempuan itu. Terjungkit keningnya waktu melihat baju yang tersarung di tubuh sepupu yang baru dikenali. Sudah indah berbaju kurung tetapi kain itu peri kain langsir. Jarang sampai menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit.
            “”Welcome to our family. I Kathy,” sambung Kathy lagi. Dia menghulur tangan berserta senyuman.
            Nurul Ain bangun. Huluran tangan gadis cantik itu disambut dan senyuman turut berbalas bersama anggukan sebagai tanda terima kasih kerana berbesar hati menyambut dia masuk ke dalam keluarga ini, meski dia tidak pernah impikan semua ini berlaku.
            “I think I need to go,” kata Kathy sementelah matanya menyingkap Tengku Hanif berseorangan di ruang tamu. Dia ingin menemani lelaki yang menjadi pujaan hati sejak kecilnya.
            Nurul Ain memandang lenggok Kathy. Tidak sempat memperkenalkan namanya sendiri. Tidak mengapalah. Nanti-nanti, Kathy pasti tahu nama dia walau dia tidak sebut.
            Sepeninggalan Kathy yang entah ke mana, dia didatangi Irfan. Lihat senyuman Irfan yang bersahaja itu membuat Nurul Ain tenang. Mujur ada seseorang yang dikenali selain Tengku Hanif. Sekurang-kurang tidaklah ada bunyi cengkerik mengiringi dia sepanjang dia berada di sini.
            “Tak sangka, kecil sangat dunia dan besarnya kuasa Allah.” Irfan memulakan kata-kata. Dia mengambil tempat di sisi Nurul Ain.
            Nurul Ain menunduk sebelum mata itu menentang renungan Irfan. Pinggir bibirnya mengukir senyuman kecil. Dalam anggukan perlahan, dia mengakui bicara Irfan benar belaka. Dunia ini memang terasa kecil. Selama hari ini dia dikelilingi orang-orang yang punyai pertalian darah dengannya.
            “So, you are my cousin now, Ain.” Irfan masih menatap Nurul Ain.
            Nurul Ain menjungkit bahu. “I guess so.”
            Irfan ketawa kecil. Rasa tidak percaya masih menghuni diri. Tadi sempat dia menyuruh Maisara mencubit lengannya. Sampai lebam dibuatnya dek mahu memastikan diri tidak berpijak di bumi lain.
            Nurul Ain berkalih ke belakang saat suara seorang perempuan berdecit manja mengetuk gegendang telinga. Dia nampak Kathy sedang ketawa sambil menekup mulutnya. Duduk rapat di sebelahnya ialah Tengku Hanif.
            Beberapa ketika memerhati, Tengku Hanif turut melempar pandang padanya. Keduanya saling berlaga renungan sebelum Nurul Ain melarikan pandangan matanya ke tempat lain.
            “Dah kenal dengan Kathy? Dia pun sepupu awak. Anak kepada Mak Long.” Irfan berkata dengan jari telunjuk menghala ke arah Kathy di ruang tamu.
            “And Tengku Hanif...” Irfan berjeda seketika sebelum menyambung, “He also your cousin.” Suara Irfan mendalam saat menyebut status sepupu itu. Kalau pun tidak diberitahu, dia dapat membaca hubungan sebenar Tengku Hanif dengan keluarga ini. Tertera pada nama lelaki itu, berbinkan dengan nama Tengku Ali.      
            “Already know,” balas Nurul Ain dalam kuluman senyum nipis.
            “Ohh.” Irfan menyahut, tiada reaksi kejutan di wajah itu.
            “Hai kak...” Maisara datang menerpa. Dia memaut lengan Nurul Ain. Teruja rasa bila dapat bersua muka dengan seseorang yang dikenali melalui cerita keluarga. Selain Kathy, dia punya Dayang Nur Aisha. Lagipun, dia tidak suka Kathy sangat. Kalau cakap, hendak meninggi sahaja.
            Nurul Ain membuat riak bertanya kepada Irfan. Gadis cantik di depannya ini belum dikenali lagi.
            “Kenalkan, Irine Maisara. Satu-satunya adik saya.” Irfan berkata. Makin lebar senyuman Maisara. “Sara, ini Kak Ain.”
            Berkerut dahi Maisara. “Kak Ain? Kenapa tak panggil nama Aisha? Kan sedap nama yang arwah Mak Ngah beri tu.”
            Irfan membulatkan mata. Sebagai tanda meminta Maisara segera tutup mulut daripada membicarakan sesuatu yang tidak patut dibawa masuk ke dalam perbualan mereka.
            “Tak apa. Kalau Sara rasa nak panggil nama tu, Kak Ain tak kisah,” celah Nurul Ain. Dia pamer senyum.
            Maisara mengerling abangnya. Kemudian dia kembali memeluk lengan Nurul Ain.
            “Lepas ni, Sara dah ada kawan baru. Sara tak suka dengan Kak Kathy,” tutur Maisara dengan wajah mendung. Kathy sukar diajak bercakap. Kalau bercakap pun pada perkara yang dirasakan penting. Hendak berborak kosong, memang tidaklah. Peliknya, Kathy boleh bercakap tanpa henti dengan sesetengah orang seperti abangnya dan Tengku Hanif.
            “Sara.” Irfan menegur lagi.
            Maisara mencebikkan muka.
            Kedatangan Datuk Awang Kader mengundang tumpuan Nurul Ain. Segera dia berdiri. Datuk Awang Kader menghulur tangan. Teragak-agak dia menyambut tangan itu. Ya, seharusnya tangan itu yang melindungi dia selama ini tetapi takdir memisahkan mereka berdua, lantas baru kini mereka bersua kembali.
            “Mari, ayah nak bawa Ain jumpa Tok Ki,” kata Datuk Awang Kader.
            Nurul Ain mengekori Datuk Awang Kader. Entah ke mana lelaki itu mahu bawa dia pergi. Mula-mula mereka menyusuri ruang tamu. Dia sudah kenal hampir semua saudara-mara yang berkumpul di rumah besar ini. Baik keluarga belah Datuk Awang Kader dan keluarga belah arwah ibunya.
            Mengikut perkiraan sendiri, dia punya dua ibu saudara kandung dari keluarga Datuk Awang Kader. Tiga bapa saudara dan seorang ibu saudara kandung di sebelah keluarga ibunya. Mengejutkan bila Datin Sabrina itu sebenarnya adik kandung arwah ibunya. Kiranya perkahwinan ‘ganti tikar’. Dengan ini, dia memang punya hubungan kekeluargaan dengan Tengku Hanif Faisal. Waktu itu, dia hanya mampu menyimpul dalam kepala satu fakta iaitu, banyak perkara yang dia perlu ketahui tentang keluarga ini.
            Lirikan mata Nurul Ain menyingkap susuk tubuh yang duduk di atas kerusi roda. Kemudian dia menyoroti wajah tua dan berkedut di depan mata. Lama diperhati sebelum dia ternampak bibir tua itu mengukir senyuman buatnya.
            “Apak, ini Aisha.” Datuk Awang Kader merapati Abdullah. Tangan tua itu digenggam erat.
            Abdullah terus memandang Nurul Ain. Tubir mata terasa hangat. Perlahan-lahan, airmata jatuh membasahi pipi. Abdullah mendepa tangan. Melihat kelakuan Abdullah, bagai menarik Nurul Ain untuk menerpa ke arah lelaki yang dipanggil Tok Ki. Tidak semena-mena, dia turut tenggelam bersama sendu yang tiada henti. Sayunya hati dipertemukan dalam keadaan begini. Syukur, dia masih diberi peluang untuk berada di bawah payungan kasih-sayang keluarga kandung.
            “Aisha.” Abdullah menyeru nama Nurul Ain lagi. Wajah itu ditatap sepuasnya. Nurul Ain mirip arwah anaknya, Nur Aminah. Terlerai sebuah rindu yang selama ini menjeruk hati.
            Abdullah menciumi pipi Nurul Ain. Kemudian tangan kasar itu mengusap lembut pipi Nurul Ain. Saat itu, Nurul Ain merasakan hangat kasih sayang keluarga melingkari dirinya, sama seperti kasih sayang keluarga Puan Suriani.
            “Kader, dia mirip Min,” kata Abdullah. Berkaca-kaca mata itu memandang ke arah menantunya.
            Datuk Awang Kader mengangguk sambil tersenyum. Dia akui kata-kata Abdullah. Nurul Ain memang mewarisi fizikal Nur Aminah. Pandangan matanya, senyumannya seakan jelmaan Nur Aminah.
            “Tentu nenek Aisha gembira kalau dia masih hidup lagi.” Kembali berderai airmata Abdullah.
            Nurul Ain mendongak. “Nenek...” Bicara Nurul Ain putus di situ.
            Terangguk-angguk kepala Abdullah.
            “Allah lebih sayangkan Tok Wan dan ibu kamu, Aisha.”
            Nurul Ain kembali menunduk. Linangan airmata yang bersisa diseka dengan jari.
            Abdullah mengurut dada. Perit bercampur pedih mencucuk dada ketika dia batuk-batuk keras begini.
            “Tok Ki.” Nurul Ain cemas melihat keadaan Abdullah. Berkerut-kerut dahi datuknya ketika batuk.
            Abdullah mengukir senyuman kelat.
            “Tak apa. Tok Ki sakit sikit aje. Biasalah, orang dah tua. Kalaupun Tok Ki dijemput pergi waktu ni pun, Tok Ki rela. Tok Ki dah jumpa Aisha depan mata Tok Ki. Aisha tahu betapa kami tidak pernah patah semangat mencari Aisha? Ayah Aisha orang yang paling bersungguh cari Aisha. Dia tidak pernah patah semangat. Mulanya kami putus asa, tetapi bila melihat kesungguhan ayah Aisha, semangat kami pulih. Dia yang meniupkan kepercayaan itu pada kami.” Abdullah merenungi menantunya saat berkata demikian.
            Nurul Ain turut memacakkan matanya pada Datuk Awang Kader.
            “Apak, rehatlah,” kata Datuk Awang Kader.
            “Iyalah. Dari tadi kau suruh apak rehat. Apak datang sini nak jumpa cucu apak,” getus Abdullah.
            Tersungging senyuman halus Datuk Awang Kader.
            “Biar aku bawa apak berehat,” celah Bahari. Dia menolak kerusi roda Abdullah mara ke depan sebelum hilang di sebalik dinding putih.
            “Saya nak ziarah kubur arwah ibu.” Perlahan suara Nurul Ain tetapi bisa ditangkap oleh Datuk Awang Kader.
            “Boleh ayah bawa saya ziarah kubur arwah ibu?” Kali ini suara Nurul Ain lebih kuat.
            Datuk Awang Kader mengangguk laju. Kedua belah tangan Nurul Ain digenggam erat. Senyuman lebar menghiasi bibir itu.
            “Boleh sayang. Boleh!”
            Jelas terpancar kebahagiaan di wajah Datuk Awang Kader. Inilah permintaan pertama yang Nurul Ain aju padanya. Apatah lagi gelaran ayah itu sudah melekat di bibir Nurul Ain. Terasa diri sudah diterima sepenuhnya oleh anak gadisnya.
            “Bila Ain nak pergi? Cakap aje pada ayah.” Bersungguh-sungguh benar lelaki itu hendak menunaikan permintaan Nurul Ain.
            “Saya tak kisah bila-bila pun,” balas Nurul Ain.
            “Kalau macam tu, lusa, kita ikut Pak Long balik.” Datuk Awang Kader memberi cadangan dan Nurul Ain mengangguk tanda setuju. Sekelipan, Nurul Ain ditarik ke dalam pelukan erat ayahnya. Dia terkebil-kebil. Datuk Awang Kader mengusap kepalanya, berserta bicara halus yang kedengaran dari mulut itu.
            “Min, she’s here. Our adorable daughther with us now.”
            Nurul Ain kaku. Bicara halus itu meresapi hati lalu terkesan di jiwa.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: 'Saya menulis kerana minat'- Itulah yang tersembunyi dalam hati aku sebenarnya. Kalau cakap kat orang kemain mengarut. Bahahaha. Next week last practical. Hey, lepas ni sesi gigih mencari kerja.

2 comments:

Unknown said...

Nak lg please tq.

~::HANAH RISHAS::~ said...

CJKP akn diupdate nnti..:) TQ sudi bc..:)